Hadis Pertama
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَّ
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بَيْنَا رَجُلٌ يَمْشِي،
فَاشْتَدَّ عَلَيْهِ العَطَشُ، فَنَزَلَ بِئْرًا، فَشَرِبَ مِنْهَا، ثُمَّ خَرَجَ
فَإِذَا هُوَ بِكَلْبٍ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ العَطَشِ، فَقَالَ: لَقَدْ
بَلَغَ هَذَا مِثْلُ الَّذِي بَلَغَ بِي، فَمَلَأَ خُفَّهُ، ثُمَّ أَمْسَكَهُ
بِفِيهِ، ثُمَّ رَقِيَ، فَسَقَى الكَلْبَ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ، فَغَفَرَ لَهُ،
قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَإِنَّ لَنَا فِي البَهَائِمِ أَجْرًا؟ قَالَ: فِي
كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ.
Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu,
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Ada
seorang lelaki yang sedang berjalan-jalan lalu dia merasa sangat haus. Dia lalu
turun ke sebuah perigi dan minum daripada air perigi tersebut.
Setelah itu dia keluar
dari perigi dan mendapati ada seekor anjing yang sedang menjelirkan lidahnya
menjilat-jilat tanah yang lembab kerana kehausan.
Lelaki itu berkata:
Anjing ini sedang kehausan seperti yang aku rasakan tadi.
Maka dia memenuhkan
kasutnya dengan air, memegang kasut
tersebut dengan mulutnya kemudian dia naik ke atas dan memberi anjing itu
minum.
Maka Allah
berterima kasih kepadanya dan mengampuninya.
Para sahabat
bertanya: Wahai Rasulullah, adakah kita akan dapat pahala dengan berbuat baik
kepada haiwan?
Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam menjawab: Berbuat baik terhadap setiap makhluk bernyawa akan diberi
pahala.”
Riwayat
al-Bukhari (no. 2363, 2466 & 6009) dan Muslim (no. 2244).
Huraian
Hadis:
1 - Maksud ‘Allah
berterima kasih kepadanya’ iaitu Allah memujinya atau Allah menerima amalannya.
Pengajaran Hadis:
1 - Wajib berbuat ihsan kepada makhluk yang hidup sama ada manusia mahupun haiwan kerana Allah mencintai orang yang berbuat ihsan dan kebaikan.
2 - Menyakiti
haiwan hukumnya adalah haram dan pelakunya akan mendapat dosa. Ini kerana dalam
hadis ini menunjukkan bahawa berbuat baik terhadap haiwan akan mendapat pahala,
maka dapat difahami maksud sebaliknya bahawa menyakiti haiwan akan mendapat dosa.
3 - Galakan
berbuat baik terhadap manusia kerana jika memberi minum kepada anjing pun
mendapat pengampunan dosa maka lebih-lebih lagilah besar pahalanya jika memberi
minum kepada manusia.
Hadis Kedua
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ،
قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بيْنَما كَلْبٌ يُطِيفُ برَكِيَّةٍ، كادَ يَقْتُلُهُ
العَطَشُ، إذْ رَأَتْهُ بَغِيٌّ مِن بَغايا بَنِي إسْرائِيلَ، فَنَزَعَتْ مُوقَها
فَسَقَتْهُ فَغُفِرَ لها بهِ.
Daripada Abu
Hurairah radiallahu 'anhu, beliau berkata:
Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:
“Ada
seekor anjing yang mengelilingi sebuah perigi dan hampir sahaja kehausan itu membunuhnya.
Seorang wanita pelacur daripada Bani Israel melihatnya. Wanita itu membuka
kasutnya (untuk mengambil air) dan memberi anjing itu minum. Diampunkan dosanya
kerana perbuatan tersebut.”
Riwayat
al-Bukhari (no. 3467) dan Muslim (no. 2245).
Pengajaran Hadis:
1 - Hadis ini juga
sama seperti hadis pertama yang menunjukkan kelebihan dan galakan membuat baik
kepada makhluk yang hidup.
2 - Allah menyediakan pahala yang besar dan pengampunan
dosa bagi orang yang berbuat ihsan sesama makhluk.
3 - Kelebihan memberi minum terutamanya kepada pihak
yang sangat memerlukannya dan ia merupakan seafdal-afdal ibadat kepada Allah.
4 - Hadis ini menunjukkan luasnya anugerah Allah Ta’ala
bahawa Dia mengampunkan dosa yang besar dengan sebab melakukan amalan kebaikan
yang kecil. Sebahagian ulama meletakkan kemungkinan bahawa wanita tersebut
bertaubat daripada perbuatan zinanya sebelum kematiannya.
5 - Tidak memandang remeh apa sahaja bentuk amalan kebajikan walaupun hanya kecil kerana mungkin ia menjadi sebab pengampunan dosa.
6 - Kelebihan ikhlas dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Amalan yang dilakukan oleh wanita Bani Israel tersebut tidak ada padanya unsur riyak kerana tidak ada yang melihat perbuatannya melainkan Allah.
Hadis Ketiga
دخل النَّبِي صلى الله
عَلَيْهِ وَسلم حَائِطا لرجل من الْأَنْصَار فَإِذا فِيهِ جمل فَلَمَّا رَأَى
النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَنَّ وَذَرَفَتْ عَيْنَاهُ،
فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَسَحَ ذِفْرَاهُ
فَسَكَتَ فَقَالَ من رب هَذَا الْجمل فجَاء فَتى من الْأَنْصَار فَقَالَ هُوَ لي
فَقَالَ أَلا تتقي الله فِي هَذِه الْبَهِيمَة الَّتِي ملكك الله إِيَّاهَا فانه
شكا إِلَيّ أَنَّك تجيعه وتدئبه.
"Nabi sallahu
'alaihi wasallam memasuki sebuah kebun milik seorang lelaki daripada kaum
Ansar. Di dalam kebun tersebut terdapat seekor unta. Tatkala unta tersebut
melihat Nabi sallallahu 'alaihi wasallam ia merintih dan kedua matanya
mengalirkan air mata.
Nabi sallallahu
'alaihi wasallam menghampirinya dan mengusap belakang telinganya sehinggalah
unta tersebut diam. Baginda bertanya: “Siapakah pemilik unta ini?”
Datang seorang pemuda
daripada kaum Ansar dan berkata: “Kepunyaan saya, wahai Rasulullah.”
Baginda bersabda: “Tidakkah
engkau takut kepada Allah dalam menguruskan haiwan ternakan yang telah Allah
berikan ini? Sesungguhnya ia telah mengadu kepadaku bahawa engkau membiarkannya
kelaparan dan membuatkannya kepenatan."
Riwayat Abu Daud (no. 2549) daripada
hadis Abdullah bin Ja'far dengan sanad yang sahih.
Pengajaran Hadis:
1 - Haiwan peliharaan
adalah nikmat daripada Allah. Hendaklah menghargainya dengan memberinya makan
dan minum serta belas ihsan terhadapnya iaitu dengan tidak memaksanya melakukan tugasan di luar kemampuannya.
2 - Mukjizat
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam yang mampu memahami bahasa haiwan
yang mengadu kepada baginda.
3 - Galakan memberi
nasihat kepada orang supaya berbuat baik kepada makhluk Allah.
4 - Haiwan juga turut mengenali Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
5 - Islam mewajibkan untuk berlaku adil kepada semua makhluk.
Hadis Keempat
مَا مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ
عُصْفُورًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِ حَقِّهَا، إِلَّا سَأَلَهُ اللَّهُ عَزَّ
وَجَلَّ عَنْهَا، قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا حَقُّهَا؟ قَالَ: يَذْبَحُهَا
فَيَأْكُلُهَا، وَلَا يَقْطَعُ رَأْسَهَا يَرْمِي بِهَا.
“Tidaklah seorang manusia itu membunuh burung pipit atau (haiwan) yang
lebih daripadanya dengan tujuan yang salah melainkan Allah akan menyoalnya
(pada hari kiamat). Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah tujuan yang benar
(membunuhnya)? Baginda menjawab: Kamu menyembelihnya lalu memakannya, bukan
kamu memotong kepalanya lalu membuangnya.”
Riwayat al-Nasa’i (no. 4349) daripada hadis Abdullah bin Amru dengan sanad yang daif.
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
مَنْ قَتَلَ عُصْفُورًا
عَبَثًا عَجَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ: يَا
رَبِّ، إِنَّ فُلَانًا قَتَلَنِي عَبَثًا، وَلَمْ يَقْتُلْنِي لِمَنْفَعَةٍ.
“Sesiapa yang membunuh burung pipit secara sia-sia, ia akan
mengadu kepada Allah pada hari kiamat: Wahai Tuhan, sesungguhnya si fulan telah
membunuhku secara sia-sia dan dia tidak membunuhku untuk mengambil manfaat.”
Riwayat al-Nasa’i (no. 4446) daripada hadis al-Syarid bin Suwaid dengan sanad yang daif.
Huraian Hadis:
1 - Maksud ‘haiwan yang lebih daripadanya’ iaitu haiwan
yang lebih kecil daripada burung pipit atau yang lebih besar daripadanya.
2 - Maksud ‘Allah akan menyoalnya’ iaitu Allah akan
mengazabnya.
Pengajaran hadis:
1 - Hadis ini menunjukkan bahawa haram membunuh haiwan
sama ada kecil mahupun besar melainkan untuk tujuan yang dibenarkan syarak
seperti untuk memakannya.
2 - Sentiasa berhati-hati dalam setiap perbuatan dan tindakan agar kita tidak menzalimi makhluk yang lain kerana dibimbangi mereka akan menuntut keadilan di hadapan Allah di akhirat kelak.
3 - Berwaspada daripada melakukan sesuatu perbuatan yang dianggap remeh pada pandangan kita sedangkan dosanya adalah besar di sisi Allah.
4 - Hadis ini menggambarkan bahawa haiwan juga mempunyai hak dan akan mengadu kepada Allah jika dizalimi. Ini mengingatkan kita untuk menghormati hak setiap makhluk dan bertanggungjawab atas tindakan kita.
Hadis Kelima
عَنْ سَهْلِ ابْنِ
الْحَنْظَلِيَّةِ، قَالَ: مَرَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
بِبَعِيرٍ قَدْ لَحِقَ ظَهْرُهُ بِبَطْنِهِ، فَقَالَ: اتَّقُوا اللَّهَ فِي هَذِهِ
الْبَهَائِمِ الْمُعْجَمَةِ، فَارْكَبُوهَا صَالِحَةً، وَكُلُوهَا صَالِحَةً.
Daripada Sahl bin al-Hanzalah, beliau berkata:
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menjumpai
seekor unta yang dalam keadaan kurus kelaparan, baginda bersabda:
“Takutlah kepada Allah dalam menguruskan haiwan yang
tidak boleh bercakap ini, tunggangilah ketika ia dalam keadaan yang sesuai dan
makanlah ketika ia dalam keadaan baik.”
Riwayat Abu Daud (2548) dan Imam al-Nawawi mensahihkannya
dalam Riyadh al-Salihin.
Huraian Hadis:
1 - Maksud ‘tunggangilah ketika ia dalam keadaan yang
sesuai’ iaitu ketika ia masih sihat dan tidak terlalu kecil.
2 - Maksud ‘makanlah ketika ia dalam keadaan baik’
iaitu ketika ia gemuk dan berisi.
Pengajaran hadis:
1 - Galakan untuk mengasihi haiwan dan menjaga
kebajikannya kerana haiwan tersebut tidak mampu untuk meluahkan rasa lapar dan
sakit yang dialaminya.
2 - Wajib berbuat ihsan kepada haiwan dan memanfaatkannya dengan cara yang tidak menzaliminya.
3 - Ada haiwan yang tidak sesuai untuk ditunggangi sama ada kerana ia lemah, sakit atau memang ia tidak diciptakan untuk ditunggangi. Begitu juga ada haiwan yang boleh digunakan sebagai tunggangan dan untuk manfaat yang lain namun ia tidak boleh dimakan seperti keldai.
3 - Hendaklah menjaga harta benda yang dimiliki dan
tidak merosakkannya.
Hadis Keenam
إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ،
فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا
الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ.
“Sesungguhnya Allah telah memerintahkan berbuat ihsan pada
setiap sesuatu. Apabila kamu ingin membunuh maka perelokkanlah pembunuhan
tersebut. Apabila kamu ingin menyembelih maka perelokkanlah sembelihan
tersebut. Hendaklah dia menajamkan mata pisaunya dan merehatkan haiwan
sembelihannya.”
Riwayat Muslim (no. 1955) daripada hadis Syaddad bin Aus.
Huraian Hadis:
1 - Maksud ‘apabila kamu ingin membunuh maka
perelokkanlah pembunuhan tersebut’ iaitu apabila kamu ingin membunuh
sesuatu yang diharuskan syarak membunuhnya seperti kafir harbi, orang yang murtad,
pembunuh atau haiwan yang berbahaya maka bunuhlah ia dengan cara yang tidak
menyakitkan dan paling cepat mematikannya.
2 - Maksud ‘apabila kamu ingin menyembelih maka
perelokkanlah sembelihan tersebut’ iaitu apabila kamu ingin menyembelih
haiwan untuk dimakan maka sembelihlah ia dengan segera agar tidak menyeksanya.
3 - Maksud ‘merehatkan haiwan sembelihannya’ iaitu buatkan haiwan tersebut berasa rehat dan tenang sama ada sebelum disembelih atau ketika disembelih.
Pengajaran Hadis:
1 - Tuntutan melakukan setiap perkara dengan baik dan penuh ihsan walaupun dalam urusan pembunuhan dan penyembelihan. Apabila terpaksa membunuh atau menyembelih, perbuatan itu harus dilakukan dengan cara yang paling baik dan beretika. Ini termasuk memastikan haiwan tersebut tidak menderita dan prosesnya dilakukan dengan cepat dan efisien.
2 - Menajamkan pisau sebelum menyembelih adalah satu aspek ihsan kerana ia memastikan haiwan tersebut tidak mengalami kesakitan yang berpanjangan. Proses ini harus dilakukan dengan cermat agar penyembelihan menjadi lebih mudah dan cepat.
3 - Memberi haiwan ketenangan sebelum disembelih juga merupakan satu tindakan ihsan. Ini menunjukkan keprihatinan dan belas kasihan terhadap kesejahteraan haiwan tersebut.
2 - Islam adalah agama yang menitik beratkan sikap ihsan dan berkasih sayang sesama makhluk. Manusia perlu bertindak dengan kesedaran dan tanggungjawab, memastikan bahawa setiap tindakan mereka, walaupun dalam menyembelih, dilakukan dengan penuh kebaikan dan belas kasihan.
Hadis Ketujuh
عَنْ عَبْدِ
اللَّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
قَالَ عُذِّبَتْ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ سَجَنَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ
فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ لَا هِيَ أَطْعَمَتْهَا وَسَقَتْهَا إِذْ
حَبَسَتْهَا وَلَا هِيَ تَرَكَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ.
Diriwayatkan daripada
Abdullah bin Umar, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Seorang wanita diazab
disebabkan oleh seekor kucing. Dikurung kucing itu sehingga mati. Disebabkan
perbuatannya itu, Allah memasukkannya ke dalam neraka. Kucing itu dikurung
tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskan kucing itu untuk memakan
haiwan perosak yang berada di bumi.”
Riwayat
al-Bukhari (no. 2365, 3318 & 3482) dan Muslim (no. 2242 & 2619).
Huraian Hadis:
1 - Maksud 'haiwan
perosak yang berada di bumi' yakni haiwan seperti tikus, serangga atau
seumpamanya.
Pengajaran Hadis:
1 – Harus untuk memelihara kucing dan
mengurungnya sekiranya tidak lalai daripada tanggungjawab memberinya makan dan
minum.
2 – Wajib menjaga kebajikan haiwan yang
dimiliki.
3 – Hadis ini menjadi dalil keharaman
membunuh kucing dan mengurungnya tanpa diberi makan dan minum.
4 – Mengurung haiwan tanpa memberi makan dan minum adalah maksiat dan menjadi sebab masuk ke neraka.
Hadis Kelapan
عَنْ
مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ
اللَّهِ، إِنِّي لَأَذْبَحُ الشَّاةَ فَأَرْحَمُهَا، أَوْ قَالَ: إِنِّي
لَأَرْحَمُ الشَّاةَ أَنْ أَذْبَحَهَا، قَالَ: وَالشَّاةُ إِنْ رَحِمْتَهَا،
رَحِمَكَ اللَّهُ، مَرَّتَيْنِ.
Daripada Mu’awiyyah bin Qurrah, daripada bapanya,
beliau berkata:
“Ada seorang lelaki berkata:
Wahai Rasulullah, apabila aku menyembelih seekor
kambing maka aku merasa belas kasihan kepadanya. Atau (syak perawi hadis) dia berkata: Aku merasa belas kasihan kepada kambing apabila aku hendak menyembelihnya.
Baginda bersabda:
Kalau dengan kambing pun engkau ada rasa belas kasihan maka sudah tentu Allah akan mengasihimu.”
Baginda mengulanginya sebanyak dua kali."
Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (no.
373). Al-Hafiz al-Busiri dalam Ithaf al-Khiyarah al-Maharah mengatakan
sanadnya sahih.
Huraian Hadis:
1 – Perawi hadis ini tidak pasti sama ada lelaki tersebut
menyebutkan “Aku ingin
menyembelih seekor kambing maka aku mengasihinya” atau “Aku mengasihi kambing apabila aku hendak
menyembelihnya.”
Kedua-duanya sama maksudnya walaupun lafaznya berbeza.
Pengajaran Hadis:
1 – Galakan untuk berkasih sayang dan mengasihi semua
makhluk yang bernyawa. Islam mengajar kita untuk berlaku ihsan dan menunjukkan belas kasihan dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dalam hubungan kita dengan haiwan. Tindakan belas kasihan ini mencerminkan keimanan dan akhlak yang baik.
2 – Orang yang mengasihi makhluk yang lain akan mendapat kasih sayang Allah. Allah SWT mengasihi mereka yang menunjukkan belas kasihan kepada makhluk-Nya. Sifat belas kasihan yang kita tunjukkan kepada haiwan boleh menjadi sebab Allah menurunkan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada kita.
3 - Nabi SAW mengulangi sabda baginda sebanyak dua kali untuk menekankan kepentingan sifat belas kasihan ini. Ini menunjukkan bahawa belas kasihan adalah sifat yang sangat dihargai dalam Islam dan harus diamalkan dalam kehidupan seharian.
Rujukan:
1 - Al-Bahr
al-Muhith al-Thajjaj Fi Syarh Sahih al-Imam Muslim bin al-Hajjaj karangan
Syeikh Muhammad Ali Adam al-Athyubi.
2 - Al-Fath
Al-Mubin Bi Syarh al-Arba'in karangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami.
3 - Al-Jawahir
al-Lu'luiyyah Fi Syarah al-Arba'in al-Nawawiyyah karangan Syeikh Muhammad
bin Abdullah al-Jurdani.
4 - Al-Riyadh
al-Zakiyyah Syarah al-Arba'in al-Nawawiyyah karangan Syeikh Abdul Karim
al-Khudair.
5 - Dalil al-Falihin Syarah Riyadh al-Salihin karangan
Imam Ibnu ‘Allan al-Siddiqi.
6 - Mirqah
al-Mafatih Syarah Misykat al-Masabih karangan Imam Mulla Ali al-Qari.
7
- Nuzhah al-Muttaqin Syarah Riyadh al-Salihin karangan Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa
al-Bugha, Muhyiddin Misto, Ali al-Syirbaji dan Muhammad Amin Luthfi.
8
- Riyadh al-Salihin karangan
Imam al-Nawawi.
9 - Syarah
Sunan Abu Daud karangan Imam Ibnu Ruslan.
10 - Zakhirah Al-'Uqba Fi Syarh Al-Mujtaba karangan Syeikh Muhammad Ali Adam al-Athyubi.
*Tulisan ini saya telah kemaskini semula pada 11/3/2023 dengan beberapa penambahan maklumat. Semoga bermanfaat.
Baca juga:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan