Coby The Cat |
Abu Hurairah
Siapa di antara kita yang mengenali sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang bernama Abdul Rahman bin Saqr? Sudah pasti ramai di antara kita yang tidak mengenali nama ini. Tetapi apabila disebut gelarannya iaitu Abu Hurairah (lahir 19 tahun sebelum Hijrah dan meninggal pada tahun 57 Hijrah) sudah pasti ramai di antara kita yang mengenali sahabat nabi yang agung ini.
Pendapat paling masyhur mengatakan
bahawa Abdul Rahman bin Saqr adalah nama sebenar kepada Abu Hurairah dan terdapat
perbezaan pendapat ulama tentang nama sebenar bagi beliau. Beliau merupakan
sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang paling banyak menghafaz dan
meriwayatkan hadis.
Mengapa Beliau Digelar Abu Hurairah (Bapa Kucing)?
Ibnu Ishak berkata: Telah menceritakan kepadaku oleh sebahagian sahabatku daripada Abu Hurairah, beliau berkata:
“Namaku ketika jahiliyyah ialah Abdul Syams bin Saqr. Maka Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menamakanku dengan nama Abdul Rahman. Aku digelar Abu Hurairah kerana apabila aku terjumpa kucing, maka aku membawanya di dalam lengan bajuku. Maka digelarkan aku sebagai Abu Hurairah (bapa kucing).”
Diriwayatkan oleh al-Termizi (hadis no. 3840) dengan sanad yang hasan daripada Ubaidillah bin Abi Rafi’, beliau berkata:
“Aku bertanya kepada Abu Hurairah, mengapa engkau digelar Abu Hurairah?
Beliau menjawab: “Ketika aku mengembala kambing keluargaku, aku membawa seekor anak kucing bersamaku. Aku meletakkannya di atas pokok pada waktu malam dan ketika waktu siang aku membawanya bersamaku dan aku bermain dengannya. Maka aku digelar Abu Hurairah.”
[Rujukan: Ibnu Hajar al-Asqalani, Al-Isobah Fi Tamyiz As-Sahabah, jilid 13, ms. 30, cetakan Dar ‘Alam al-Kutub)
Kucing Dalam Bahasa Arab
Dalam bahasa Arab, kucing dipanggil dengan pelbagai nama, antaranya:
1. اَلْهِرٌّ (Al-Hirrun)
2. اَلْبَسٌّ (Al-Bassun)
3. اَلْقِطٌّ (Al-Qittun)
4. اَلْسِّنَّوْرٌ (As-Sinnaur)
5. الضَّيْوَنٌ (Ad-Dhaiwan)
Hadis-Hadis Tentang Kucing
Hadis Pertama
عَنْ كَبْشَةَ بِنْتِ كَعْبٍ وَكَانَتْ تَحْتَ بَعْضِ
وَلَدِ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّهَا صَبَّتْ لِأَبِي
قَتَادَةَ مَاءً يَتَوَضَّأُ بِهِ فَجَاءَتْ هِرَّةٌ تَشْرَبُ فَأَصْغَى
لَهَا الْإِنَاءَ فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَيْهِ فَقَالَ يَا ابْنَةَ أَخِي
أَتَعْجَبِينَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ هِيَ مِنْ الطَّوَّافِينَ أَوْ
الطَّوَّافَاتِ.
Daripada Kabshah bt Ka’ab ibn Malik meriwayatkan:
"Pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu saya menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian datang seekor kucing dan ia menjilat air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu menjilat air daripada bekas tersebut."
Kabshah meneruskan kata-katanya:
"Abu Qatadah perasan yang saya memandang kepadanya, lalu dia bertanya, adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?”
Saya menjawab: “Ya”.
Abu Qatadah menjelaskan:
"Rasulullah saw pernah bersabda:
“Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu."
Riwayat Abu Daud (no. 75), al-Termizi (no. 92), an-Nasa’ie (no. 68) dan Ibnu Majah (no. 367). Hadis ini sahih. Disahihkan oleh al-Bukhari, al-Termizi, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, al-Hakim, al-Daraqutni, al-‘Uqaili, al-Baihaqi, al-Nawawi dan lain-lain.
Huraian Ringkas:
1. Hadis ini menunjukkan keharusan memelihara kucing.
2. Boleh bersuci dan mengambil wuduk daripada lebihan sisa air yang telah diminum oleh kucing kerana ianya tidak najis. Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitab al-Majmu’: “Dalam mazhab kami (mazhab Syafi'e) berpendapat bahawa lebihan sisa minuman kucing adalah suci dan tidak makruh. Demikian juga lebihan sisa semua binatang-binatang lainnya seperti kuda, keldai, binatang buas, tikus, ular, cicak dan binatang lainnya sama ada yang boleh dimakan dagingnya atau tidak. Maka lebihan sisa minuman dan peluhnya adalah suci dan tidak makruh kecuali daripada anjing dan babi serta anak yang terhasil daripada salah satu daripada keduanya.”
2. Hendaklah berlaku ihsan kepada haiwan dengan memberi makan dan minum kepada mereka dan janganlah menyakiti dan berbuat zalim kepada mereka.
Hadis Kedua
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَتَوَضَّأُ
أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ
وَاحِدٍ قَدْ أَصَابَتْ مِنْهُ الْهِرَّةُ قَبْلَ ذَلِكَ.
Diriwayatkan daripada Aisyah, beliau berkata:
“Aku dan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengambil wuduk daripada bekas air yang sama yang merupakan bekas air yang telah diminum oleh kucing sebelum itu.”
Riwayat Ibnu Majah (no. 368) dengan sanad yang daif. Dalam sanadnya ada perawi yang bernama Harithah bin Abi al-Rijal, dia ada daif.
Huraian Ringkas:
1. Hadis ini juga sama seperti hadis pertama, menunjukkan lebihan sisa air minuman kucing adalah suci dan boleh digunakan untuk bersuci.
Hadis Ketiga
الْهِرَّةُ لَا تَقْطَعُ الصَّلَاةَ لِأَنَّهَا مِنْ مَتَاعِ
الْبَيْتِ.
“Kucing tidak memutuskan solat kerana sesungguhnya ianya adalah penyeri rumah.”
Riwayat Ibnu Majah (no. 369). Hadis ini diriwayatkan secara marfu’ daripada kata-kata Rasulullah dan secara mauquf daripada kata-kata Abu Hurairah. Yang tepatnya ia adalah kata-kata Abu Hurairah sebagaimana yang diisyaratkan oleh Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya.
Huraian Ringkas:
1. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim disebutkan bahawa lintasan perempuan, keldai dan anjing di hadapan orang yang bersolat boleh memutuskan solatnya.
Hadis ini diperselisihkan ulama dalam memahaminya. Sebahagian ulama memahaminya secara zahir lalu mereka menganggap lintasan perempuan, keldai dan anjing di hadapan orang yang bersolat akan membatalkan solatnya. Sebahagian ulama yang lain memahami maksud ‘memutuskan’ dalam hadis tersebut sebagai memutuskan kekhusyukan solat atau memutuskan pahala solat kerana hilang fokus kerana lintasan tiga perkara tersebut. Jumhur ulama (termasuk mazhab al-Syafie) berpendapat bahawa lintasan apa sekalipun di hadapan orang yang bersolat tidak membatalkan solatnya.
Abu Hurairah antara orang yang berpendapat lintasan perempuan, keldai dan anjing di hadapan orang yang bersolat akan membatalkan solatnya. Jadi, dalam ucapannya ini beliau ingin membezakan antara lintasan kucing dengan lintasan perempuan, keldai dan anjing di hadapan orang yang bersolat.
2. Kucing dianggap penyeri rumah kerana manfaat yang ada padanya seperti membantu menangkap dan memakan haiwan perosak yang ada di dalam rumah serta sifat manjanya yang menyenangkan hati pemiliknya.
Hadis Keempat
عَنْ جَابِرٍ قَالَ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ الْهِرَّةِ وَثَمَنِهَا
Diriwayatkan daripada Jabir, beliau berkata: “Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melarang memakan kucing dan jual belinya.”
Hadis sahih, riwayat Abu Daud (no. 3480 & 3807), at-Termizi (no. 1326), dan Ibnu Majah (no. 3250).
Huraian Ringkas:
1. Hadis ini merupakan dalil keharaman memakan kucing.
2. Adapun mengenai hukum jual beli kucing, terdapat perbincangan ulama tentangnya. Jumhur ulama di antaranya empat imam mazhab mengharuskan jual beli kucing. Pendapat ulama yang mengharamkan jual beli kucing adalah pendapat Abu Hurairah, Tawus, Mujahid dan mazhab Zahiri.
3. Adapun larangan jual beli kucing dalam hadis tersebut adalah larangan jual beli kucing liar yang tidak memberi manfaat. Adapun jika kucing tersebut dimanfaatkan dengan manfaat yang dibenarkan oleh agama seperti membela kucing sebagai haiwan peliharaan, maka jual belinya sah dan hasil jual belinya halal. Inilah pendapat Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim.
Hadis Kelima
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ عُذِّبَتْ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ
سَجَنَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ لَا هِيَ
أَطْعَمَتْهَا وَسَقَتْهَا إِذْ حَبَسَتْهَا وَلَا هِيَ تَرَكَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ
خَشَاشِ الْأَرْضِ.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Seorang wanita diazab disebabkan oleh seekor kucing. Dikurung kucing itu sehingga mati. Disebabkan perbuatannya itu, Allah memasukkannya ke dalam neraka. Kucing itu dikurung tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskan kucing itu untuk memakan haiwan perosak yang berada di bumi.”
Hadis sahih, riwayat al-Bukhari (no. 2365, 3318 & 3482) dan Muslim (no. 2242 & 2619).
Huraian Ringkas:
1. Dalam riwayat yang lain menyebutkan bahawa wanita tersebut daripada kalangan Bani Israel manakala sebahagian riwayat yang lain pula mengatakan dia daripada kabilah Himyariah (sebuah kabilah dari Yaman). Tidak ada pertentangan antara kedua-duanya kerana terdapat sebahagian orang daripada kabilah Himyariah yang masuk ke agama Yahudi. Jadi kadang-kala mereka dinisbahkan kepada kabilah mereka dan kadang-kala pula dinisbahkan kepada agama mereka.
2. Hadis ini menjadi dalil keharaman membunuh kucing dan keharaman mengurung kucing tanpa makan dan minum.
3. Zahir hadis ini menunjukkan perempuan itu adalah seorang Muslimah dan dia diazab disebabkan perbuatannya menyeksa kucing tersebut dan berkemungkinan juga perempuan itu adalah kafir dan dia diazab disebabkan kekafirannya dan ditambah lagi azabnya disebabkan perbuatannya menyeksa kucing itu.
4. Perbuatan menyeksa kucing bukanlah dosa kecil, bahkan ianya dosa besar berdasarkan hadis ini.
5. Wajib bagi pemilik haiwan memberi makan dan minum bagi haiwan yang dimilikinya.
6. Maksud 'haiwan perosak yang berada di bumi' yakni haiwan seperti tikus, serangga atau seumpamanya.
Hadis Keenam
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إلَى أَرْضٍ بِالْمَدِينَةِ، يُقَالُ لَهَا:
بَطْحَانُ، فَقَالَ: يَا أَنَسُ اُسْكُبْ لِي وَضُوءًا" فَسَكَبْتُ لَهُ،
فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَاجَتَهُ
أَقْبَلَ إلَى الْإِنَاءِ، وَقَدْ أَتَى هِرٌّ فَوَلَغَ فِي الْإِنَاءِ، فَوَقَفَ
لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقْفَةً حَتَّى شَرِبَ
الْهِرُّ، ثُمَّ سَأَلْتُهُ فَقَالَ: يَا أَنَسُ إنَّ الْهِرَّ مِنْ مَتَاعِ
الْبَيْتِ لَنْ يُقَذِّرَ شَيْئًا، وَلَنْ يُنَجِّسَهُ.
Daripada Anas bin Malik, beliau berkata:
“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam keluar ke bumi Madinah yang dinamakan tempat tersebut Bathan.
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. bersabda: “Wahai Anas, tuangkan bagiku air untuk berwuduk.”
Maka aku menungkan air untuk baginda sallahu ‘alaihi wasallam.
Ketika Rasulullah s.a.w selesai mengqada hajatnya, baginda menghampiri sebuah bekas air. Tiba-tiba datang seekor kucing kemudian ia menjilat air dalam bekas tersebut.
Maka Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menunggu sehingga kucing tersebut sehingga ia selesai minum air.
Kemudian aku bertanya kepada baginda (berkenaan kucing tersebut), maka baginda menjawab: “Wahai Anas, sesungguhnya kucing itu adalah antara perhiasan rumah, ianya tidak mencemarkan sesuatu dan tidak pula menajiskannya.”
Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam as-Saghir dan Abu Nu’aim al-Asbahani dalam Akhbar al-Asbahan. Sanad hadis ini didaifkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani dalam al-Dirayah Fi Takhrij Ahadith al-Hidayah.
Huraian Ringkas:
1. Hadis ini juga sama seperti hadis nombor satu, menunjukkan lebihan sisa air yang telah diminum oleh kucing adalah suci dan boleh bersuci daripadanya.
Kisah Nabi Membela Kucing Bernama Muezza?
Sering tersebar kisah kononnya Nabi sallahu a’aihi wasallam membela seekor kucing bernama Muezza. Malangnya kisah tersebut tidak ditemui sumber asalnya. Jadi ia tidak boleh disebarkan dan disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.
Dalam kitab Siyar A'lam al-Nubala (21/78) karangan Imam al-Zahabi, ada sebuah cerita yang berlaku kepada seorang ulama bernama Imam Ahmad al-Rifa'ie (512H-578H) yang hampir sama seperti kisah kucing bernama Muezza tersebut.
Seekor kucing tidur di atas lengan baju Syeikh Ahmad al-Rifa’ie. Apabila tiba
waktu solat, Syeikh Ahmad al-Rifa’ie mengunting lengan bajunya agar tidak
mengganggu kucing tersebut. Kemudian beliau duduk lalu mencantumkan lengan baju
yang terkoyak itu dan berkata: “Tiada apa yg berubah.”
Hukum Bulu Kucing
Dalam mazhab asy-Syafi’e, segala bulu yang tercabut daripada binatang yang haram dimakan maka bulunya adalah najis. Tetapi jika bulu tersebut masih berada pada binatang tersebut maka ianya tidak najis.
Kucing ialah binatang yang haram dimakan, maka bulu yang tercabut daripadanya adalah najis. Walau bagaimanapun agak sukar untuk mengelak dari terkena bulu kucing kerana ianya adalah haiwan yang sentiasa berada dekat dengan manusia. Jadi bulu kucing termasuk dalam konsep Umum al-Balwa.
Maksud Umum al-Balwa ialah berleluasanya sesuatu sehingga seseorang itu sukar untuk menyelamatkan diri daripadanya atau menjauhinya.
Di dalam kaedah-kaedah fiqh juga terdapat satu kaedah yang disebut al-masyaqqah tajlibu at-taisir yakni kesusahan membawa kemudahan.
Oleh sebab hampir musahil untuk mengelak daripada terkena bulu kucing, maka bulu kucing termasuk najis yang dimaafkan jika jumlahnya sedikit. Walaubagaimana pun jika jumlahnya banyak, maka hendaklah dibersihkan terlebih dahulu.
Hukum Memandulkan Kucing
Hukum memandulkan haiwan yang boleh dimakan adalah diharuskan ketika ia masih kecil, manakala bagi haiwan yang haram dimakan pula maka hukumnya adalah haram, sama ada ia masih kecil ataupun sudah besar. Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ menukilkan daripada Imam al-Baghawi dan Imam al-Rafi’e, mereka berdua berkata:
“Tidak harus mengembiri haiwan yang tidak halal dimakan baik ketika masih kecil atau sudah besar." Dan beliau berkata: "Harus mengembiri haiwan yang halal dimakan ketika masih kecil kerana sesungguhnya ia mempunyai tujuan iaitu untuk keenakan dagingnya dan tidak harus ketika sudah besar."
Kucing adalah haram dimakan maka hukum asal memandulkannya adalah diharamkan. Namun sekiranya tidak dimandulkan kucing berkenaan sehingga menimbulkan kemudaratan misalannya kucing betina melahirkan anak terlalu banyak sehingga mengabaikannya manakala kucing jantan pula akan memancut ke merata-rata tempat, maka Majlis Fatwa Jordan berpendapat harus untuk memandulkan kucing sekiranya tujuannya untuk menghilangkan mudarat. Mereka menukilkan pendapat Imam Ibnu Mazah al-Bukhari al-Hanafi (meninggal dunia tahun 616 Hijrah) dalam kitab al-Muhith al-Burhani yang berkata: “Berkenaan memandulkan kucing, maka ia tidak mengapa (harus) jika padanya ada manfaat atau untuk menghilangkan mudarat.” Sumber fatwa Majlis Fatwa Jordan disini.
Oleh itu harus hukumnya untuk memandulkan kucing jika untuk tujuan kebaikan dan menolak kemudaratan. Adapun jika tidak ada apa-apa keperluan untuk memandulkan kucing berkenaan, maka biarkanlah ia sebagaimana kejadian asalnya yang diciptakan oleh Allah.
Begitu juga disyaratkan juga bahawa proses memandulkan kucing tersebut tidak menyakiti kucing tersebut.
*Tulisan ini saya telah kemaskini semula pada 22/7/2021. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan