Jumaat, 26 Jun 2026

Terjemahan Nukhbah al-Fikar oleh al-Hafiz Ibnu Hajar

Segala puji bagi Allah yang sentiasa Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa. Selawat (rahmat) berserta salam kesejahteraan yang sebanyak-banyaknya daripada Allah ke atas junjungan kita Nabi Muhammad, yang telah diutus-Nya kepada manusia sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi amaran, serta ke atas keluarga Nabi Muhammad dan para sahabat Baginda.

Adapun selepas itu, sesungguhnya karya-karya penulisan mengenai istilah ahli hadis telah begitu banyak, ada yang dihuraikan dengan panjang lebar, dan ada yang diringkaskan.

Lalu sebahagian saudara telah meminta kepadaku agar meringkaskan untuknya perkara-perkara yang penting daripada karya-karya itu. Maka aku memenuhi permintaannya itu dengan harapan dapat tergolong dalam kelompok mereka yang menghasilkan karya-karya tersebut.

Maka aku berkata:

Sesuatu Khabar itu sama ada:

1 - Ia mempunyai beberapa sanad tanpa jumlah bilangan yang tertentu.

2 - Atau ia terhad kepada jumlah tertentu yang lebih daripada dua.

3 - Atau dua sanad.

4 – Atau satu sanad.

Maka yang pertama ialah Mutawatir, yang memberikan faedah ilmu yang meyakinkan, berserta dengan syarat-syaratnya.

Yang kedua ialah Masyhur, dan berdasarkan satu pandangan ia juga adalah Mustafidh.

Yang ketiga ialah Aziz. Ia bukanlah syarat bagi hadis sahih, berbeza dengan pandangan pihak yang mendakwanya.

Dan yang keempat ialah Gharib.

Kesemuanya - selain yang pertama (Mutawatir) - adalah Ahad.

Di dalam khabar Ahad itu terdapat yang Maqbul (riwayat yang diterima) dan yang Mardud (ditolak), kerana untuk menjadikannya sebagai dalil bergantung kepada penelitian terhadap keadaan para perawinya, berbeza dengan jenis yang pertama (Mutawatir).

Kadangkala terdapat pada khabar Ahad itu adanya beberapa petunjuk (qarinah) yang dapat memberikan faedah ilmu nazari (ilmu yang terhasil melalui penelitian), mengikut pandangan yang terpilih (mukhtar).

Kemudian, sifat gharabah (bersendirian perawi dalam meriwayatkan hadis) itu sama ada ia berlaku pada:

1 - Pangkal sanad.

2 - Ataupun bukan (pada pangkal sanad).

Maka yang pertama ialah Fard Mutlaq.

Yang kedua ialah Fard Nisbi, dan jarang digunakan istilah ‘Fard’ ke atasnya (sebaliknya diguna Gharib Nisbi).

Khabar Ahad yang diriwayatkan oleh perawi yang ‘adil (berintegriti dari sudut agamanya), yang sempurna dhabit (hafalan dan penjagaan hadisnya), yang bersambung sanadnya, serta tidak mempunyai ‘iilah (kecacatan tersembunyi) dan tidak syaz (bercanggah dengan perawi yang lebih kuat), ia adalah hadis Sahih li Zatihi.

Tingkatan sesuatu hadis Sahih itu berbeza-beza mengikut perbezaan (kesempurnaan) sifat-sifat ini. Oleh kerana itu, didahulukan Sahih al-Bukhari, kemudian Muslim, kemudian hadis yang menepati syarat kedua-duanya.

Jika berkurang sifat dhabit tersebut, maka ia adalah hadis Hasan li Zatihi. Dengan banyak sanad-sanadnya ia disahihkan (menjadi Sahih li Ghairihi).

Maka jika dihimpunkan keduanya (Hasan Sahih), maka ia disebabkan oleh keraguan pada (status) perawi ketika dia bersendirian dalam periwayatan sesuatu hadis (tafarrud). Jika tidak (diriwayatkan secara bersendirian), maka ia adalah dengan mengambil kira dua sanad yang berbeza.

Tambahan (ziyadah) daripada perawi kedua-duanya (hadis sahih dan hasan) adalah diterima, selagi mana ia tidak bercanggah dengan perawi yang lebih thiqah (dipercayai). Jika dia (perawi hadis sahih dan hasan) disanggahi oleh perawi yang lebih kuat (rajih), maka riwayat yang rajih itu ialah Mahfuz, dan riwayat yang menyanggahinya ialah Syaz. Sekiranya (percanggahan itu) berserta dengan kedaifan (perawi), maka riwayat yang rajih itu ialah Ma'ruf, dan riwayat yang menyanggahinya ialah Munkar.

Fard Nisbi itu sekiranya ada perawi lain yang bertepatan (dalam meriwayatkan hadis yang sama) dengannya, maka ia adalah Mutabi'. Sekiranya didapati matan lain yang menyerupainya, maka ia adalah Syahid. Usaha menjejaki sanad-sanad bagi hadis tersebut dinamakan sebagai I'tibar.

Kemudian, hadis Maqbul itu jika ia selamat daripada percanggahan, maka ia adalah Muhkam. Jika ia dicanggahi oleh hadis yang seumpamanya:

1 - Jika ia boleh diharmonikan, maka ia adalah Mukhtalif al-Hadith.

2 - Ataupun tidak (boleh diharmonikan), dan boleh dipastikan (tarikh) riwayat yang terkemudian, maka ia adalah Nasikh (hadis yang memansuhkan) dan yang satu lagi adalah Mansukh (hadis yang dimansuhkan).

Jika tidak (boleh diharmonikan dan tidak pasti mana satu riwayat yang terkemudian), maka dilakukan tarjih (diutamakan salah satu daripada dua hadis).

Kemudian (jika tidak boleh juga), maka ditangguhkan hukumnya (tawaqquf).

Kemudian, hadis Mardud itu sama ada ia berpunca daripada:

1 - Keguguran perawi (pada sanad).

2 - Atau kritikan (terhadap perawi).

Keguguran perawi itu, sama ada ia berlaku pada:

1 - Permulaan sanad, berpunca daripada penulis kitab hadis sendiri (yang menggugurkan perawi).

2 - Atau pada akhir sanad selepas Tabi'in.

3 - Atau selain daripada itu.

Maka yang pertama ialah Mu'allaq.

Yang kedua ialah Mursal.

Yang ketiga, jika ia:

1 - Melibatkan dua perawi atau lebih secara berturut-turut, maka ia adalah Mu'dhal.

2 - Jika tidak (berturut-turut), maka ia adalah Munqati'.

Kemudian, keguguran perawi itu kadang-kadang:

1 – Jelas.

2 - Atau tersembunyi.

Maka yang pertama dapat diketahui melalui dengan tiadanya pertemuan (antara perawi). Oleh kerana itu, ilmu sejarah (perawi) amat diperlukan.

Yang kedua ialah Mudallas. Ia diriwayatkan dengan bentuk (penyampaian hadis) yang membawa kemungkinan berlaku pertemuan (antara perawi) seperti 'daripada' (عَنْ) dan 'telah berkata' (قَالَ).

Begitu juga Mursal Khafi, iaitu (riwayat hadis) daripada perawi yang sezaman tetapi tidak pernah bertemu.

Kemudian kritikan pada perawi itu sama ada ia disebabkan oleh:

1 - Pendustaan perawi.

2 - Atau tuduhan berdusta terhadapnya.

3 - Atau kesilapannya yang sangat teruk.

4 - Atau kelalaiannya.

5 - Atau kefasikannya.

6 - Atau kekeliruannya (waham).

7 - Atau percanggahannya (dengan perawi thiqah yang lain).

8 - Atau statusnya yang tidak dikenali (jahalah).

9 - Atau bida’ahnya.

10 - Atau buruk hafalannya.

Maka yang pertama ialah Mawdu'.

Yang kedua ialah Matruk.

Yang ketiga ialah Munkar, berdasarkan satu pandangan. Dan begitu juga yang keempat dan kelima (dihukumkan sebagai Munkar).

Kemudian (yang keenam ialah) kekeliruan (waham), jika ia dapat dikesan melalui beberapa petunjuk (qarinah) dan himpunan sanad-sanad hadis, maka ia adalah Mu'allal.

Kemudian (yang ketujuh ialah) percanggahan (mukhalafah), jika ia berlaku:

1 - Dengan mengubah susunan (sanad), maka ia adalah Mudraj Isnad.

2 - Atau dengan memasukkan yang mawquf (ucapan Sahabat) ke dalam yang marfu' (ucapan Nabi), maka ia adalah Mudraj Matan.

3 - Atau dengan mendahulukan atau mengemudiankan (matan hadis atau nama perawi), maka ia adalah Maqlub.

4 - Atau dengan menambah seorang perawi (dalam sanad), maka ia adalah al-Mazid fi Muttasil al-Asanid.

5 - Atau dengan menukarkan perawi dan tiada murajjih (faktor penguat untuk mengutamakan satu riwayat ke atas riwayat yang lain), maka ia adalah Mudhtarib. Kadang-kadang penukaran ini berlaku secara sengaja bertujuan untuk menguji (kekuatan hafalan perawi).

6 - Atau dengan mengubah (titik atau baris) huruf-huruf berserta kekalnya bentuk tulisan, maka ia adalah Musahhaf dan Muharraf.

Tidak diharuskan sengaja mengubah matan hadis dengan mengurangkannya (meringkaskan hadis) atau menggunakan perkataan yang seerti (meriwayatkan hadis secara makna), melainkan bagi orang yang mengetahui tentang apa yang boleh mengubah makna.

Jika makna hadis itu sukar difahami, ia berhajat kepada penjelasan perkataan yang Gharib dan penerangan perkara yang Musykil.

Kemudian (yang kelapan ialah) status perawi tidak dikenali (jahalah). Sebabnya adalah kerana:

1 - Seorang perawi itu kadangkala mempunyai gelaran yang banyak.

2 - Dia disebut dengan selain daripada gelaran yang dia masyhur dengannya atas sesuatu tujuan.

Para ulama telah mengarang kitab mengenainya seperti kitab al-Mudhih.

Kadang-kadang seseorang perawi tersebut seorang yang sedikit (meriwayatkan dan menyampaikan hadis), maka tidak ramai yang mengambil riwayat daripadanya. Para ulama telah mengarang kitab mengenainya seperti kitab al-Wuhdan.

Atau perawi tersebut tidak dinamakan kerana tujuan untuk meringkaskan. Para ulama telah mengarang kitab mengenainya seperti kitab al-Mubhamat. Hadis perawi yang  mubham adalah tidak diterima mengikut pandangan yang paling sahih (asah), walaupun dia disamarkan dengan menggunakan lafaz ta'dil (seperti seorang perawi berkata: “telah menceritakan kepada aku seorang perawi yang thiqah”).

Jika seseorang perawi itu dinamakan, namun hanya ada seorang perawi sahaja bersendiri meriwayatkan daripadanya, maka dia adalah Majhul al-'Ayn.

Atau ada dua orang perawi atau lebih meriwayatkan daripadanya tetapi dia tidak dinilai thiqah, maka dia adalah Majhul al-Hal, dan dia juga adalah Mastur.

Kemudian (yang kesembilan ialah) bida'ah, sama ada:

1 - Ia boleh menyebabkan kekufuran.

2 - Atau yang menyebabkan kefasikan.

Maka yang pertama: majoriti ulama tidak menerima pelakunya.

Dan yang kedua: diterima sesiapa yang bukan penyeru (kepada bid'ahnya) mengikut pandangan yang paling sahih, melainkan jika dia meriwayatkan apa yang menguatkan bida'ahnya, maka ia ditolak mengikut pandangan yang terpilih, dan pendapat ini telah dinyatakan dengan jelas oleh al-Juzajani, guru kepada al-Nasa'i.

Kemudian (yang kesepuluh ialah) buruk hafalan, sekiranya ia:

1 - Bersifat kekal: maka ia adalah Syaz, berdasarkan satu pandangan.

2 - Atau bersifat mendatang (berlaku kemudian): maka ia adalah Mukhtalit.

Apabila perawi yang buruk hafalannya itu disokong oleh perawi yang boleh diambil kira hadisnya (mu’tabar), dan begitu juga riwayat Mastur, Mursal, dan Mudallas, maka hadis mereka menjadi Hasan (Li Ghairih), bukan li Zatihi, sebaliknya dengan himpunan (keseluruhan jalan periwayatan tersebut).

Kemudian sanad itu sama ada ia berakhir:

1 - Kepada Nabi SAW, secara jelas atau secara hukum (hukman), sama ada daripada perkataan Baginda, atau perbuatan Baginda, atau perakuan (taqrir) Baginda.

2 - Atau berakhir kepada Sahabat, sedemikian juga (secara jelas serta daripada perkataan, perbuatan dan perakuan Sahabat).

Sahabat ialah sesiapa yang bertemu Nabi SAW dalam keadaan beriman dengan Baginda dan meninggal dunia di atas agama Islam - walaupun pernah diselangi dengan tempoh menjadi murtad - mengikut pandangan yang paling sahih.

3 - Atau berakhir kepada Tabi'in.

Tabi’in ialah sesiapa yang bertemu Sahabat, sedemikian juga (mesti bertemu dan mati dalam Islam).

Maka yang pertama ialah: Marfu'.

Yang kedua ialah: Mawquf.

Yang ketiga ialah: Maqtu'.

Perawi selepas generasi Tabi'in juga seumpamanya (juga Maqtu’).

Dipanggil bagi kedua-dua yang terakhir itu (Mawquf dan Maqtu'): Athar.

Musnad pula ialah hadis yang di-marfu'-kan oleh Sahabat berserta sanad yang pada zahirnya bersambung.

Jika sedikit bilangan perawinya, maka sama ada ia berakhir:

1 - Kepada Nabi SAW.

2 - Atau kepada seorang imam yang mempunyai sifat yang mulia seperti: Syu'bah.

Maka yang pertama ialah: 'Uluw al-Mutlaq.

Dan yang kedua ialah: ‘Uluw al-Nisbi.

Pada ‘Uluw al-Nisbi ini terdapat:

1 - Muwafaqah: iaitu sampai sanad kepada guru kepada salah seorang pengarang kitab hadis tanpa melalui sanad pengarang kitab tersebut.

2 - Badal: iaitu sampai sanad kepada guru bagi guru pengarang kitab hadis tersebut, sedemikian juga (tanpa melalui sanad pengarang kitab hadis tersebut).

3 - Musawah: iaitu persamaan jumlah perawi dalam rantaian sanad hingga ke akhirnya adalah dengan sanad salah seorang pengarang kitab hadis.

4 - Musafahah: iaitu persamaan itu adalah dengan anak murid kepada pengarang kitab hadis.

Yang berlawanan dengan 'Uluw berserta bahagian-bahagiannya itu ialah: Nuzul.

Jika seorang perawi dan orang yang dia meriwayatkan daripadanya (gurunya) berkongsi umur atau bertemu (dengan guru yang sama), maka ia adalah: Aqran.

Jika kedua-duanya saling meriwayatkan antara satu sama lain: maka ia adalah Mudabbaj.

Jika seorang perawi meriwayatkan daripada orang yang berada di bawahnya (dari segi umur atau kedudukan), maka ia adalah al-Akabir 'an al-Asaghir (riwayat senior daripada junior), dan sebahagian daripadanya ialah (riwayat) para bapa daripada anak-anak. Manakala keadaan sebaliknya (anak meriwayatkan daripada bapa) adalah sangat banyak, dan sebahagian daripadanya ialah sesiapa yang meriwayatkan daripada bapanya daripada datuknya.

Jika dua orang perawi berkongsi meriwayatkan daripada guru yang sama, dan (tarikh) kematian salah seorangnya mendahului yang lain, maka ia adalah: al-Sabiq wa al-Lahiq.

Jika seorang perawi meriwayatkan daripada dua orang (guru) yang mempunyai nama yang sama dan tidak dapat dibezakan, maka melalui hubungan rapat (ikhtisas) dengan salah seorang daripadanya, akan menjadi jelaslah perawi Muhmal (yang tidak dapat dibezakan) tersebut.

Jika seorang syeikh menafikan riwayatnya secara tegas, riwayat tersebut ditolak. Atau (jika dia menafikannya) secara ragu-ragu (ihtimal), ia diterima mengikut pandangan yang paling sahih. Berkenaannya (terdapat kitab): Man haddatha wa nasiya (perawi yang menyampaikan hadis kemudian dia terlupa).

Jika para perawi itu sama pada lafaz-lafaz penyampaian sesuatu hadis atau keadaan-keadaan (tertentu) selainnya, maka ia adalah: Musalsal.

Lafaz-lafaz penyampaian hadis (Sighah al-Ada’) ialah: 

1 - Sami'tu (aku telah mendengar).

2 - Haddathani (dia telah menyampaikan hadis kepadaku).

3 - Kemudian Akhbarani (dia telah mengkhabarkan kepadaku).

4 - Qara'tu 'alayhi (aku telah membacakan kepadanya).

5 - Kemudian Quri'a 'alayhi wa ana asma' (telah dibacakan kepadanya dan aku sedang mendengar).

6 - Kemudian Anba'ani (dia telah memberitahu kepadaku).

7 - Kemudian Nawalani (dia telah menyerahkan kitabnya kepadaku).

8 - Kemudian Syafahani (dia telah menyampaikan kepadaku secara lisan).

9 - Kemudian Kataba ilayya (dia telah menulis kepadaku).

10 - Kemudian 'An (daripada), dan yang seumpamanya.

Maka dua lafaz yang pertama adalah untuk orang yang mendengar secara bersendirian daripada ucapan guru. Jika dia menjamakkannya (seperti menyebut: “kami telah mendengar”), maka ia bererti (dia mendengar) berserta orang lain.

Lafaz yang pertama adalah yang paling jelas dan paling tinggi tarafnya dalam imla' (majlis penyampaian hadis).

Lafaz yang ketiga dan keempat adalah untuk orang yang membaca sendiri (kepada guru). Maka jika dia menjamakkannya, maka ia adalah seperti lafaz yang kelima.

Lafaz al-Inba' (Anba'ani dan Anba'ana) adalah sama dengan makna al-Ikhbar (Akhbarani dan Akhbarana), melainkan pada uruf kebiasaan ulama Muta'akhkhirin (yang terkemudian), maka ia (al-Inba' ) digunakan untuk (periwayatan secara) ijazah, sepertimana lafaz 'An (daripada).

Periwayatan secara 'an'anah (menggunakan lafaz 'daripada') oleh perawi yang sezaman dianggap sebagai mendengar (secara terus) melainkan daripada perawi yang mudallis. Terdapat pandangan yang menyatakan: disyaratkan terbuktinya pertemuan antara kedua-duanya walaupun sekali, dan ia adalah pandangan yang terpilih.

Mereka (ahli hadis) menggunakan lafaz Musyafahah pada ijazah yang dilafazkan (secara lisan), dan Mukatabah pada ijazah secara bertulis. Mereka mensyaratkan pada kesahihan Munawalah (penyerahan kitab guru kepada murid) agar ia disertai dengan keizinan untuk meriwayatkannya, dan ia merupakan jenis ijazah yang paling tinggi tarafnya.

Begitu juga mereka mensyaratkan adanya keizinan pada Wijadah (seseorang menemui kitab yang mengandungi hadis lalu meriwayatkannya), dan mewasiatkan kitab (kepada seseorang), serta I'lam (pemberitahuan guru kepada murid tentang hadis atau kitab hadis yang diriwayatkannya). Jika tidak, maka tiada nilai  padanya, sepertimana (hukum) ijazah secara umum, dan (ijazah) kepada orang yang tidak dikenali, dan kepada orang yang belum wujud, mengikut pandangan yang paling sahih pada kesemua perkara tersebut.

Kemudian berkaitan perawi: jika sama nama-nama mereka dan nama bapa-bapa mereka dan ke atas (datuk dan seterusnya), namun berbeza individu mereka, maka ia adalah: Muttafiq wa Muftariq.

Jika nama-nama itu sama pada bentuk tulisan, namun berbeza pada sebutan, maka ia adalah: Mu'talif wa al-Mukhtalif.

Jika nama-nama perawi itu sama, namun nama bapa-bapa pula berbeza, atau sebaliknya, maka ia adalah: Mutasyabih. Begitu juga jika persamaan itu berlaku pada nama perawi dan nama bapa, manakala perbezaannya adalah pada gelaran.

Boleh terbentuk (gabungan) daripadanya (Mutasyabih) dan daripada apa yang sebelumnya (Mu'talif wa al-Mukhtalif) pelbagai jenis, antaranya:

1 - Berlakunya persamaan atau keserupaan tersebut, melainkan pada (perbezaan) satu atau dua huruf.

2 - Atau dengan mendahulukan dan mengemudiankan (nama), dan yang seumpamanya.

Penutup

Antara perkara yang penting ialah mengetahui generasi  (tabaqat) para perawi, tarikh kelahiran mereka, tarikh kewafatan mereka, negeri-negeri mereka, dan keadaan-keadaan mereka dari sudut: ta'dil (pujian), tajrih (kritikan), dan jahalah (status tidak dikenali).

Dan: (mengetahui) tingkatan-tingkatan Jarh (kritikan):

1 - Yang paling teruk daripadanya: Mensifatkan (perawi) menggunakan wazan af'al (paling) seperti: Akzab al-Nas (Manusia yang paling kuat berbohong).

2 - Kemudian: Dajjal (penipu besar), atau Wadda' (pemalsu hadis), atau Kazzab (pendusta).

3 - Yang paling ringan: Layyin (sedikit lemah), atau Sayyi' al-Hifz (buruk hafalan), atau Fihi adna maqal (padanya terdapat sedikit kritikan).

Dan (mengetahui) tingkatan-tingkatan Ta'dil (pujian):

1 - Yang paling tinggi daripadanya: Mensifatkan (perawi) menggunakan wazan af'al seperti: Awthaq al-Nas (Manusia yang paling dipercayai).

2 - Kemudian lafaz yang dikuatkan dengan satu atau dua sifat seperti: Thiqah thiqah (dipercayai lagi dipercayai), atau thiqah hafiz (dipercayai lagi kuat hafalan).

3 - Yang paling rendah: Sesuatu (lafaz) yang memberikan gambaran ia hampir dengan kritikan yang paling ringan seperti: Syeikh.

Penilaian perawi (tazkiyah) diterima daripada orang yang mengetahui sebab-sebabnya (sebab jarh dan ta’dil), walaupun ia hanya berasal daripada seorang (ulama) sahaja, mengikut pandangan yang paling sahih.

Jarh didahulukan ke atas Ta'dil sekiranya ia disebutkan secara jelas (sebabnya) daripada orang yang mengetahui sebab-sebabnya. Namun jika (perawi tersebut) sunyi daripada sebarang ta'dil, maka kritikan (terhadapnya) diterima secara mujmal (tanpa huraian sebab) mengikut pandangan yang terpilih.

Mengetahui:

1 - Kunyah (gelaran menggunakan Abu atau Ummu) bagi perawi yang dikenali dengan namanya.

2 - Nama bagi perawi yang dikenali dengan kunyahnya.

3 - Perawi yang namanya adalah kunyahnya juga.

4 - Perawi yang diperselisihkan pada kunyahnya.

5 - Perawi yang banyak kunyahnya atau gelarannya.

6 - Perawi yang kunyahnya bertepatan dengan nama bapanya atau sebaliknya. Atau kunyahnya (sama dengan) kunyah isterinya.

7 - Perawi yang dinisbahkan kepada selain bapanya, atau (dinisbahkan) kepada ibunya, atau kepada selain nisbah yang segera terlintas pada kefahaman.

8 - Perawi yang bertepatan namanya, nama bapanya dan datuknya, atau (bertepatan dengan) nama gurunya dan nama guru kepada gurunya dan ke atas.

9 - Perawi yang bertepatan nama gurunya dan (nama) perawi yang meriwayatkan daripadanya (muridnya).

Mengetahui nama-nama yang Mujarrad (tidak terikat dengan laqab dan kunyah) dan Mufradah (nama unik yang tidak berkongsi dengan perawi lain), dan begitu juga Kunyah, gelaran-gelaran (Alqab), dan nisbah keturunan (Ansab).

Nisbah ini boleh dinisbahkan kepada:

1 - Kabilah-kabilah.

2 - Tanah air: sama ada negeri, kampung, lorong, dan kejiranan.

3 - Dan (juga dinisbahkan) kepada pertukangan dan profesion pekerjaan.

Berlaku pada nisbah ini keserupaan (isytibah) dan persamaan (ittifaq) sepertimana pada nama-nama perawi. Kadangkala nibah ini boleh menjadi laqab (bagi perawi). Dan (penting juga) mengetahui sebab-sebab berlakunya laqab dan nisbah tersebut.

Mengetahui golongan Mawali dari arah atas (tuan yang membebaskan hamba atau yang menerima taat setia) dan dari arah bawah (hamba yang dibebaskan atau yang memberi taat setia) melalui jalan pembebasan hamba atau melalui taat setia.

Mengetahui saudara-saudara lelaki (Ikhwah) dan saudara-saudara perempuan (Akhawat).

Mengetahui adab-adab guru dan murid, umur untuk menerima hadis (tahammul) dan menyampaikannya (ada'), sifat dhabit (penjagaan hadis) melalui hafalan dan kitab (tulisan), tatacara penulisan hadis dan membandingkannya (kepada guru), mendengar hadis (daripada guru), memperdengarkannya (kepada murid), dan pengembaraan untuk mencarinya.

Dan (mengetahui) kaedah penyusunan hadis sama ada:

1 - Berdasarkan Masanid (nama-nama sahabat).

2 - Atau bab-bab.

3 - Atau nama-nama guru.

4 - Atau 'Ilal (kecacatan hadis).

5 - Atau Atraf (pangkal hadis).

Mengetahui sebab sesuatu hadis (diucapkan). Sebahagian guru kepada al-Qadhi Abu Ya'la ibn al-Farra' telah pun mengarang kitab mengenainya.

Para ulama telah mengarang tentang sebahagian besar jenis-jenis (ilmu hadis di bahagian penutup) ini. Ia merupakan penukilan semata-mata, yang jelas pentakrifannya, dan tidak berhajat kepada pemberian contoh. Untuk merangkumkan keseluruhannya adalah sukar, maka hendaklah dirujuk kitab-kitab yang menghuraikannya dengan panjang lebar.

Allah jualah yang memberikan taufik dan penunjuk jalan, tiada Tuhan melainkan Dia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan