Rabu, 27 Jun 2018

Istilah Ilmu Hadis 24: Marfu’ (المَرْفُوعُ)


Apa yang disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam daripada perkataan, perbuatan, pengakuan atau sifat baginda, sama ada secara bersambung (sanad), atau terputus, atau mursal.

Hukumnya

Hadis marfu’ boleh jadi sahih jika lima syarat-syarat sahih itu dipenuhi, dan boleh jadi hasan, boleh juga jadi daif, jika hilang salah satu ataupun lebih daripada syarat-syarat sahih, dan penisbahannya kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam ketika itu tidak memberi sebarang faedah.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 487]

Istilah Ilmu Hadis 23: Ilmu ‘Ilal al-Hadith (عِلْمُ عِلَلِ الحَدِيثِ)


Ilmu ini membincangkan tentang sebab-sebab yang tersembunyi yang membawa kecacatan kepada sesuatu hadis yang sahih atau hasan sama ada dari sudut sanad mahupun matan, dalam keadaan zahir hadis itu dilihat selamat dari kecacatan tersebut.

Dari sini dapat dilihat kepentingan ilmu ini serta kerumitan dalam mempelajarinya. Ini kerana kerosakan yang terdapat dalam hadis para perawi yang daif adalah jelas dan tugas mengesannya juga mudah. Namun untuk meneliti kecacatan pada hadis yang diriwayatkan oleh perawi thiqah adalah sesuatu yang sukar kerana dari segi zahir ianya dilihat selamat atau sahih.

Maka pencarian terhadap titik kesalahan yang dilakukan oleh mereka ini adalah sukar. Perkara seperti ini memerlukan ilmu yang mendalam, pengetahuan yang luas tentang jalan-jalan periwayatan hadis, serta pengalaman yang tinggi dalam menilai peribadi para perawi.

Kepentingan ilmu ini adalah tertumpu kepada kecacatan yang tersembunyi yang terkandung dalam sanad dan matan sesebuah hadis.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 367]

Istilah Ilmu Hadis 22: Ilmu Takhrij al-Hadith (عِلْمُ تَخْرِيجِ الحَدِيثِ)


Suatu ilmu yang membincangkan tentang kaedah-kaedah bagi mengesan kedudukan sesuatu hadis dalam sumber-sumber asalnya, dan juga mengenalpasti tarafnya sama ada boleh diterima ataupun ditolak.

Ilmu ini membahaskan tentang hadis dari sudut sanad dan matan (iaitu riwayah dan dirayah). Ia membantu pengkaji dalam menyandarkan hadis-hadis kepada sumber-sumbernya yang asal, serta menerangkan darjatnya atau menghukumkannya sama ada sahih, hasan, daif ataupun maudhu’.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 363]

Istilah Ilmu Hadis 21: Ilmu al-jarh wa al-ta’dil (عِلْمُ الجَرْحِ وَالتَعْدِيلِ)


Ilmu ini membahaskan tentang perawi-perawi hadis dari sudut sama ada riwayat mereka boleh diterima ataupun ditolak.

Ini adalah berdasarkan fakta-fakta yang dinukilkan tentang kedudukan mereka, samada berbentuk ta’dil (mempercayakan) yang menghiasi diri mereka, atau tajrih (menuduh atau mencela) yang mencemari diri mereka, yang datang dengan lafaz-lafaz yang tertentu atau khusus dan ungkapan-ungkapan bahasa yang diketahui maknanya oleh para ulama.

Ia mengandungi ungkapan yang teliti dan maksud yang tepat kerana ianya penting dalam membuat kritikan terhadap sanad hadis.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 363]

Ahad, 24 Jun 2018

Istilah Ilmu Hadis 20: Ilmu al-Rijal (عِلْمُ الرِجَالِ)


Ilmu ini turut dikenali dengan nama ‘Ulum Rijal al-Hadith (ilmu-ilmu tentang rijal hadith). Ini adalah kerana setiap seni ilmu yang terkandung dalamnya dikira sebagai satu ilmu yang berasingan.

Apa yang dimaksudkan dengan al-Rijal adalah perawi hadis, tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan. Namun perkataan al-Rijal digunakan pada ilmu ini kerana kebiasaannya kebanyakan perawi adalah orang lelaki.

Ilmu ini adalah ilmu yang membahaskan tentang penelitian dan pengesahan terhadap nama-nama perawi hadis, nasab, kunyah serta gelaran mereka. Dalam ilmu ini terkandung perbahasan yang sangat luas seperti ilmu: Al-Mu’talaf Wa al-Mukhtalaf, ilmu al-Muttafaq Wa al-Muftaraq, dan ilmu al-Musytabih.

Ia juga membahaskan tentang sejarah hidup para perawi dan segala maklumat yang diperlukan oleh pengkritik sanad seperti maklumat murid yang  pernah mendengar daripada guru mereka dan yang tidak pernah mendengar daripada guru mereka. Barangkali kadar apa yang didengar juga diperbahaskan sekadar yang mampu. Antara kitab-kitab yang membahaskan ilmu seperti ini adalah kitab al-Wafayat.

Ilmu ini juga membincangkan segala yang berkaitan dengan keadaan perawi dari sudut al-jarh wa al-ta’dil di samping menerangkan tentang perihal periwayatan mereka dari sudut bersambung atau terputus.

Melihat kepada kepentingan ilmu ini, maka al-Imam Ali bin al-Madini pernah berkata: “Fiqh (kefahaman) terhadap makna-makna hadis adalah separuh ilmu. Manakala pengetahuan tentang perihal para perawi hadis pula adalah separuh yang lain.”

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 366]

Istilah Ilmu Hadis 19: Ilmu Hadis Dirayah (عِلْمُ الحَدِيثِ دِرَايةً)


Ilmu ini membahaskan tentang asas-asas serta kaedah-kaedah yang membawa seseorang kepada mengenali sesuatu hadis itu sama ada sahih, hasan atau daif.

Ilmu ini juga memperkenalkan tentang segala pembahagian hadis, pengenalan terhadap makna ilmu al-riwayah dan al-dirayah, syarat-syaratnya serta pembahagiannya.

Ia juga membicarakan tentang perihal perawi serta syarat-syarat perawi, ilmu al-jarh wa al-ta’dil, tarikh (sejarah) perawi, kelahiran serta kematian mereka, ilmu al-nasikh wa al-mansukh, ilmu mukhtalaf al-hadith, ilmu gharib al-hadith, serta segala yang berkaitan tentang ilmu hadis.

Antara kitab penting yang dikarang berkenaan ilmu ini:

1 – Ma’rifah al-Ulum al-Hadith Wa Kammiyah Ajnasuhu: Karangan al-Hakim al-Naisaburi (w. 405 H)

2 – Al-Kifayah Fi ‘Ilm al-Riwayah:  Karangan al-Khatib al-Baghdadi (w. 463 H)

3 – ‘Ulum al-Hadith atau dikenali dengan judul Muqaddimah Ibn al-Salah: Karangan Ibnu Solah (w. 643 H). Ianya adalah kitab pertama yang mengumpulkan seluruh cabang ilmu ini, dan terdapat ramai ulama yang menghuraikan kitab ini serta meringkaskannya.

4 – Al-Iqtirah Fi Bayan al-Istilah: Karangan Ibnu Daqiq al-‘Eid (w. 702 H)

5 – Al-Muqizah Fi ‘Ilm Musthalah al-Hadith: Karangan Al-Zahabi (w. 748 H)

6 – Tanqih al-Anzar: Karangan Ibnu al-Wazir al-Zaidi (w. 840 H)

7 – Nukhbah al-Fikr dan huraiannya Nuzhah al-Nazar: Karangan Ibnu Hajar al-Asqalani (w. 852 H)

8 – Fath al-Mughith Bi Syarah Alfiyah al-Hadith: Karangan al-Sakhawi (902 H)

9 – Tadrib al-Rawi Fi Syarhi Taqrib al-Nawawi: Karangan al-Sayuthi (w. 911 H)

10 – Taudih al-Afkar Fi Syarh Tanqih al-Anzar: Karangan Muhammad bin Ismail al-‘Amir al-San’ani (w. 1182 H)

11 – Zafar al-Amani Bi Syarah Mukhtasar al-Jurjani: Karangan Abdul Hayy al-Laknawi (w. 1304 H)

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 364]

Istilah Ilmu Hadis 18: Ilmu Hadis Riwayah (عِلْمُ الحَدِيثِ رِوَايةً)

Ilmu yang terkandung dalamnya periwayatan segala apa yang disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dari perkataannya, perbuatannya, pengakuannya, dan sifat kejadiannya serta sifat akhlaknya.

Begitu juga dengan segala apa yang disandarkan kepada para sahabatnya dari perkataan serta perbuatan mereka.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 366]

Istilah Ilmu Hadis 17: Amir al-Mu’minin Fi al-Hadith (ketua bagi sekalian orang mukmin dalam hadis) (أَمِيرُ المُؤْمِنِينَ فِي الحَديثِ)


Antara gelaran tertinggi bagi ulama hadis, maksudnya ialah seorang yang paling penting dan mahir dalam bidangnya (hadis) di kalangan para ulama sezaman dengannya, ia seperti Amir al-Mu’minin bagi ummah kerana amanah dan kedudukannya yang diberikan oleh Allah sebagai ketua bagi rakyatnya.

Antara ulama hadis yang digelar sedemikian ialah seperti berikut:

1 – Syu’bah bin al-Hajjaj (w. 160H)

2 – Sufyan al-Thawri (m. 161H)

3 – Malik bin Anas (w. 179H)

4 – Abdullah bin al-Mubarak (w. 181H)

5 – Yahya bin Sa’id al-Qattan (w. 198H)

6 – Sufyan bin ‘Uyainah (w. 198)

7 - Ali bin al-Madini (w. 234H)

8 – Ishaq bin Rahuyah (w. 235H)

9 – Muhammad bin Isma’il al-Bukhari (w. 256H)

10 – Muhammad bin Yahya al-Zuhli (w. 258H)

11 – Abu Hatim al-Razi (w. 277H)

12 – Al-Daraqutni (w. 385H)

13 – Ibnu Hajar al-Asqalani (w. 852H)

14 – Al-Sayuthi (w. 911H)

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 114]

Istilah Ilmu Hadis 16: Al-Hakim (الحَاكِمُ)

Al-Hakim adalah gelaran bagi seseorang muhaddith yang berpengetahuan luas dan mantap tentang hadis-hadis dan hanya sedikit sahaja hadis-hadis yang tidak diketahuinya.

Gelaran ini dikatakan lebih tinggi kedudukannya daripada gelaran al-Hujjah.

Peringatan Penting

Pada asalnya gelaran al-Hakim adalah khusus untuk seseorang yang menjawab jawatan kehakiman. Gelaran ini tidak ada apa-apa kaitan dengan hadis dan periwayatan hadis.

Sementara pengarang kitab al-Mustadrak, al-Syeikh Abu ‘Abdillah al-Naisaburi, beliau terkenal dengan gelaran al-Hakim kerana beliau telah memegang jawatan qadi di daerah beliau, Naisabur dalam satu tempoh yang lama, bukan kerana kedudukan beliau yang tinggi dalam bidang hadis.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 204]

Istilah Ilmu Hadis 15: Al-Hujjah (الحُجَّةُ)


Sesiapa yang memiliki pengetahuan sempurna mengenai 300,000 buah hadis dari aspek matan dan sanad hadis, perihal para perawi dari sudut al-jarh wa al-ta’dil serta tarikh kelahiran dan kewafatan mereka.

Gelaran ini adalah lebih tinggi daripada gelaran al-hafiz.

Peringatan Penting

Tetapi secara hakikatnya, penetapan batasan bilangan keilmuan dan hafalan hadis ini tidak diketahui wujud di kalangan ulama hadis yang terdahulu khusus bagi gelaran ini. Ia adalah istilah yang digunakan pada zaman mutakhir. Perkara ini tidak dapat diterima.

Begitu juga lafaz al-hujjah bukanlah daripada gelaran riwayat, bahkan ia adalah lafaz tertinggi antara lafaz-lafaz al-tauthiq dan al-dirayah, sepertimana ia juga dapat diperhatikan dalam martabat lafaz-lafaz al-ta’dil dalam kitab-kitab al-mustholah.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 205]

Istilah Ilmu Hadis 14: Al-Hafiz (الحَافِظُ)


Gelaran khas bagi para muhaddithin, diberikan kepada seseorang yang mengetahui sunah-sunah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, mengetahui tentang sanad-sanadnya, dapat membezakan antara sanad-sanadnya, menghafal hadis-hadis yang disepakati oleh para ulama akan kesahihannya dan juga hadis yang khilaf padanya (kesahihannya).

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebut tentang syarat-syarat gelaran al-hafiz dengan berkata:

1 – Seseorang yang masyhur dengan menuntut ilmu hadis, mengambil daripada mulut-mulut ulama atau perawi hadis dan bukan semata-mata daripada kitab.

2 – Mengetahui tentang tabaqat perawi-perawi dan martabat mereka.

3 – Mengetahui tentang al-tajrih (kritikan terhadap perawi) dan al-ta’dil (pujian terhadap perawi), membezakan antara hadis sahih dan yang tidak sahih, sehingga hadis-hadis yang dihafal lebih banyak daripada yang tidak dihafal, di samping menghafal banyak matan-matan hadis.

Beliau berkata: “Jika syarat-syarat ini ada pada seseorang perawi maka layaklah dinamakan sebagai al-hafiz.”

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 204]


Istilah Ilmu Hadis 13: Muhaddith (المُحَدِّثُ)


Al-Muhaddith merupakan gelaran yang diberikan kepada seseorang yang melibatkan diri dalam ilmu hadis riwayah, dirayah serta mempunyai pengetahuan mengenai sebahagian besar hadis-hadis dan para perawi pada zamannya.

Gelaran ini adalah lebih tinggi daripada gelaran al-musnid.

Pada masa kini gelaran al-muhaddith adalah merujuk kepada seseorang yang melibatkan diri secara ikhlas dalam kajian-kajian berorientasikan hadis dan pengajiannya, berkeupayaan tinggi dalam melakukan kajian, menyelidik perihal para perawi hadis melalui aspek al-jarh wa al-ta’dil daripada rujukan kitab-kitab hadis utama.

Beliau juga seorang yang berpengetahuan luas berkenaan sumber-sumber hadis dan para perawinya, syarah hadis, serta menguasai metode untuk berinteraksi dengan hadis nabawi mengikut keadaan, tempat, sebab, meskipun menyentuh perbahasan yang melibatkan hadis-hadis yang bercanggah dan bermasalah.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 470]

Istilah Ilmu Hadis 12: Musnid (المُسْنِدُ)


Seorang perawi yang meriwayatkan hadis dengan sanadnya sendiri, sama ada dia mengetahui mengenainya (hadis) ataupun tidak, melainkan dia hanya sekadar meriwayatkan hadis semata-mata.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 505]

Istilah Ilmu Hadis 11: Penuntut Hadis (طَالِبُ الحَدِيثِ)

Ia adalah antara martabat ahli hadis yang diberikan kepada setiap orang yang baharu memulakan perjalanannnya dalam menuntut dan mendengar hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 333]

Sabtu, 23 Jun 2018

Istilah Ilmu Hadis 10: Tabi’ al-Tabi’in (تَابِع التَبِعِينَ)


Mereka adalah tabaqat (golongan) ketiga iaitu selepas para sahabat dan tabi’in, di mana Nabi sallahu ‘alaihi wasallam menjadikan mereka antara sebaik-baik manusia selepas para sahabat dan tabi’in. Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah di kurunku, kemudian orang yang datang selepas daripada mereka, kemudian orang yang datang selepas daripada mereka.” (Riwayat al-Bukhari)

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 47]


Istilah Ilmu Hadis 9: Tabi’un (التَابِعُونَ)

Sesiapa yang pernah bertemu dengan seorang atau lebih daripada sahabat baginda Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam secara berhadapan dalam keadaan dia  seorang yang beriman sehinggalah dia mati.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 137]

Istilah Ilmu Hadis 8: Sahabat (الصَحَابِيُّ)


Seorang yang bertemu dengan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, beriman dengannya dan mati di atas agama Islam.

 [Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 307]

Jumaat, 22 Jun 2018

Takhrij hadis: Kisah hamba Allah yang beribadah selama 500 tahun


Teks Kisah Tersebut:

Kisah hamba Allah yang beribadah selama 500 tahun

Dari Jabir r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah memberitahu kami bahawa Malaikat Jibrail telah memberitahu Rasulullah s.a.w katanya: “Wahai muhammad demi Allah yang mengutusmu sebagai nabi yang besar, sesungguhnya ada seorang hamba Allah yang beribadat selama 500 tahun diatas sebuah bukit yang lebar,panjangnya bukit itu 30 puluh hasta kali 30 hasta dan disekelilingnya ialah air laut yang seluas 4,000 farsakh dari tiap penjuru.

Dan di situ Allah s.w.t mengeluarkan air selebar satu jari dan dari bawah bukit dan Allah s.w.t juga telah menghidupkan sebuah pohon delima yang setiap hari mengeluarkan sebiji buah delima. Apabila tiba waktu petang hamba Allah itu pun memetik buah delima itu dan memakannya, setelah itu ia pun sembahyang. 

Dalam sembahyang ia telah meminta kepada Allah s.w.t. supaya mematikannya ketika ia dalam sujud, supaya badannya tidak disentuh oleh Bumi atau apa-apa saja sehingga tibanya hari berbangkit. Maka Allah s.w.t. pun menerima permintaanya.”

Berkatalah malaikat lagi: “Oleh itu setiap kali kami naik turun dari langit kami melihatnya sedang sujud, kami mendapat dalam ilmu bahawa ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dan dihadapkan kepada Allah s.w.t. lalu Allah s.w.t. menyuruh Malaikat:”masukkanlah hambaku itu ke dalam syurga dengan limpah rahmatku:” maka berkata orang itu:”Dengan disebabkan amalku?” Maka Allah s.w.t. menyuruh malaikat menghitung semua amalnya dengan nikmat yang Allah s.w.t. berikan.Apabila penghitungan dibuat maka amal yang dibuat oleh orang itu selama 500 tahun itu telah habis apabila dikira dengan sebelah mata, yakni nikmat pengelihatan yang Allah s.w.t. berikan padanya, sedangkan nikmat-nikmat lain belum dikira.”

Maka Allah s.w.t. berfirman: “Masukkan ia kedalam neraka”. Apabila ia ditarik ke neraka maka ia pun berkata: “Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmatmu.” Lalu Allah s.w.t. berfirman kepada malaikat: “Bawakan ia ke mari.”

Kemudian Allah s.w.t. bertanya orang itu: “Siapakah yang menjadikan kamu daripada tidak ada.” Lalu orang itu menjawab: “Engkau ya Allah”. Kemudian Allah s.w.t. bertanya lagi: “Apakah itu kerana amalmu atau rahmatku?” Jawab orang itu: “Ya Allah, dengan rahmatmu.”

Allah s.w.t. bertanya lagi: “Siaapakah yang memberikan kekuatan sehingga 500 tahun kamu beribadat?” Jawab orang itu: “Engkau ya Allah”.

Allah s.w.t. bertanya lagi: “Siapakah yang menempatkan kamu diatas bukit yang di tengah-tengah lautan, dan siapakah yang mengeluarkan air tawar yang bersih dari tengah-tengah lautan yang airnya sangat masin dan siapakah yang menumbuhkan sebuah pohon delima yang mengeluarkan sebiji delima setiap hari, padahal buah itu hanya berbuah setahun sekali lalu kamu meminta supaya aku matikan kamu dalam sujud, jadi siapakah yang membuat semua itu?”

Lalu orang itu berkata: “Ya Allah, ya Tuhanku engkaulah yang melakukanya.”

Allah s.w.t. berfirman: “Maka semua itu adalah dengan rahmatku dan kini aku masukkan kamu ke dalam syurga juga adalah dengan rahmatku.” Malaikat Jibrail berkata: “Segala sesuatu itu terjadi hanya dengan rahmat Allah s.w.t.”

Ulasan:

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim al-Termizi dalam Nawadir al-Usul, al-‘Uqaili dalam al-Dhu’afa’ al-Kabir, al-Kharaithi dalam Fadhilah al-Syukr, al-Hakim dalam al-Mustadrak, Tamam al-Razi dalam al-Fawaid dan al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman daripada hadis Jabir bin 'Abdillah:

خَرَجَ عَلَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: " خَرَجَ مِنْ عِنْدِي خَلِيلِي جِبْرِيلُ آنِفًا فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ، وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ إِنَّ لِلَّهِ عَبْدًا مِنْ عَبِيدِهِ عَبَدَ اللَّهَ تَعَالَى خَمْسَ مِائَةِ سَنَةٍ عَلَى رَأْسِ جَبَلٍ فِي الْبَحْرِ عَرْضُهُ وَطُولُهُ ثَلَاثُونَ ذِرَاعًا فِي ثَلَاثِينَ ذِرَاعًا وَالْبَحْرُ مُحِيطٌ بِهِ أَرْبَعَةَ آلَافِ فَرْسَخٍ مِنْ كُلِّ نَاحِيَةٍ وَأَخْرَجَ اللَّهُ تَعَالَى لَهُ عَيْنًا عَذْبَةً بِعَرْضِ الْأُصْبَعِ تَبَضُّ بِمَاءٍ عَذْبٍ فَتَسْتَنْقِعُ فِي أَسْفَلِ الْجَبَلِ وَشَجَرَةَ رُمَّانٍ تُخْرِجُ لَهُ كُلَّ لَيْلَةٍ رُمَّانَةً فَتُغَذِّيهِ يَوْمَهُ، فَإِذَا أَمْسَى نَزَلَ فَأَصَابَ مِنَ الْوضُوءِ وَأَخَذَ تِلْكَ الرُّمَّانَةَ فَأَكَلَهَا ثُمَّ قَامَ لِصَلَاتِهِ، فَسَأَلَ رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عِنْدَ وَقْتِ الْأَجَلِ أَنْ يَقْبِضَهُ سَاجِدًا وَأَنْ لَا يَجْعَلَ لِلْأَرْضِ وَلَا لِشَيْءٍ يُفْسِدُهُ عَلَيْهِ سَبِيلًا حَتَّى بَعَثَهُ وَهُوَ سَاجِدٌ قَالَ: فَفَعَلَ فَنَحْنُ نَمُرُّ عَلَيْهِ إِذَا هَبَطْنَا وَإِذَا عَرَجْنَا فَنَجِدُ لَهُ فِي الْعِلْمِ أَنَّهُ يُبْعَثُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُوقَفُ بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فَيَقُولُ لَهُ الرَّبُّ: أَدْخِلُوا عَبْدِي الْجَنَّةَ بِرَحْمَتِي، فَيَقُولُ: رَبِّ بَلْ بِعَمَلِي، فَيَقُولُ الرَّبُّ: أَدْخِلُوا عَبْدِي الْجَنَّةَ بِرَحْمَتِي، فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، بَلْ بِعَمَلِي، فَيَقُولُ الرَّبُّ: أَدْخِلُوا عَبْدِي الْجَنَّةَ بِرَحْمَتِي، فَيَقُولُ: رَبِّ بَلْ بِعَمَلِي، فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لِلْمَلَائِكَةِ: قَايِسُوا عَبْدِي بِنِعْمَتِي عَلَيْهِ وَبِعَمَلِهِ فَتُوجَدُ نِعْمَةُ الْبَصَرِ قَدْ أَحَاطَتْ بِعِبَادَةِ خَمْسِ مِائَةِ سَنَةٍ وَبَقِيَتْ نِعْمَةُ الْجَسَدِ فَضْلًا عَلَيْهِ فَيَقُولُ: أَدْخِلُوا عَبْدِي النَّارَ قَالَ: فَيُجَرُّ إِلَى النَّارِ فَيُنَادِي: رَبِّ بِرَحْمَتِكَ أَدْخِلْنِي الْجَنَّةَ، فَيَقُولُ: رُدُّوهُ فَيُوقَفُ بَيْنَ يَدَيْهِ فَيَقُولُ: يَا عَبْدِي، مَنْ خَلَقَكَ وَلَمْ تَكُ شَيْئًا؟ فَيَقُولُ: أَنْتَ يَا رَبِّ، فَيَقُولُ: كَانَ ذَلِكَ مِنْ قِبَلِكَ أَوْ بِرَحْمَتِي؟ فَيَقُولُ: بَلْ بِرَحْمَتِكَ. فَيَقُولُ: مَنْ قَوَّاكَ لِعِبَادَةِ خَمْسِ مِائَةِ عَامٍ؟ فَيَقُولُ: أَنْتَ يَا رَبِّ، فَيَقُولُ: مَنْ أَنْزَلَكَ فِي جَبَلٍ وَسَطَ اللُّجَّةِ وَأَخْرَجَ لَكَ الْمَاءَ الْعَذْبَ مِنَ الْمَاءِ الْمَالِحِ وَأَخْرَجَ لَكَ كُلَّ لَيْلَةٍ رُمَّانَةً وَإِنَّمَا تَخْرُجُ مَرَّةً فِي السَّنَةِ، وَسَأَلْتَنِي أَنْ أَقْبِضَكَ سَاجِدًا فَفَعَلْتُ ذَلِكَ بِكَ؟ فَيَقُولُ: أَنْتَ يَا رَبِّ، فَقَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: فَذَلِكَ بِرَحْمَتِي وَبِرَحْمَتِي أُدْخِلُكَ الْجَنَّةَ، أَدْخِلُوا عَبْدِي الْجَنَّةَ فَنِعْمَ الْعَبْدُ كُنْتَ يَا عَبْدِي فَيُدْخِلُهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ، قَالَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ: إِنَّمَا الْأَشْيَاءُ بِرَحْمَةِ اللَّهِ تَعَالَى يَا مُحَمَّدُ

Al-Hakim mensahihkan hadis ini tetapi dikritik oleh al-Hafiz al-Zahabi. Dalam sanadnya ada perawi Sulaiman bin Harim (سُلَيْمَانُ بْنُ هَرِمٍ). Kata al-Hafiz al-Zahabi dalam Talkhis al-Mustadrak: “Sulaiman bin Harim tidak dapat dijadikan pegangan (غير معتمد).” Kata al-‘Uqaili: “Sulaiman bin Harim majhul dalam periwayatan. Hadisnya tidak terpelihara (مَجْهُولٌ فِي الرِّوَايَةِ، حَدِيثُهُ غَيْرُ مَحْفُوظٍ)”. Kata al-Azdi: “Hadisnya tidak sahih (لا يصح حديثه).” Wallahu a’lam.



Istilah Ilmu Hadis 7: Athar (الأَثَرُ)


Pengertian ‘athar’ ini bebeza pada istilah dua kumpulan ulama: iaitu muhaddithin dan fuqaha Khurasan.

Athar menurut muhadddithin adalah ‘khabar’, iaitu sesuatu hadis sama ada marfu’ (disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam) atau mauquf (disandarkan kepada sahabat) atau maqthu’ (disandarkan kepada tabi’in)

Manakala fuqaha Khurasan, mereka menamakan hadis mauquf sebagai ‘athar’ dan hadis marfu’ sebagai ‘khabar’.

Kesimpulannya: Sesungguhnya ungkapan ‘hadis’, ‘khabar’ dan ‘athar’ menurut muhaddithin adalah membawa makna yang sama iaitu: Setiap sesuatu yang disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sama ada perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat fizikal atau sifat akhlak dan setiap yang disandarkan kepada sahabat atau tabi’in.

 [Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 52]

Istilah Ilmu Hadis 6: Khabar (الخَبَرُ)


Dari sudut istilah, terdapat tiga pandangan berkaitan dengannya:

Pertama: Ia adalah seerti dengan perkataan hadis: Atau maknanya adalah sama.

Kedua: Ia berbeza dengan perkataan hadis, kerana hadis adalah sesuatu yang datang daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, manakala khabar adalah sesuatu yang datang daripada selain baginda.

Ketiga: Khabar lebih umum daripada hadis, iaitu hadis adalah sesuatu yang datang daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, manakala khabar adalah sesuatu yang datang daripada baginda atau pun selain baginda daripada kalangan sahabatnya.

 [Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 225]

Istilah Ilmu Hadis 5: Al-Sunnah (السُّنَّةُ)


Kebanyakan ulama hadis meletakkan takrif al-sunnah merangkumi seluruh perkara yang disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam daripada perkataannya, perbuatannya, pengakuannya, serta sifat-sifatnya sama ada luaran (fisikal) mahupun dalaman (akhlak), malah sebahagian ulama menambah bahawa kata-kata sahabat dan tabi’in serta perlakuan mereka turut dianggap al-sunnah, berdasarkan hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang menyebut: “Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khulafa’ al-Rasyidin...” (Riwayat Abu Daud)

Dengan takrif ini maka jelaslah bahawa al-sunnah dan al-hadis membawa maksud yang sama.

 [Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 280]

Istilah Ilmu Hadis 4: Hadis (الحَدِيثُ)


Ia adalah apa yang disandarkan kepada Nabi sallahu 'alaihi wasallam sama ada perkataan, perbuatan, pengakuan, atau sifat tubuh badan (jasmani) atau akhlak (rohani), atau sesuatu yang disandarkan kepada sahabat atau tabiin daripada perkataan atau perbuatan.

 [Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 208]

Istilah Ilmu Hadis 3: Perawi (الرَّاوِي)


Dari segi bahasa: Orang yang memindahkan berita dan meriwayatkannya.

Dari segi istilah: Mereka yang memindahkan hadis dan athar dengan tujuan menyampaikannya dan menyebarkannya di kalangan orang ramai dengan sanad yang bersambung sehingga pengakhirannya.

 [Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 240]

Istilah Ilmu Hadis 2: Matan (Teks Hadis) (المَتْنُ)


Kalam atau kata-kata yang berada selepas sesuatu sanad.

 [Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 461]
                                                        

Istilah Ilmu Hadis 1: Sanad (Rantaian Perawi) (السَنَدُ)


Pengkhabaran tentang jalan riwayat matan iaitu rantaian para perawi yang menyampaikan sesuatu matan (teks hadis).

 [Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 280]

Khamis, 14 Jun 2018

Hadis Palsu: Amalan Malam Raya



1 - Amalan ini dikatakan berasal daripada Nabi sallahu 'alaihi wasallam. Berdasarkan carian, saya hanya temui ia dalam kitab Nuzhah al-Majalis (hlm. 204, terbitan: al-Maktab al-Thaqafi) karangan Abdul Rahman al-Safuri (m. 894H) tanpa dinyatakan sumber asalnya.

2 - Syeikh 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki menyebutkan dalam kitab beliau al-Manhal al-Lathif (hlm. 59, terbitan: Rabithah al-Nur) bahawa ulama menyatakan bahawa terdapat beberapa buah kitab yang dilarang diambil hadis daripadanya kecuali selepas disemak semula, antaranya ialah kitab Nuzhah al-Majalis kerana banyak hadis palsu di dalamnya.

3 - Muhaddith Dimasyq, Burhanuddin al-Naji (m. 900H) memberi peringatan agar tidak dibaca kitab ini, bahkan al-Hafiz al-Sayuthi (m. 911H) mengharamkan membacanya. Pesanan yang sama turut disampaikan oleh Syeikh Dr Muhammad Abu Syahbah dalam kitab beliau, al-Wasith Fi Ulum Wa Mustholah al-Hadith (hlm. 354, terbitan: 'Alam al-Ma'rifah).

4 - Teksnya dalam bahasa Arab:

من قال سبحان الله وبحمده ثلاثمائة مرة وأهداها لأموات المسلمين دخل في كل قبر ألف نور ، ويجعل الله تعالى في قبرة إذا مات ألف نور

من قال في كل واحد من العيدين : لا إله إلا الله وحده لاشريك له ، له الملك وله الحمد يحي ويميت وهو حي لا يموت بيده الخير ، وهو على كل شيء قدير أربعمائة مرة قبل صلاة العيد زوجه الله تعالى أربعمائة حوراء ، وكأنما أعتق أربعمائة رقبة ، ووكل الله تعالى به الملائكة يبنون له المدائن ، ويغرسون له الأشجار إلى يوم القيامة 

قال الزهري : ماتركتها منذ سمعتها من أنس . وقال أنس رضي الله تعالى عنه ماتركتها منذ سمعتها من النبي صلى الله عليه وسلم

5 - Meskipun amalam di atas tidak ditemui sumber asalnya, hukum menghidupkan malam hari raya adalah disunatkan berdasarkan dalil yang lain. Sila baca tulisan berikut:

Isnin, 11 Jun 2018

Takhrij Hadis: Tasbih Selepas Witir


Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan lebih lanjut mengenai tasbih ini:

SUNNAH YG JARANG DIAMALKAN (TASBIH SELEPAS WITIR)



Kebanyakan masjid dan surau hanya bertasbih dan berselawat di antara rakaat2 tarawih, sdgkan ia bukanlah amalan yg dikhususkan untuknya. Ia hanya perintah yg umum yg disarankan sepenjang masa.

Adapun tasbih selepas witir ia merupakan sunnah yg khusus tetapi amat sedikit yg mengamalkannya.

Setiap kali saya diminta mengimamkan solat witir di mana sahaja, saya tetap membacanya sekalipun agak janggal bagi jemaah yg lain.

Tasbihnya seperti di atas.

Jawapan:

Amalan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasa’ie daripada hadis Ubai bin Ka’ab:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا سلَّم في الوتر قال: "سُبْحانَ المَلِكِ القُدُّوسِ

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam apabila selesai memberi salam ketika solat witir, baginda akan berkata:

سُبْحانَ المَلِكِ القُدُّوسِ

“Maha Suci Allah yang Maha Menguasai lagi Maha Suci.”

Sanadnya sahih menurut al-Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar.

Dalam riwayat al-Nasa’ie daripada hadis Abdul Rahman bin Abza disebutkan bahawa bacaan tersebut adalah sebanyak tiga kali dan pada bacaan yang ketiga Nabi sallahu ‘alaihi wasallam memanjangkan dan menguatkan suaranya.

Tambahan رب الْمَلَائِكَة وَالروحada dalam riwayat al-Daraqutni daripada hadis Ubai bin Ka'ab. Dikatakan bahawa lafaz tambahan ini syaz (daif), tetapi tidak mengapa jika ingin dibaca sekalipun.

Jumaat, 8 Jun 2018

Hadis: Fatwa Tanpa Ilmu Dilaknat Allah, Malaikat dan Manusia


Soalan:

Salam boleh bagi pencerahan dgn hadis dibawah ni

من أفتى بغير علم فعليه لعنة الله والملائكة والناس أجمعين.

Mafhumnya, sesiapa yang berfatwa tanpa ilmu maka dia akan dilaknat oleh Allah, para malaikat dan seluruh manusia.

Jawapan:

Saya tak temui lafaz hadis sedemikian. Wallahu a'lam. Lafaz yang hampir dengannya adalah:

مَن أفتى بغيرِ علمٍ لعنتهُ ملائِكةُ السَّماءِ والأرضِ

"Sesiapa yang berfatwa tanpa ilmu akan dilaknat oleh malaikat langit dan bumi."

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq daripada hadis 'Ali bin Abi Thalib.

Dalam sanadnya ada perawi Abdullah bin Ahmad bin 'Amir yang dituduh oleh al-Hafiz Ibnu al-Jauzi dan al-Hafiz al-Zahabi meriwayatkan naskhah hadis-hadis palsu yang sama ada dia atau ayahnya yang memalsukannya. Menurut al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Ajwibah al-Mardhiyyah, dia dan ayahnya adalah pendusta. Al-Hafiz al-Sayuthi dalam Zail al-Laali al-Masnu’ah juga menilai palsu hadis-hadis yang diriwayatkan olehnya dan bapanya.

Ada hadis lain yang lebih elok statusnya (hadis hasan menurut Syeikh Syu’aib al-Arnauth) iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada hadis Abu Hurairah:

مَنْ أُفْتِيَ بِغَيْرِ عِلْمٍ كَانَ إِثْمُهُ عَلَى مَنْ أَفْتَاهُ

“Sesiapa yang diberi fatwa (oleh mufti) tanpa dasar ilmu, maka dosanya (dosa orang yang beramal dengan fatwa yang salah) adalah ke atas orang yang berfatwa (mufti).”

Sabtu, 2 Jun 2018

Tak ada orang bernama Muhammad sebelum Nabi?


Al-Hafiz Ibnu Hajar (m. 852 H) ada menulis sebuah kitab bertajuk (الإعلام بمن سمي محمدا قبل الإسلام). Kitab ini ditulis untuk menolak pandangan Ibnu Khalawaih[1] (m. 370 H) dalam kitab beliau yang berjudul Laisa (ليس) dan al-Suhaili[2] (m. 581 H) dalam kitab beliau, al-Raudh al-Unuf (الروض الأنف) yang berpendapat bahawa tidak ada orang dalam masyarakat Arab yang bernama Muhammad sebelum Nabi sallahu ‘alaihi wasallam kecuali tiga orang sahaja. Al-Hafiz Ibnu Hajar menulis kitab tersebut dan berjaya menemukan 15 orang individu yang bernama Muhammad sebelum Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

[Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani - Amir al-Mu’minin Fi al-Hadith, Abdul Sattar al-Syeikh, hlm. 458, c: Dar al-Qolam]
_________________

[1] Al-Hussein bin Ahmad bin Khalawaih adalah seorang pakar bahasa Arab dan mahir dalam ilmu nahu. Beliau berasal dari Hamadan, Iran. Beliau menziarahi Yaman dan tinggal di Dhamar selama beberapa ketika.  Kemudian beliau berpindah ke Syam dan menetap di Halab. Di Halab, kemasyhuran beliau semakin menyerlah. Beliau bermazhab Syi’ah Imamiyyah. Beliau meninggal dunia di Halab.

[2] Abdul Rahman bin Abdullah al-Suhaili dilahirkan di Malaga, Sepanyol. Beliau seorang al-Hafiz (pakar hadis) dan pakar juga dalam bidang bahasa dan sejarah. Pada usia beliau 17 tahun beliau menjadi buta. Nisbah beliau, al-Suhaili adalah berasal daripada nama sebuah perkampungan di Malaga iaitu Suhail. Kitab beliau, al-Raudh al-Unuf adalah syarahan kepada kitab Sirah Ibnu Hisyam.