Rabu, 27 Jun 2018

Ilmu Takhrij Hadis

Takrif Ilmu Takhrij Hadis

Satu ilmu yang membahaskan tentang prinsip dan metodologi yang dengan mengetahuinya akan memudahkan atau menjamin untuk sampai ke lokasi hadis, mutaaba‘at dan syawahid-nya, di dalam sumber-sumber aslinya, atau separa asli, atau bukan asli, serta dapat mengetahui darjat hadis sama ada diterima atau ditolak.

Huraian Takrif:

1 - Prinsip dan Metodologi: Maksudnya ialah kaedah-kaedah takhrij hadis, kitab-kitab bagi setiap kaedah, metodologi kitab-kitab hadis, lafaz-lafaz ungkapan untuk takhrij-nya, dan prinsip-prinsip kajian sanad serta matan hadis.

2 - Mutaaba‘at-nya: Ia adalah jalan dan sanad lain bagi hadis seorang Sahabat Nabi yang sama. Maka setiap sanadnya adalah mutaabi‘ (sokongan) kepada sanad yang lain.

Contohnya seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Syafi'i daripada gurunya, Malik, daripada Abdullah bin Dinar, daripada Ibn 'Umar, bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Satu bulan itu dua puluh sembilan hari, maka janganlah kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan, dan janganlah kamu berbuka (berhari raya) sehingga kamu melihatnya. Namun, jika ia terlindung daripada pandangan kamu (awan), maka sempurnakanlah bilangan (bulan itu) tiga puluh hari.”

Al-Bukhari meriwayatkannya daripada Abdullah bin Maslamah al-Qa'nabi, daripada Malik, dengan lafaz yang sama dengannya.

Maka, al-Qa'nabi adalah mutaabi‘ tamm (penyokong penuh) kepada Imam al-Syafi'i dalam periwayatan beliau terhadap hadis tersebut daripada guru langsungnya, iaitu Imam Malik.

Muslim meriwayatkannya daripada jalan 'Ubaidullah dan selainnya, daripada Nafi', daripada Ibn 'Umar.

Ibn Khuzaymah meriwayatkannya daripada jalan 'Asim bin Muhammad al-'Umari, daripada Muhammad bin Zayd, daripada datuknya, Abdullah bin 'Umar.

Maka, 'Ubaidullah, 'Asim dan selain mereka adalah mutaabi‘un qasirun (penyokong tidak langsung/jauh) kepada Malik pada periwayatan mereka akan hadis tersebut daripada Ibn 'Umar. Ini kerana mereka berkongsi dengan Malik pada guru yang lebih jauh, iaitu Ibn 'Umar.

3 - Syawahidnya: Syahid ialah apabila dua orang Sahabat Nabi atau lebih meriwayatkan satu hadis yang sama, sama ada secara lafaz atau secara makna. Maka setiap Sahabat tersebut adalah syahid (penguat) kepada Sahabat yang lain.

Contohnya seperti hadis yang disebutkan sebelum ini, yang diriwayatkan oleh Ibn 'Abbas di sisi al-Nasa'i, dan Abu Hurairah di sisi al-Bukhari, maka kedua-dua mereka adalah syahid (penguat) bagi Ibn 'Umar.

4 - Sumber-sumber Hadis Asli: Ia adalah kitab-kitab yang di dalamnya para pengarangnya meriwayatkan hadis dengan sanad mereka sendiri, dalam apa jua bidang kitab-kitab itu, seperti:

(i) Hadis: Contohnya al-Kutub al-Sittah (Kitab-kitab Enam), Muwatta’ Malik, Musnad Ahmad, dan lain-lain.

(ii) Akidah: Contohnya al-Iman oleh Abu Bakar Ibn Abi Syaibah, al-Iman oleh Ibn Mandah, dan lain-lain.

(iii) Tafsir: Contohnya Tafsir Ibn Jarir al-Tabari, Tafsir Ibn Abi Hatim, dan lain-lain.

(iv) Fiqh: Contohnya al-Umm oleh al-Syafi'i, dan al-Muhalla oleh Ibn Hazm.

(v) Usul Fiqh: Contohnya al-Risalah oleh al-Syafi'i, dan al-Ihkam fi Usul al-Ahkam oleh Ibn Hazm.

(vi) Sejarah: Contohnya Tarikh Ibn Jarir al-Tabari, Tarikh Baghdad oleh al-Khatib, dan lain-lain.

5 - Sumber-sumber Hadis Separa Asli: Ia adalah kitab-kitab yang di dalamnya pengarangnya menyebutkan hadis secara nukilan daripada sumber-sumber asli bersama sanad-sanadnya.

Contohnya Tafsir Ibn Kathir, Tuhfat al-Asyraf oleh al-Mizzi, Nasb al-Rayah oleh al-Zayla'i, dan kebanyakan karya al-Suyuti seperti al-La'ali al-Masnu'ah fi al-Ahadith al-Mawdu'ah dan lain-lain.

Tidak harus menyandarkan hadis kepada sumber separa asli hadis menurut istilah ilmu Takhrij, melainkan jika sumber yang dinukil daripadanya di dalam kitab-kitab ini dan seumpamanya telah hilang, atau berbentuk manuskrip yang tidak mudah dirujuk, atau telah dicetak tetapi tidak memilikinya.

Maka dalam keadaan ini, harus menyandarkan hadis kepadanya kerana rasa yakin dengan pengarangnya.

Adapun jika mudah untuk mendapatkan sumber asli tersebut, maka wajib merujuknya, mengambil hadis terus daripadanya, kemudian menyandarkannya kepadanya.

6 - Sumber-sumber Hadis Bukan Asli: Ia adalah kitab-kitab yang di dalamnya pengarangnya menyebutkan hadis secara nukilan daripada sumber-sumber asli tanpa membawakan sanadnya.

Contohnya Riyadh al-Salihin oleh al-Nawawi, Bulugh al-Maram min Adillat al-Ahkam oleh Ibn Hajar, al-Jami' al-Saghir dan al-Durr al-Manthur oleh al-Suyuti, dan lain-lain.

Tidak harus menyandarkan hadis kepadanya, melainkan jika sumber yang dirujuk di dalam kitab-kitab ini dan seumpamanya telah hilang, atau berbentuk manuskrip yang tidak mudah dirujuk, atau telah dicetak tetapi tidak memilikinya.

Maka dalam keadaan ini, harus menyandarkan hadis kepadanya kerana rasa yakin dengan pengarangnya.

Adapun jika mudah untuk mendapatkan sumber asli tersebut, maka wajib merujuknya, mengambil hadis terus daripadanya, kemudian menyandarkannya kepadanya.

Lafaz-lafaz Ungkapan bagi Takhrij Hadis daripada Tiga Jenis Sumber Ini:

(i) Lafaz Ungkapan bagi Takhrij Hadis daripada Sumber-sumber Asli:

“Dikeluarkan/diriwayatkan oleh al-Bukhari (sebagai contoh) dalam Sahihnya.”

(ii) Lafaz Ungkapan bagi Takhrij Hadis daripada Sumber-sumber Separa Asli:

“Dikeluarkan/diriwayatkan oleh Ibn Mardawaih dalam Tafsirnya, sebagaimana yang disebutkan dalam Tafsir Ibn Kathir (sebagai contoh).” 

Atau: “Disebutkan/dikemukakan oleh Ibn Kathir dalam Tafsirnya, dan beliau menyandarkannya kepada Ibn Mardawaih.”

Selepasnya itu disebutkan nombor jilid dan halaman sumber langsung.

(iii) Lafaz Ungkapan bagi Takhrij Hadis daripada Sumber-sumber Bukan Asli:

“Dikeluarkan/diriwayatkan oleh Ahmad dalam kitab Zuhdnya – contohnya – sebagaimana dalam al-Jami' al-Saghir oleh al-Suyuti.” 

Atau: “Disebutkan/dikemukakan oleh al-Suyuti dalam al-Jami' al-Saghir, dan beliau menyandarkannya kepada kitab Zuhd Ahmad.”

Disebutkan selepasnya nombor jilid dan halaman sumber langsung.

Tidak boleh menggunakan dua istilah: “akharajahu (dikeluarkan)”, dan “rawahu (diriwayatkan)” untuk menyatakan takhrij hadis daripada sumber-sumber separa asli dan bukan asli.

Maka tidak boleh dikatakan: “Dikeluarkan/diriwayatkan oleh Ibn Kathir dalam Tafsirnya” atau “dikeluarkan/diriwayatkan oleh al-Suyuti dalam al-Jami' al-Saghir,”. 

Sebaliknya hendaklah dikatakan: “Disebutkan/dikemukakan oleh Ibn Kathir dalam Tafsirnya” atau “disebutkan/dikemukakan oleh al-Suyuti dalam al-Jami' al-Saghir”. 

Hal ini kerana dua istilah tersebut (akharajahu dan rawahu) adalah khusus bagi sesiapa yang meriwayatkan hadis dengan sanadnya sendiri, manakala sumber-sumber separa asli dan bukan asli hanya menukil hadis daripada sumber-sumber asli, dan tidak meriwayatkannya dengan sanad pengarangnya sendiri.

7 - Darjat Hadis dari Sudut Diterima atau Ditolak:

Maksudnya ialah martabat hadis dari sudut sahih, atau hasan, atau daif, atau palsu, sama ada dari segi sanad atau matan, dan sama ada yang telah dinyatakan oleh salah seorang imam hadis, atau yang dicapai sendiri oleh pengkaji melalui kajiannya terhadap matan dan perawi-perawi sanadnya berdasarkan pandangan para ulama al-Jarh wa al-Ta'dil mengenai mereka. 

Ini seperti yang dilakukan oleh: 

(i) Al-Hafiz al-Zayla'i (m. 762 H) dalam kitabnya, Nasb al-Rayah li Ahadith al-Hidayah. 

(ii) Al-Hafiz al-'Iraqi (m. 806 H) dalam kitabnya, al-Mughni 'an Haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya' min al-Akhbar. 

(iii) Al-Hafiz Ibn Hajar (m. 852 H) dalam kitabnya: al-Talkhis al-Habir fi Takhrij Ahadith Syarh al-Wajiz al-Kabir. 

(iv) Syeikh al-Albani dalam kitabnya: Irwa' al-Ghalil fi Takhrij Ahadith Manar al-Sabil. 

(v) Al-Tahir Muhammad al-Dardiri dalam kitabnya: Takhrij Ahadith al-Mudawwanah al-Marwiyyah 'an Malik, dan lain-lain.

Maka, jika seorang pentakhrij hanya sekadar menyebutkan satu sumber hadis atau lebih, tanpa menjelaskan darjat hadis, maka ia bukanlah suatu takhrij secara ilmiah, sebaliknya ia hanyalah penyandaran hadis (‘azw) semata-mata.

Kepentingan Ilmu Takhrij

Ilmu takhrij hadis adalah penting kerana ia memberikan khidmat kepada hadis Nabi yang mulia, yang merupakan penafsir bagi al-Quran al-Karim, penjelasan bagi maksudnya, dan hujah dalam perkara yang penting bagi seorang Muslim dalam kehidupannya dari sudut akidah, ibadah, muamalat, adab dan akhlak, serta sumber bagi ilmu dan pengetahuan, yang mana fungsi-fungsi hadis ini telah memberikannya kesucian, dan menjadikannya dihormati di dalam hati umat Islam, dan mewajibkan setiap orang yang mendalami Syariat dan ilmu-ilmunya –daripada kalangan ahli hadis, fuqaha, usuliyyin, pendakwah, penulis Sirah Nabawiyyah, dan para pembela kedaulatan Islam– untuk mempunyai pengetahuan tentang ilmu takhrij hadis.

Hal ini kerana ilmu takhrij hadis membimbing mereka kepada lokasi hadis di dalam sumber-sumber aslinya, memberitahu mereka tentang darjat hadis yang dijadikan hujah, baik dari sudut sanad mahupun matan, dan mendedahkan kepada mereka pelbagai versi periwayatan hadis seperti perbezaan susunan, ringkasan, dan penambahan pada teks, yang memberikan mereka pemahaman yang menyeluruh tentang sesuatu tajuk.

Ia juga menyingkapkan kepada mereka keadaan sanad dari sudut bersambung atau terputus sanad, irsal (Tabi’in menyandarkan hadis terus kepada Nabi tanpa disebutkan perantara) dan i'dal (gugur dua perawi dalam sanad), status raf' (penyandaran hadis kepada Nabi) dan waqf (penyandaran hadis kepada Sahabat), serta tadlis perawi (perawi menyembunyikan kecacatan sanad hadis) dan ikhtilatnya (kecelaruan ingatan), dan memberitahu mereka tentang sebab kedatangan hadis (sabab al-wurud), dimensi masa dan tempatnya, serta keadaan sosial, politik, dan ekonominya, yang membantu mereka untuk memahami maksud hadis mengikut konteksnya yang sebenar.

Faedah-faedah Ilmu Takhrij

Sesungguhnya faedah-faedah yang kita peroleh daripada takhrij adalah banyak dan pelbagai, sebahagiannya berkaitan dengan sanad, sebahagiannya berkaitan dengan matan, dan sebahagiannya lagi berkaitan dengan kedua-duanya sekali. Antara yang terpenting adalah seperti berikut:

A - Faedah-faedahnya bagi Sanad:

1 - Mengetahui sejumlah besar sanad dan jalan hadis di dalam sumber-sumbernya yang pelbagai, yang mana ia menyingkapkan keadaan sanad: dari sudut bersambung atau terputus sanad, irsal, i'dal, raf', dan waqf. Serta dapat mengetahui sama ada ia mutawatir, atau ahad, kemudian sama ada ia gharib, ‘aziz, atau masyhur, atau selainnya.

2 - Menguatkan sanad hadis: Iaitu apabila kita mempunyai sebuah hadis dengan sanad yang lemah, lalu kita mentakhrijkannya daripada kitab-kitab hadis, maka kita menemukan untuknya sanad-sanad lain yang keadaannya lebih baik. Hal ini memberikannya kekuatan, lantas menaik tarafnya daripada daif yang ringan kelemahannya kepada hasan li ghairihi, atau daripada hasan li zatihi kepada sahih li ghairihi.

3 - Mengetahui darjat hadis: Ini kerana hadis yang ingin ditakhrijkan, apabila ia ditemui di dalam al-Sahihayn (Sahih al-Bukhari dan Muslim), atau dalam salah satu daripadanya, atau dalam kitab yang pengarangnya komited untuk meriwayatkan hadis sahih di dalamnya seperti Sahih Ibn Khuzaymah dan seumpamanya, atau dalam kitab yang pengarangnya menghukum hadis sebagai sahih, hasan, atau daif seperti Jami' al-Tirmizi, al-Mustadrak oleh al-Hakim, Syarh al-Sunnah oleh al-Baghawi, dan selain mereka daripada kalangan imam-imam hadis, maka kita dapat mengetahui darjat hadis tersebut melaluinya tanpa kesukaran yang besar.

4 - Membezakan perawi yang muhmal (tidak dinyatakan namanya secara jelas): Contohnya apabila di dalam sanad hadis tercatat: “daripada al-Walid”, atau “daripada Muhammad”, atau “daripada Sufyan”, maka apabila kita mentakhrijkannya daripada sumber-sumber lain, kadangkala kita akan menemukan sanad lain baginya yang di dalamnya nama-nama yang muhmal ini dinyatakan bersama nasabnya, atau nisbahnya, atau laqabnya (gelarannya), atau kunyahnya (gelaran menggunakan Abu atau Ummu), atau lain-lain ciri yang dapat membezakannya. Dengan itu, perawi yang muhmal itu dapat dibezakan daripada orang yang satu nama dengannya.

5 - Mengenal pasti perawi yang mubham (samar): Contohnya apabila di dalam sanad hadis terdapat: “haddathani thiqah - seorang yang dipercayai telah menceritakan kepadaku”, atau “‘an rajul - daripada seorang lelaki”, atau “‘an syaikh - daripada seorang guru”, maka kadangkala dengan mentakhrijkannya daripada sumber-sumber lain, kita akan menemukan jalan periwayatan lain baginya yang di dalamnya nama perawi tersebut dinyatakan secara khusus.

6 - Menghilangkan kemungkinan tadlis dalam periwayatan ‘an‘anah (menggunakan lafaz 'daripada') oleh seorang perawi mudallis: Iaitu melalui takhrij kita dapat memperolehi satu jalan periwayatan lain yang di dalamnya perawi mudallis tersebut menyatakan secara jelas lafaz yang menunjukkan pendengaran hadis secara langsung, seperti dia berkata: haddathana (dia telah menceritakan kepada kami), atau akhbarana (dia telah memberitahu kami), atau sami‘tu (aku telah mendengar), atau yang seumpamanya.

7 - Menghilangkan kemungkinan kesilapan (wahm) seorang guru yang mengalami ikhtilat (kecelaruan ingatan) dalam periwayatannya kepada murid yang mendengar daripadanya selepas dia mengalami ikhtilat. Ini dapat dilakukan melalui proses takhrij hadis tersebut, kerana berkemungkinan akan ditemui perawi sokongan (mutabi‘) bagi murid tersebut, yang telah mendengar daripada guru yang mengalami ikhtilat  itu sebelum dia mengalami ikhtilat.

Contohnya Abu Ishaq al-Sabi'i, beliau adalah seorang guru yang mengalami ikhtilat pada akhir usianya.

Abu al-Ahwas mendengar daripadanya selepas beliau mengalami ikhtilat, manakala Syu'bah dan Sufyan al-Thawri mendengar daripadanya sebelum itu.

Maka, jika Abu al-Ahwas meriwayatkan sebuah hadis daripadanya, lalu riwayat itu disokong oleh Syu'bah, atau Sufyan, atau kedua-duanya, ini bermakna Abu Ishaq al-Sabi'i tidak melakukan kesilapan dalam meriwayatkan hadis tersebut kepada Abu al-Ahwas.

B - Faedah-faedahnya bagi Matan:

1 - Mengetahui maksud yang menjadi tujuan sesebuah hadis dikemukakan. 

Ini tidak dapat dicapai dengan hanya melihat kepada satu hadis dalam sesuatu tajuk, kerana ia mungkin tidak mengandungi apa yang menunjukkan hukum yang dimaksudkan. Sebaliknya, wajib untuk mentakhrij hadis daripada kitab-kitab lain, dan menghimpunkan lafaz-lafaznya yang berbeza. 

Kadangkala akan ditemui padanya satu atau beberapa penambahan yang menunjukkan hukum yang dimaksudkan oleh Syari‘ (Allah dan Rasulullah), atau yang menjelaskan makna hadis tersebut.

2 - Mengetahui sebab kedatangan hadis (sabab al-wurud), atau keadaan-keadaan ia diucapkan. 

Terdapat hadis-hadis yang kelihatan umum dan berterusan, tidak berasaskan suatu sebab, tidak terikat dengan suatu illah (alasan), atau tidak mengambil kira keadaan masa atau tempat. 

Akan tetapi, apabila kita menghimpunkan jalan-jalan periwayatannya dan lafaz-lafaznya yang berbeza, kadangkala kita akan menemukan sebab atau illah, atau keadaan dan konteksnya di dalam salah satu sumber. 

Maka, dengan itu, maksud hadis itu dapat ditentukan dengan tepat, dan tidak terdedah kepada andaian-andaian yang meliar, atau mengejar makna zahir yang tidak dimaksudkan.

C - Faedah-faedahnya bagi Sanad dan Matan Bersama:

1 - Mengetahui satu atau beberapa sumber hadis. 

Ini kerana pencarian hadis tersebut di dalam kitab-kitab hadis, dan mentakhrijkannya daripadanya akan memberikannya peluang untuk mengetahui satu atau beberapa bagi hadis tersebut, serta lokasinya di dalamnya.

2 - Mengetahui illah (kecacatan) yang mencacatkan pada sanad atau matan. 

Perkara ini dapat diketahui melalui takhrij hadis daripada kitab-kitab yang lain, dan dengan meneliti sanad-sanad serta lafaz-lafaznya yang berbeza.

3 - Mengetahui kecacatan pada sanad atau matan hadis yang berupa tahrif (perubahan) atau tashif (kesalahan tulis), kemudian dengan merujuk kepada kitab-kitab nasab, al-mu’talif wa al-mukhtalif, kitab-kitab gharib (perkataan asing) dan selainnya.

Sumber:

Takhrij al-Hadith Nasya'tuhu Wa Manhajiyatuhu oleh Prof Dr Muhammad Abu al-Laith Khair Abadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan