Isnin, 6 Oktober 2014

Hadis Kelebihan Menuntut Ilmu



Hadis Pertama

مَنْ يُرِد اللَّه بِهِ خيْراً يُفَقِّهْهُ في الدِّينِ.

“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya Allah akan fahamkan dia dalam urusan agamanya.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Mu’awiyyah.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini menunjukkan kelebihan ilmu yang menghimpunkan kebaikan yang banyak.

2 - Mudah memahami ilmu agama merupakan tanda seseorang itu mendapat taufik dan reda daripada Allah.

3 - Tidak ada kebaikan bagi orang yang tidak mahu mempelajari urusan agamanya.

Hadis Kedua

مَنْ خَرَجَ في طَلَبِ العِلْمِ فَهُوَ في سَبيلِ اللهِ حَتَّى يَرْجِعَ.

“Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berada di jalan Allah sehinggalah dia kembali (ke tempat asalnya).”

Riwayat al-Termizi daripada hadis Anas bin Malik. Kata al-Termizi: “Hadis ini hasan gharib.”

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘jalan Allah’ iaitu dalam melakukan ketaatan kepada Allah.

Pengajaran Hadis:

1 - Menuntut ilmu adalah sebuah jihad di jalan Allah.

2 - Menuntut ilmu disamakan dengan jihad kerana kedua-duanya adalah sebuah usaha untuk menghidup dan mempertahankan agama Islam.

3 - Sesiapa yang meninggal dunia ketika sedang menuntut ilmu, maka baginya pahala seumpama orang mati syahid.

Hadis Ketiga

الْعَالِمُ وَالْمُتَعَلِّمُ شَرِيكَانِ فِي الْأَجْرِ، وَلَا خَيْرَ فِي سَائِرِ النَّاسِ بعد.

“Orang alim dan penuntut ilmu sama-sama dalam mendapat pahala dan tidak ada kebaikan pada manusia yang lain.”

Riwayat Ibnu Majah daripada hadis Abu al-Darda’ dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Orang alim dan penuntut ilmu sama-sama mendapat pahala kerana Allah menghendaki kebaikan bagi mereka sehingga mereka telah dipermudahkan mendapat ilmu. Orang alim menyebarkan ilmu kepada manusia manakala penuntut ilmu pula mempelajarinya sehinggalah dengan ilmu tersebut dia mendapat petunjuk. Setelah itu, dengan ilmu itu jugalah dia akan menjadi petunjuk kepada manusia yang lain.

2 - Tidak ada kebaikan bagi manusia yang tidak terlibat dengan ilmu, sama ada mempelajarinya atau mengajarkannya. Maksud kebaikan di sini adalah kebaikan yang khusus yang hanya orang yang terlibat dengan ilmu sahaja yang akan mendapatkannya. Sebahagian ulama berpendapat bahawa maksud kebaikan di sini ialah kebaikan yang sempurna tidak diperolehi oleh manusia yang tidak bergelumang dengan ilmu.

Hadis Keempat

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَبْتَغِي فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَريقًا إِلَى الجَنَّةِ، وَإنَّ المَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ العِلْمِ رِضًا بِمَا يَصْنَعُ.

“Sesiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. Sesungguhnya malaikat merendahkan sayapnya bagi penuntut ilmu kerana reda dengan apa yang dilakukan oleh penuntut ilmu tersebut.”

Riwayat Abu Daud, at-Termizi dan Ibnu Majah daripada hadis Abu al-Darda’.

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘malaikat merendahkan sayapnya’ iaitu malaikat merendah diri terhadap penuntut ilmu dan memuliakan mereka.

Pengajaran Hadis:

1 - Menuntut ilmu adalah salah satu cara untuk mudah masuk ke syurga.

2 - Galakan supaya memuliakan penuntut ilmu dan bersikap tawaduk terhadap mereka.

Hadis Kelima

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ.

“Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim.”

Riwayat Ibnu Majah daripada hadis Anas bin Malik. Hadis ini dinilai sebagai hasan oleh al-Hafiz al-Mizzi kerana sanadnya yang banyak.

Pengajaran Hadis:

1 - Menuntut ilmu agama adalah fardu atas setiap orang Islam yang mukallaf sama ada lelaki mahupun wanita.

2 - Walaupun dalam hadis hanya menyebut muslim (lelaki) tetapi ia juga merangkumi muslimah (wanita). Sebahagian ulama menyebutkan hadis tersebut dengan tambahan ‘muslimah’ di hujungnya, tetapi menurut al-Hafiz al-Sakhawi ia tidak ada dalam mana-mana riwayat walaupun maknanya adalah benar.

Hadis Keenam

أَلَا إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالَاهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ.

“Ketahuilah, sesungguhnya dunia itu dilaknat dan dilaknat apa yang ada di dalamnya melainkan zikir kepada Allah dan apa yang dicintai oleh Allah, orang alim dan penuntut ilmu.”

Riwayat al-Termizi daripada hadis Abu Hurairah. Kata al-Termizi: “Hadis ini hasan gharib.”

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘dunia’ di sini ialah setiap perkara yang membuatkan manusia sibuk dan jauh daripada Allah seperti kemaksiatan, kemungkaran dan syahwat.

2 -  Maksud ‘dilaknat’ ialah dimurkai dan dicela oleh Allah.

3 - Maksud ‘apa yang dicintai oleh Allah’ iaitu ketaatan kepada Allah dan amalan baik yang mendekatkan diri kepada Allah.

Pengajaran Hadis:

1 - Harus untuk melaknat setiap perkara yang membuat manusia jauh daripada Allah dan mengganggu daripada mengingatiNya.

2 - Setiap perkara keduniaan ini adalah hiburan dan mainan melainkan perkara yang dapat membantu kita mengingati Allah.

3 - Galakan supaya menuntut ilmu dan mengajarkannya supaya dapat mendekatkan diri kepada Allah dan terselamat daripada kemurkaannya.

Rujukan:

1 - Al-Targhib wa al-Tarhib karangan al-Hafiz al-Munziri.

2 - Dalil al-Falihin Syarah Riyadh al-Salihin karangan Imam Ibnu ‘Allan al-Siddiqi.

3 - Masyariq al-Anwar al-Wahhajah Fi Syarah Sunan Ibnu Majah karangan Syeikh Muhammad Ali Adam al-Athyubi

4 - Mursyid Zawi al-Hija Wa al-Hajah Ila Sunan Ibnu Majah karangan Syeikh Muhammad al-Amin al-Harari

5 - Nuzhah al-Muttaqin Syarah Riyadh al-Salihin karangan Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha, Muhyiddin Misto, Ali al-Syirbaji dan Muhammad Amin Luthfi.

6 - Riyadh al-Salihin karangan Imam al-Nawawi.

7 - Tuhfah Al-Ahwazi Syarah Jami' Al-Termizi karangan Syeikh Muhammad Abdul Rahman al-Mubarakfuri

*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 28/7/2021. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat.

Baca juga:

Hadis Kelebihan Mengajar Imu

6 ulasan:

  1. assalamualaikum syukran perkongsian. Tapi lebih elok jika saudara menghuraikan sedikit setiap dalil dalil ni. dengan kata lain supaya pembaca lebih mudah faham. =)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam. Saya rasa setiap dalil-dalil tersebut sudah jelas dan tidak perlu lagi kepada penjelasan. Tapi kalau ada perkara yang kurang jelas boleh la bertanya. :)

      Padam
  2. assalamualaikum, minta izin nak share

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum, terima kasih atas perkongsian.
    Mungkin ada sedikit kesilapan pada matan hadis yang pertama sekali tu, مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا، "سهل" اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ . Seperti yang dikurungkan, yang betul ialah سهل , bukan سَلَكَ . Maaf andai tersilap.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam. Hadis tersebut mempunyai dua lafaz. Ada yang menggunakan lafaz سهل dan ada yang menggunakan lafaz سَلَكَ.

      1. مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا , سَلَكَ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ

      2. ومن سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له طريقا إلى الجنة

      Boleh rujuk kitab2 hadis dan saudara akan dapati dua-dua lafaz tersebut ada dalam kitab-kitab hadis.

      Padam