Khamis, 14 Jun 2018

Hadis Palsu: Zikir Malam Raya



1 - Amalan ini dikatakan berasal daripada Nabi SAW. Berdasarkan carian, saya hanya temui ia dalam kitab Nuzhah al-Majalis (hlm. 204, terbitan: al-Maktab al-Thaqafi) karangan Abdul Rahman al-Safuri (m. 894H) tanpa dinyatakan sumber asalnya.

2 - Syeikh 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki menyebutkan dalam kitab beliau al-Manhal al-Lathif (hlm. 59, terbitan: Rabithah al-Nur) bahawa ulama menyatakan bahawa terdapat beberapa buah kitab yang dilarang diambil hadis daripadanya kecuali selepas disemak semula, antaranya ialah kitab Nuzhah al-Majalis kerana banyak hadis palsu di dalamnya.

3 – Ahli hadis Damsyik, Burhanuddin al-Naji (m. 900H) memberi peringatan agar tidak dibaca kitab ini, bahkan al-Hafiz al-Sayuthi (m. 911H) mengharamkan membacanya.

Pesanan yang sama turut disampaikan oleh Syeikh Dr Muhammad Abu Syahbah dalam kitab beliau, al-Wasith Fi Ulum Wa Mustholah al-Hadith (hlm. 354, terbitan: 'Alam al-Ma'rifah).

4 - Teksnya dalam bahasa Arab:

من قال سبحان الله وبحمده ثلاثمائة مرة وأهداها لأموات المسلمين دخل في كل قبر ألف نور ، ويجعل الله تعالى في قبرة إذا مات ألف نور. من قال في كل واحد من العيدين : لا إله إلا الله وحده لاشريك له ، له الملك وله الحمد يحي ويميت وهو حي لا يموت بيده الخير ، وهو على كل شيء قدير أربعمائة مرة قبل صلاة العيد زوجه الله تعالى أربعمائة حوراء ، وكأنما أعتق أربعمائة رقبة ، ووكل الله تعالى به الملائكة يبنون له المدائن ، ويغرسون له الأشجار إلى يوم القيامة. قال الزهري : ماتركتها منذ سمعتها من أنس . وقال أنس رضي الله تعالى عنه ماتركتها منذ سمعتها من النبي صلى الله عليه وسلم

5 - Meskipun amalam di atas tidak ditemui sumber asalnya, hukum menghidupkan malam hari raya adalah disunatkan berdasarkan dalil yang lain.

Imam al-Nawawi rahimahullah menyebutkan dalam kitab al-Majmu’ (5/42):

“Para ulama mazhab al-Syafi’i berkata: Disunatkan menghidupkan kedua-dua malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mendirikan solat atau ibadah selainnya daripada pelbagai bentuk ketaatan. Para ulama kami berhujah menyokongnya dengan hadis Abu Umamah daripada Nabi SAW:

مَنْ أَحْيَا لَيْلَتَيْ الْعِيدِ لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ

"Sesiapa yang menghidupkan kedua-dua malam hari raya, hatinya tidak akan mati pada hari di mana hati-hati manusia mati."

Dan di dalam riwayat Imam al-Syafie dan Ibn Majah:

مَنْ قَامَ لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسِبًا لِلَّهِ تَعَالَى لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ حِينَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ

"Sesiapa yang menghidupkan kedua-dua malam hari raya kerana mengharapkan ganjaran daripada Allah Taala, hatinya tidak akan mati ketika hati-hati manusia mati."

Hadis ini diriwayatkan daripada Abu al-Darda' secara mawquf (ucapan Abu al-Darda’). Ia juga turut diriwayatkan daripada riwayat Abu Umamah secara mawquf ke atasnya dan secara marfu' (bersambung kepada Nabi SAW) sepertimana yang telah lalu disebutkan. Namun, kesemua sanadnya adalah daif.

Imam al-Syafi’i berkata dalam kitab al-Umm: Telah sampai kepada kami bahawa pernah dikatakan: Sesungguhnya doa dimustajabkan pada lima malam: pada malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab, dan malam Nisfu Syaaban.

Imam al-Syafi’i berkata lagi: Ibrahim bin Muhammad telah mengkhabarkan kepada kami, beliau berkata: Aku melihat para syeikh (ulama) daripada kalangan orang yang terbaik dari penduduk Madinah hadir di Masjid Nabi SAW pada malam kedua-dua hari raya, lalu mereka berdoa dan berzikir kepada Allah Taala sehinggalah berlalu sebahagian waktu daripada waktu malam.

Imam al-Syafi’i berkata: Telah sampai kepada kami bahawa Ibn Umar biasa menghidupkan malam hari raya Korban.

Imam al-Syafi’i berkata: Aku mensunatkan segala apa yang telah aku ceritakan pada malam-malam ini tanpa menganggapnya sebagai satu kefarduan. Inilah akhir kata-kata Imam al-Syafi’i.

Imam al-Syafi’i dan para pengikutnya mensunatkan amalan menghidupkan (malam hari raya) yang disebutkan itu walaupun hadisnya adalah daif. Hal ini kerana sepertimana yang telah dijelaskan pada awal kitab bahawa hadis-hadis berkaitan kelebihan amalan diberikan kelonggaran padanya dan dibolehkan untuk beramal bersesuaian dengan hadis yang daif tersebut.

Pendapat yang sahih ialah kelebihan menghidupkan malam ini tidak akan terhasil melainkan dengan (menghidupkannya pada) sebahagian besar waktu malam. Ada pandangan mengatakan ia terhasil walau dengan sebahagian masa sahaja, dan ia disokong oleh nukilan Imam al-Syafi’i daripada para syeikh Madinah yang dahulu disebutkan.

Al-Qadi Husain menukilkan daripada Ibn Abbas bahawa menghidupkan malam hari raya adalah dengan mendirikan solat Isyak secara berjemaah dan berazam untuk mendirikan solat Subuh secara berjemaah. Namun, pendapat yang terpilih adalah apa yang telah aku kemukakan sebelum ini (iaitu menghidupkan sebahagian besar malam). Dan Allah lebih mengetahui.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan