Dari segi bahasa:
Isim maf'ul bagi perkataan "رَفَعَ" (mengangkat), lawan kepada: meletakkan.
Seolah-olah hadis jenis ini dinamakan demikian kerana penisbahannya
kepada pemilik kedudukan yang tinggi, iaitu Nabi SAW.
Dari segi istilah:
Perkataan, perbuatan, perakuan (taqrir) atau sifat yang
disandarkan kepada Nabi SAW.
Hadis Marfu' boleh jadi bersambung sanadnya dan boleh jadi
terputus sanadnya atau Mursal.
Al-Khatib al-Baghdadi berpendapat bahawa hadis Marfu' ialah
apa yang disandarkan oleh Sahabat kepada Nabi SAW, sama
ada sanadnya bersambung kepada Sahabat tersebut atau terputus.
Oleh yang demikian, hadis Mursal dikecualikan dan al-Khatib
tidak menganggapnya sebagai sebagai Marfu' (kerana Mursal ialah
apa yang disandarkan oleh Tabi’in kepada Nabi SAW).
Definisi pertama adalah pendapat jumhur ulama dan ia adalah
yang sahih.
Jenis-Jenisnya:
Telah jelas daripada definisi Marfu' bahawa jenisnya
ada empat, iaitu:
1 - Marfu' Qauli (Perkataan)
Iaitu apabila seorang Sahabat atau selainnya berkata:
"Rasulullah SAW bersabda begini..."
2 - Marfu' Fi'li (Perbuatan)
Iaitu apabila seorang Sahabat atau selainnya berkata:
"Rasulullah SAW melakukan begini..."
3 - Marfu' Taqriri (Perakuan)
Iaitu apabila seorang Sahabat atau selainnya berkata:
"Sesuatu telah dilakukan di hadapan Nabi SAW begini..."
dan tidak meriwayatkan penolakan Baginda terhadap perbuatan tersebut.
4 - Marfu' Wasfi (Sifat)
Contoh bagi sifat ialah apabila seorang Sahabat atau
selainnya berkata:
"Rasulullah SAW adalah begini dan begitu."
Lalu dia menyebutkan sesuatu daripada sifat-sifat fizikal
(kejadian) atau akhlak Baginda.
Hukumnya:
Marfu' boleh jadi sahih apabila ia memenuhi lima syarat kesahihan, boleh jadi hasan dan boleh jadi da’if apabila hilang satu syarat atau lebih daripada syarat-syarat sahih.
Ketika hilang syarat kesahihannya maka penyandarannya kepada
Nabi SAW semata-mata tidak memberi apa-apa faedah kerana
tidak memenuhi syarat sahih dan hasan.
Marfu' Hukman (Dianggap Marfu' dari Segi
Hukum)
Ia adalah hadis yang diucapkan oleh Sahabat, yang mana Sahabat tersebut tidak
mengambil perkara-perkara Israiliyyat serta hadis tersebut adalah daripada perkara yang tiada ruang untuk
ijtihad di dalamnya, seperti penetapan masa ibadat dan penentuan pahala dan seksa.
Ia merupakan hujah menurut jumhur Ahli Hadis, begitu juga
menurut mazhab Syafi'i, Hanafi, dan sekalian pengikut mazhab-mazhab yang
masyhur.
Mereka telah menerima ucapan Abu Hurairah RA:
"Sesiapa yang berpuasa pada hari Syak, maka dia telah menderhaka kepada
Abu al-Qasim." Diriwayatkan oleh pengarang al-Sunan al-Arba'ah.
Begitu juga ucapan Abu Hurairah: "Sesiapa yang keluar dari
masjid selepas azan, maka dia telah menderhaka kepada Abu al-Qasim."
Begitu juga ucapan Aisyah RA: "Kami diperintahkan untuk mengqada
puasa".
Begitu juga ucapan Ibn Mas'ud RA: "Sesiapa yang mendatangi tukang
tilik atau tukang sihir, maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada
Muhammad SAW."
Kesemua ini adalah dalam hukum Marfu' menurut kebanyakan ulama.
Namun, al-Bulqini berpendapat bahawa yang lebih tepat ia
bukanlah Marfu' kerana ada kemungkinan penetapan dosa itu bersandarkan
kepada prinsip-prinsip Syarak yang sudah sedia maklum.
Pendapat yang sahih adalah apa yang dikatakan oleh jumhur ulama.
Termasuk dalam kategori Marfu' juga: Hadis yang disebut ketika
meriwayatkannya daripada seorang Sahabat dengan lafaz:
1 - "يَرْفَعُ الحَدِيثَ"
(dia me-rafa’-kan hadis).
Contohnya:
Daripada Ayyub, daripada Abu Qilabah, beliau me-marfu'-kan
hadis ini kepada Nabi SAW, baginda bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا
الطَّلَاقَ مِنْ غَيْرِ مَا بَأْسٍ لَمْ تَجِدْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ
"Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya tanpa sebarang alasan yang munasabah, dia tidak akan mencium bau syurga." (Riwayat Abdul Razzaq dalam al-Musannaf)
2 - "يَبْلُغُ بِهِ"
(dia menyampaikannya).
Contohnya:
Daripada 'Ata' bin Yasar, daripada Abu Hurairah, beliau
menyampaikannya kepada Nabi SAW, baginda bersabda:
إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا صَلَاةَ
إِلَّا الْمَكْتُوبَةُ
"Apabila iqamah solat telah dilaungkan, maka tiada solat melainkan solat fardu." (Riwayat Abdul Razzaq dalam al-Musannaf)
3 - "يَنْمِيهِ"
(dia menyandarkannya).
Contohnya:
Daripada Abu Hazim, daripada Sahl bin Sa'ad, beliau berkata:
كَانَ النَّاسُ يُؤْمَرُونَ أَنْ يَضَعَ
الرَّجُلُ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى ذِرَاعِهِ الْيُسْرَى فِي الصَّلَاةِ
"Orang ramai diperintahkan agar smeletakkan tangan
kanannya di atas lengan kirinya di dalam solat."
Abu Hazim berkata: "Aku tidak mengetahuinya melainkan beliau (Sahl bin Sa'ad) menyandarkannya (kepada Nabi SAW)." (Riwayat Malik dalam al-Muwatta’).
Termasuk juga apabila Sahabat berkata:
1 - "Kami diperintahkan begini."
Contohnya:
Ucapan Ummu 'Atiyyah:
أُمِرْنَا أَنْ نُخْرِجَ فِي الْعِيدَيْنِ
الْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ، وَأُمِرَ الْحُيَّضُ أَنْ يَعْتَزِلْنَ
مُصَلَّى الْمُسْلِمِينَ
"Kami diperintahkan agar membawa keluar anak-anak gadis
yang baru baligh dan wanita-wanita pingitan pada dua hari raya. Wanita-wanita
yang sedang haid diperintahkan agar menjauhi tempat solat orang Islam." (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
2 - "Kami dilarang daripada begini."
Contohnya:
Ucapan Ummu 'Atiyyah:
نُهِينَا عَنِ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا
"Kami dilarang daripada mengiringi jenazah, namun ia tidak dilarang dengan keras ke atas kami." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
3 - "Termasuk daripada Sunnah adalah begini."
Contohnya:
Ucapan Anas bin Malik:
مِنَ السُّنَّةِ إِذَا تَزَوَّجَ
الْبِكْرَ عَلَى الثَّيِّبِ أَقَامَ عِنْدَهَا سَبْعًا
"Termasuk daripada Sunnah adalah apabila seseorang mengahwini anak dara sedangkan dia sudah mempunyai isteri, maka dia tinggal bersama isterinya yang dara itu selama tujuh hari (di awal perkahwinan)."
Kesemua ini adalah dalam hukum Marfu'.
Sumber:
1 - Bulugh al-Amal Min Mustholah al-Hadith Wa al-Rijal -
Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar
2 - Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Abdul Majid al-Ghauri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan