Khamis, 21 November 2024

Manhaj Kitab Sahih al-Bukhari

Perbahasan Pertama: Pengenalan Umum Tentang Sahih al-Bukhari

Kitab ini merupakan karya pertama yang disusun khusus untuk menghimpunkan hadis-hadis yang sahih. Imam al-Bukhari menyusunnya berdasarkan bab-bab fiqh, dan beliau menunjukkan kehebatan luar biasa dalam bidang ilmu hadis, termasuk dalam menetapkan judul bab (tarajim al-abwab). Beliau juga unggul dalam mengemukakan pelbagai istinbat (kesimpulan hukum), manfaat-manfaat yang agung, serta pelbagai perkara lain yang menunjukkan keluasan ilmu dan kehebatan kefahaman beliau.

Di samping itu, ketelitian beliau dalam memilih perawinya telah menjadikan Sahih al-Bukhari menduduki tempat tertinggi selepas al-Quran al-Karim. Umat Islam sejak dahulu hingga kini memberikan perhatian yang besar kepada kitab ini sama ada dngan menghafalnya, mempelajarinya, serta ramai ulama yang menulis syarahan untuk menjelaskan kandungan ilmu dan manfaat yang terdapat di dalamnya. Oleh sebab itu, kitab ini menjadi tumpuan hafalan, pengajian, kajian, dan penghormatan dalam kalangan umat Islam sepanjang zaman.

Imam al-Bukhari memilih hadis-hadis dalam kitabnya daripada 600,000 hadis. Tidak diragukan bahawa sebahagian besar hadis ini telah direkodkan dalam kitab-kitab musnad dan karya hadis lain yang ditulis oleh ulama pada abad kedua hijrah. Al-Bukhari mendengar hadis-hadis tersebut daripada para gurunya dengan sanad mereka kepada para penyusun asalnya.

Beliau mengambil masa selama 16 tahun untuk menyusun kitab ini, dan hanya mencatatkan hadis-hadis yang sahih sahaja. Al-Bukhari adalah orang pertama yang menghimpunkan hadis-hadis sahih secara berasingan dalam satu kitab, tetapi beliau tidak menghimpunkan semua hadis sahih. Beliau sendiri mengakui bahawa hadis sahih yang tidak dimasukkan lebih banyak daripada yang dicatatkan, kerana tidak mahu kitab itu menjadi terlalu panjang.

Hadis-hadis yang dimuatkan dalam bentuk ta'liq (hadis tanpa sanad lengkap), mutaba‘at dan syawahid  (hadis sokongan) tidak termasuk dalam kategori hadis-hadis sahih utama.

Para ulama telah mengkaji kitab ini untuk mengetahui syarat al-Bukhari dalam pemilihan hadis. Mereka mendapati bahawa beliau meletakkan syarat tambahan selain sifat ‘adil perawi dan bersambung sanad iaitu perawi dalam rantai sanad mesti berada dalam lapisan teratas  daripada kalangan yang meriwayatkan daripada gurunya. Sebagai contoh, jika perawi-perawi yang meriwayatkan daripada Imam Ibnu Shihab al-Zuhri dibahagikan kepada lima lapisan berdasarkan tahap hafalan, ketelitian, dan lama perguruan mereka dengannya, al-Bukhari hanya mengambil hadis daripada mereka yang berada dalam lapisan pertama.

Beliau juga kadang-kadang mengambil hadis daripada perawi lapisan kedua jika hadis itu boleh diterima, tetapi bukan secara keseluruhan. Kebanyakan hadis daripada lapisan kedua dimasukkan dalam bentuk ta'liq dan sesekali beliau juga mengambil sedikit hadis daripada lapisan ketiga dalam bentuk yang sama. Pendekatan ini lebih sesuat bagi perawi-perawi yang banyak meriwayatkan hadis (mukthirun).

Bagi perawi lain yang kurang meriwayatkan hadis, al-Bukhari meletakkan kriteria untuk dipilih hadis mereka berdasarkan tahap kethiqahan perawi, sifat ‘adil dan kadar kesilapan yang sangat kecil yang dilakukan perawi itu. 

Perbahasan Kedua: Nama Kitab dan Maknanya

Nama yang dipilih oleh Imam al-Bukhari untuk kitabnya ialah:

Al-Jami’ al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min Umur Rasulillah sallahu ‘alihi wasallam wa Sunanihi wa Ayyamihi.

Nama ini disebut oleh Imam al-Nawawi dalam kitab Tahzib al-Asma’ dan juga Syarah Sahih al-Bukhari. Nama ini juga disebutkan oleh Ibnu al-Solah dalam Muqaddimah-nya.

Nama ini juga disebut oleh al-Hafiz Abu Nasr al-Kalabazi pada awal kitabnya, Rijal Sahih al-Bukhari. Nama yang sama juga dinyatakan oleh al-Qadhi Abdul Haq bin ‘Atiyyah al-Andalusi yang merupakan seorang ahli tafsir, ahli hadis, dan faqih dalam kitabnya, Fihrist Ibn Atiyyah. Begitu juga oleh muridnya, al-Hafiz Ibnu Khair al-Ishbili al-Andalusi dalam kitabnya, Fihrist Ma Rawahu ‘An Shuyukhihi. Al-Hafiz Ibnu Rushaid al-Sabti al-Andalusi juga menyebut nama ini secara lengkap dalam kitabnya, Ifadah al-Nasih fi al-Ta’rif bi Sanad al-Jami’ al-Sahih.

Demikian juga yang disebut oleh Imam Badruddin al-‘Ayni dalam ‘Umdah al-Qari dan perkara ini ditegaskan oleh al-‘Allamah Jamaluddin al-Qasimi dalam kitabnya Hayat al-Bukhari, yang berkata: “Inilah nama kitab sahihnya, maka hendaklah diingati.” Beliau juga menjelaskan bahawa nama yang disebut oleh al-Hafiz dalam Huda al-Sari adalah kurang lengkap.

Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah turut menyebut dalam kitabnya, Tahqiq Asma al-Sahihain wa Ism Jami’ al-Tirmidhi bahawa nama ini terdapat dalam dua manuskrip lama.

Al-Hafiz Ibn Hajar menamakan kitab ini dalam Huda al-Sari sebagai:

Al-Jami’ al-Sahih al-Musnad min Hadith Rasulillah sallahu ‘alaihi wasallam wa Sunanihi wa Ayyamihi.

Namun, terdapat kekurangan dalam nama yang disebut oleh al-Hafiz Ibnu Hajar ini. Nama yang lebih tepat dan lengkap ialah seperti yang disebut oleh ulama sebelum ini. Dalam versi Ibnu Hajar, istilah ‘al-Sahih’ didahulukan sebelum ‘al-Musnad’, sedangkan susunan yang lebih baik ialah seperti yang disebutkan sebelum ini, iaitu mendahulukan ‘al-Musnad’. Selain itu, Ibnu Hajar menggantikan frasa ‘al-Mukhtasar min Umur Rasulillah’ dengan ‘min Hadith Rasulillah’, yang mana penamaan ulama sebelum ini dianggap lebih tepat dan menyeluruh.

Menurut Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, nampaknya al-Hafiz Ibn Hajar menulis nama ini ketika dalam keadaan fikirannya sibuk. Ini kerana beliau merupakan seorang imam yang sangat teliti, mahir dan berada di puncak ketepatan dalam keilmuan sehingga perkara seperti ini biasanya tidak terlepas dari perhatiannya. Namun, gangguan tertentu kadang-kadang boleh mempengaruhi fikiran atau ketelitian seseorang.

Penjelasan Al-Suyuti Tentang Maksud Nama Ini

Al-Suyuti dalam kitabnya al-Taushih ‘Ala al-Jami’ al-Sahih menjelaskan maksud nama ini seperti berikut:

Al-Jami’: Menunjukkan bahawa kitab ini tidak dikhususkan untuk satu jenis ilmu sahaja, tetapi merangkumi hukum-hakam, keutamaan (fadhail), kisah-kisah masa lalu dan yang akan datang, serta pelbagai adab dan amalan pelembut jiwa (raqaiq).

Al-Sahih: Bermaksud tiada hadis daif dalam kitab ini menurut pandangan Imam al-Bukhari. Walaupun ada beberapa hadis yang dikritik oleh ulama lain namun jawapan telah diberikan bagi kritikan tersebut. Imam al-Bukhari juga pernah berkata: "Aku tidak memasukkan dalam al-Jami’ melainkan yang sahih."

Al-Musnad: Merujuk kepada tujuan utama kitab ini iaitu meriwayatkan hadis-hadis dengan sanad yang bersambung daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sama ada berupa ucapan, perbuatan, atau perakuan baginda. Adapun apa yang dimuatkan dalam kitab ini selain daripada itu, ia hanya dimasukkan secara tambahan dan sampingan, bukannya tujuan asal.

Al-Mukhtasar: Menunjukkan bahawa Imam al-Bukhari tidak memasukkan semua hadis yang beliau hafal dan riwayatkan. Sebaliknya, beliau memilih sebahagian kecil sahaja daripada hadis-hadis yang beliau ketahui.

Perbahasan Ketiga: Faktor yang Mendorong Penulisan Kitab

Al-Bukhari sendiri telah menjelaskan sebab beliau menyusun al-Jami‘ as-Sahih. Beliau berkata: 

"Kami berada di sisi Ishaq bin Rahuyah, lalu beliau berkata: Alangkah baiknya jika kamu semua mengumpulkan sebuah kitab ringkas yang memuatkan hadis-hadis sahih daripada sunnah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.’"

Beliau berkata: "Kata-kata itu terkesan mendalam di hatiku, lalu aku mula mengumpulkan al-Jami‘ as-Sahih."

Diceritakan juga sebuah kisah lain berkaitan sebab penulisan kitab ini. Al-Bukhari berkata: 

"Aku bermimpi melihat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam seolah-olah aku berdiri di hadapannya dan di tanganku ada kipas yang aku gunakan untuk melindungi baginda daripada sesuatu. Aku bertanya kepada seorang ahli tafsir mimpi tentang mimpi itu dan dia berkata: Engkau akan melindungi baginda daripada kebohongan. Maka itulah yang mendorongku untuk menyusun al-Jami‘ as-Sahih." 

Tiada percanggahan antara kedua-dua riwayat ini. Kedua-duanya mungkin merupakan gabungan faktor yang mendorong beliau untuk menyusun kitab Sahih al-Bukhari. Permintaan Ishaq bin Rahuyah telah menanamkan keinginan yang kuat dalam hati al-Bukhari, manakala mimpi itu pula menjadi penguat dan petunjuk bahawa usaha tersebut adalah satu kerja besar yang diberkati.

Perbahasan Keempat: Cara Penyusunan Kitab

Al-Firabri meriwayatkan bahawa Muhammad bin Ismail (al-Bukhari) berkata:

"Aku tidak meletakkan satu hadis pun dalam kitab Sahihku melainkan aku telah mandi terlebih dahulu dan menunaikan solat dua rakaat."

Diriwayatkan juga bahawa beliau berkata:

"Aku menyusun kitab Sahih ini selama enam belas tahun dan aku memilihnya daripada 600,000 hadis, lalu aku jadikan ia sebagai hujah (pembela) antara diriku dengan Allah Ta‘ala."

Dalam riwayat lain, beliau berkata:

"Aku memilih hadis-hadis dalam kitab ini daripada sekitar 600,000 hadis."

Al-Isma‘ili meriwayatkan bahawa al-Bukhari berkata:

"Aku tidak memasukkan dalam kitab ini melainkan hadis-hadis yang sahih dan apa yang aku tinggalkan daripada hadis-hadis sahih jauh lebih banyak."

Al-Isma‘ili berkata: “Ini kerana sekiranya Imam al-Bukhari memasukkan semua hadis sahih yang beliau ketahui maka setiap bab akan mengandungi hadis daripada ramai sahabat dan beliau akan menyebutkan jalan periwayatan setiap seorang daripada mereka jika ia sahih. Maka kitab itu akan menjadi sangat besar."

Ibrahim bin Ma‘qil al-Nasafi berkata:

"Aku mendengar al-Bukhari berkata: ‘Aku tidak memasukkan dalam kitab al-Jami‘ ini melainkan hadis-hadis yang sahih dan aku tinggalkan sebahagian hadis sahih supaya kitab ini tidak menjadi terlalu panjang.’"

Umar bin Muhammad bin Bujair al-Bujairi pula meriwayatkan:

"Aku mendengar Muhammad bin Ismail berkata: ‘Aku menyusun kitab al-Jami‘ ini di Masjid al-Haram. Aku tidak memasukkan satu hadis pun melainkan aku telah memohon petunjuk daripada Allah Ta‘ala (istikharah), menunaikan solat dua rakaat, dan memastikan kesahihannya.’"

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan:

"Untuk menggabungkan riwayat ini dengan riwayat terdahulu yang menyebut beliau menyusunnya di pelbagai tempat, difahami bahawa al-Bukhari memulakan penyusunan, pengaturan, dan pembahagian bab kitab ini di Masjid al-Haram. Namun, setelah itu, beliau melengkapkan penyusunan hadis-hadisnya di tempat asal beliau dan tempat-tempat lain. Hal ini dikuatkan oleh kenyataan beliau bahawa beliau mengambil masa enam belas tahun untuk menyelesaikannya. Beliau tidak menetap di Mekah sepanjang tempoh ini."

Ibn ‘Adi meriwayatkan daripada sekumpulan ulama bahawa al-Bukhari menyusun tarajim (judul-judul bab) al-Jami‘ di antara makam Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan mimbarnya. Setiap kali beliau menyusun satu tarjamah, beliau akan menunaikan solat dua rakaat terlebih dahulu.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata:

"Hal ini tidak bercanggah dengan apa yang disebut sebelum ini, kerana ia boleh difahami bahawa pada peringkat awal beliau menulisnya dalam bentuk draf kasar (musawwadah), dan kemudian di tempat tersebut beliau memindahkannya ke salinan akhir yang lebih teratur (mubayyadah)."

Imam al-Nawawi pula berkata:

"Sebahagian ulama lain, termasuk Abu al-Fadl Muhammad bin Tahir al-Maqdisi, berpendapat bahawa beliau menyusun kitab ini di Bukhara. Ada pula yang mengatakan di Mekah, dan ada juga yang mengatakan di Basrah. Semua pendapat ini benar kerana maksudnya ialah beliau menyusun kitab ini di setiap tempat yang beliau kunjungi. Ini kerana beliau mengambil masa enam belas tahun untuk menyelesaikan kitab ini."

Al-Hakim Abu Abdullah meriwayatkan:

"Abu ‘Amr Ismail berkata: Telah memberitahu kami Abu Abdullah Muhammad bin ‘Ali, katanya: Aku mendengar al-Bukhari berkata: Aku tinggal di Basrah selama lima tahun bersama kitab-kitabku. Di sana, aku menyusun kitab, menunaikan haji setiap tahun, dan kembali ke Basrah.’"

Al-Bukhari juga berkata:

"Aku berharap Allah Ta‘ala memberkati umat Islam melalui karya-karya ini."

Abu Ja‘far al-‘Uqayli berkata: "Setelah al-Bukhari menyusun kitab Sahih-nya, beliau mempersembahkannya kepada Ali bin al-Madini, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma‘in, dan ulama-ulama lain. Mereka semua memuji kitab tersebut dan mengesahkannya sebagai sahih, kecuali empat hadis.”

Al-‘Uqayli lalu berkata: “Dalam hal ini, pendapat al-Bukhari lebih kuat dan hadis-hadis tersebut adalah sahih.”

Hal ini tidaklah menghairankan kerana al-Bukhari memiliki teladan dalam pendekatan ini yang menunjukkan sikap rendah hati, kehati-hatian, dan semangat kerjasama di kalangan ulama dalam berkhidmat kepada sunnah serta membersihkannya daripada perkara-perkara yang tidak sahih.

Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan dengan sanadnya daripada al-Walid ibn Muslim, beliau berkata: "Aku mendengar al-Awza‘i berkata: ‘Kami mendengar hadis, lalu kami mempersembahkannya kepada sahabat-sahabat kami seperti mana kami mempersembahkan dirham palsu (kepada pengurup wang). Apa yang mereka sahkan, kami ambil dan apa yang mereka tolak, kami tinggalkan.”

Begitu juga dengan Imam Malik, imam Dar al-Hijrah, yang mempersembahkan kitabnya, al-Muwatta’, kepada tujuh puluh orang faqih dari kalangan fuqaha Madinah, dan mereka bersetuju dengannya setelah beliau menghabiskan empat puluh tahun mengumpulkan dan memilih hadis-hadisnya.

Pendekatan ini dalam kalangan ulama kita menunjukkan betapa telitinya mereka dalam meriwayatkan dan menulis sunnah, terutama setelah tersebarnya bid‘ah, hawa nafsu, dan munculnya pemalsuan hadis. Para ulama memeriksa sanad-sanad, menilai perawi dan mengkaji keadaan mereka. Namun, mereka tidak cukup berpuas hati dengan itu sahaja sehinggalah mereka mempersembahkan hadis-hadis yang mereka riwayatkan kepada para ahli yang memiliki kepakaran, hafalan yang kuat dan pengalaman, demi memastikan kesahihan dan ketepatan hadis tersebut.

Perbahasan Kelima: Kandungan Kitab

Tujuan utama Imam al-Bukhari menyusun kitab al-Jami‘ al-Sahih ialah:

1 - Memilih Hadis-Hadis Sahih

Beliau memilih sekumpulan hadis sahih yang berkaitan dengan fiqh, akidah, sirah, amalan kerohanian dan pelembut hati (raqaiq) dan pelbagai bidang lain untuk dimuatkan dalam kitab ini. Kitab ini bertujuan menjadi sumber murni sunnah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang boleh dijadikan rujukan oleh umat Islam sepanjang zaman dan di semua tempat.

Imam al-Bukhari sangat teliti dan berhati-hati dalam memilih hadis yang dimuatkan dalam kitabnya. Pemilihan hadis ini dilakukan dengan usaha yang maksimum dan ketelitian yang luar biasa, sehingga kitab ini mendapat pengiktirafan sebagai kitab paling sahih selepas al-Quran.

2 - Mengemukakan Istinbat dan Huraian Hukum

Imam al-Bukhari juga berkeinginan untuk membuat istinbat (kesimpulan hukum) dan mengemukakan huraian yang bernilai terhadap hadis-hadis dalam kitab ini. Oleh itu, beliau membahagikan kitab ini kepada beberapa kitab (tajuk besar) dan setiap kitab kepada bab-bab yang lebih kecil.

Dalam setiap bab, beliau memberikan judul (tarajim al-abwab) yang sesuai. Beliau tidak hanya memberi satu judul untuk setiap hadis, tetapi kadangkala meletakkan satu hadis di beberapa bahagian dengan judul yang berbeza. Hal ini dilakukan untuk menjelaskan makna-makna tertentu yang terkandung dalam hadis tersebut atau untuk membincangkan variasi riwayat hadis dengan judul yang sesuai bagi setiap variasi.

Demi mencapai tujuan ini, al-Bukhari juga sering menyebut ayat-ayat al-Quran dalam judul bab sebagai sokongan kepada pendapat atau isu yang dibincangkan. Kadangkala, beliau juga menyebut hadis yang tidak memenuhi syarat beliau tetapi relevan dengan isu tertentu, dengan mencatatnya secara muallaq (hadis tanpa sanad lengkap). Pendekatan ini dilakukan dengan kaedah yang teliti, yang akan dibincangkan lebih lanjut ketika membahas hadis mu‘allaq.

Selain itu, beliau turut memanfaatkan riwayat mauquf (ucapan sahabat), maqtu‘ (ucapan tabiin), dan pelbagai athar daripada generasi salaf dalam judul-judul babnya sebagai sokongan kepada tujuannya ini.

Oleh itu, Sahih al-Bukhari bukan sahaja memuatkan hadis-hadis sahih yang menjadi topik utama kitab ini, tetapi juga mengandungi pelbagai aspek lain seperti hadis-hadis muallaq, istinbat hukum dan pendapat generasi salaf yang disertakan dalam judul bab. Semua ini menunjukkan keluasan ilmu dan kefahaman Imam al-Bukhari serta kepentingan kitab ini sebagai rujukan Islam sepanjang zaman.

Imam al-Nawawi berkata:

"Tujuan Imam al-Bukhari bukan sekadar menghimpunkan hadis semata-mata. Beliau juga berniat untuk membuat istinbat hukum dan memberikan dalil bagi bab-bab yang beliau kehendaki. Oleh sebab itu, beliau sering kali meninggalkan sanad penuh dalam banyak bab dan hanya menyebut frasa seperti: ‘Di dalamnya disebutkan bahawa si fulan meriwayatkan daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam atau yang seumpamanya."

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata:

"Kemudian beliau melihat bahawa kitabnya tidak sepatutnya kosong daripada faedah-faedah fiqh dan kupasan-kupasan yang bernilai. Oleh itu, beliau dengan kefahamannya mengeluarkan banyak makna daripada matan-matan hadis lalu membahagikannya kepada bab-bab dalam kitabnya mengikut kesesuaian. Beliau turut memberi perhatian terhadap ayat-ayat hukum, mengambil daripadanya petunjuk yang indah, dan menggunakan pendekatan yang luas dalam menjelaskan tafsirannya."

Dengan itu, Imam al-Bukhari berjaya menghimpunkan dalam kitabnya, al-Jami‘ al-Sahih, gabungan antara riwayat dan dirayah (pemahaman), antara menjaga sunnah Rasulullah sallahu ‘laihi wasallam dan memahami maksudnya.

Ibnu al-Munayyir, dalam membincangkan judul-judul bab dalam kitab al-Bukhari, menyatakan:

"Seolah-olah beliau merasa keberatan untuk menulis kitab fiqh dengan gaya kitab-kitab fiqh biasa yang dipenuhi perkara-perkara yang banyak daripadanya mungkin tidak berlaku. Ini agar beliau tidak termasuk dalam golongan yang menyusahkan dirinya sendiri yang mana orang seperti ini diancam tidak akan diberi pertunjuk untuk mencapai kebenaran. Maka, inilah – wallahu a‘lam – rahsia mengapa al-Bukhari menyebutkan perbahasan fiqh dalam judul-judul bab. Beliau membebaskan sunnah daripada hal-hal yang mengganggu, mengeluarkan faedah-faedah hadis daripada tempat tersembunyinya dan menjelaskan maksud-maksud yang tersirat melalui petunjuk-petunjuk yang jelas. Kitabnya mengumpulkan dua ilmu dan dua kebaikan yang besar. Kitabnya memperoleh keagungan sunnah dan inti pati masalah fiqh. Ini adalah hasil penerokaan mendalam yang dibantu oleh taufik Allah dan merupakan pendekatan yang amat halus dalam mengkaji."

Ibn al- Munayyir menegaskan bahawa al-Bukhari telah mencapai dua tujuan utama dalam kitabnya dengan cara yang paling sempurna:

1 - Menghimpunkan hadis dan membezakan hadis daripada perkara-perkara lain seperti istinbat (kesimpulan hukum) dan pandangan fiqh. Dengan ini, kitabnya menjadi sumber yang penting dalam ilmu hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

2 - Membuat istinbat hukum daripada hadis-hadis tersebut tanpa mencampurkannya dengan hadis itu sendiri. Sebaliknya, beliau menyebut istinbat ini dalam judul-judul bab. Dengan cara ini, kitabnya menjadi salah satu rujukan utama dalam ilmu fiqh.

Kesimpulannya, al-Bukhari menulis kitabnya dengan tujuan menjadikannya sebuah kitab yang menghimpunkan hadis dan fiqh. Beliau tidak berniat sekadar meriwayatkan hadis tanpa memahami maksudnya kerana hadis tanpa kefahaman tidak mempunyai makna. Pada masa yang sama, beliau juga ingin menunjukkan bahawa fiqh hanya bernilai apabila ia dibina di atas dalil-dalil yang sahih. Oleh itu, kitabnya berjaya menjadi sebuah rujukan lengkap yang menghimpunkan hadis dan fiqh secara serentak.

Perbahasan Keenam: Syarat al-Bukhari Pada Perawi Hadisnya

Perkara yang perlu diketahui ialah Imam al-Bukhari tidak pernah dinukilkan daripadanya kenyataan yang jelas tentang syarat tertentu yang digunakannya dalam kitab Sahihnya. Sebaliknya, syarat tersebut dikenal pasti melalui kaedah istiqra’ (kajian menyeluruh) terhadap cara beliau menyusun kitabnya.

Al-Hafiz al-Suyuti berkata: "Ketahuilah bahawa al-Bukhari tidak pernah menyatakan secara jelas syarat tertentu (yang digunakannya) tetapi syarat tersebut difahami daripada penamaan kitabnya dan kajian mendalam terhadap caranya menyusun hadis."

Al-Hafiz Abu al-Fadl Ibnu Tahir al-Maqdisi berkata dalam kitabnya, Syarat al-A'immah al-Sittah:

"Tidak dinukilkan daripada salah seorang pun daripada enam imam tersebut bahawa mereka berkata: Aku mensyaratkan untuk meriwayatkan dalam kitabku hanya hadis yang memenuhi syarat tertentu. Sebaliknya, syarat-syarat tersebut dikenal pasti melalui kajian teliti terhadap kitab-kitab mereka dan daripadanya diketahui syarat setiap seorang daripada mereka."

Melalui kaedah istiqra’ terhadap cara al-Bukhari memilih perawi hadis, diketahui bahawa beliau memilih perawi yang paling lama berguru dengan gurunya dan yang paling arif tentang hadis gurunya. Jika beliau meriwayatkan daripada perawi yang tidak memiliki ciri-ciri ini, maka ia hanya dilakukan dalam rangka mutaba‘at (riwayat sokongan) atau apabila terdapat petunjuk yang kuat bahawa perawi tersebut telah meriwayatkan hadis tersebut dengan tepat.

Berdasarkan gabungan faktor-faktor ini, para ulama, baik dahulu mahupun kini, menggambarkan kitabnya sebagai kitab yang paling sahih di kalangan kitab-kitab hadis yang disusun.

Ulama pertama yang menjelaskan syarat Imam al-Bukhari dengan baik adalah Imam al-Hazimi dalam kitabnya Shurut al-A’immah al-Khamsah.

Beliau berkata:

"Para perawi yang banyak meriwayatkan hadis (al-Mukthirun) seperti al-Zuhri, Nafi', al-A'mash, dan Qatadah mempunyai perawi-perawi (yakni murid-murid)  lain yang meriwayatkan daripada mereka. Perawi-perawi ini pula berbeza-beza dari segi hafalan hadis dan ketelitian, serta dari segi sejauh mana mereka sering mendampingi guru mereka serta dari sudut berapa banyak mereka meriwayatkan hadis darinya. Oleh itu, ada perawi yang layak untuk dijadikan hadisnya sebagai hadis utama (al-Usul) sementara ada juga yang hanya layak dimasukkan dalam bab sokongan atau penguat (al-Shawahid wa al-Mutaba'at). Inilah satu bidang yang agak kompleks dan sukar difahami."

Untuk al-Zuhri sebagai contoh, Imam al-Hazimi membahagikan perawi-perawi yang mengambil hadis daripadanya kepada lima peringkat:

Peringkat Pertama:

Golongan yang menghimpunkan hafalan yang kuat, ketelitian, lama berguru dengan al-Zuhri, serta mendalami hadisnya dan memeliharanya dengan baik. Contohnya ialah Malik, Ibnu ‘Uyainah, ‘Ubaidullah bin ‘Umar, Ma‘mar, Yunus, ‘Uqail, Shu‘aib dan yang seumpamanya. Golongan ini disepakati oleh para ulama untuk dijadikan rujukan utama dalam periwayatan hadis daripada al-Zuhri. Hadis mereka dianggap paling sahih.

Peringkat Kedua:

Golongan yang mempunyai hafalan yang baik dan teliti, tetapi tidak lama berguru dengan al-Zuhri. Mereka hanya mendampinginya dalam tempoh yang singkat dan tidak banyak mendalami hadis-hadisnya. Dari segi ketelitian terhadap hadis al-Zuhri, mereka berada di bawah peringkat pertama. Contohnya ialah al-Awza‘i, al-Layth, ‘Abdul Rahman bin Khalid bin Musafir dan yang seumpamanya. Hadis-hadis mereka daripada al-Zuhri biasanya diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Peringkat Ketiga:

Golongan yang lama berguru dan mendampingi al-Zuhri serta banyak meriwayatkan daripadanya, tetapi terdapat kritikan terhadap hafalan mereka. Contohnya ialah Sufyan bin Husain, Muhammad bin Ishaq, Salih bin Abi al-Akhdar, Zam‘ah bin Salih dan yang seumpamanya. Hadis-hadis mereka diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi, dan al-Nasa’i. Ada kalanya, Imam Muslim meriwayatkan daripada mereka sebagai sokongan (mutaba‘at).

Peringkat Keempat:

Golongan yang turut menerima kritikan seperti golongan dalam peringkat ketiga, namun mereka kurang menguasai hadis al-Zuhri kerana tidak lama berguru dengannya. Contohnya ialah Ishaq bin Yahya al-Kalbi, Mu‘awiyah bin Yahya al-Sadafi, Ishaq bin Abi Farwah, Ibrahim bin Yazid al-Makki, dan yang seumpamanya. Imam al-Tirmizi ada meriwayatkan daripada sebahagian mereka.

Peringkat Kelima:

Golongan yang terdiri daripada perawi yang ditinggalkan (matruk) atau tidak dikenali (majhul). Contohnya ialah al-Hakam al-Aili, ‘Abdul Quddus bin Habib, Muhammad bin Sa‘id al-Maslub, Bahr al-Saqqa’ dan yang seumpamanya. Periwayatan daripada mereka tidak boleh diterima melainkan untuk tujuan kajian lanjut atau sokongan (al-i‘tibar wa al-istishhad). Golongan ini tidak diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Abu Daud, atau al-Nasa’i. Sebahagian mereka ada diriwayatkan oleh Ibn Majah.

Mengenai peringkat pertama: Mereka adalah yang memenuhi syarat al-Bukhari. Beliau kadangkala meriwayatkan hadis daripada peringkat kedua, tetapi tidak secara menyeluruh.

Mengenai peringkat kedua: Mereka memenuhi syarat Muslim, di mana beliau meriwayatkan hadis peringkat pertama dan kedua secara menyeluruh, serta meriwayatkan hadis peringkat ketiga dengan kaedah yang sama seperti al-Bukhari dalam peringkat kedua.

Adapun peringkat keempat dan kelima: Mereka tidak diambil oleh kedua-duanya.

Al-Hafiz Ibn Hajar memberikan komen terhadap kenyataan al-Hazimi:

"Saya katakan, kebanyakan hadis daripada golongan kedua yang diriwayatkan oleh al-Bukhari adalah secara ta’liq dan kadangkala beliau turut meriwayatkan sedikit hadis daripada golongan ketiga juga secara ‘ta’liq’.”

Beliau juga berkata:

"Contoh yang kami sebutkan ini adalah khusus bagi perawi yang banyak meriwayatkan hadis (mukthirun). Maka, murid-murid bagi Nafi’, al-A’mash, Qatadah dan lain-lain juga diukur berdasarkan hal ini.

Adapun perawi yang kurang meriwayatkan hadis (ghayr mukthirun), maka kedua-dua imam hanya bergantung kepada sifat thiqah, ‘adil, dan sedikitnya kesalahan untuk dijadikan ukuran bagi pemilihan hadis-hadis mereka.

Namun, di kalangan mereka ada yang sangat dipercayai, sehingga kedua-dua imam meriwayatkan hadis yang hanya diriwayatkan secara bersendirian (tafarrud) oleh mereka sahaja seperti Yahya bin Sa’id al-Ansari.

Manakala, ada pula di kalangan mereka yang kurang dipercayai, sehingga kedua-dua imam hanya meriwayatkan hadisnya yang turut diriwayatkan oleh perawi lain bersamanya dan hal ini adalah yang paling banyak berlaku.”

Perbahasan Ketujuh: Metodologi Imam al-Bukhari dalam Menyusun Bab-Bab

Imam al-Bukhari tidak menyediakan mukadimah khusus untuk kitab ini, sebaliknya, beliau memulakan kitabnya terus dengan bab ‘Permulaan Wahyu kepada Rasulullah’. Kemudian, beliau menyusunnya berdasarkan bab-bab fiqh dan ilmu yang berada di bawah ‘kitab’ (tajuk besar). Kitab yang pertama ialah ‘Kitab Permulaan Wahyu’, diikuti dengan ‘Kitab Iman’, ‘Kitab Ilmu’, dan seterusnya. Kitab terakhir ialah ‘Kitab Tauhid’.

Setiap kitab dibahagikan kepada beberapa bab kecil dan setiap bab diberikan tajuk yang teliti dan sesuai dengan kandungannya. Tajuk-tajuk ini mencerminkan keluasan pemahaman fiqh Imam al-Bukhari serta kebolehannya yang tinggi dalam melakukan istinbat daripada hadis-hadis yang dimuatkan di bawah setiap bab.

Perbahasan Kelapan: Metodologi Imam al-Bukhari Dalam Penamaan Tajuk-Tajuk Bab

Yang dimaksudkan dengan tatajim al-abwab (tajuk-tajuk bab) ialah tajuk-tajuk yang menunjukkan kandungan di bawahnya, sama ada kandungan itu berupa hadis yang marfu' (disandarkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam), mauquf (disandarkan kepada sahabat), maqtu' (disandarkan kepada tabi'in), amalan yang diijmakkan atau pendapat ijtihad penyusun kitab. Tajuk-tajuk ini berperanan menjelaskan maksud teks dan hadis yang rumit, menerangkan maksud sebenar, serta menolak maksud yang tidak dikehendaki. Kadangkala, tajuk-tajuk tersebut menggantikan keperluan untuk menerangkan teks itu secara langsung atau menakwilkannya.

Imam al-Bukhari terkenal di kalangan penyusun kitab hadis kerana ketelitiannya yang luar biasa dalam tajuk-tajuk bab yang disusun dalam kitab ini. Beliau mencurahkan kefahaman dan ijtihadnya terhadap hadis ke dalam setiap tajuk bab, berdasarkan apa yang dicapai oleh usahanya. Dalam setiap tajuk, al-Bukhari turut menyertakan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dan kadangkala menyusun ayat-ayat tersebut secara lengkap berdasarkan hubungan dengan bab tersebut.

Kehebatan ijtihad Imam al-Bukhari serta ketelitiannya dalam mengembangkan ijtihad ini melalui tajuk-tajuk babnya menjadikan beliau dikenali dengan ungkapan: ‘Fiqh al-Bukhari terletak pada tajuk-tajuk babnya.’ Melalui tajuk-tajuk ini, beliau menonjolkan kehebatannya yang luar biasa serta kefahaman mendalam yang membezakan beliau daripada imam-imam lain yang menyusun kitab-kitab hadis.

Jenis-Jenis Tajuk Bab dalam Kitab Ini

Tajuk-tajuk bab dalam kitab ini terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:

1 - Tajuk-tajuk yang jelas (al-Tarajim al-Zahirah).

2 - Tajuk-tajuk yang tersembunyi (al-Tarajim al-Khafiyyah).

3 - Tajuk-tajuk yang umum (al-Tarajim al-Mursalah).

Berikut adalah penjelasan setiap jenis tersebut:

Jenis Pertama: Tajuk-Tajuk Yang Jelas (al-Tarajim al-Zahirah)

Ini adalah tajuk-tajuk yang ditunjukkan oleh hadis bab secara jelas dan sepadan dengan kandungannya secara nyata, di mana pembaca tidak perlu menggunakan pemikiran dan penelitian untuk memahami hubungan antara tajuk dengan hadis bab tersebut.

Contoh:

Imam al-Bukhari menulis tajuk: ‘Bab: Tanda Iman adalah Mencintai Kaum Ansar,’ kemudian beliau memasukkan hadis Anas bin Malik yang marfu':

"Tanda iman ialah mencintai kaum Ansar dan tanda nifaq ialah membenci kaum Ansar.”

Jenis Kedua: Tajuk-Tajuk Yang Tersembunyi (al-Tarajim al-Khafiyyah)

Ini merujuk kepada tajuk-tajuk yang diistinbat (diambil kesimpulan) oleh Imam Bukhari dari hadis yang terdapat dalam bab tersebut, di mana pembaca tidak dapat memahami hubungan antara tajuk dengan hadis secara langsung. Ini memerlukan perenungan terhadap tajuk-tajuk tersebut dan penggunaan pemikiran untuk memahami hubungan antara tajuk dengan hadis-hadis di bawahnya.

Contoh:

Imam al-Bukhari menulis dalam Kitab al-Adzan tajuk:

‘Bab: Ahli Ilmu dan Yang Mempunyai Kemuliaan Lebih Layak Menjadi Imam.’

Beliau kemudian memasukkan hadis dari beberapa riwayat yang hampir sama tentang perintah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam agar Abu Bakar menjadi imam solat ketika baginda sakit. Dalam hadis tersebut, Aisyah berkata:

"Sesungguhnya dia (Abu Bakar) adalah seorang yang lemah lembut. Jika dia berdiri di tempatmu, dia tidak akan mampu memimpin solat jemaah dengan baik."

Namun Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

"Suruhlah Abu Bakar memimpin solat bagi orang ramai...”

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam telah mengutamakan Abu Bakar untuk menjadi imam walaupun ada sahabat lain yang lebih lantang suara dan lebih kuat secara fizikal pada ketika itu. Diketahui bahawa Abu Bakar adalah sahabat yang paling tinggi ilmunya dan paling mulia di kalangan mereka. Berdasarkan dalil-dalil lain yang banyak, jelaslah bahawa keutamaan untuk menjadi imam diberikan kepada mereka yang lebih berilmu dan mulia. Oleh itu, Imam al-Bukhari menulis tajuk tersebut untuk bab ini.

Jenis Ketiga: Tajuk-Tajuk Umum (al-Tarajim al-Mursalah)

Tajuk ini adalah tajuk yang bersifat umum dan tidak terikat kepada frasa, perkataan, atau seumpamanya. Dalam hal ini, Imam al-Bukhari hanya menyebutkan perkataan ‘Bab’ tanpa menambahkan sebarang penjelasan atau tajuk yang spesifik. Tajuk jenis ini digunakan oleh al-Bukhari dalam dua keadaan:

Keadaan Pertama: Sebagai Pemisah Daripada Bab Sebelumnya

Dalam keadaan ini, kandungan bab ini bersambung dengan bab sebelumnya dan melengkapkannya, sehinggakan jika tajuk umum ini tidak wujud, hadis-hadis yang datang selepasnya masih sesuai dengan bab sebelumnya. Seolah-olah bab ini adalah pecahan daripada bab sebelumnya dan di sini Imam Bukhari memisahkannya sama ada kerana terdapat faedah tambahan yang terdapat dalam hadis yang lain atau untuk menarik perhatian pembaca kepada kepentingan apa yang terkandung di dalamnya. Contoh:

Dalam Kitab al-Tayammum, al-Bukhari menulis tajuk:

‘Bab: Tayammum dengan Satu Tepukan,’ lalu beliau membawakan hadis di mana Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

"Sesungguhnya memadai bagimu seperti ini," lalu baginda menyapu wajah dan kedua tangannya dengan sekali tepukan.

Selepas itu, al-Bukhari menulis tajuk umum ‘Bab’ dan membawakan hadis Imran bin Husain:

"Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melihat seorang lelaki yang menyendiri dan tidak solat bersama orang lain. Baginda bertanya: Wahai fulan, apa yang menghalangmu daripada solat bersama mereka? Lelaki itu menjawab: Aku dalam keadaan junub dan tidak ada air. Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Gunakanlah tanah yang bersih kerana ia mencukupi bagimu.”

Dalam bab ini, Imam al-Bukhari membawakan hadis tanpa memberikan tajuk yang khusus. Namun, kerana kandungan bab sebelumnya adalah tentang ‘Bab: Tayammum dengan Satu Tepukan,’ dan hadis dalam bab yang berikutnya membincangkan tayammum dengan menggunakan tanah yang bersih tanpa menyatakan sama ada ia dilakukan dengan satu tepukan atau dua tepukan, maka hadis ini dianggap sebagai pecahan daripada bab sebelumnya.

Imam al-Bukhari mengambil pendekatan ini kerana beliau tidak mengkhususkan cara tayammum, tetapi menjelaskan bahawa melakukan tayammum dengan sekali tepukan adalah cara paling minimum untuk menunaikan kewajipan tersebut dan kewajipan ini adalah sesuatu yang pasti.

Dalam erti kata lain, hadis yang dibawakan oleh Imam al-Bukhari dalam bab ini (iaitu tajuk bab yang umum) menjadi sokongan kepada hadis dalam bab sebelumnya. Sebab mengapa beliau tidak menyatukan kedua-dua hadis ini dalam satu bab adalah kerana hadis yang kedua tidak secara terang-terangan menyebut bahawa tayammum dilakukan dengan satu tepukan. Sebaliknya, pemahaman itu hanya dapat diperoleh melalui istinbat . Oleh itu, Imam al-Bukhari memutuskan untuk memberikan bab ini tempat yang tersendiri, tetapi tanpa menamakannya, kerana ia masih berkaitan rapat dengan bab sebelumnya

Keadaan Kedua: Tajuk Yang Tidak Berfungsi Sebagai Pemisah Tetapi Berkaitan Dengan Kitab

Dalam keadaan ini, kandungan bab tidak bertindak sebagai pemisah kepada bab sebelumnya, tetapi ia masih berkaitan dengan tema utama kitab (tajuk besar) yang menjadi asas kepada bab-bab tersebut.

Contoh:

Dalam Kitab al-Solat, Imam al-Bukhari menulis tajuk:

Bab: Membawa Unta ke Masjid Kerana Keperluan,’ dan beliau menyebutkan hadis daripada Ummu Salamah, yang berkata:

"Aku mengadu kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bahawa aku sedang sakit. Maka baginda bersabda: Lakukan tawaf di belakang orang ramai dengan menaiki tungganganmu. Maka aku pun bertawaf sedemikian, sementara Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sedang solat di sisi Kaabah..”

Selepas itu, Imam al-Bukhari memasukkan satu bab lagi tanpa memberikan tajuk dan hanya menyebut ‘Bab’ lalu menyertakan hadis daripada Anas bin Malik:

"Dua orang lelaki daripada kalangan sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam keluar dari sisi baginda pada malam yang gelap dan bersama mereka berdua ada sesuatu seperti dua pelita yang menerangi jalan di hadapan mereka. Apabila kedua-duanya berpisah, setiap seorang daripadanya mendapat satu pelita sehingga mereka tiba di rumah masing-masing.”

Seperti yang dapat diperhatikan, tiada hubungan langsung atau kaitan yang jelas antara kedua-dua bab ini. Maka, bab tanpa tajuk yang disebut oleh Imam al-Bukhari itu tidak berfungsi sebagai pemisah kepada bab sebelumnya. Sebaliknya, jika diperhatikan secara umum, bab-bab sebelum ini membincangkan hal berkaitan masjid, manakala hadis yang dimasukkan oleh Imam al-Bukhari dalam bab umum ini menyentuh kelebihan pergi ke masjid pada waktu gelap.

Perbahasan Kesembilan: Metodologi Imam al-Bukhari Dalam Pengulangan Hadis

Maksud pengulangan hadis ialah penyebutan sebuah hadis dalam satu bab atau lebih, sama ada dengan lafaz yang sama atau dengan tambahan atau pengurangan, sama ada melalui satu sanad atau lebih.

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Hafiz Abu al-Fadl Muhammad bin Tahir al-Maqdisi yang berkata:

"Ketahuilah bahawa al-Bukhari - rahimahullah - sering kali menyebutkan sebuah hadis dalam kitabnya di beberapa tempat, dengan menggunakan sanad yang berbeza di setiap bab. Beliau mengeluarkan daripada hadis tersebut melalui cara istinbat yang baik dan pemahaman fiqh yang mendalam, selaras dengan tema bab yang dimasukkan hadis tersebut. Jarang sekali beliau menyebutkan hadis dalam dua tempat dengan sanad dan lafaz yang sama. Sebaliknya, beliau mengulanginya melalui jalur lain untuk tujuan-tujuan tertentu yang akan kami akan sebutkan - dan Allah lebih mengetahui maksudnya:

1 - Salah satu tujuannya adalah beliau meriwayatkan hadis daripada seorang sahabat, kemudian menyebutkannya semula melalui seorang sahabat lain. Tujuannya adalah untuk mengangkat hadis tersebut daripada status ‘gharib’ (diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja). Beliau juga menggunakan kaedah yang sama terhadap perawi daripada generasi kedua, ketiga, dan seterusnya sehingga sampai kepada gurunya. Orang yang bukan ahli dalam bidang ini mungkin menyangka ia adalah pengulangan, tetapi sebenarnya tidak, kerana setiap penyebutan itu mengandungi faedah tambahan.

2 - Antara tujuannya juga adalah untuk mensahihkan hadis berdasarkan prinsip ini, di mana setiap riwayat hadis mengandungi makna yang berbeza. Oleh itu, beliau menyebutkannya dalam setiap bab melalui jalur yang berbeza daripada jalur yang pertama.

3 - Ada juga hadis yang diriwayatkan oleh sebahagian perawi secara lengkap, tetapi oleh sebahagian perawi lain secara ringkas. Beliau menyebutkannya seperti mana yang diriwayatkan untuk menghilangkan keraguan terhadap perawi yang meriwayatkan hadis itu.

4 - Kadangkala para perawi menggunakan ungkapan yang berbeza. Seorang perawi meriwayatkan hadis dengan satu lafaz yang membawa satu makna, sementara perawi lain meriwayatkannya dengan ungkapan yang berbeza tetapi membawa makna lain. Dalam keadaan ini, jika semua jalur tersebut sahih mengikut syarat al-Bukhari, beliau akan menyebutkan hadis itu melalui semua jalurnya dan memperuntukkan bab yang khusus untuk setiap lafaz.

5 - Antara tujuannya juga ialah hadis-hadis yang ada percanggahan antara riwayat yang bersambung (mawsul) dan riwayat yang terputus (mursal). Jika sanad bersambung lebih kuat menurut beliau, maka beliau mengutamakannya, tetapi tetap menyebutkan riwayat mursal untuk menunjukkan bahawa ia tidak memberi kesan terhadap kesahihan sanad bersambung.

6 - Begitu juga hadis-hadis yang ada percanggahan antara riwayat yang terhenti pada sahabat (mawquf) dan yang diangkat hingga kepada Nabi (marfu‘). Hukum dalam hal ini sama seperti sebelumnya, iaitu riwayat yang lebih kuat diutamakan.

7 - Ada juga hadis-hadis di mana sebahagian perawi menambah seorang perawi dalam sanad, sedangkan perawi lain tidak menyebutkannya. Beliau akan menyebutkan kedua-dua versi, jika menurutnya perawi itu mendengar daripada gurunya yang meriwayatkan daripada perawi lain, kemudian perawi itu sendiri bertemu dengan perawi lain tersebut dan meriwayatkan daripadanya. Maka, hadis itu diriwayatkan dengan kedua-dua cara.

8 - Kadangkala al-Bukhari menyebutkan hadis yang sanadnya berbentuk ‘an‘anah (lafaz “daripada” yang tidak menunjukkan mendengar hadis secara langsung). Kemudian beliau menyebutkannya melalui jalur lain yang secara jelas menyatakan pendengaran langsung (sama‘), sebagaimana yang diketahui daripada kaedah beliau yang mensyaratkan sabitnya pertemuan perawi bagi hadis mu‘an‘an.

Semua ini berkaitan dengan pengulangan teks hadis yang sama satu tempat lain atau beberapa tempat.

9 - Adapun tentang pecahan hadis ke dalam beberapa bab atau hanya menyebut sebahagian daripada hadis itu, hal ini kerana jika teks hadis itu pendek atau bahagian-bahagiannya saling berkaitan tetapi mengandungi dua hukum atau lebih, beliau akan mengulanginya mengikut keperluan. Dalam hal ini, beliau memastikan tetap ada faedah hadis yang diperoleh, iaitu menyebutkan hadis itu melalui guru yang berlainan daripada guru sebelumnya, sebagaimana yang telah dijelaskan. Dengan cara ini, kita memperoleh tambahan jalur periwayatan bagi hadis tersebut.

10 - Jika beliau memiliki keterbatasan dalam periwayatan dan hadis tersebut beliau hanya memiliki satu jalurnya sahaja, maka beliau akan memanfaatkannya dengan cara yang berbeza. Beliau akan menyebutnya dalam satu tempat secara mawsul dan di tempat lain secara mu‘allaq.

11 - Beliau kadangkala meriwayatkan hadis tersebut secara lengkap, dan kadangkala hanya menyebutkan bahagian yang diperlukan untuk bab tertentu.

Sebahagian pensyarah Sahih al-Bukhari meriwayatkan bahawa al-Bukhari berkata:

"Namun, aku tidak ingin memasukkan dalam kitab ini sesuatu yang berulang."

Ibnu Hajar mengulas:

"Kenyataan ini menunjukkan bahawa beliau tidak berniat untuk meriwayatkan hadis yang berulang dalam kitabnya dengan sanad dan matan yang sama secara sengaja. Jika terdapat pengulangan seperti itu, ia berlaku tanpa sengaja dan jumlahnya sangat sedikit.

Apabila perkara ini jelas, dapat difahami bahawa al-Bukhari tidak mengulang kecuali untuk tujuan tertentu. Sekiranya manfaat daripada pengulangan itu tidak terlihat sama ada dari aspek sanad mahupun matan, maka pengulangannya dilakukan kerana adanya perbezaan hukum yang terkandung dalam bab kedua, yang menjadikan pengulangan itu diperlukan supaya tidak dianggap berulang tanpa faedah.

Bagaimana mungkin, sedangkan beliau tidak membiarkan pengulangan itu tanpa faedah sanad, seperti menyebutkan sanad melalui guru yang berbeza daripada guru sebelumnya, atau alasan lain sebagaimana yang telah dijelaskan.

Hal ini dapat dilihat dengan jelas bagi sesiapa yang mengkaji kitabnya secara menyeluruh dan bersikap adil terhadap dirinya sendiri.”

Perbahasan Kesembilan: Metodologi Imam al-Bukhari Dalam Menyebutkan Hadis Mu’allaq

Mu'allaq ialah hadis yang dibuang atau dihilangkan dari permulaan sanadnya seorang perawi atau lebih, ataupun keseluruhan sanadnya.

Mengenai hadis-hadis mu'allaq dalam Sahih al-Bukhari, ulasan terbaik mengenainya adalah oleh al-Hafiz Ibnu Hajar. Menurut beliau, hadis-hadis marfu' yang tidak disebut sanadnya secara sempurna oleh al-Bukhari dalam kitab Sahihnya ada dua jenis:

Pertama, ada yang ditemukan sanadnya dalam tempat lain di dalam kitabnya.

Kedua, ada yang hanya ada sebagai mu'allaq sahaja.

Bagi jenis pertama, sebab al-Bukhari menggugurkannya adalah kerana kebiasaannya dalam kitab Sahihnya, beliau tidak mengulangi sesuatu kecuali ada manfaat tertentu. Jika matan hadis mengandungi hukum-hakam, beliau akan mengulanginya dalam bab-bab tertentu mengikut keperluan atau memecahkannya dalam bab-bab jika setiap bahagian matan boleh berdiri sendiri. Walaupun begitu, beliau tidak mengulangi sanad, sebaliknya menggantikan dengan perawi yang berbeza, sama ada dari kalangan gurunya, guru kepada gurunya, atau yang seumpamanya.

Jika jalan periwayatan hadis itu terbatas dan hanya mempunyai satu sanad sahaja, tetapi matan tersebut mengandungi banyak hukum yang memerlukan pengulangan, maka dalam situasi ini beliau akan memilih sama ada untuk meringkaskan matan atau meringkaskan sanad. Inilah salah satu sebab beliau menggugurkan sanad dalam satu tempat tetapi menyempurnakannya di tempat lain.

Adapun jenis kedua, iaitu hadis yang hanya terdapat dalam bentuk mu'allaq, ia mempunyai dua bentuk:

Pertama, sama ada dengan menggunakan lafaz yang tegas (jazm) seperti “dia berkata”, “dia menyebutkan”, dan “dia menceritakan”.

Kedua, lafaz yang menunjukkan kelemahan (tamridh) seperti “dikatakan”. “disebutkan" dan “diceritakan”.

Bagi bentuk pertama, iaitu mu'allaq dengan lafaz yang jazm, hadis tersebut adalah sahih sehingga kepada perawi yang diambil hadis daripadanya, tetapi perinciannya bergantung kepada status perawi-perawinya dan sebahagiannya memenuhi syarat al-Bukhari.

Sebab beliau menggugurkan sanadnya adalah kerana beberapa faktor, sama ada kerana beliau tidak mendapatkan hadis itu secara mendengar langsung tetapi melalui kaedah seperti muzakarah atau ijazah atau kerana beliau telah menyebut hadis yang sama dalam bentuk yang lain, sehingga memadai baginya untuk tidak menyebutkan mu'allaq ini dengan lengkap atau mungkin juga kerana sebab-sebab lain yang tertentu.

Sebahagian daripada hadis mu'allaq tidak memenuhi syarat al-Bukhari, walaupun disahihkan oleh ulama lain atau dinilai sebagai hasan. Sebahagian lagi adalah lemah disebabkan masalah terputusnya sanad.

Adapun jenis kedua, iaitu mu'allaq dengan lafaz tamridh dan tidak disebutkan di tempat lain, kebanyakannya tidak memenuhi syarat al-Bukhari kecuali beberapa tempat yang sedikit, di mana beliau menyebutkan dengan lafaz ini kerana ingin menyebutkannya secara maknanya sahaja.

Namun, terdapat mu’allaq yang sahih walaupun tidak memenuhi syaratnya, sama ada kerana perawi hadis mu’allaq tersebut tidak diriwayatkan hadisnya oleh beliau atau kerana ada kecacatan padanya menurut pandangan beliau. Sebahagian daripadanya dinilai sebagai hasan, dan sebahagian lagi adalah lemah. Hadis-hadis lemah ini terbahagi kepada dua kategori:

Pertama, yang dapat dikuatkan dengan hadis lain.

Kedua, yang kekal berada dalam kategori lemah. Jika hadis itu berada dalam keadaan lemah seperti ini, al-Bukhari akan menjelaskan kelemahannya secara jelas apabila menyebutkannya dalam kitabnya.

Hukum Hadis Mu'allaq dalam Sahih al-Bukhari

Berdasarkan penjelasan al-Hafiz Ibnu Hajar, hukum bagi hadis mu'allaq dalam Sahih al-Bukhari adalah seperti berikut:

1- Hadis mu'allaq dengan lafaz jazm yang sahih dan memenuhi syarat al-Bukhari.

2 - Hadis mu'allaq dengan lafaz jazm yang sahih tetapi tidak memenuhi syarat al-Bukhari.

3 - Hadis mu'allaq dengan lafaz jazm yang lemah disebabkan terputusnya sanad.

4 - Hadis mu'allaq dengan lafaz tamridh yang sahih tetapi tidak memenuhi syarat al-Bukhari.

5 - Hadis mu'allaq dengan lafaz tamridh yang dinilai sebagai hasan.

6 - Hadis mu'allaq dengan lafaz tamridh yang lemah.

Ibnu Hajar telah memberikan contoh bagi setiap kategori hadis mu'allaq ini. Beliau seterusnya berkata:

"Daripada contoh-contoh ini jelas bahawa banyak hadis yang tidak memenuhi syarat al-Bukhari dalam kategori mu'allaq dengan lafaz jazm. Adapun hadis mu'allaq dengan lafaz tamridh, jika digunakan untuk tujuan berhujah atau sebagai sokongan, maka ia sama ada sahih, hasan, atau lemah tetapi dapat dikuatkan. Jika digunakan dalam konteks ingin menolaknya, maka ia lemah menurut al-Bukhari. Dan seperti yang telah kami jelaskan, beliau akan menyatakan kelemahannya dengan jelas."

Hadis-hadis mu'allaq dalam kitab ini berjumlah 1,341 buah dan kebanyakannya disempurnakan sanadnya di tempat lain dalam kitab tersebut. Al-Hafiz Ibn Hajar telah mengarang sebuah kitab khusus untuk menyambungkan baki hadis mu'allaq ini, iaitu sebanyak 159 hadis dan beliau menamakannya sebagai Taghliq al-Ta'liq 'ala Sahih al-Bukhari. Dalam kitab itu, beliau turut menambah mutaba'at (riwayat sokongan) dan mawqufat (riwayat yang terhenti pada sahabat). Ibn Hajar juga telah meringkaskan kitabnya ini dalam mukadimah kitabnya yang terkenal, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari.

Perbahasan Kesepuluh: Syarat Imam al-Bukhari Tentang Kebersambungan Sanad Bagi Hadis Mu’an’an

Hadis mu’an’an adalah hadis yang perawinya tidak menyatakan bahawa dia mendengar hadis secara langsung daripada perawi sebelumnya sebaliknya dia berkata: “Daripada si fulan (‘An Fulan).”

Al-Bukhari menetapkan syarat khusus dalam memastikan sanad mu'an'an itu bersambung dan ini juga merupakan salah satu sebab mengapa kitab Sahih al-Bukhari dianggap lebih utama berbanding kitab-kitab hadis lain. Penjelasan mengenainya adalah seperti berikut:

Menurut majoriti ulama hadis, sanad mu'an'an dianggap bersambung apabila memenuhi dua syarat:

Pertama, bersambungnya sanad antara perawi dengan orang yang meriwayatkan daripadanya melalui lafaz ‘an’.

Kedua, perawi yang meriwayatkan dengan lafaz ‘an’ bukan seorang mudallis (perawi yang menyembunyikan kecacatan sanad).

Secara umum, para ulama hadis sepakat tentang perkara ini. Namun, mereka berbeza pandangan dalam perincian mengenai cara untuk menetapkan bersambungnya sanad antara perawi dan gurunya. Apakah bersambungnya sanad itu hanya ditetapkan melalui bukti jelas tentang pertemuan mereka atau cukup dengan mereka hidup dalam zaman yang sama (mu’asarah) dan adanya kemungkinan untuk bertemu tanpa ada halangan?

Syarat al-Bukhari dalam bersambungnya sanad mu'an'an ialah kewujudan bukti yang jelas bahawa perawi pernah bertemu dengan gurunya. Beliau tidak memadai dengan sekadar mu’asarah (hidup dalam zaman yang sama) atau kemungkinan untuk bertemu.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata:

"Muslim berpendapat - seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam mukadimah kitab Sahih beliau, malah beliau tegas dalam membantah mereka yang tidak sependapat - bahawa sanad mu'an'an dianggap bersambung apabila perawi dan orang yang meriwayatkan daripadanya hidup sezaman, walaupun tiada bukti yang menunjukkan mereka pernah bertemu. Kecuali jika perawi itu seorang mudallis, maka sanad tersebut tidak dianggap bersambung.

Namun, al-Bukhari tidak menganggap sanad itu bersambung kecuali terdapat bukti bahawa mereka pernah bertemu, walaupun hanya sekali. Beliau menjelaskan pandangannya ini dalam kitab al-Tarikh dan menerapkannya secara konsisten dalam Sahihnya. Bahkan, beliau sering menyebutkan hadis yang kelihatannya tidak berkaitan langsung dengan bab tertentu hanya untuk menunjukkan bahawa perawi tertentu mendengar secara langsung daripada gurunya apabila ada keraguan atau kritikan tentang bersambungnya sanad mereka. Ini berlaku terutamanya jika beliau telah menyebutkan hadis mereka yang bersifat mu'an'an sebelum itu.

Inilah salah satu aspek yang menjadikan kitab Sahih al-Bukhari lebih unggul. Meskipun kita menerima pandangan Muslim yang menghukum sanad mu'an'an sebagai bersambung, jelas bahawa syarat al-Bukhari lebih kukuh dalam memastikan ketersambungan sanad.”

Perbahasan Kesebelas: Keistimewaan Sahih al-Bukhari

1 - Salah satu keutamaan terbesar Sahih al-Bukhari ialah kesepakatan umat Islam terhadap kesahihan hadis-hadisnya. Kitab ini diterima dengan penuh penghormatan dan ditempatkan pada kedudukan yang paling tinggi. Tiada kitab hadis bagi mana-mana ahli hadis, mahupun kitab mana-mana imam atau faqih daripada kalangan ulama terdahulu dan terkemudian, yang mencapai kedudukan, keutamaan, penerimaan, pujian, dan sanjungan sebagaimana yang diperoleh Sahih al-Bukhari. Para ulama umat Islam sepakat bahawa kitab ini adalah kitab paling utama selepas Al-Qur'an al-Karim.

2 - Al-Bukhari amat teliti, cermat, dan berhati-hati dalam memilih hadis-hadis untuk dimuatkan dalam kitabnya. Beliau memilih para perawi dari kalangan perawi terbaik, yang tergolong dalam lapisan tertinggi dari segi penerimaan hadis, baik dalam aspek periwayatan mahupun penyampaian. Jika ada perawi yang dipertikaikan kerana kelemahan, kekeliruan, atau sebab lain yang boleh mencacatkan periwayatan mereka, al-Bukhari hanya meriwayatkan hadis mereka yang bebas daripada sebarang kritikan. Semua kriteria yang menjadi asas penilaian kesahihan hadis diterapkan secara lebih tinggi dan sempurna dalam kitab ini berbanding kitab-kitab hadis lain.

3 - Setelah menyelesaikan penyusunan kitabnya, al-Bukhari mempersembahkannya kepada sekumpulan ulama besar dan huffaz pada zamannya, termasuk Ibn Ma’in, Ibn al-Madini, dan Ahmad bin Hanbal. Mereka semua mengakui kesahihan isi kandungan kitab tersebut kecuali terhadap empat hadis, namun pendapat al-Bukhari yang mensahihkan hadis tersebut lebih tepat.

4 - Al-Bukhari berkata: “Tidaklah aku meletakkan satu hadis pun dalam kitab Sahih ini melainkan aku mandi terlebih dahulu dan solat dua rakaat sebelum itu.” Beliau juga solat dua rakaat untuk setiap tajuk bab yang disusun olehnya.

5 - Al-Bukhari memulakan penulisan, penyusunan, dan pengolahan bab-bab kitab ini di Masjidil Haram dan beliau menyempurnakannya di pelbagai tempat lain. Penyusunan yang dimulakan di Tanah Haram ini menunjukkan keberkatan dan keistimewaan, kerana ia dilakukan di tempat turunnya wahyu, sumber cahaya Islam, tumpuan hati para mukminin, serta kiblat solat dan doa mereka.

6 - Salah satu keistimewaan kitab ini ialah al-Bukhari menyelesaikan proses penyalinan bab-bab kitabnya daripada draf kasar kepada salinan akhir di tempat yang diberkati, iaitu di antara makam Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan mimbar baginda. Oleh itu, kitab ini dihimpunkan bersama gabungan niat yang baik, ibadah yang ikhlas, istikharah, tahap ketelitian dan ketepatan yang tinggi, pengiktirafan daripada para ulama besar, serta keberkatan tempat-tempat suci, cahaya wahyu, dan hembusan keberkatan kenabian di dua masjid suci.

7 - Kitab ini adalah yang pertama seumpamanya yang secara khusus menyaring hadis-hadis sahih daripada yang daif. Al-Bukhari mengkhususkan kitabnya hanya untuk hadis-hadis yang sahih. Dengan cara ini, beliau mendahului semua rakan sezamannya dan para ulama lain dalam bidang ini.

8 - Al-Bukhari membezakan dirinya daripada penulis kitab hadis lain dengan menetapkan syarat bahawa perawi dalam sanad mu'an'an mesti disahkan pernah bertemu selain hidup sezaman (mu'asarah). Syarat ini berbeza daripada pendekatan Muslim dan mereka yang sependapat dengannya yang hanya mensyaratkan mu'asarah.

9 - Kitab ini juga istimewa kerana tajuk-tajuk babnya yang unik, teliti, dan mendalam. Al-Bukhari terkenal dengan keahliannya dalam menyusun tajuk-tajuk ini yang memukau pemikiran, mencetuskan kekaguman, dan mengundang renungan yang mendalam daripada para ulama serta pembaca.

10 - Al-Bukhari sering mengulangi hadis-hadis dalam kitabnya, memecahkannya kepada bahagian-bahagian, dan menyusunnya mengikut maksud tertentu yang sesuai dengan bab-bab tertentu. Pendekatan ini membolehkan beliau mengeluarkan pelbagai kandungan fiqh, pengetahuan zahir dan tersembunyi serta pelbagai faedah lain yang sangat berharga yang dikupas secara mendalam oleh para pensyarah kitab ini.

Rujukan:

- Al-Madkhal Ila Sahih al-Imam al-Bukhari oleh Muhammad Muhammadi bin Muhammad Jamil al-Nursatani.

- Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi al-Hadith oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

- Al-Wadih Fi Manahij al-Muhaddithin oleh Yasir al-Syamali.

- Masadir al-Hadith Wa Maraji'uhu oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

- Mukadimah Sahih al-Bukhari terbitan Muassasah al-Risalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan