Ahad, 24 Jun 2018

Istilah Ilmu Hadis 13: Muhaddith (المُحَدِّثُ)

Muhaddith ialah gelaran yang diberikan kepada sesiapa yang mendalami Hadis Nabi yang mulia, dan memiliki sifat-sifat yang telah ahli hadis sebutkan, maka ketika itu dia layak digelar sebagai Muhaddith.

Pandangan Imam Tajuddin al-Subki

Al-Imam al-Hafiz Tajuddin al-Subki - semoga Allah Ta'ala merahmatinya – berkata dalam kitabnya yang bermanfaat lagi menarik, Mu'id al-Ni'am wa Mubid al-Niqam, dan dinukilkan daripada beliau oleh al-Hafiz al-Suyuti - semoga Allah Ta'ala merahmatinya – dalam Tadrib al-Rawi seperti berikut:

“Muhaddith ialah orang yang mengetahui sanad-sanad, 'ilal (kecacatan-kecacatan tersembunyi), nama-nama perawi, sanad yang pendek (aliy) dan yang panjang (nazil), dan menghafal bersamanya sejumlah besar matan-matan hadis, serta telah mendengar (sama’) Kutub Sittah, Musnad Ahmad bin Hanbal, Sunan al-Baihaqi dan Mu'jam al-Tabarani dan menambahkan kepada kadar ini: seribu juzuk daripada juzuk-juzuk hadis.

Ini adalah darjatnya yang paling rendah.

Maka apabila dia telah mendengar apa yang kami telah sebutkan itu, dan menulis al-tubaq - jamak bagi tabaqah, iaitu sekumpulan perawi yang sezaman, yang berdekatan usianya, dan berkongsi dalam periwayatan hadis, serta mengambil hadis daripada guru-guru yang berada satu tabaqah sebelum mereka - dan mengunjungi para syeikh, serta berbicara tentang 'ilal, tarikh-tarikh kematian perawi (wafayat) dan musnad-musnad, maka dia berada pada darjat-darjat pertama Muhaddithin.

Kemudian Allah akan menambahkan bagi sesiapa yang Dia kehendaki apa yang Dia kehendaki.

Ada dari kalangan manusia satu golongan yang mendakwa sebagai ahli hadis! Maka paling hebat pun mereka hanyalah menelaah Masyariq al-Anwar karya al-Saghani. Maka jika mereka meningkat (tahapnya) kepada Masabih al-Baghawi, mereka menyangka bahawa dengan kadar ini mereka mencapai darjat Muhaddithin. Tidaklah berlaku demikian itu melainkan kerana kejahilan mereka tentang hadis.

Maka sekiranya orang yang kami sebutkan itu menghafal kedua-dua kitab ini dengan sebenar-benarnya, dan menambahkan lagi matan-matan (lain) sebanyak dua kali gandanya, dia belum menjadi seorang Muhaddith dan tidaklah dengan itu dia menjadi seorang Muhaddith, sehingga unta masuk ke dalam lubang jarum (mustahil akan berlaku).

Jika dia berhasrat untuk mencapai puncak dalam bidang hadis mengikut dakwaannya, dia akan menyibukkan diri dengan Jami' al-Usul karya Ibn al-Athir. Maka jika dia menambahkan kepadanya kitab ‘Ulum al-Hadith karya Ibn al-Salah, atau ringkasannya yang dinamakan al-Taqrib wa al-Taysir oleh al-Nawawi, dan yang seumpamanya, maka ketika itu diserulah kepada orang yang telah sampai ke tahap ini: ‘Muhaddith al-Muhaddithin’ dan ‘Bukhari zaman ini’, serta ungkapan-ungkapan dusta yang seumpamanya kerana sesungguhnya orang yang kami sebutkan itu tidak dianggap sebagai seorang Muhaddith dengan kadar ini.”

Pandangan Imam Ibnu Sayyid al-Nas

Kemudian, al-Hafiz al-Suyuti menukilkan dalam al-Tadrib, daripada al-Hafiz al-Muhaddith Fathuddin Ibn Sayyid al-Nas, guru kepada al-Hafiz al-Zahabi, (meninggal dunia pada tahun 734 H) semoga Allah Ta'ala merahmatinya, kata beliau:

“Muhaddith pada zaman kita ialah sesiapa yang mendalami hadis dari segi riwayat dan dirayah, mengumpulkan (maklumat) para perawi, menelaah (biografi) ramai perawi dan riwayat-riwayat pada zamannya, dan cemerlang dalam hal itu sehingga dikenali tulisannya (dalam bidang itu), dan masyhur ketelitiannya (dalam bidang itu).”

Pandangan Syeikh Zafar Ahmad al-Uthmani al-Tahanawi

Al-'Allamah al-Muhaddith Syeikh Zafar Ahmad al-Uthmani al-Tahanawi - semoga Allah Ta'ala merahmatinya - berkata dalam kitabnya, Qawa'id fi 'Ulum al-Hadith:

“Muhaddith ialah orang yang mengetahui cara-cara menyabitkan hadis, dan mengetahui keadilan para perawinya dan kritikan terhadap mereka, bukan sekadar orang yang terbatas kepada mendengar (hadis) sahaja.”

Pandangan Prof Dr Muhammad Abu Laith al-Khair Abadi

Beliau menyebutkan takrif Muhaddith sebagai:

“Seseorang yang mempunyai keterlibatan - yang ikhlas lagi banyak - dengan hadis dan ilmu-ilmunya dari segi bacaan dan kajian, penyelidikan dan penelitian.

Dia mempunyai pengetahuan tentang sejumlah besar hadis, lafaz-lafaznya, jalan-jalan periwayatannya, dan syawahidnya, serta tentang para perawinya dan keadaan mereka dari segi jarh dan ta'dil.

Dia mempunyai pengetahuan yang luas tentang karya-karya dalam bidang hadis dan para perawinya, serta syarah-syarah hadis.

Dia mempunyai pandangan yang tajam dalam berinteraksi dengan hadis berdasarkan keadaan, suasana dan sebab-sebabnya.”

Pandangan Prof Dr Ali Abdul Basit Mazid

Beliau menyebutkan dalam kitab Taisir Mustolah al-Hadith Wa ‘Ulumih:

“Muhaddith ialah orang yang alim tentang hadis dari segi riwayat dan dirayah. Maka, dia mengetahui sanad-sanad, 'ilal (kecacatan-kecacatan tersembunyi), nama-nama perawi, dan keadaan-keadaan mereka, serta dapat membezakan hadis yang sahih daripada yang lemah.”

Pandangan Prof Dr Al-Khusyu'i al-Khusyu'i

Beliau menyebutkan dalam kitab Ghayah al-Idhah Fi 'Ulum al-Isthilah:

“Sesungguhnya asas dalam menilai seorang sebagai Muhaddith bukanlah hafalan semata-mata, tetapi mestilah disertai dengan pemahaman dan pengetahuan. Sekiranya tidak demikian dan hanya terhad kepada hafalan dan periwayatan, maka dia bukanlah seorang Muhaddith walau sebanyak mana pun yang dihafalnya, sebaliknya dia hanyalah seorang perawi.

Begitu juga, para Muhaddithin tidak berada pada satu darjat yang sama, bahkan sebahagian mereka mencapai tahap tertinggi, dan sebahagian lagi tidak melepasi tahap terendah. Oleh sebab itu, para ulama berbeza pendapat dalam mendefinisikan seorang Muhaddith. Sebahagian mereka mendefinisikannya dengan tahap tertinggi, dan sebahagian lagi mendefinisikannya dengan tahap terendah, sebagaimana perkara ini juga berbeza dari satu zaman ke zaman yang lain.

Kayu Ukur Seorang Muhaddith Semakin Rendah

1 - Syeikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah - semoga Allah Ta'ala merahmatinya - berkata ketika mengulas definisi yang dikemukankan oleh Syeikh Zafar Ahmad al-Tahanawi:

“Definisi ini telah diucapkan oleh al-Taj bin Yunus dan al-Zarkasyi, sebagaimana yang dinukilkan daripada mereka berdua oleh al-Suyuti dalam al-Tadrib. Ia adalah definisi yang mengambil kira keadaan kemerosotan ilmu dan ahlinya, bukan keadaan yang sepatutnya ada pada seorang Muhaddith mengikut pengertian ulama terdahulu.”

2 - Al-'Allamah al-Muhaddith Ahmad Syakir - semoga Allah Ta'ala merahmatinya - berkata dalam al-Ba'ith al-Hathith syarah kepada Ikhtisar 'Ulum al-Hadith oleh Ibn Kathir, selepas beliau menyebutkan gelaran al-Hafiz dan Muhaddith serta apa yang dikatakan tentang kedua-duanya:

“Adapun zaman kita ini, manusia telah meninggalkan periwayatan hadis secara keseluruhannya, kemudian mereka meninggalkan keterlibatan dengan hadis melainkan jarang sekali, dan sedikit sekali engkau akan melihat di antara mereka ada orang yang layak untuk menjadi seorang penuntut ilmu-ilmu Sunnah! Sukarnya engkau akan mendapati ada orang yang layak digelar sebagai seorang Muhaddith.”

3 - Sekitar tujuh kurun sebelumnya, Al-Hafiz pada zamannya, iaitu pada awal kurun kelapan, Imam Syamsuddin al-Zahabi telah berkata dalam risalahnya, Bayan Zaghal al-'Ilm wa al-Talab, ketika beliau berbicara tentang ilmu hadis:

“Betapa ramai orang yang masyhur dengan fiqh dan qiyas (al-ra’y) pada zaman dahulu, yang lebih utama dalam hadis berbanding orang-orang terkemudian, dan betapa ramai orang dari kalangan ahli kalam zaman dahulu yang lebih arif tentang athar (hadis) berbanding para syeikh - iaitu: guru-guru – pada zaman kita ini!”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan