Rabu, 17 Jun 2026

Terjemahan al-Hafidah Imam al-Sanusi

Segala puji bagi Allah, dan selawat serta salam ke atas Rasulullah.

[Sifat Wajib Bagi Allah - Sifat Nafsiyyah, dan Sifat Salbiyyah]

Ketahuilah bahawa Tuhan kita Jalla wa 'Azza wajib/mesti bersifat:

1 -  Wujud (ada).

2 - Qidam (sedia ada).

3 - Baqa' (kekal).

4 - Berbeza dengan makhluk-Nya.

5 - Berdiri dengan sendiri-Nya; iaitu terkaya (tidak berhajat) kepada zat (mahal) dan pencipta (mukhassis).

6 - Esa pada zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan perbuatan-perbuatan-Nya.

[Sifat-sifat Ma'ani, dan sifat-sifat Ma'nawiyyah]

Wajib bagi Allah Taala sifat:

7 - Qudrah (berkuasa).

8 - Iradah (berkehendak).

9 - Ilmu (mengetahui).

10 - Hayat (hidup).

11 - Sama' (mendengar).

12 - Basar (melihat).

13 - Kalam (berkata-kata).

Dan keadaan Allah Taala itu:

14 - Yang Maha Berkuasa.

15 - Yang Maha Berkehendak.

16 - Yang Maha Mengetahui.

17 - Yang Maha Hidup.

18 - Yang Maha Mendengar.

19 - Yang Maha Melihat.

20 -  Yang Maha Berkata-kata.

[Sifat Mustahil Bagi Allah]

Mustahil ke atas Allah Jalla wa 'Azza sifat:

1 – Tiada (‘adam).

2 – Baharu (huduth).

3 - Didatangi ketiadaan (binasa).

4 - Menyerupai makhluk yang baharu.

5 - Berhajat kepada zat (mahal) dan pencipta (mukhassis).

6 – Mempunyai sekutu.

Begitu juga mustahil ke atas-Nya Jalla wa 'Azza sifat:

7 – Lemah.

8 – Terpaksa.

9 – Jahil.

10 – Mati.

11 – Pekak.

12 – Buta.

13 - Bisu.

Serta (mustahil) keadaan Allah sebagai:

14 - Yang lemah.

15 - Yang terpaksa.

16 - Yang jahil.

17 - Yang mati.

18 - Yang pekak.

19 - Yang buta.

20 - Yang bisu.

[Sifat Harus Pada Perbuatan Allah]

Harus pada Allah Taala melakukan: setiap perkara yang mungkin (harus) atau meninggalkannya.

[Dalil Kewujudan Allah dan Sifat-Sifat-Nya]

Dalil ke atas kewujudan Allah Taala ialah: kewujudan alam ini.

Sekiranya Allah tidak Qadim (sedia ada), nescaya Dia adalah baharu.

Sekiranya Allah tidak Baqa' (kekal), nescaya Dia bukanlah Qadim.

Sekiranya Allah tidak berbeza dengan makhluk-Nya, nescaya Dia menyerupai mereka.

Sekiranya Allah tidak berdiri dengan sendiri-Nya, nescaya Dia berhajat kepada zat (mahal) atau pencipta (mukhassis).

Sekiranya Allah berhajat kepada zat (mahal), nescaya Dia adalah sifat.

Sekiranya Allah berhajat kepada pencipta (mukhassis), nescaya Dia adalah baharu.

Sekiranya Allah tidak esa, nescaya Dia dapat dikalahkan (maqhur):

وَهُوَ ٱلْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ

"Dan Dialah Yang Maha Berkuasa ke atas hamba-hamba-Nya."

Sekiranya tidak wajib bagi Allah sifat Qudrah (berkuasa), Iradah (berkehendak), Ilmu (mengetahui) dan Hayat (hidup), nescaya tidak akan ada sesuatu pun daripada makhluk-Nya.

Sekiranya Allah tidak disifatkan dengan Sama' (mendengar), Basar (melihat) dan Kalam (berkata-kata), nescaya Dia bersifat kekurangan. Maha Suci Allah daripada perkara tersebut dengan kesucian yang setinggi-tingginya.

Sekiranya melakukan perkara-perkara yang mungkin (harus) atau meninggalkannya itu tidak menjadi suatu yang harus pada Allah Taala, nescaya akan berubahlah hakikat (sesuatu perkara), dan mengubah hakikat-hakikat itu adalah suatu yang mustahil.

[Perbincangan Mengenai Kenabian – Sifat Wajib, Mustahil, dan Harus bagi Rasul]

Adapun para Rasul alaihimus solatu was salam, maka wajib/mesti pada mereka sifat:

1 - Siddiq (benar).

2 - Amanah (terpelihara daripada perkara yang dilarang).

3 - Tabligh (menyampaikan).

Mustahil ke atas mereka sifat:

1 - Kazib (dusta).

2 – Khianat (melakukan perkara yang dilarang).

3 - Kitman (menyembunyikan).

Harus pada mereka: apa-apa (sifat) yang harus pada manusia biasa, akan tetapi ia tidak membawa kepada kekurangan pada darjat mereka yang tinggi, seperti sakit dan seumpamanya.

[Dalil Bagi Sifat-Sifat Para Rasul]

Dalil ke atas kewajipan sifat benar mereka ialah: (Adanya) mukjizat-mukjizat.

Sekiranya mereka tidak amanah, nescaya mereka adalah orang yang khianat.

Sekiranya mereka tidak menyampaikan, nescaya mereka adalah orang yang menyembunyikan. Perkara tersebut adalah mustahil.

Dalil keharusan sifat-sifat kebiasaan manusia ke atas mereka alaihimus solatu was salam ialah: penyaksian berlakunya perkara tersebut pada diri mereka oleh masyarakat zaman mereka, dan ia disampaikan kepada kita secara mutawatir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan