Imam Muslim adalah
salah seorang ulama besar hadith yang mana kitab Sahihnya merupakan salah satu
daripada enam buah kitab hadith yang utama dalam Islam. Imam Muslim dilahirkan
pada tahun 206H/820M di Nisabur. Nama sebenarnya ialah Abu Husain Muslim bin Hajjaj
bin Muslim. Beliau berasal dari keturunan Bani Qusyair salah sebuah kabilah
Arab.
Pengembaraan dan kecintaannya
Kepada Ilmu
Imam Muslim
merupakan ulama yang mencintai ilmu dan amat menggemari bersua muka dengan para
ulama. Beliau belayar melintasi padang-padang pasir dan menyeberangi lautan.
Segala tujuannya ialah menjumpai ulama-ulama terkenal pada masanya dan para
cerdik pandai sezaman dengannya dan juga mereka yang bijaksana yang sewaktu
dengannya. Beliau belayar ke Hijaz, Iraq, Mesir dan Syria. Beliau telah pergi
ke Baghdad lebih dari sekali. Beliau telah mendapat banyak faedah dari
penduduk-penduduknya dan kali terakhir pemergiannya ke Baghdad ialah pada tahun
259H.
Dan bila masa Imam al-Bukhari
telah datang ke Naisabur, pada masa itulah Imam Muslim banyak menemuinya serta
mengakui kelebihannya. Bahkan lebih dari itu, bila masa Imam al-Bukhari telah
tinggal di Naisabur, Imam Muslim terus mendampingi beliau. Oleh kerana itu,
kita akan mendapati Imam Muslim banyak terkesan dengan gurunya, Imam Bukhari.
Hal ini dilihat jelas dalam sahihnya.
Tetapi, walaupun
beliau berguru dengan Imam al-Bukhari, beliau tidak meriwayatkan dari
riwayat-riwayatnya, kemungkinan besar kerana beliau merasa memadailah dengan
apa yang telah dikarang oleh gurunya.
Dan sesungguhnya
pelayaran-pelayarannya itu telah memudahkan beliau bertemu dengan bilangan
besar dari ulama-ulama terkemuka dan bijaksana seperti Imam Ahmad bin Hanbal,
Abdullah bin Salamah, Ibnu Rahawaih, Ibnu Mahran, Said bin Mansur dan ramai
lagi.
Sememangnya Imam
Muslim amat meminati ilmu hadith semenjak dari kecil lagi. Beliau mula
mempelajari hadith ketika umur yang sangat muda iaitu pada umur 12 tahun. Minat
beliau dalam ilmu hadith telah menjadikan beliau sebagai orang yang amat
menguasai ilmu hadith dan karangannya dalam ilmu hadith telah diterima dan
diiktiraf oleh para ulama sepanjang zaman.
Karya-Karyanya
Selain karyanya
yang terkenal iaitu Sahih Muslim, Imam Muslim telah mengarang berbagai-bagai
kitab serta penulisan-penulisan yang lain yang telah tersebar dikalangan kaum
Muslimin. Antara karya-karyanya itu ialah:
1. Al-Musnad
al-Kabir
2. Al-Asma’ Wal
Kunni
3. At-Tamyiz
4. Al-Ifrad
5. Sualat Ahmad
Ibnu Hanbal
Terlalu Banyak
Makan Kurma
Suatu hari Imam
Muslim mengadiri majlis muzakarah bersama para ilmuan yang membahaskan ilmu
hadith. Salah seorang di antara peserta muzakarah bertanya satu hadith kepada
Imam Muslim, tapi beliau tidak mengetahui hadith tersebut. Beliau balik dengan
tekad untuk menyemak catatan-catatan
hadithnya.
Sesampainya di
rumah, beliau terus masuk ke dalam biliknya dan menyalakan lampu.
”Sesiapa pun tidak
boleh masuk menjumpaiku pada malam ini.” kata Imam Muslim
kepada keluarganya.
Pada siang harinya,
seseorang telah menghadiahkan sebakul kurma kepada beliau. Maka kurma itu pun
di bawa masuk ke dalam biliknya.
Mulailah beliau
menyemak catatan-catatan hadithnya. Apabila selesai membaca satu hadith, beliau
mencapai sebiji kurma lalu dimakannya. Kemudian membaca satu hadith lagi, lalu
mencapai sebiji kurma dan memakannya setelah satu hadith yang dibacanya
selesai. Demikianlah seterusnya sehingga pagi dan tanpa disedarinya dan satu
bakul kurma telah habis dimakannya. Akibatnya, beliau sakit perut yang membawa kepada
ajalnya. Maka pada hari Ahad malam Isnin, 25 Rejab 261H/875M, imam besar itu
wafat dan dikebumikan pada esok harinya. Umur beliau hanya lebih kurang 53
tahun sahaja.
Sekilas tentang
Sahih Muslim
Kitab ini merupakan
salah satu dari dua kitab yang paling sahih selepas al-Quran. Kedua kitab Sahih
ini diterima baik oleh segenap umat Islam. Imam Muslim telah mengerahkan
seluruh kemampuannya untuk meneliti dan mempelajari keadaan para periwayat
hadith, menyaring hadith-hadith yang diriwayatkan, membandingkan riwayat
riwayat itu antara satu sama lain. Imam Muslim sangat teliti dan begitu
berhati-hati dalam menggunakan lafaz-lafaz dan selalu memberikan isyarat jika
terdapat sebarang perbezaan antara lafaz-lafaz tersebut.
Usaha yang sedemikian rupa telah menghasilkan sebuah kitab bermutu tinggi dan menjadi rujukan utama oleh umat Islam hingga dekad ini. Bukti kukuh mengenai kehebatan kitab karyanya ini merupakan suatu kenyataan yang dilakukan sendiri oleh Imam Muslim yang telah menyaring segala isi kandungan kitabnya dari ribuan riwayat hadith yang pernah didengarinya dari ratusan ulama sezaman dengannya.
Di dalam hal ini,
pernah diceritakan yang ia menyebutkan: “Aku menyusun kitab Sahih ini yang
telah disaring dari 300,000 buah hadith.”
Diriwayatkan dari
Ahmad bin Salamah, dia berkata: “Aku menulis bersama Muslim untuk menyusun
kitab Sahihnya itu selama 15 tahun. Kitab itu berisi 12000 buah hadith.”
Dalam pada itu, Ibn Salah menyebutkan dari Abu Quraisy al-Hafiz, bahawa jumlah hadith Sahih Muslim itu sebanyak 4,000 buah hadith. Kedua pendapat tersebut adalah benar jika dilihat daripada bilangan pertama yang menunjukkan hadith yang telah dimasukkan ke dalamnya merupakan hadith-hadith yang berulang-ulang disebut, sedangkan bilangan kedua hanya menjelaskan hadith-hadith yang tidak disebut secara berulang.
Imam Muslim
menyebutkan di dalam Sahihnya: “Aku gabungkan di sini, bukanlah setiap
hadith yang sahih menurut pandanganku. Aku hanya menghimpunkan hadith-hadith
yang telah disepakati oleh para ulama hadith.”
Imam Muslim pernah berkata, sebagai ungkapan gembira atas anugerah Allah yang telah diterimanya: “Apabila penduduk bumi ini menulis hadith selama 200 tahun, maka usaha mereka hanya akan berkisar pada kitab ini.”
Ketelitian dan
sikap berwaspada Imam Muslim daripada melakukan sebarang kesilapan dan kesalahan
terhadap hadith yang diriwayatkan dalam Sahihnya dapat dilihat dari
perkataannya seperti berikut: “Aku tidak meletakkan sesebuah hadith di dalam
kitabku ini, melainkan ia mempunyai hujah dan alasan. Begitu juga, aku tidak akan
menggugurkan sesebuah hadith daripadanya melainkan terdapat hujah dan alasan
pula.”
Imam Muslim di dalam penulisan Sahihnya tidak membuat judul setiap bab secara terperinci. Judul-judul kitab dan bab yang didapati pada sebahagian naskhah Sahih Muslim yang sudah dicetak, sebenarnya telah dibuat oleh para penyemak yang muncul kemudian. Di antara para penyemak (pentahqiq) yang paling baik dalam menyusun semula judul bab dengan lebih bersistematik adalah Imam an-Nawawi sebagaimana di dalam kitab Syarahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan