Khamis, 27 Jun 2019

Belajarlah Setiap Hari

- Ahmad bin al-Furat[1] tidak meninggalkan sehari pun melainkan beliau akan menghafal sesuatu (daripada ilmu) meskipun sedikit.

- Kata sebahagian ulama: "Aku menghadiri majlis seorang syeikh pada pagi hari Jumaat walaupun tidak ada pengajian (pada hari tersebut) supaya tidak hilang daripadaku kebiasaan menghadiri (majlis ilmu)."

[Al-Hath 'Ala Thalab al-'Ilm, Abu Hilal al-'Askari]
_________

(1) Ahmad bin al-Furat atau dikenali juga sebagai Abu Mas'ud al-Razi merupakan seorang muhaddith di Asbahan. Beliau dilahirkan selepas tahun 180 Hijrah. Beliau menuntut ilmu sejak dari kecil. Beliau dianggap sebagai hafiz hadis ketika masih muda belia. Beliau mengembara menuntut ilmu ke beberapa tempat seperti Iraq, Syam, Hijaz dan Yaman. Antara guru beliau yang terkenal ialah Abu Daud al-Thayalisi dan Abdul Razak al-San'ani manakala murid beliau yang terkenal ialah Abu Daud al-Sijistani. Diceritakan bahawa ketika beliau tiba di Asbahan tidak ada kitab catatan hadis bersamanya. Beliau lalu mengimlak 1000 buah hadis daripada hafalannya. Setelah itu barulah kitab beliau tiba. Lalu dibuat perbandingan hadis-hadis yang beliau sampaikan melalui ingatan dan hadis-hadis yang dicatat di dalam kitabnya. Didapati tidak ada yang berbeza kecuali hanya sedikit. Imam Ahmad bin Hanbal berkata: "Tidak ada di bawah naungan langit ini orang yang lebih hafal tentang hadis-hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam lebih daripada Abu Mas'ud al-Razi."  Beliau meninggal dunia pada tahun 258 Hijrah.

[Siyar A'lam al-Nubala', al-Zahabi, jil. 12, hlm. 480, c: Muassasah al-Risalah]

Istilah Ilmu Hadis 42: Hasan Li zatihi (حَسَنُ لِذَاتِهِ)

Hadis yang bersambung sanadnya, dinukilkan oleh perawi yang ’adil, namun kurang (sedikit daripada perawi yang sempurna hafalannya) dari sudut hafalannya, tidak syaz (ganjil, bertentangan) dan tiada ‘illah (kerosakan yang mencacatkan).

Beza antara sahih dan hasan

Apabila dibandingkan antara pengertian hasan dan pengertian sahih, kita dapati antaranya adalah persamaan yang besar. Di mana kedua-duanya adalah bersepakat dan sama pada keseluruhan pengertian kecuali pada syarat yang berkaitan dengan hafalan. Perawi bagi sahih adalah memiliki kekuatan hafalan yang sempurna, daripada kalangan ahli hifz dan penuh penelitian, manakala perawi hasan pula sudut hafalannya rendah sedikit daripada perawi sahih.

Contoh hadis hasan

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dengan katanya: Telah menceritakan kepada kami Qutaybah, telah menceritakan kepada kami Ja’far bin Sulaymanal-Ruba’i, daripada Abi ‘Imran al-Jawni, daripada Abu Bakr bin Abu Musa al-Asy’ari, berkata: Saya mendengar bapa saya berkata ketika sedang menghadapi musuh: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya pintu-pintu syurga di bawah bayangan pedang-pedang."

Hadis ini disebutkan oleh al-Imam al-Tirmizi: "Hadis hasan gharib."

Kesemua empat perawi hadis ini adalah thiqah kecuali Ja’far bin Sulayman al-Ruba’i, dia ialah seorang yang baik hadisnya (gambaran yang rendah sedikit berbanding sifat thiqah), dengan sebab itu hadis ini telah turun darjatnya kepada martabat hadis hasan.

Hukum Hadis Hasan

Hadis hasan adalah مَقْبُولُ (diterima) oleh ulama fiqah keseluruhannya untuk dijadikan sebagi hujah dan beramal dengannya. Begitu juga pandangan kebanyakan muhaddithin. Ini ialah kerana kebenaran perawi itu telah diketahui dan penukilannya selamat dengan menggunakan sanad. Sifat kekurangan pada sudut hafalan (jika dibandingkan dengan perawi hadis sahih) tidaklah mengeluarkannya daripada memiliki kelayakan untuk menyampaikan apa yang didengarinya. Maksud hasan ini hanya menyatakan bahawa darjatnya rendah daripada hadis sahih tanpa menidakkan sudut hafalannya.

Sumber-sumber Hadis Hasan

Tiada ulama terdahulu yang mengkhususkan sebuah karya hanya untuk mengumpulkan hadis-hadis hasan, bahkan mereka mengumpulkan sekali bersamanya hadis-hadis sahih dan juga yang lebih rendah iaitu daif.

Antara sumber-sumber hadis hasan yang utama ialah: 

1 – Jami’ al-Tirmizi : Oleh al-Imam Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa al-Tirmizi (w. 279 H).

2 – Al-Sunan atau lebih dikenali dengan Sunan Abu Daud : Oleh al-Imam Abu Daud Sulayman bin Asy’ath al-Sijistani (w. 273 H).

3 – Al-Mujtaba atau lebih dikenali dengan Sunan al-Nasa’i : Oleh al-Imam Abu ‘Abd al-Rahman Ahmad bin Syu’aib al-Nasa’i (w. 303 H).

4 – Sunan al-Mustafa atau lebih dikenali dengan Sunan Ibnu Majah : Oleh al-Imam Ibnu Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwini (w. 273 H).

5 – Al-Musnad  : Oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal al-Syaibani (w. 241 H).

6 – Al-Musnad  : Oleh al-Imam Abu Ya’la al-Mausili, Ahmad bin ‘Ali bin al-Muthanna (w. 307 H). 

 [Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 216, terbitan: Darul Syakir]

Rabu, 19 Jun 2019

Kedukaan Bila Terbakarnya Kitab

Abu 'Ali al-Farisi (seorang imam dalam ilmu bahasa Arab, meninggal dunia tahun 366 H) berkata:

"Berlaku kebakaran di Baghdad dan ia memakan seluruh kitab-kitabku. Aku telah menulis kitab-kitabku itu dengan tulisan tanganku sendiri. Selama dua bulan aku tidak bercakap dengan seorang pun kerana bersangatannya kesedihan dan kedukaanku. Selama beberapa ketika aku dalam keadaan kebingungan dan ketidakkeruanan."

[Mu'jam al-Udaba', Yaqut al-Hamawi]


Selasa, 18 Jun 2019

Mencontohi Tabiat Gagak, Khinzir Dan Keldai, Ketika Menuntut Ilmu

Ditanya kepada Bozorgmehr بزرجمهر (bangsawan dari Parsi, meninggal kurun ke-6 Masihi):

"Dengan apakah kamu menghimpunkan ilmu yang banyak ini?"

Beliau menjawab:

"Dengan bersegera (menuntut ilmu) sebagaimana bersegeranya gagak (keluar mencari makanan), loba (terhadap ilmu) sebagaimana lobanya khinzir (terhadap makanan) dan sabar (menuntut ilmu) sebagaimana sabarnya keldai (melakukan kerja yang disuruh tuannya)." 

[Al-Hath 'Ala Thalab al-'Ilm, Abu Hilal al-'Askari]

Isnin, 17 Jun 2019

Hadis Syaz

Hadis Syaz Di Sisi Ahli Hadis

Para ulama hadis telah berbeza pendapat dalam mendefinisikan hadis syaz. Perbezaan ini berpunca daripada hakikat bahawa setiap seorang daripada mereka hanya mentakrifkan satu jenis daripada jenis-jenis syaz, bukan kesemuanya. Oleh itu, tiada satu pun takrifan ini yang boleh dianggap menyeluruh untuk semua jenisnya. 

Pandangan-pandangan mereka boleh diringkaskan seperti berikut:

(1) Percanggahan seorang perawi yang thiqah (dipercayai) dengan perawi yang lebih rajih (lebih kuat) daripadanya. 

Inilah pandangan yang paling umum penggunaannya dalam perbahasan dan amalan ahli hadis.

(2) Periwayatan hadis secara bersendirian (tafarrud) oleh perawi yang thiqah. 

Pandangan ini banyak didapati dalam perbahasan mereka.

(3) Periwayatan hadis secara bersendirian oleh seorang 'syeikh', sama ada dia thiqah atau daif (lemah).

Ini adalah pandangan para huffaz (pakar) hadis dan ia hampir sama dengan jenis yang kedua. 

'Syeikh' menurut istilah ulama hadis ialah perawi yang kedudukannya di bawah para imam pakar hadis (huffaz) dan ia merangkumi perawi yang thiqah dan daif.

(4) Riwayat oleh perawi yang kurang dhabit (ketepatan hafalan).

Ini merupakan istilah yang jarang digunakan oleh sebahagian ulama hadis.

Berdasarkan pandangan-pandangan ini, hadis syaz menurut ulama hadis boleh dibahagikan kepada empat jenis. Berikut adalah huraiannya secara terperinci:

Jenis Pertama: 

Hadis yang diriwayatkan oleh perawi thiqah (dipercayai) yang bercanggah dengan riwayat perawi yang lebih thiqah daripadanya.

Ini adalah takrifan Imam al-Syafi’i.

Maksud ‘lebih thiqah’ ialah lebih kuat hafalan atau lebih ramai bilangannya, bukanlah lebih dari segi ‘adalah-nya (sifat 'adil/integriti perawi).

Gambaran percanggahan ini adalah apabila sekumpulan perawi meriwayatkan satu hadis yang sama daripada seorang syeikh yang sama. Lalu sebahagian daripada mereka menambah atau mengurangkan sesuatu pada sanad atau matannya dan dengan tindakannya itu dia bercanggah dengan riwayat para perawi lain yang turut sama meriwayatkannya daripada syeikh tersebut.

Lawan bagi jenis hadis syaz ini disebut sebagai ‘mahfuz’.

Imam al-Syafi'i berkata: “Hadis syaz bukanlah apabila seorang perawi thiqah meriwayatkan suatu hadis yang tidak diriwayatkan oleh orang lain, sebaliknya, hadis syaz ialah apabila para perawi thiqah meriwayatkan suatu hadis, lalu seorang daripada mereka menyendiri (syaz) dan bercanggah dengan riwayat mereka.”

Imam al-Syafi’i juga berkata: “Sesungguhnya hadis syaz ialah apabila para perawi thiqah meriwayatkan suatu hadis dengan satu lafaz, kemudian seorang perawi thiqah lain meriwayatkannya secara bercanggah dengan riwayat mereka, maka inilah yang dikatakan: dia telah syaz (menyendiri) berbanding mereka.”

Jenis Kedua

Hadis yang diriwayatkan secara bersendirian oleh seorang perawi thiqah dan ia tidak mempunyai sumber asal melalui riwayat sokongan (mutabi’) serta terdetik di hati seorang pakar hadis (naqid) bahawa ia adalah satu kesilapan, namun pakar hadis itu tidak mampu mengemukakan dalil untuk membuktikannya.

Jenis ini tidak ditemui padanya sebarang illah (kecacatan) seperti percampuran satu hadis ke dalam hadis lain atau menjadikan riwayat mursal (terputus sanad) sebagai mausul (bersambung sanad) atau menjadikan riwayat mawquf (berasal daripada sahabat) sebagai marfu’ (berasal daripada Nabi) dan seumpamanya.

Ia berbeza daripada hadis mu'allal (yang mempunyai kecacatan tersembunyi) kerana pada hadis mu'allal, illah yang tertentu telah dikenal pasti.

Gambaran percanggahan dalam jenis ini ialah apabila sebahagian perawi thiqah meriwayatkan suatu hadis daripada gurunya secara bersendirian tanpa ada sokongan daripada perawi-perawi lain yang turut meriwayatkan daripada guru yang sama.

Riwayat sebegini disebut sebagai ‘fard’.

Sufyan al-Thawri berkata kepada Zaidah bin Qudamah: “Sesungguhnya engkau seorang yang thiqah dan sesungguhnya engkau meriwayatkan kepada kami daripada seorang yang thiqah, tetapi hatiku tidak dapat menerima bahawa ini adalah hadis Salamah bin Kuhail!”

Maka, al-Thawri dalam tindakannya yang menolak hadis Za’idah telah bergantung pada perasaannya tentang wujudnya kesilapan Zaidah pada riwayat tersebut.

Abu Zur'ah berkata tentang sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Yahya bin 'Abdak daripada Musaddad: “Yahya seorang yang saduq (benar), tetapi ini (sebenarnya) bukan daripada hadis Musaddad.”

Maka, Abu Zur'ah telah menolak hadis Yahya (seorang yang thiqah) yang diriwayatkan daripada Musaddad kerana pengetahuan Abu Zur'ah tentang hadis-hadis Musaddad dan perasaannya bahawa Yahya telah melakukan kesilapan pada hadis-hadis Musaddad.

Jenis Ketiga: 

Hadis yang diriwayatkan secara bersendirian oleh seorang 'syeikh' dan tidak mempunyai riwayat sokongan (mutabi’ dan syahid). 

Maka riwayat daripada 'syeikh' yang daif (lemah) adalah ditolak, manakala riwayat daripada 'syeikh' yang thiqah (dipercayai) ditangguhkan hukumnya.

Takrifan ini dinisbahkan oleh al-Hafiz al-Khalili kepada para huffaz hadis.

Beliau berkata: “Pandangan yang dipegang oleh para huffaz hadis, hadis syaz ialah hadis yang tidak mempunyai melainkan satu sanad sahaja, yang diriwayatkan secara bersendirian oleh seorang 'syeikh', sama ada 'syeikh' itu thiqah atau tidak.

Maka, hadis yang diriwayatkan daripada 'syeikh' yang tidak thiqah adalah matruk (ditinggalkan) dan tidak diterima, manakala hadis yang diriwayatkan daripada 'syeikh' yang thiqah, hukumnya ditangguhkan (tawaqquf) dan tidak dijadikan hujah.”

Ibnu Rajab berkata: “Perkataan al-Khalili ini adalah mengenai periwayatan secara bersendirian oleh para 'syeikh'. 'Syeikh' dalam istilah ilmu hadis ialah gelaran bagi mereka yang kedudukannya di bawah para imam dan pakar hadis (huffaz) dan dalam kalangan mereka mungkin ada yang thiqah dan ada yang selainnya.”

Jenis Keempat

Hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang kurang dhabit. 

Ini adalah takrifan sebahagian ulama hadis.

Ibnu Hajar berkata: “Dan ia —iaitu hafalan yang buruk— terbahagi kepada dua bahagian: jika ia (hafalan yang buruk itu) sentiasa ada pada perawi dalam semua keadaannya, maka ia adalah syaz menurut pandangan sebahagian ulama hadis.”

Hadis Syaz Di Sisi Ulama Mazhab Hanafi

Syaz menurut ulama mazhab Hanafi terbahagi kepada dua jenis:

(1) Periwayatan hadis secara bersendirian oleh perawi thiqah mengenai sesuatu perkara yang sepatutnya sudah diketahui umum atau biasa berlaku (umum al-balwa).

(2) Periwayatan hadis secara bersendirian oleh perawi thiqah mengenai sesuatu perkara yang bercanggah dengan al-Quran, hadis mutawatir, ijmak, atau akal.

Berdasarkan takrifan ulama mazhab Hanafi inilah, Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari telah menyusun kitabnya, al-Fawa'id al-Maqsudah fi Bayan al-Ahadith al-Syazzah al-Mardudah.

Maksud perawi thiqah di sini menurut ulama mazhab Hanafi ialah Sahabat, yang berkemungkinan telah tersilap dalam riwayatnya atau belum sampai kepadanya dalil yang menasakhkan hadis yang diriwayatkannya.

Berikut adalah huraian kedua-duanya secara terperinci:

Jenis Pertama

Hadis yang diriwayatkan secara bersendirian oleh perawi thiqah mengenai sesuatu perkara yang sepatutnya sudah diketahui umum.

Maka hadis ini ditolak kerana jika hadis ini benar-benar wujud, nescaya ia akan menjadi masyhur disebabkan banyaknya pendorong untuk meriwayatkannya dan meluasnya keperluan manusia kepadanya.

Ini menunjukkan adanya kesilapan pada hadis yang diriwayatkannya secara bersendirian itu atau ia sebenarnya telah pun dinasakhkan.

Gambaran percanggahan dalam jenis ini ialah apabila seorang perawi thiqah bercanggah dengan sekumpulan perawi yang lain kerana dia meriwayatkannya secara bersendirian, maka hadisnya adalah syaz.

Antara contohnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa'i, dan Ibn Majah daripada jalur riwayat 'Urwah bin al-Zubair, daripada Marwan bin al-Hakam, daripada Busrah binti Safwan, bahawa beliau mendengar Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang telah menyentuh zakarnya, maka hendaklah dia berwuduk.”

Ulama mazhab Hanafi berkata: “Hadis Busrah adalah syaz kerana beliau meriwayatkannya secara bersendirian sedangkan perbuatan menyentuh zakar adalah perkara yang berulang berlaku pada setiap masa, soalan dan jawapan mengenainya banyak dan pendorong untuk meriwayatkannya amat kuat.

Maka, sekiranya wuduk batal disebabkan perbuatan itu, nescaya wajib bagi Nabi untuk menyebarluaskannya dan tidak hanya menyampaikannya kepada individu, bahkan mesti menyampaikannya kepada bilangan (perawi seramai) peringkat mutawatir sebagai usaha bersungguh-sungguh untuk menyebarkannya agar ia tidak membawa kepada terbatalnya solat majoriti umat dalam keadaan mereka tidak menyedarinya.

Oleh kerana hadis ini tidak diriwayatkan melainkan oleh seorang sahaja, ini menunjukkan bahawa ia adalah satu kesilapan atau telah dinasakhkan kerana pandangan yang mengatakan bahawa Nabi alaihis salam telah mengkhususkan pengajaran hukum ini kepadanya (Busrah) - sedangkan beliau tidak memerlukannya (kerana beliau seorang wanita) dan tidak mengajarkannya kepada para Sahabat yang lain meskipun mereka sangat memerlukannya - adalah sesuatu yang hampir mustahil.

Janganlah dikatakan: Hadis ini juga telah diriwayatkan oleh Ibn Umar, Abu Hurairah, Jabir, Salim, Zaid bin Khalid, 'Aisyah, Ummu Habibah, dan lain-lain, maka bagaimana ia boleh menjadi syaz sedangkan ia diriwayatkan oleh tokoh-tokoh besar ini?

Kerana kami akan menjawab: Riwayat-riwayat tersebut sanadnya bercelaru (mudtarib), tidak sahih kerana kelemahan para perawinya dan juga kerana ia bercanggah dengan riwayat-riwayat sahih yang lain.”

Jenis Kedua

Hadis yang bercanggah dengan akal, al-Quran, hadis mutawatir, atau ijmak.

Terdapat dalam perbahasan para ulama besar mazhab Imam Abu Hanifah mengenai penolakan sesebuah hadis dengan dakwaan bahawa ia bercanggah dengan al-Quran.

Syeikh Abdullah al-Ghumari telah mengarang kitabnya al-Fawa'id al-Maqsudah fi Bayan al-Ahadith al-Syazzah al-Mardudah dan tujuan beliau adalah untuk mengumpulkan sebilangan hadis syaz kerana tiada kitab khusus mengenainya.

Al-Ghumari membina kitabnya berdasarkan takrifan ulama mazhab Hanafi bagi hadis syaz dan ia merangkumi 43 buah hadis.

Beliau berkata pada penutup kitabnya: “Hadis syaz yang saya sebutkan dalam juzuk ini: sebahagiannya ada yang bercanggah dengan al-Quran, sebahagiannya ada yang bercanggah dengan hadis mutawatir, sebahagiannya ada yang bercanggah dengan ijmak dan sebahagiannya ada yang bercanggah dengan salah satu prinsip yang telah ditetapkan (dalam Islam)”.

Kemudian beliau berkata: “Ramai daripada kalangan huffaz telah menulis tentang al-Afrad dan al-Ghara'ib, tetapi tiada seorang pun daripada mereka — sepanjang pengetahuan saya — yang menulis tentang hadis-hadis syaz. Maka, risalah ini adalah yang pertama ditulis mengenainya.”

Kesimpulan

1 - Terdapat perbezaan pandangan dalam mendefinisikan hadis syaz antara majoriti ahli hadis dengan ulama mazhab Hanafi.

2 - Pandangan Ahli Hadis (Majoriti):

Ahli hadis mempunyai beberapa takrifan, di mana setiap satu merujuk kepada jenis syaz yang berbeza:

(i) Percanggahan dengan yang Lebih Kuat: Ini adalah takrifan yang paling umum. Ia merujuk kepada riwayat seorang perawi thiqah (dipercayai) yang bercanggah dengan riwayat perawi lain yang lebih kuat daripadanya. Lawan bagi hadis ini ialah mahfuz.

Contoh: Imam al-Syafi'i mendefinisikan syaz secara khusus sebagai percanggahan, bukan sekadar periwayatan secara sendirian.

(ii) Kesilapan yang Dirasai Pakar: Riwayat seorang perawi thiqah secara bersendirian yang tidak mempunyai sokongan, dan seorang pakar hadis (naqid) merasakan bahawa ia adalah satu kesilapan walaupun tidak dapat membuktikannya dengan 'illah yang jelas.

Contoh: Sufyan al-Thawri menolak hadis Zaidah bin Qudamah dengan berkata, "...hatiku tidak dapat menerima bahawa ini adalah hadis Salamah bin Kuhail (yang diriwayatkan daripadanya oleh Zaidah bin Qudamah)!"

(iii) Riwayat Tunggal oleh 'Syeikh': Riwayat seorang 'syeikh' (perawi di bawah taraf imam pakar hadis/huffaz) secara bersendirian tanpa ada sebarang sokongan lain.

Jika syeikh itu daif, riwayatnya ditolak.

Jika syeikh itu thiqah, hukum riwayatnya ditangguhkan dan tidak dijadikan hujah.

(iv) Riwayat oleh Perawi Kurang Dhabit: Riwayat seorang perawi yang hafalannya sentiasa buruk (kurang dhabit).

3 - Pandangan Ulama Mazhab Hanafi:

Ulama mazhab Hanafi mempunyai takrifan syaz yang berbeza, yang lebih tertumpu kepada logik dan konteks umum:

(i) Percanggahan dengan Umum al-Balwa: Riwayat seorang perawi thiqah secara bersendirian mengenai suatu perkara yang sepatutnya diketahui umum atau biasa berlaku (seperti wuduk). Riwayat ini dianggap syaz kerana jika ia benar, sudah pasti ia akan diriwayatkan oleh ramai orang.

Contoh: Hadis riwayat Busrah binti Safwan tentang batalnya wuduk kerana menyentuh zakar yang dianggap syaz oleh ulama Hanafi kerana ia sepatutnya menjadi pengetahuan umum, tetapi hanya diriwayatkan oleh seorang individu.

(ii) Percanggahan dengan Dalil yang Lebih Kuat: Riwayat seorang perawi thiqah yang bercanggah dengan dalil yang lebih kuat seperti al-Quran, hadis mutawatir, ijmak, atau prinsip umum syarak.

Syeikh Abdullah al-Ghumari telah menyusun kitab al-Fawa'id al-Maqsudah fi Bayan al-Ahadith al-Syazzah al-Mardudah berdasarkan takrifan ini.

Rujukan:

Al-Hadith al-Syaz Ta'sil Wa Tashil – Dr Ahmad Asyraf Umar Lubi.

Ahad, 16 Jun 2019

‘Illah Hadis (Kecacatan Hadis)

Dari Segi Bahasa:

'Illah dari segi bahasa bermaksud:

1 – Penyakit.

2 - Suatu kejadian yang menyibukkan pemiliknya daripada hajatnya.

3 - Sebab.

Dari Segi Istilah:

Ia adalah satu sebab yang samar lagi tersembunyi yang mencacatkan hadis, sedangkan pada zahirnya hadis itu kelihatan selamat daripadanya.

Bagaimana ‘Illah Dapat Diketahui

‘Illah ini dapat diketahui melalui:

1 – Periwayatan hadis seorang perawi secara bersendirian (tafarrud).

2 - Melalui percanggahannya (mukhalafah) dengan perawi lain.

3 - Petunjuk-petunjuk (qarain) lain yang menyertainya yang menyedarkan seorang pakar dalam bidang ini tentang suatu kesilapan (wahm) yang telah berlaku seperti:

(i) Menjadikan riwayat yang bersambung (mausul) sebagai mursal (terputus sanad).

(ii) Atau menjadikan riwayat marfu' (disandarkan kepada Nabi) sebagai mawquf (disandarkan kepada sahabat).

(iii) Atau kemasukan satu hadis ke dalam hadis yang lain.

(iv) Atau selainnya.

Sehinggakan beratnya pada sangkaannya lalu beliau menghukumkan hadis itu sebagai tidak sahih, atau beliau menjadi ragu-ragu lalu mengambil sikap tawaqquf (menangguhkan hukum) mengenainya.

Adakalanya seorang ahli hadis yang menilai ‘illah pada hadis tidak mampu untuk mengemukakan hujah bagi dakwaannya itu sepertimana seorang pengurup wang dalam menilai keaslian dinar dan dirham.

Cara Mengetahui ‘Illah

Cara untuk mengetahuinya ialah dengan:

1 - Mengumpulkan jalan-jalan periwayatan hadis.

2 - Meneliti perbezaan para perawinya serta ketepatan (dhabt) dan ketelitian (itqan) mereka.

Bentuk-Bentuk 'Illah:

Al-Hakim an-Naisaburi telah membahagikan jenis-jenis 'illah kepada sepuluh bahagian, lalu al-Hafiz as-Suyuti meringkaskannya di dalam Tadrib ar-Rawi, ringkasannya adalah seperti berikut:

Pertama: Sanadnya pada zahirnya adalah sahih, dan di dalamnya terdapat perawi yang tidak diketahui mendengar hadis daripada orang yang diriwayatkannya.

Seperti hadis Musa bin 'Uqbah, daripada Suhail bin Abi Salih, daripada bapanya, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

“Sesiapa yang duduk dalam sesuatu majlis lalu banyak laghanya di dalamnya, kemudian dia berkata sebelum dia bangun: Maha Suci Engkau, ya Allah, dan dengan pujian-Mu, tiada tuhan melainkan Engkau, aku memohon ampun kepada-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu, nescaya akan diampunkan baginya apa yang telah berlaku di dalam majlisnya itu.”

Maka diriwayatkan bahawa Muslim telah datang kepada al-Bukhari, dan bertanya kepadanya tentang hadis itu, lalu beliau berkata:

“Ini adalah hadis yang malih (baik), tetapi ia ma'lul (mempunyai 'illah). Telah menceritakan kepada kami mengenainya Musa bin Isma'il, (dia berkata) telah menceritakan kepada kami Wuhaib, (dia berkata) telah menceritakan kepada kami Suhail, daripada 'Aun bin 'Abdillah sebagai perkataannya. (Riwayat) ini adalah lebih utama kerana tidak pernah disebutkan bahawa Musa bin 'Uqbah pernah mendengar hadis daripada Suhail.”

Kedua: Hadis itu adalah mursal (terputus sanad) dari satu sanad yang diriwayatkan oleh para perawi yang thiqah lagi pakar hadis (huffaz), dan diriwayatkan secara musnad (bersambung sanad) dari jalan yang lain yang zahirnya adalah sahih.

Seperti hadis Qabisah bin 'Uqbah, daripada Sufyan, daripada Khalid al-Hazza' dan 'Asim, daripada Abu Qilabah, daripada Anas secara marfu':

“Orang yang paling pengasih dalam umatku ialah Abu Bakar, dan yang paling tegas dalam agama Allah ialah 'Umar....”

Al-Hakim berkata: “Maka kalaulah sanadnya sahih, nescaya ia akan diriwayatkan di dalam kitab al-Sahih (Sahih al-Bukhari atau Muslim). Sesungguhnya Khalid al-Hazza' hanya meriwayatkan daripada Abu Qilabah secara mursal.

Ketiga: Hadis itu mahfuz (diriwayatkan secara tepat) sebagai riwayat daripada seorang sahabat, dan ia diriwayatkan daripada sahabat yang lain kerana perbezaan negeri para perawinya. Seperti riwayat para perawi Madinah daripada para perawi Kufah.

Seperti hadis Musa bin 'Uqbah (perawi Madinah) daripada Abu Ishaq (perawi Kufah), daripada Abu Burdah daripada bapanya (Abu Musa al-Asy’ari), secara marfu': “Sesungguhnya aku benar-benar memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari sebanyak seratus kali.”

Al-Hakim berkata: “Ini adalah sanad yang tidak akan dilihat oleh seorang ahli hadis melainkan dia akan menyangka bahawa ia memenuhi syarat sahih. Para perawi Madinah apabila mereka meriwayatkan daripada para perawi Kufah, mereka tergelincir (melakukan kesilapan). Sesungguhnya hadis ini mahfuz sebagai riwayat Abu Burdah daripada al-Agharr al-Muzani.

Syeikh Dr Nuruddin ‘Itr berkata: “Maka kesilapan itu berlaku kerana ingatan perawi beralih daripada al-Agharr al-Muzani kepada Abu Musa al-Asy'ari, kerana dia, iaitu Musa bin 'Uqbah, tidak menguasai hadis Abu Ishaq. Maka apabila dia sampai kepada Abu Burdah, dia berkata: 'daripada Abu Musa', kerana banyaknya riwayat Abu Burdah daripada bapanya, iaitu Abu Musa.”

Keempat: Hadis itu mahfuz daripada seorang sahabat, lalu ia diriwayatkan daripada seorang tabi'i, dan berlakulah wahm (kesilapan) dengan menyatakan dia mendengar hadis secara langsung (tasrih) dalam bentuk yang menunjukkan kesahihannya, bahkan ia tidak pun dikenali datang daripada riwayatnya (tabi’i tersebut).

Seperti hadis Zuhair bin Muhammad daripada 'Uthman bin Sulaiman, daripada bapanya, bahawa dia mendengar Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam membaca surah at-Tur dalam solat Maghrib.

Al-Hakim berkata: “Al-'Askari dan selainnya telah meriwayatkan hadis ini dalam kategori al-Wuhdan (perawi yang tidak diriwayatkan daripadanya melainkan seorang murid sahaja), dan ia adalah ma'lul. Bapa kepada 'Uthman tidak pernah mendengar hadis daripada Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam, dan tidak pernah melihat baginda. 'Uthman sebenarnya meriwayatkannya daripada Nafi' bin Jubair bin Mut'im daripada bapanya, dan sebenarnya dia ialah 'Uthman bin Abi Sulaiman.”

Kelima: Hadis itu diriwayatkan dengan lafaz 'an'anah (daripada), dan telah gugur seorang perawi daripadanya, yang mana hal itu ditunjukkan oleh jalan periwayatan lain yang mahfuz.

Seperti hadis Yunus daripada Ibnu Syihab al-Zuhri, daripada 'Ali bin al-Husain, daripada seorang lelaki dari kalangan Ansar: “Mereka pernah bersama Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam pada suatu malam, lalu sebuah bintang jatuh, maka suasana menjadi terang-benderang disebabkannya...”

Al-Hakim berkata: “'Illahnya ialah: Yunus, walaupun mempunyai kedudukan yang tinggi, telah melakukan kesilapan. Sesungguhnya ia adalah daripada Ibnu 'Abbas, (yang berkata) telah menceritakan kepadaku beberapa orang lelaki. Begitulah ia diriwayatkan oleh Ibnu 'Uyainah, Syu'aib, Salih al-Auza'i dan selain mereka daripada az-Zuhri.

Syeikh Dr Nuruddin ‘Itr berkata: “Maka 'illah di sini adalah pada riwayat Ibnu Wahb daripada Yunus, iaitu beliau meriwayatkan hadis tersebut daripada 'Ali bin al-Husain daripada beberapa orang lelaki dari kalangan Ansar dan tidak menyebutkan Ibnu 'Abbas, manakala riwayat yang betul ialah daripada 'Ali bin al-Husain daripada Ibnu 'Abbas yang berkata: telah menceritakan kepadaku beberapa orang lelaki dari kalangan Ansar.”

Keenam: Berlaku perbezaan riwayat daripada seorang perawi, yang diriwayatkan dengan sanad (yang bersambung) dan selainnya. Yang mahfuz daripadanya adalah yang berlawanan dengan sanad (yang bersambung) itu (iaitu terputus sanad).

Seperti hadis 'Ali bin al-Husain bin Waqid, daripada bapanya, daripada 'Abdullah bin Buraidah, daripada bapanya, daripada 'Umar bin al-Khattab, beliau berkata: Aku berkata, wahai Rasulullah: Mengapakah engkau orang yang paling fasih di antara kami...?”

Al-Hakim berkata: “'Illahnya ialah apa yang telah diriwayatkan secara bersanad daripada 'Ali bin Khasyram, (beliau berkata) telah menceritakan kepada kami 'Ali bin al-Husain bin Waqid, (katanya) telah sampai kepadaku bahawa 'Umar..., lalu beliau menyebutkannya.”

Ketujuh: Perbezaan pada seorang perawi dalam menamakan gurunya atau menyamarkannya.

Seperti hadis az-Zuhri, daripada Sufyan ats-Tsauri, daripada Hajjaj bin Furafisah, daripada Yahya bin Abi Kathir, daripada Abu Salamah, daripada Abu Hurairah, secara marfu': “Orang mukmin itu bersifat naif lagi mulia, dan orang jahat itu bersifat licik lagi tercela.”

Al-Hakim berkata: “'Illahnya ialah apa yang telah diriwayatkan secara bersanad daripada Muhammad bin Kathir, (katanya) telah menceritakan kepada kami Sufyan, daripada Hajjaj, daripada seorang lelaki, daripada Abu Salamah..., lalu beliau menyebutkannya.”

Kelapan: Seorang perawi meriwayatkan daripada seseorang yang pernah ditemuinya dan pernah mendengar (hadis) daripadanya, akan tetapi, dia tidak mendengar hadis-hadis tertentu daripadanya. Maka, apabila dia meriwayatkannya daripada orang itu tanpa perantara, ‘illahnya adalah dia tidak mendengar hadis tersebut daripadanya.

Contohnya seperti hadis Yahya bin Abi Kathir daripada Anas, bahawa Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam apabila berbuka puasa di rumah suatu keluarga, Baginda bersabda: “Telah berbuka puasa di sisimu orang-orang yang berpuasa…”

Al-Hakim berkata: “Yahya pernah bertemu Anas, dan telah jelas dari jalur yang lain bahawa dia tidak mendengar hadis ini daripadanya. Kemudian, diriwayatkan dengan sanad daripada Yahya, dia berkata: "Aku telah diceritakan (oleh seseorang) daripada Anas," lalu dia menyebutkan hadis tersebut.

Kesembilan: Jalur periwayatan suatu hadis adalah masyhur. Kemudian, salah seorang perawinya meriwayatkan suatu hadis melalui jalur yang lain, maka orang yang meriwayatkannya melalui jalur yang masyhur itu — berdasarkan kebiasaan — telah melakukan kesilapan.

Contohnya seperti hadis al-Munzir bin Abdullah al-Hizami daripada Abdul Aziz bin al-Majishun, daripada Abdullah bin Dinar, daripada Ibnu Umar: “Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam apabila memulakan solat, Baginda membaca: Subhanakallahumma…”  

Al-Hakim berkata: “Dalam hal ini, al-Munzir telah mengambil jalur yang biasa (masyhur), padahal sebenarnya ia adalah daripada hadis Abdul Aziz, (yang meriwayatkan) daripada Abdullah bin al-Fadhl, daripada al-A’raj, daripada Abdullah bin Abi Rafi’, daripada Ali.”

Kesepuluh: Suatu hadis diriwayatkan secara marfu’ melalui satu jalur, dan secara mauquf melalui jalur yang lain.

Contohnya seperti hadis Abu Farwah Yazid bin Muhammad, (dia berkata) ayahku telah menceritakan kepadaku daripada ayahnya, daripada al-A’mash, daripada Abu Sufyan, daripada Jabir, secara marfu’: “Sesiapa yang ketawa dalam solatnya, dia hendaklah mengulangi solat, tetapi tidak perlu mengulangi wuduk.”

Al-Hakim berkata: “’Illahnya ialah apa yang diriwayatkan oleh Waki’ dengan sanadnya daripada al-A’mash daripada Abu Sufyan, dia berkata: Jabir telah ditanya… lalu dia menyebutkannya.”

Rujukan:

- Lamahat Mujazah Fi Usul 'Ilal al-Hadith oleh Dr Nuruddin 'Itr.

- Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri. 

Baca juga: 

Istilah Ilmu Hadis 23: Ilmu ‘Ilal al-Hadith (عِلْمُ عِلَلِ الحَدِيثِ)


Perawi Thiqah

Thiqah ialah seorang perawi yang ‘adil lagi dhabit.

Faedah Mengetahuinya:

Mengetahui perawi thiqah merupakan satu ilmu yang penting dan di antara ilmu hadis yang paling agung kerana melaluinya sesebuah hadis yang sahih dapat dibezakan daripada yang daif.

Maka, mengetahui keadaan para perawi dari sudut ketepatan hafalan (dhabt) dan integriti ('adalah) mereka adalah asas dalam memastikan kesahihan hadis-hadis yang disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, yang mana ia tidak sampai kepada kita melainkan melalui mereka.

Syarat-syarat terpenting yang perlu ada pada seorang perawi:

Antara syarat terpenting bagi seorang perawi ialah dia mestilah seorang yang 'adil lagi dhabit.

1 - Al-'Adalah (Integriti):

Satu sifat yang memastikan agar seorang perawi itu dapat dipercayai dalam urusan agamanya.

Untuk merealisasikan sifat 'adalah ini, seorang perawi itu mestilah seorang:

i) Muslim.

ii) Baligh.

iii) Berakal.

iv) Selamat daripada sebab-sebab yang menyebabkan dia jadi fasik.

v) Selamat daripada perkara-perkara yang mencemarkan maruahnya (khawarim al-muru'ah).

Al-Muru'ah (maruah) ialah adab-adab di jiwa yang mendorong pemiliknya untuk menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji dan meninggalkan sifat-sifat tercela.

Justeru, tidak diterima riwayat seorang kafir, kanak-kanak yang belum mumayyiz, orang gila, orang fasik, dan sesiapa yang melakukan perbuatan hina yang mencemarkan maruahnya, seperti kencing di jalanan awam dan seumpamanya.

2 - Al-Dhabt (Ketepatan):

Iaitu seorang perawi itu dapat dipercayai pada periwayatannya, seorang yang menghafal lagi teliti (mutqin) terhadap hadis yang diriwayatkannya jika dia meriwayatkannya daripada hafalannya.

Dia hendaklah seorang yang alim tentang makna-makna dan pengertian lafaz hadis jika dia ingin meriwayatkan secara makna, sehingga dia mampu menyampaikannya secara lafaznya atau maknanya pada bila-bila masa yang dia kehendaki dan ini dinamakan dhabt sadr (ketepatan hafalan).

Adapun jika dia meriwayatkan daripada kitabnya, maka dia mestilah menjaga kitabnya daripada sebarang tangan yang melakukan pengubahan (tahrif) atau kesalahan tulisan (tashif), dan dia mampu menunjukkannya pada bila-bila masa yang dikehendaki, dan ini dinamakan dhabt kitab (ketepatan tulisan/kitab).

Bagaimanakah Sifat 'Adalah Diketahui?

1 - Ia dinyatakan oleh salah seorang ulama al-Jarh wa al-Ta'dil.

2 - Tersebar luas dan sudah masyhur.

Maka sesiapa yang  sifat 'adalahnya sudah masyhur di kalangan ahli ilmu dan tersebar pujian terhadapnya, maka dia ialah seorang yang berintegriti, seperti Imam Mazhab yang Empat dan Sufyanain (Sufyan al-Thawri dan Sufyan ibn Uyaynah).

Bagaimanakah Dhabt Seseorang Perawi Diketahui?

Dhabt seorang perawi dapat diketahui sekiranya riwayatnya selari dengan para perawi thiqah dan teliti yang lain. Ini adalah berdasarkan kebiasaan perawi tersebut. Percanggahan yang jarang berlaku tidak memudaratkannya, kerana ia termasuk dalam kategori kesalahan yang jarang-jarang berlaku.

Adapun percanggahan yang banyak dan kerap berlaku, maka ia termasuk dalam kategori nakarah (kesalahan teruk), atau taghfil (kelalaian), atau fuhsy al-ghalat (kesalahan yang keterlaluan), dan kesemuanya ini mencacatkan sifat dhabt perawi tersebut.

Apabila sifat 'adalah dan dhabt terdapat pada seorang perawi, dia akan disifatkan sebagai thiqah. Maka lafaz thiqah sudah mencukupi dan tidak perlu lagi kita berkata: "'Adil lagi dhabit."

Sumber:

Bulugh al-Amal Min Mustholah al-Hadith Wa al-Rijal oleh Prof Dr Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar

Jumaat, 14 Jun 2019

Istilah Ilmu Hadith 38: Penjagaan, Pemeliharaan (الضَّبْطُ)

Seorang perawi mendengar akan hadis-hadis daripada syeikhnya dengan penuh kesedaran dan tidak lalai, di mana beliau dapat menghafalnya jika ia menyampaikannya semula melalui hafalannya dan dapat menghadirkannya pada bila-bila masa, dan bersifat teliti jika beliau menyampaikannya melalui kitabnya, di samping berpengetahuan dengan maknanya, jika beliau hendak meriwayatkan hadis tanpa lafaznya yang sebenar (yakni melalui makna sahaja).

Jenis-jenis al-Dabt:

Pertama: Penjagaan Hafalan (ضَبْطُ الصَّدْرِ):

Iaitu hafalan seorang perawi yang mampu memastikan apa-apa yang didengarinya daripada syeikh, mengingatinya dan menyampaikannya ketika diperlukan. 

Dengan kata lain: Seorang perawi yang hatinya dalam keadaan penuh kepastian, akalnya hadir, cerdas serta tidak lalai, tidak seumpama orang yang tidak mampu membezakan antara kebenaran dan kesalahan, seperti orang yang tidur atau tidak bersungguh-sungguh.

Kedua: Penjagaan Kitab (ضَبْطُ الكِتَابُ):

Iaitu seorang perawi yang menjaga dan memelihara kitabnya daripada sebarang perubahan atau penyelewengan, dan mempertahan kitab tersebut sejak dari beliau mendengarnya serta membetulkan kesalahan yang ada sehinggalah beliau menyampaikan hadis daripada kitabnya itu.

Dengan kata lain: Seorang perawi yang memelihara kitabnya yang ditulis dengan riwayat-riwayat hadis dan dijaga daripada sebarang bentuk kesalahan sejak dari beliau mendengarnya (daripada syeikh) dan menulisnya sehinggalah beliau menyampaikannya semula. 

Beliau turut menghalang daripada segala bentuk perubahan isi kandungannya, terutama jika beliau hanya bergantung kepadanya ketika menyampaikan hadis, sama ada dari segi penambahan, pengurangan atau penukaran. 

Di samping merujuk semula pada perkara yang boleh jadi ia menyalahinya pada matan hadis atau pada sanadnya dari segi lafaz atau nama. Dan beliau juga tidak terus menerima sebarang bentuk talqin (periwayatan asing). 

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 325]

Sifat ‘Adil Perawi ('Adalah)

Definisi 'Adalah

Satu kemampuan (malakah) yang mendorong pemiliknya ke arah takwa, dan menjauhi segala kenistaan dan perkara yang mencacatkan maruah (muru'ah) di sisi manusia.

Syarat-Syarat 'Adalah

Disyaratkan padanya perkara-perkara berikut:

1 - Islam:

Berdasarkan firman-Nya Ta'ala:

مِمَّنْ تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ

"...daripada saksi-saksi yang kamu redai."

Orang bukan Islam bukanlah daripada golongan yang diredai secara pasti.

2 - Baligh:

Ini kerana ia adalah asas untuk seseorang itu menanggung tanggungjawab, komited dalam melaksanakan kewajipan dan meninggalkan larangan.

3 - Berakal:

'Berakal' ini diperlukan untuk terhasilnya kebenaran dan ketepatan pada kata-kata seseorang itu.

4 - Taqwa:

Iaitu menjauhi dosa-dosa besar dan meninggalkan perbuatan berterusan melakukan dosa-dosa kecil.

Adapun dosa-dosa besar, maka melakukannya adalah kefasikan secara pasti, dan begitu juga berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Ini kerana perbuatan berterusan itu akan menjadikannya besar sepertimana kata para ulama: "Tiada dosa kecil jika dilakukan secara berterusan."

Dalil disyaratkan takwa ialah firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti."

Firman Allah Ta'ala:

وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِنْكُمْ

"...dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu..."

Firman Allah Ta’ala:

مِمَّنْ تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ

"...daripada saksi-saksi yang kamu redai."

Ayat-ayat ini, walaupun ia berkaitan dengan urusan harta benda dan seumpamanya, namun urusan periwayatan hadis adalah agama sepertimana kata Ibn Sirin:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَهُ

"Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kamu mengambilnya."

Maka urusan periwayatan hadis lebih layak untuk disyaratkan dengan syarat-syarat ini daripada urusan harta benda.

5 - Bersifat dengan maruah (muru'ah) dan meninggalkan apa yang mencacatkannya.

Iaitu setiap perkara yang dapat merendahkan martabat seseorang dalam uruf sosial yang sihat, seperti membuang air kecil di jalanan, dan banyak bersenda gurau serta tidak cakna. 

Ini kerana sesiapa yang melakukan perkara tersebut adalah seorang yang mempunyai sikap kurang ambil peduli, maka kita tidak akan merasa tenteram kerana dia mungkin akan bersikap sambil lewa dalam meriwayatkan Hadis Nabawi.

Cara Membuktikan 'Adalah Seorang Perawi

Sifat-sifat ini, apabila terdapat pada seorang perawi, maka diketahui ‘adalah-nya dan dia adalah seorang yang benar. Ini kerana ia apabila terkumpul pada seorang perawi, ia akan mendorong pemiliknya ke arah kebenaran dan menjauhkannya daripada kedustaan, disebabkan dorongan-dorongan agama, sosial dan psikologi yang ada padanya berserta kesedaran yang penuh terhadap tindak-tanduknya dan penanggungan tanggungjawab .

Ibn al-Salah berkata: "‘Adalah seorang perawi itu terbukti adakalanya dengan penegasan secara jelas  oleh para mu'addilin (ulama penilai) mengenai ‘adalah-nya, dan adakalanya ia terbukti melalui kemasyhuran.

Maka sesiapa yang masyhur ‘adalah-nya di kalangan ahli naql (ulama hadis) atau seumpama mereka, dan tersebar luas pujian ke atasnya dengan (sifat) thiqah dan amanah, maka dengan itu tidak lagi diperlukan baginya bukti yang menyaksikan ‘adalah-nya secara jelas. Inilah pendapat yang sahih dalam mazhab al-Syafi'i, dan inilah yang menjadi sandaran dalam bidang Usul al-Fiqh."

Antara mereka yang masyhur ‘adalah-nya ialah: dua Sufyan (al-Thauri dan Ibnu ‘Uyainah), al-Awza'i, al-Syafi'i, Ahmad, al-Layth, Shu'bah, Ibn al-Mubarak, Waki', Ibn Ma'in, Ibn al-Madini, dan sesiapa yang mengikuti jejak langkah mereka dalam kemasyhuran nama dan keelokan peribadinya. Maka tidak perlu ditanya tentang ‘adalah mereka. Hanyasanya yang ditanya ialah tentang ‘adalah orang yang tersembunyi keadaannya.

Ibn Hanbal pernah ditanya mengenai Ishaq bin Rahawaih, lalu beliau berkata: “Orang seperti Ishaq pun perlu ditanya mengenainya?”

Ibn Ma'in pernah ditanya mengenai Abu 'Ubaid, lalu beliau berkata: “Orang sepertiku ditanya mengenai Abu 'Ubayd? Abu 'Ubaid yang sepatutnya ditanya mengenai orang lain.”

Pembuktian Melalui Kemasukan dalam Kitab Sahih

‘Adalah juga dibuktikan melalui riwayat yang dikeluarkan oleh sesiapa yang komited untuk hanya memasukkan hadis sahih di dalam kitabnya seperti al-Syaikhain (al-Bukhari dan Muslim) dan selain mereka.

Maka jika para perawi tersebut adalah daripada kalangan perawi al-Syaikhain, mereka dianggap ‘adil sehinggalah terbukti pada salah seorang daripada mereka terdapat kritikan, maka barulah diteliti keadaannya.

Cukuplah bagi seorang pengkaji untuk berkata: “Fulan adalah daripada kalangan perawi al-Syaikhain atau salah seorang daripada mereka.” Ini kerana umat Islam telah menerima kedua-dua kitab mereka dengan penerimaan penuh, walaupun mereka berbeza pendapat sama ada ia memberikan kesahihan yang pasti bagi setiap hadisnya, namun sekurang-kurangnya ia menghasilkan zann (sangkaan kuat).

Perselisihan Ulama: Adakah Riwayat Seorang Thiqah Dianggap Ta'dil (Penilaian 'Adil)?

‘Adalah juga terbukti di sisi sebahagian ulama lain melalui periwayatan sesiapa yang mensyaratkan untuk tidak meriwayatkan melainkan daripada perawi thiqah sahaja seperti yang dilakukan oleh Malik dan selain beliau. Dalam perkara ini terdapat perselisihan pendapat dan para ulama mempunyai beberapa pandangan mengenainya:

Pandangan Pertama: Periwayatan Tidak Dikira Sebagai Ta'dil

Jika seorang perawi yang ‘adil meriwayatkan daripada seorang perawi yang disebut namanya, ia tidak dikira sebagai ta'dil (penilaian ‘adil) di sisi majoriti ahli hadis. Ini kerana harus seorang perawi yang ‘adil untuk meriwayatkan daripada perawi yang tidak ‘adil.

Perbuatan tersebut dilakukan untuk tujuan mendedahkan keadaan perawi yang diriwayatkan daripadanya itu atau tujuan selain itu.

Telah diriwayatkan daripada al-Sha'bi bahawa beliau berkata:

حَدَّثَنَا الْحَارِثُ، وَأَشْهَدُ بِاللَّهِ أَنَّهُ كَذَّابٌ

"Al-Harith telah menceritakan kepada kami, dan aku bersaksi dengan nama Allah bahawa sesungguhnya dia seorang pendusta."

Al-Hakim dan selain beliau telah meriwayatkan daripada Ahmad bin Hanbal bahawa beliau melihat Yahya bin Ma'in sedang menulis sahifah (koleksi hadis) Ma'mar daripada Aban, daripada Anas. Apabila seseorang melihatnya, dia akan menyembunyikannya. Lalu Ahmad berkata kepadanya: “Engkau menulis sahifah Ma'mar daripada Aban, daripada Anas, sedangkan engkau tahu bahawa ia adalah palsu. Kalaulah ada orang berkata kepadamu: “Engkau mengkritik Aban namun engkau menulis hadisnya?”

Lalu Yahya bin Ma’in menjawab: “Wahai Abu 'Abdillah! Aku menulis sahifah ini lalu aku menghafal kesemuanya, dan aku tahu bahawa ia adalah palsu. Ini supaya tidak datang seseorang lalu dia menukar nama Aban dengan Thabit, dan meriwayatkannya daripada Ma'mar, daripada Thabit, daripada Anas. Maka aku akan berkata kepadanya: Engkau telah berdusta, sesungguhnya ia adalah daripada Ma'mar, daripada Aban, daripada Anas.”

Imam al-Zuhri meriwayatkan dua buah hadis daripada 'Umarah bin Ukaimah al-Laythi, salah satunya mengenai bacaan di belakang imam, dan ia masyhur, manakala yang satu lagi mengenai al-Maghazi (peperangan Nabi).

Ibn Sa'ad berkata mengenai ‘Umarah: "Beliau meninggal dunia pada tahun 101 H, dan beliau berusia 79 tahun. Al-Zuhri meriwayatkan daripadanya sebuah hadis sahaja".

Sebahagian daripada para ulama tidak menjadikan hadisnya sebagai hujah dan berkata: “Dia adalah majhul (tidak dikenali).” Demikian jugalah yang dikatakan oleh al-Humaidi dan juga al-Baihaqi.

Al-Baihaqi telah membuat tajuk bab di dalam kitab al-Madkhal mengenai isu ini: “Kita tidak boleh menjadikan pengetahuan mengenai kejujuran perawi yang meriwayatkan kepada kita sebagai dalil ke atas kejujuran perawi yang berada di atasnya (dalam sanad).”

Ibn Rajab berkata: “Sesungguhnya periwayatan seorang yang thiqah daripada seorang perawi tidak menunjukkan tawthiq (penilaian thiqah) ke atasnya. Ini kerana ramai daripada kalangan perawi thiqah seperti Sufyan al-Thawri, Shu'bah dan selain mereka berdua telah meriwayatkan daripada perawi-perawi daif. Shu'bah pernah berkata: “Kalaulah aku tidak menyampaikan hadis kepada kalian melainkan melalui perawi thiqah sahaja, nescaya aku tidak akan menyampaikan hadis kepada kalian melainkan daripada sebilangan kecil perawi sahaja.” Yahya al-Qattan berkata: “Kalaulah aku tidak meriwayatkan hadis melainkan melalui orang yang aku suka, nescaya aku tidak akan meriwayatkan hadis melainkan melalui lima orang atau seumpamanya.”

Al-'Uqayli menyebutkan dengan sanadnya daripada al-Thawri, beliau berkata: “Aku meriwayatkan hadis atas tiga keadaan: Aku mendengar hadis daripada seorang perawi lalu aku menjadikannya sebagai agama (pegangan). Aku mendengar hadis daripada seorang perawi lalu aku menangguhkan (penerimaan) hadisnya. Aku mendengar hadis daripada seorang perawi yang mana aku tidak mempedulikan hadisnya, namun aku suka untuk mengetahuinya.”

Al-Saji berkata: “Shu'bah meriwayatkan sebuah hadis daripada al-Sharqi bin al-Qutami daripada 'Umar bin al-Khattab dan Shu’bah berkata: "Keldai dan selendangku menjadi sedekah jika al-Sharqi tidak berdusta ke atas 'Umar."

Pandangan Kedua: Periwayatan Dikira Sebagai Ta'dil

Periwayatan seorang yang ‘adil daripada seseorang yang disebut namanya adalah satu bentuk ta'dil (penilaian ‘adil). Ini kerana jika dia mengetahui pada perawi tersebut ada sebarang kritikan, nescaya dia akan menyebutkannya, dan jika dia tidak menyebutkannya, maka dia telah menipu dalam urusan agama.

Inilah pendapat yang dipegang oleh ulama Hanafiah, dan daripada Ahmad terdapat dua pandangan, manakala di sisi mazhab al-Syafi'i terdapat perselisihan dalam perkara tersebut, dan sebahagian daripada mereka menghadkannya kepada tiga kurun (pertama Islam) sahaja.

Jawapan bagi hujah ini ialah: seorang perawi itu adakalanya tidak mengetahui keadaan perawi yang dia riwayatkan daripadanya dari sudut sifat ‘adil-nya dan kritikannya, dan dia hanya berpegang pada kaedah yang terkenal: "Sesiapa yang menyandarkan (hadis dengan sanad) maka dia telah menyerahkan (urusan penilaiannya kepada orang lain)."

Contoh yang paling jelas bagi perkara ini ialah apa yang dilakukan oleh Abu Nu'aim di dalam kitabnya, al-Hilyah. Beliau adalah daripada kalangan ulama yang thiqah lagi dabit (cermat), dan beliau seorang yang banyak hadisnya dan luas periwayatannya. Akan tetapi, beliau telah meriwayatkan banyak hadis-hadis daif bahkan palsu dengan kesepakatan ulama hadis di dalam kitabnya atas dasar bahawa beliau telah menyandarkannya (dengan sanad).”

Pandangan Ketiga: Ta'dil Hanya Berlaku Bagi Perawi yang Mensyaratkan Thiqah

Jika seorang perawi mensyaratkan ke atas dirinya bahawa dia tidak akan meriwayatkan melainkan daripada perawi thiqah, maka periwayatannya adalah ta'dil (penilaian ‘adil) bagi perawi yang dia riwayatkan daripadanya, dan jika dia tidak mensyaratkan sedemikian, maka tidak dianggap ta'dil. Contohnya seperti Malik bin Anas.

Bishr bin 'Umar al-Zahrani berkata: “Aku bertanya kepada Malik bin Anas mengenai seorang perawi, lalu beliau berkata: “Adakah engkau melihatnya di dalam kitab-kitabku?” Aku menjawab: “Tidak.” Beliau berkata: “Kalaulah dia seorang thiqah, nescaya engkau akan melihatnya di dalam kitab-kitabku.”

Ibn Hani' berkata: “Malik tidak meriwayatkan daripada sesiapa pun melainkan dia seorang thiqah, dan setiap orang yang Malik meriwayatkan daripadanya maka dia adalah thiqah.”

Al-Maymuni berkata: “Aku mendengar Ahmad berkata lebih daripada sekali: “Malik adalah antara manusia yang paling mantap, dan engkau tidak perlu risau untuk bertanya mengenai seorang lelaki yang Malik meriwayatkan daripadanya, terutamanya jika dia seorang penduduk Madinah.”

Ahmad berkata: “Yahya bin Ma'in berkata kepadaku: “Kita tidak perlu bertanya mengenai para perawi Malik, kerana sesungguhnya setiap orang yang beliau meriwayatkan daripadanya adalah thiqah, melainkan seorang atau dua orang perawi.”

Para ulama berasa segan untuk mengkritik Dawud bin al-Husain al-Madani disebabkan periwayatan Malik daripadanya. Maka Ibn Ma'in, Ibn Sa'd, al-'Ijli, Ibn Ishaq, Ahmad bin Salih al-Misri, dan al-Nasa'i telah menilainya sebagai thiqah. Oleh sebab itu, Imam al-Bukhari telah meriwayatkan daripadanya di dalam Sahihnya.

Abu Hatim berkata: “Dia tidak kuat, kalaulah bukan kerana riwayat Malik daripadanya, nescaya hadisnya akan ditinggalkan.”

Al-Juzajani berkata: “Ahli hadis tidak memuji hadisnya.”

Al-Saji berkata: “Munkar al-hadith (hadisnya ditolak), dituduh dengan pandangan Khawarij.”

Al-Zahabi mempunyai pandangan yang bernas dalam hal ini, beliau berkata: “Tidak semestinya daripada apa yang beliau (Imam Malik) katakan bahawa setiap orang yang beliau meriwayatkan daripadanya - dan perawi itu thiqah di sisinya - akan menjadi thiqah di sisi kita. Ini kerana mungkin telah tersembunyi kepadanya keadaan gurunya itu yang mana ia jelas bagi orang lain. Akan tetapi, dalam apa jua keadaan, beliau adalah seorang yang sangat teliti dalam menilai para perawi.”

Malik telah meriwayatkan daripada 'Asim bin 'Ubaidullah, 'Umar bin Abi 'Umar, Sharik bin 'Abdillah bin Abi Namr, dan 'Abd al-Karim bin Abi al-Makhariq. Kesemua mereka adalah daif. Begitu juga al-Bukhari telah mengkritik 'Ata' al-Khurasani (guru Malik) kerana buruk hafalannya.

Maka kata-kata Ibn Ma'in bahawa ia adalah pada kebiasaannya sahaja, dan dipegang pandangan al-Zahabi bahawa keadaan guru-guru Malik telah tersembunyi kepadanya dan jelas bagi orang lain.

Al-Qadi Isma'il al-Maliki (meninggal dunia pada tahun 282 H) mempunyai penjelasan yang lain, iaitu: Penilaian Malik mengenai guru-gurunya diterima pakai bagi mereka yang berasal dari Madinah. Adapun orang-orang luar, maka tidak, seperti 'Abd al-Karim bin Abi al-Makhariq dan selainnya. Ini kerana mereka adalah daripada kalangan orang luar.

Imam-Imam yang Mensyaratkan Periwayatan Daripada Perawi Thiqah Sahaja

Imam-imam yang mensyaratkan untuk tidak meriwayatkan hadis melainkan daripada para perawi thiqah ialah: Ahmad bin Hanbal, Baqi bin Makhlad, Hariz bin 'Uthman, Sulaiman bin Harb, Shu'bah, al-Sha'bi, 'Abd al-Rahman bin Mahdi, Yahya bin Sa'id al-Qattan, Sa'id bin al-Musayyab, Ibrahim al-Nakha'i, Yahya bin Ma'in, Yahya bin Abi Kathir, Sufyan bin 'Uyainah, al-Syafi'i, Ibn Abi Zi'b, al-Nasa'i, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr, Muhammad bin Juhadah al-Awdi, Abu al-Huzail, 'Ali bin al-Madini, Abu Zur'ah, Abu Bakr bin Muhammad bin Ishaq al-Saghani dan selain mereka.

Akan tetapi, hukum ini bukanlah mutlak, bahkan ia hanya berlaku pada kebanyakan riwayat-riwayat mereka. Ini kerana tiada seorang pun daripada mereka melainkan turut juga mempunyai guru-guru yang daif.

Al-Hakim telah membuat satu bab di dalam al-Madkhal fi Usul al-Hadith dengan tajuk: “Periwayatan Sebahagian Imam daripada Sebahagian Perawi yang Dikritik daripada Kalangan Ahli Hadis”, dan beliau menyebutkan di dalamnya: Malik, al-Syafi'i, Abu Hanifah, Abu Yusuf, Muhammad bin al-Hasan al-Shaibani, dan selain mereka, dan beliau menyebutkan contoh-contoh bagi setiap seorang daripada mereka.

Isu Berkaitan Ta'dil Mubham (Penilaian 'Adil kepada Perawi yang Samar)

Ibn al-Salah berkata: “Al-Khatib al-Hafiz menyebutkan bahawa seorang alim jika dia berkata: “Setiap orang yang aku riwayatkan daripadanya maka dia adalah thiqah walaupun aku tidak menyebut namanya”, kemudian dia meriwayatkan daripada seseorang yang tidak disebut namanya, maka orang alim itu menjadi salah seorang yang memberi penilaian ‘adil bagi perawi itu, akan tetapi penilaian ‘adil-nya ini tidak diterima.”

Begitu juga sesiapa yang berkata: “Seorang yang thiqah (dipercayai) telah menceritakan kepadaku”, tanpa menyebut namanya, maka pendapat yang sahih ialah ia tidak dihiraukan, sepertimana yang disebutkan oleh al-Khatib dan al-Sayrafi al-Faqih dan selain mereka berdua, berbeza dengan pendapat sesiapa yang menganggapnya sudah mencukupi. 

Sumber: 

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi - Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri 

Khamis, 13 Jun 2019

Kisah Palsu: Usman Terlupa Membayar Zakat Fitrah

Teks Kisah:

Pada zaman Rasulullah SAW, pernah seorang sahabat baginda, Usman R.A terlupa membayar zakat fitrah hingga selesai solat Aidilfitri.

Apabila teringat, beliau segera pulang dan mengambil seekor unta yang paling bagus miliknya lalu dijualnya, kemudian wang hasil penjualan unta tersebut beliau guna untuk memerdekakan seorang budak.

 Setelah itu, beliau menghadap Rasulullah SAW dan berkata:

“Ya, Rasulullah, bahwasannya saya telah lupa membayar zakat fitrah, namun saya telah menjual seekor unta yang paling bagus dan saya gunakan untuk memerdekakan seorang budak. Apakah itu setara nilainya dengan zakat fitrah yang saya terlupa membayar itu?”

 Di hadapan para sahabat, Rasulullah SAW kemudian menjawab:

“Sangat merugikan bagi sesiapa pun yang tidak membayar zakat fitrah, kerana pahala zakat fitrah itu sangatlah tidak terhingga.

Jangankan memerdekakan seorang budak, memerdekakan 100 orang budak pun tak akan dapat menyamai pahala zakat fitrah.”


 Ulasan:

Kisah ini disebutkan oleh al-Khubawi dalam kitab Durrah al-Nasihin (hlm. 278, c: Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyyah). 

Kata Dr Ahmad Lutfi Fadlullah dalam kitab Nilai Hadis Dalam Durrah al-Nasihin (hlm. 219):

"Hadis ini belum dapat dikesan perawinya. Al-Khubawi menukilkannya daripada kitab Zubdah al-Wa'izin...Hadis ini dihukumkan palsu sebab, selain ia belum dikesan dalam kitab yang muktabar, ia dinukilkan daripada kitab yang tidak muktabar iaitu Zubdah al-Wa'izin."