Selasa, 2 Jun 2026

Istighathah Daripada Orang Mati

Soalan Pertama:

Kita melihat sebahagian orang memohon madad (bantuan) dan ghauth (pertolongan), atau memohon ditunaikan hajat daripada para wali yang telah meninggal dunia, seperti seseorang berkata: "Bantulah aku wahai Syeikh si fulan", atau "Madad (berikanlah bantuan) wahai Syeikh si fulan", atau "Perhatianmu ke atasku".

Adakah perbuatan ini syirik, haram, atau harus?

Jawapan Syeikh Dr Abdul Malik al-Sa’di:

Sesungguhnya memohon pertolongan (istighathah) dan bantuan (madad) daripada orang yang masih hidup adalah harus tanpa ada khilaf (perselisihan ulama). Ini kerana ia merupakan permohonan bagi perkara-perkara yang bersifat material (fizikal) yang mana orang yang hidup mungkin mampu untuk memberikan bantuan padanya.

Adapun orang yang telah meninggal dunia, sesungguhnya dia tidak mampu untuk memberikan bantuan dan pertolongan yang bersifat material (fizikal), maka permohonan tersebut daripada mereka merupakan satu permohonan yang bersifat maknawi (kerohanian) semata-mata.

Berkenaan perkara ini, terdapat perincian berikut:

1 - Jika orang yang memohon pertolongan atau bantuan itu beriktikad bahawa wali atau Nabi ini mampu memberi bantuan dan pertolongan yang sama tahapnya sepertimana Allah Ta'ala memberi bantuan dan pertolongan, maka ini adalah kufur dan syirik, dan kita memohon perlindungan Allah daripadanya.

2 - Namun, jika dia memaksudkan dengan perkataannya tersebut sebagai tasyaffu' (menjadikan perantara) kepada Allah, iaitu dia beriktikad bahawa Allah yang akan menolong dan membantunya demi memuliakan wali ini, ia tidak menjadi kufur.

Begitu juga tidak kufur jika dia berkata: “Aku mahu supaya orang yang telah meninggal dunia itu memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah untukku.”

3 – Meskipun begitu, walaupun ia bukanlah satu kekufuran, namun yang lebih utama adalah menjauhi lafaz-lafaz yang mempunyai kebarangkalian (boleh membawa maksud) kufur atau selainnya kerana seorang Muslim dituntut supaya kata-katanya jelas dan jauh daripada perkara yang boleh menyebabkan wujud salah faham (takwilan).

Al-Quran al-Karim telah melarang daripada menggunakan lafaz-lafaz yang mempunyai kebarangkalian maksud yang buruk dan maksud yang baik.

Sebagai contoh: Para Sahabat Rasulullah SAW dahulu, apabila baginda bercakap dengan mereka dan baginda tidak memandang kepada sebahagian daripada mereka pada waktu berbicara tersebut, mereka akan berkata: "Ra'ina (perhatikanlah kami) wahai Rasulullah".

Kaum Yahudi pula berasa gembira dan mengejek dengan menggunakan perkataan tersebut kerana ia merupakan perkataan cacian di sisi mereka. Lalu Allah Ta'ala menurunkan firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقُولُوا رَاعِنَا وَقُولُوا انْظُرْنَا

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu katakan: “Ra'ina”, sebaliknya katakanlah: “Unzurna" [Al-Baqarah: 104].

Perhatikanlah kepada kedua-dua lafaz tersebut, sesungguhnya kedua-duanya membawa satu maksud yang sama (iaitu: perhatikanlah kami), akan tetapi lafaz yang pertama itu padanya ada kebarangkalian (maksud yang buruk).

Oleh itu, ungkapan yang lebih tepat ialah: "Bantulah kami Ya Allah demi kemuliaan wali si fulan". Ini adalah cara yang lebih selamat untuk akidah.

Soalan Kedua:

Adakah dibenarkan untuk aku berdiri di kubur seorang lelaki yang soleh lalu aku berkata: "Wahai si fulan, berdoalah kepada Allah untukku supaya diberikan sekian-sekian"? Atau "Mohonlah ampun untukku"? 

Adakah menyeru orang yang telah meninggal dunia itu haram atau syirik?

Jawapan Syeikh Dr Abdul Malik al-Sa’di:

Soalanmu ini mengandungi tiga perkara:

1 - Menyeru orang yang telah meninggal dunia.

2 - Berdoa kepada orang yang telah meninggal dunia.

3 - Meminta doa daripada orang yang telah meninggal dunia.

1 - Adapun menyeru orang yang telah meninggal dunia: Ia bukanlah satu syirik sepertimana yang dikatakan oleh sebahagian pihak. Ini kerana terdapat sunnah yang menyebut mengenai seruan terhadap orang yang telah meninggal dunia.

Menjadi satu kesalahan apabila menamakan seruan kepada orang yang telah meninggal dunia sebagai doa (meminta) kepadanya, melainkan jika terdapat petunjuk yang jelas menunjukkan bahawa dia memaksudkan seruan itu sebagai doa. Perkara tersebut adalah seperti dia berkata ketika bangun, mendaki, atau semasa melakukan apa jua perbuatan: "Wahai 'Ali, wahai Muhammad, wahai Husain, wahai Abdul Qadir". Maka ini adalah doa kepada mereka dan ia merupakan perbuatan syirik.

Keharusan membuat seruan ini dibuktikan dengan beberapa dalil:

(i) Antaranya: Baginda SAW apabila meletakkan mayat-mayat (musuh yang terbunuh dalam peperangan) Badar ke dalam perigi buta, baginda berdiri (di tepi perigi tersebut) lalu memanggil setiap seorang daripada mereka dengan nama masing-masing.

(ii) Antaranya: Kita pada setiap solat menyeru Rasulullah SAW melalui ucapan kita:

السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

"Salam sejahtera ke atasmu wahai Nabi, serta rahmat Allah dan keberkatan-Nya."

Maka ini merupakan satu ucapan dan seruan kepada orang yang telah meninggal dunia.

(iii) Antaranya: Nabi SAW apabila menziarahi tanah perkuburan, baginda mengucapkan:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ أَوْ دَارِ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ

"Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni tempat ini (perkuburan), ataupun perkampungan kaum yang beriman."

Ini juga merupakan satu seruan kepada orang-orang yang telah meninggal dunia.

(iv) Antaranya: Ibn 'Umar pernah menziarahi kubur Nabi SAW dan dua orang sahabat baginda, lalu beliau berkata:

السَّلَامُ عَلَيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، السَّلَامُ عَلَيْكَ يَا أَبَا بَكْرٍ، السَّلَامُ عَلَيْكَ يَا أَبِي

"Salam sejahtera ke atasmu wahai Rasulullah, salam sejahtera ke atasmu wahai Abu Bakar, salam sejahtera ke atasmu wahai ayahku."

(v) Antaranya: Apa yang disebutkan di dalam hadis 'Uthman bin Hunaif mengenai lelaki yang mempunyai hajat dengan Saidina 'Uthman di mana dia menyebut:

يَا رَسُولَ اللَّهِ

"Wahai Rasulullah."

2 - Adapun berdoa kepada orang yang telah meninggal dunia: Iaitu engkau menjadikannya setaraf kedudukan Allah lalu engkau berdoa kepadanya dan berkata kepadanya: "Berikanlah rezeki kepadaku, berikanlah kesihatan kepadaku, dan hilangkanlah kesusahan daripadaku", serta maksud engkau adalah bahawa dia sendirilah yang melakukan perkara tersebut sepertimana yang dilakukan oleh Allah Ta'ala. Maka ini adalah kufur dan syirik, dan kita memohon perlindungan Allah daripadanya.

3 - Meminta doa daripada orang yang telah meninggal dunia: Memandangkan perbuatan meminta doa daripada orang lain ada sandarannya sepertimana yang telah kami sebutkan mengenai meminta doa daripada orang yang masih hidup, maka aku tidak melihat sebarang halangan untuk meminta doa daripada orang yang telah meninggal dunia selagi mana telah sabit bahawa orang yang meninggal dunia itu mendengar dan mengenali penziarahnya, serta boleh bercakap di alam barzakh.

Ini kerana telah sabit - sepertimana yang akan datang penerangannya - bahawa Nabi SAW memohon ampun untuk umat baginda semasa berada di dalam kuburnya, dan orang yang telah meninggal dunia juga bercakap dan mendengar.

Adapun pendapat yang mengatakan bahawa doa itu adalah ibadat, dan kewajipan ibadat telah gugur (terangkat) daripada orang yang telah meninggal dunia. Maka jawapannya terbahagi kepada dua sudut:

Sudut Pertama: Ibadat yang gugur daripada orang yang telah meninggal dunia ialah ibadat yang bersifat kewajipan dan taklif (bebanan syariat). Perkara ini tidak menafikan kewujudan ibadat daripadanya (selepas mati) yang tidak bersifat wajib. Ini kerana telah disebutkan di dalam hadis yang sahih bahawa Nabi SAW ketika baginda diisrakkan:

رَأَى مُوسَى قَائِمًا يُصَلِّي فِي قَبْرِهِ

"Baginda melihat Musa berdiri mendirikan solat di dalam kuburnya." (Riwayat Muslim)

Ia adalah solat yang bukan lagi bersifat taklif (bebanan syariat).

Sudut Kedua: Doa itu mempunyai dua sudut (matlamat): Beribadat melaluinya kepada Allah, dan memohon hajat-hajat daripada-Nya.

Maka sekiranya orang yang meninggal dunia itu telah terlepas daripadanya sudut pertama iaitu beribadat, maka tiada halangan untuknya berdoa bagi mencapai sudut yang kedua. Wallahu a'lam.

Kesimpulan Ringkas

1 - Perbezaan Permohonan Bantuan: Memohon pertolongan fizikal (material) daripada orang yang masih hidup adalah harus. Namun, memohon pertolongan daripada orang yang telah meninggal dunia hanyalah bersifat kerohanian (maknawi) kerana mereka tidak lagi mampu memberi bantuan fizikal.

2 - Hukum Syirik Jika Salah Iktikad: Perbuatan meminta bantuan daripada orang yang mati (seperti menyebut lafaz madad) menjadi syirik dan kufur jika seseorang itu beriktikad (percaya) bahawa orang yang mati itu berupaya memberi pertolongan secara mutlak setaraf dengan kekuasaan Allah SWT.

3 - Hukum Harus Sebagai Perantara (Tasyaffu'): Perbuatan itu tidak menjadi kufur sekiranya pemohon berniat menjadikannya sebagai perantara, iaitu beriktikad bahawa hanya Allah yang memberi pertolongan demi memuliakan wali tersebut, atau dia bermaksud meminta wali tersebut berdoakan untuknya kepada Allah.

4 - Tuntutan Menjauhi Lafaz Mengelirukan: Walaupun niatnya benar dan tidak kufur, umat Islam sangat digalakkan untuk menjauhi lafaz-lafaz yang samar-samar dan berisiko membawa maksud syirik bagi mengelakkan salah faham akidah.

5 - Gunakan Lafaz yang Selamat: Mengambil pengajaran daripada al-Quran (Kisah penukaran lafaz "Ra'ina" kepada "Unzurna"), lafaz doa yang lebih tepat, selamat, dan bebas syubhah adalah seperti: "Bantulah kami Ya Allah demi kemuliaan wali si fulan."

6 - Menyeru Orang Mati Bukan Syirik Mutlak: Perbuatan menyeru nama orang yang telah meninggal dunia (seperti "Wahai Rasulullah" atau "Wahai si fulan"bukanlah syirik kerana terdapat dalil sunnah yang membuktikan amalan ini pernah dilakukan oleh Nabi SAW dan para Sahabat.

7 - Bukti Keharusan Menyeru Orang Mati: Antara buktinya ialah lafaz Tahiyat dalam solat yang menyeru Nabi ("Assalamu'alaika Ayyuhan Nabi"), seruan salam ketika menziarahi tanah perkuburan, dan tindakan Nabi SAW menyeru nama-nama mayat musuh di Perigi Badar.

8 - Bila Seruan Menjadi Syirik: Menyeru nama orang yang mati akan bertukar menjadi syirik sekiranya ia dijadikan doa secara langsung, contohnya menyebut nama wali ketika bangun atau mendaki dengan iktikad bahawa wali tersebut yang memberikannya kekuatan fizikal.

9 - Meminta Orang Mati Mendoakan Kita: Umat Islam diharamkan berdoa meminta rezeki atau kesihatan terus daripada orang yang mati. Walau bagaimanapun, amalan meminta orang yang mati untuk mendoakan atau memohon ampun bagi pihak kita kepada Allah adalah dibenarkan, kerana penghuni alam barzakh boleh mendengar dan mengenali penziarahnya.

10 - Doa Orang Mati Selepas Gugur Taklif: Pendapat yang mengatakan orang mati tidak boleh berdoa kerana taklif (bebanan syariat) telah terputus adalah tidak tepat. Yang terputus hanyalah ibadat wajib, namun ibadat sunat seperti berdoa kekal wujud. Hal ini dibuktikan melalui hadis sahih di mana Nabi Musa A.S. dilihat mendirikan solat di dalam kuburnya.

Sumber:

Al-Bid’ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq oleh Syeikh Dr Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di