Rabu, 11 Disember 2024

Beza Antara Iblis, Syaitan dan Jin

 Makna Iblis:

1 – Dari segi bahasa:

Perkataan Iblis berasal daripada perkataan basala (بَلَس).

Jika dikatakan: (بَلَسَ مِنْ رَحْمَةِ اللهِ) yang membawa maksud berputus asa daripada rahmat Allah, iaitu: kecewa dan menyesal. Ini disebut dalam firman Allah Ta'ala:

وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ يُبْلِسُ الْمُجْرِمُونَ

"Dan pada hari berlakunya Kiamat, orang-orang yang berdosa akan berputus asa" [Ar-Rum: 12].

Iblis dinamakan demikian kerana dia telah berputus asa daripada rahmat Allah.

Jika dikatakan:  أَبْلَسَ الرَّجُلُ bermaksud seseorang itu diam. Sebab itulah dikatakan kepada orang yang diam setelah kehabisan hujahnya: "Dia telah dibungkam (أَبْلَسَ)."

Perkataan الْمُبْلِس merujuk kepada orang yang diam kerana ketakutan atau kesedihan.

Perkataan الإِبْلَاس bermaksud kebingungan.

Iblis dinamakan dengan nama ini kerana setelah dia berputus asa daripada rahmat Allah maka dia diam terbungkam.

2 – Dari segi istilah:

Iblis adalah makhluk yang diciptakan daripada api yang sangat panas (naar as-samum) yang pada mulanya, dia menyembah Allah bersama para malaikat. 

Namun, Iblis menjadi sombong dan tertipu oleh dirinya sendiri. Allah mengetahui apa yang ada di dalam hatinya, lalu Allah menciptakan Adam daripada tanah, meniupkan roh ke dalamnya, dan memerintahkan para malaikat, termasuk Iblis yang berada bersama mereka, untuk sujud kepada Adam.

Para malaikat sujud, kecuali Iblis yang enggan dan sombong, dengan alasan dia lebih baik daripada Adam. Dia berkata: "Aku lebih baik daripadanya, Engkau ciptakan aku daripada api sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah." (Surah Al-A'raf: 12).

Iblis kemudian memohon kepada Allah untuk menangguhkan ajalnya sehingga Hari Kiamat, supaya dia boleh menyesatkan Adam dan keturunannya. Akibat dari keengganannya, dia dilaknat dan diusir dari syurga dan menjadi musuh keturunan Adam hingga Hari Kebangkitan.

3 – Adakah Iblis Daripada Golongan Malaikat?

Para ulama mempunyai dua pandangan mengenai sama ada Iblis adalah daripada golongan malaikat atau tidak.

Pandangan pertama: Iblis adalah daripada kalangan malaikat kerana Allah memerintahkan mereka (malaikat) untuk sujud kepada Adam. Jika Iblis bukan daripada mereka, maka perintah sujud itu tidak akan tertuju kepadanya.

Jika perintah sujud itu tidak ditujukan kepadanya, Iblis tidak akan dianggap derhaka dan tidak berhak menerima kehinaan dan hukuman.

Tambahan pula, asal bagi mustathna (yang dikecualikan iaitu Iblis) adalah termasuk di bawah nama mustathna minhu (daripada mana ia dikecualikan iaitu malaikat) sehinggalah ada dalil yang menunjukkan bahawa ia terkeluar daripadanya. Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Abbas, Ibnu Mas'ud dan majoriti ahli tafsir.

Pandangan kedua: Iblis bukan daripada golongan malaikat.

Ini berdasarkan firman Allah Ta'ala: "Kecuali Iblis, dia adalah daripada golongan jin, maka dia menderhaka terhadap perintah Tuhannya." (Surah Al-Kahf: 50).

Iblis adalah asal usul bagi keturunan jin seperti mana Adam adalah asal usul bagi keturunan manusia.

Ini juga kerana Iblis diciptakan daripada api, manakala malaikat diciptakan daripada cahaya.

Malaikat disucikan daripada melakukan maksiat, seperti dalam firman Allah: "Mereka tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka" (Surah At-Tahrim: 6), sedangkan Iblis telah derhaka terhadap perintah Tuhannya.

Malaikat tidak mempunyai keturunan, sedangkan Iblis mempunyai keturunan, seperti firman Allah: "Adakah kamu menjadikan dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain daripada Aku?" (Surah Al-Kahf: 50).

Pandangan ini dipilih oleh Hasan Al-Basri, Qatadah dan yang lainnya.

Ibnu Qayyim cuba menyelaraskan kedua-dua pandangan ini dengan berkata:

“Yang paling tepat adalah membuat perincian dalam isu ini, di mana kedua-dua pandangan ini sebenarnya adalah satu pandangan yang sama.

Iblis berada bersama malaikat dari segi rupanya, tetapi dia bukan daripada segi asal kejadian dan zatnya. Iblis diciptakan daripada api, sedangkan malaikat diciptakan daripada cahaya.

Maka, mereka yang menafikan bahawa Iblis daripada golongan malaikat dan mereka yang menyatakan bahawa dia daripada golongan malaikat, tidak berbicara mengenai perkara yang sama.

4 – Iblis adalah Bapa Jin?:

Menurut pendapat sebahagian ulama Iblis adalah bapa bagi keturunan jin sebagaimana Adam adalah bapa bagi keturunan manusia.

Hasan al-Basri berkata: "Iblis sama sekali bukan daripada golongan malaikat walau sekelip mata pun dan sesungguhnya dia adalah asal usul jin sebagaimana Adam adalah asal usul manusia." (Tafsir al-Tabari)

Ibnu Syihab al-Zuhri berkata: “Iblis adalah bapa kepada jin, sebagaimana Adam adalah bapa kepada manusia. Adam adalah daripada kalangan manusia dan dia adalah bapa mereka. Dan Iblis adalah daripada kalangan jin dan dia adalah bapa mereka.” (Tafsir Ibnu Abi Hatim)

Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam berkata: “Iblis adalah bapa jin, sebagaimana Adam adalah bapa manusia.” (Tafsir al-Tabari)

Sebahagian ulama lagi berpandangan bahawa Iblis bukanlah asal usul jin dan bukan bapa pertama mereka. Sebaliknya, Iblis hanyalah salah satu daripada mereka dan dia adalah jin pertama yang derhaka kerana mengingkari perintah Allah untuk sujud kepada Adam, sama seperti Qabil yang merupakan manusia pertama yang derhaka. 

Oleh itu, sesiapa daripada kalangan jin yang kufur, maka dia dinamakan syaitan dan jin dan sesiapa yang tidak kufur daripada mereka dinamakan jin sahaja. 

Ad-Dahhak berkata: "Dan jin adalah anak kepada Al-Jaan dan mereka bukan syaitan." 

Ibnu Abbas berkata dalam tafsirannya terhadap firman Allah Taala: Dan Dia menciptakan al-Jaan dari nyala api:

"Dia menciptakan al-Jaan, bapa kepada jin dan syaitan." 

Ini menunjukkan bahawa Iblis bukanlah bapa kepada jin, sebaliknya bapa mereka adalah al-Jaan. 

Inilah yang difahami daripada kata-kata al-Tabari apabila beliau berkata mengenai firman Allah Taala: Sesungguhnya dia (Iblis) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka: 

"Kaumnya" merujuk kepada jenis dan kelompoknya, yang mana dia (Iblis) adalah salah satu daripada mereka." 

Berdasarkan hal ini, maka Nabi Adam adalah bapa kepada manusia dan al-Jaan adalah bapa kepada jin. Manakala Iblis dan keturunannya adalah daripada golongan syaitan dalam kalangan jin. Ini kerana ayat-ayat al-Quran menjelaskan bahawa penciptaan jin dan Iblis berasal daripada api, yang menunjukkan kesamaan asal-usul mereka. 

Al-Quran juga secara jelas menyatakan bahawa Iblis adalah daripada golongan jin, tetapi dia derhaka kepada perintah Tuhannya. 

Fakhruddin al-Razi berkata: "Pendapat yang paling sahih adalah bahawa syaitan merupakan salah satu golongan daripada jin. Maka, setiap jin yang beriman tidak disebut sebagai syaitan, tetapi setiap jin yang kafir dikenali dengan nama ini (syaitan). Dalil yang membuktikan hal ini adalah bahawa perkataan 'jin' berasal daripada kata dasar yang bermaksud tersembunyi, maka sesiapa sahaja yang tersembunyi (tidak dapat dilihat) termasuk daripada golongan jin." 

Syeikh Abdullah Sirajuddin pula menyebut bahawa Iblis dan syaitan adalah sebahagian daripada golongan jin dan bahawa Iblis bukanlah bapa kepada jin. Beliau berkata: 

"Para ulama besar yang arif telah menjelaskan bahawa Iblis bukanlah bapa kepada jin seperti yang disangka oleh sebahagian orang, tetapi dia hanyalah salah satu daripada golongan jin. Allah Taala berfirman: 'Kecuali Iblis, dia adalah daripada golongan jin.' Adapun bapa kepada jin, yang kedudukannya seperti Nabi Adam kepada manusia, dia bukanlah Iblis." 

Pendapat yang tepat dalam isu ini adalah bahawa tidak terdapat dalil yang sahih dan kuat, sama ada daripada al-Quran mahupun sunnah Nabi, yang boleh dijadikan sandaran untuk menguatkan salah satu daripada dua pendapat tersebut.

5 - Kaitan antara Iblis dan Syaitan:

Apabila perkataan syaitan disebut, ia merujuk kepada Iblis dan keturunannya yang diciptakan daripada api.

Makna Syaitan:

1 – Dari segi bahasa:

Dalam bahasa Arab, perkataan syaitan (الشيطان) digunakan untuk merujuk kepada setiap yang melampaui batas (عاتٍ) dan derhaka (متمرد).

Makhluk ini dinamakan syaitan kerana sifatnya yang melampaui batas dan derhaka terhadap Tuhannya.

2 - Dari segi istilah:

Perkataan ‘syaitan’ kadangkala dimaksudkan khusus untuk Iblis, seperti dalam kisah Adam dan Iblis.

Contohnya firman Allah Taala:

 فَأَزَلَّهُمَا الشَّيْطَانُ عَنْهَا

"Maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu.”  

Kadangkala pula, perkataan ‘syaitan’ dimaksudkan untuk setiap yang jahat, yang merosakkan, dan yang menyeru kepada kesesatan dan kerosakan, sama ada dari kalangan jin mahupun manusia, seperti dalam firman Allah Taala:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain kata-kata indah untuk menipu.”

Makna Jin

1 – Dari segi bahasa:

Al-Jinn (الْجِنّ) berasal daripada perkataan al-ijtinaan (الِاجْتِنَان) yang bermaksud berselindung dan bersembunyi.

Mereka dinamakan demikian kerana mereka tersembunyi (ijtinaan) daripada pandangan manusia, maka mereka tidak dapat dilihat.

Al-Jinn adalah lawan kepada al-ins (الْإِنْس) (manusia). Manusia dinamakan demikian kerana mereka zahir dan dapat dilihat oleh mata. Dikatakan: Aanastu asy-syai' (آنَسْتُ الشَّيْءَ): Aku melihat sesuatu.

2 - Dari segi istilah:

Al-Baydawi, yang mendefinisikan jin sebagai: "Jisim-jisim yang berakal, yang tersembunyi (ghaib), yang sifat asalnya terdiri daripada unsur api atau udara."

Al-Kafawi pula mendefinisikan jin sebagai: "Hidupan  yang terdiri daripada unsur udara yang boleh menjelma dalam pelbagai bentuk."

Berdasarkan kedua-dua definisi ini dan definisi yang lain, boleh dikatakan bahawa istilah jin merujuk kepada:

“Sejenis roh yang berakal, mempunyai kehendak, yang diberi tanggungjawab (taklif) sepertimana manusia, tidak bersifat kebendaan/material, tersembunyi daripada pancaindera, tidak dapat dilihat dalam keadaan bentuk asal mereka, dan tidak juga dalam bentuk mereka yang sebenar, dan mereka mempunyai keupayaan untuk menjelma dalam pelbagai bentuk, mereka makan, minum, berkahwin, dan mempunyai zuriat, serta akan dihisab atas amalan mereka di akhirat kelak.”

3 – Kaitan Antara Jin dan Syaitan:

Syaitan ialah jin yang jahat. Oleh sebab itu, jika seseorang manusia itu jahat maka dia juga dipanggil syaitan, tetapi tidak dipanggil jin. Ini kerana perkataan syaitan membawa maksud kejahatan, manakala perkataan jin hanya menunjukkan bahawa ia adalah makluk yang tersembunyi.

Oleh itu, secara umum, kita mengatakan: “Semoga Allah melaknat syaitan”, tetapi tidak dikatakan “Semoga Allah melaknat jin”. Jin adalah nama untuk jenis makhluk, manakala syaitan adalah sifat.

Kesimpulan:

1 – Jin adalah makluk yang hampir sama kehidupannya seperti manusia, melainkan mereka dicipta daripada api, tidak dapat dilihat bentuk asal mereka dan mereka mampu berupa dalam pelbagai bentuk.

2 – Jin ada yang beriman dan ada yang kafir.

3 – Jin yang kafir dan jahat dinamakan syaitan.

4 – Perkataan syaitan kadang kala diguna untuk merujuk kepada Iblis.

5 – Perkataan syaitan juga digunakan untuk manusia yang kafir dan jahat.

6 – Menurut sebahagian ulama, Iblis adalah bapa bagi keturunan jin sebagaimana Adam adalah bapa bagi keturunan manusia. Sebahagian ulama lain menganggap al-Jaan adalah bapa kepada jin dan Iblis termasuk dalam keturunan jin. Namun tidak ada dalil yang jelas tentang perkara ini.

Rujukan:

'Alam al-Jin Wa al-Shayathin – Syeikh Dr 'Umar Sulaiman al-Asyqar.

'Alam al-Jin Fi Dhau' al-Quran Wa al-Sunnah - Dr Abdul Karim Naufan 'Abidan.

Mausu'ah al-Tafsir al-Maudhu'ie Lil Quran al-Karim

Sofwah Al-Tafasir – Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni

Tafsir al-Tabari

Tafsir al-Wasith – Syeikhul Azhar Muhammad Sayyid al-Tantawi

Tafsir Ibnu Abi Hatim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan