Memaparkan catatan dengan label Sirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sirah. Papar semua catatan

Isnin, 16 Mac 2026

Umur Aisyah Ketika Berkahwin Dengan Nabi

 

Oleh: Syeikh Dr Salahuddin al-Idlibi

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, baik, dan diberkati padanya, sebagaimana yang disukai dan diredai oleh Tuhan kita.

Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya sempurnalah segala amal kebaikan. Wahai Tuhanku, sempurnakanlah kebaikan, dan akhirilah bagi kami dengan kebaikan, dengan limpah kurnia, anugerah, dan kemuliaan-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mulia.

Terdapat hadis daripada Nabi SAW bahawa Baginda mengakad nikah dengan Saidatina Aisyah RA ketika beliau berusia 6 tahun, dan hidup bersama dengannya ketika beliau berusia 9 tahun. Teks ini –jika kita melihatnya dari sudut pandang si isteri– ia hanya merupakan satu riwayat sejarah mengenai umurnya pada hari perkahwinannya, dan ia tidak lebih daripada sekadar satu urusan kekeluargaan.

Akan tetapi, jika kita melihatnya dari sudut pandang si suami, iaitu Nabi yang mulia, penutup para Nabi dan penghulu para Rasul SAW, maka ia merupakan salah satu hadis fi'liyyah (perbuatan Nabi). Ia wajar diberikan perhatian kerana sama ada ia terbukti sahih ataupun tidak, ia akan membuka ruang kajian untuk mengeluarkan dan mengambil pengajaran serta iktibar daripada sirah Rasul yang agung ini, semoga sebaik-baik selawat dan salam yang paling sempurna ke atas Baginda.

Maka, adakah hadis ini sahih dari sudut sanad dan matannya? Ia sudah tentu memerlukan kepada satu kajian.

Aku telah menjumpai sebuah artikel berkaitan topik ini yang ditulis oleh seorang pengkaji tentang kedaifan hadis ini dari sudut sanad dan matannya. Lalu aku membacanya dan mendapati bahawa ia boleh dimanfaatkan dengan mengutip beberapa qarinah (petunjuk), mengkajinya semula, dan menulisnya kembali demi mencapai satu rumusan yang dibina di atas himpunan petunjuk yang akan membawa kepada pendapat yang tepat, dengan izin Allah.

Disebabkan ada keperluan untuk menjelaskan kebenaran dalam permasalahan yang penting berkenaan isu-isu sirah Nabawiyyah yang mulia dan riwayat-riwayat hadis ini, maka ini adalah sebuah kajian yang disokong dengan dalil mengenai tarikh kelahiran Saidatina Aisyah RA, serta tahap umurnya ketika Rasulullah SAW mengakad nikah dengannya, dan umurnya ketika majlis perkahwinannya.

Pendapat Yang Masyhur:

Baginda mengakad nikah dengan Aisyah ketika beliau berusia 6 tahun dan hidup bersama dengannya ketika beliau berusia 9 tahun. Pendapat ini bersandar kepada kata-kata Aisyah yang sabit di dalam Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, serta sumber-sumber hadis dan sejarah yang lain. Ini bermakna beliau dilahirkan 4 tahun selepas Nabi Muhammad diutuskan.

1 - Ibnu Ishaq berkata di dalam al-Sirah:

"Kemudian, Rasulullah SAW mengahwini Aisyah selepas Saudah binti Zam'ah, iaitu 3 tahun selepas kematian Khadijah. Aisyah pada hari tersebut berusia 6 tahun, dan Rasulullah SAW tinggal bersama dengannya ketika beliau berusia 9 tahun. Rasulullah SAW wafat ketika Aisyah berusia 18 tahun."

2 - Ibnu Sa'd telah meriwayatkan seumpamanya di dalam al-Tabaqat melalui beberapa jalur sanad daripada Aisyah.

3 - Abu Nu'aim berkata di dalam Ma'rifah al-Sahabah:

"Aisyah pada hari tersebut berusia 6 tahun."

4 - Ibnu Abdul Barr berkata di dalam al-Isti'ab:

"Rasulullah SAW mengahwininya di Makkah sebelum Hijrah ketika beliau berusia 6 tahun, dan ada pendapat mengatakan 7 tahun. Baginda tinggal bersama dengannya di Madinah ketika beliau berusia 9 tahun. Aku tidak mengetahui bahawa Ahli Sirah ada berselisih pendapat dalam perkara tersebut. Baginda SAW wafat meninggalkannya ketika beliau berusia 18 tahun."

5 - Ibnu Hajar berkata di dalam Fath al-Bari:

"Beliau dilahirkan pada zaman Islam iaitu 8 tahun sebelum Hijrah atau sekitarnya. Nabi SAW wafat ketika usianya sekitar 18 tahun."

Pendapat ini adalah berdasarkan beberapa riwayat yang diriwayatkan oleh Aisyah RA yang telah diambil oleh para ulama.

Dalil Bagi Pendapat Yang Masyhur:

1 - Al-Bukhari, Muslim, Ibnu Abi Syaibah, Ibnu Hanbal, Ibnu Sa'ad dan selain mereka telah meriwayatkan melalui pelbagai jalur dengan sanad-sanad yang sahih daripada Aisyah RA bahawa Nabi SAW mengahwininya ketika beliau berumur 6 tahun dan tinggal bersama dengannya ketika beliau berumur 9 tahun.

2 - Abu 'Awanah turut meriwayatkannya di dalam al-Mustakhraj melalui jalur sanad: 'Urwah daripada Aisyah bahawa Nabi SAW mengahwininya ketika beliau berumur 6 tahun, atau tujuh tahun, dan beliau dibawa (sebagai pengantin) kepada Baginda ketika berumur 9 tahun, sedangkan permainannya masih ada bersamanya. Baginda wafat meninggalkannya ketika beliau berumur 18 tahun.

Terdapat beberapa riwayat lain yang diriwayatkan dengan makna yang sama, namun ia bersumber daripada Aisyah sendiri. Maka riwayat-riwayat tersebut tidak menguatkan riwayat yang disebutkan di sini, kerana jika telah berlaku kekeliruan dan kelupaan pada diri Aisyah sendiri mengenai jumlah umurnya, maka kekeliruan itu turut memberi kesan kepada kesemua riwayat tersebut.

Perkataan ‘mengahwininya’ boleh membawa maksud mengakad nikah, dan inilah yang dimaksudkan di sini.

Sanad hadis ini adalah sahih. Sesungguhnya satu kesilapan yang amat buruk bagi sesiapa yang menyangka bahawa Hisyam bin 'Urwah (salah seorang perawinya) bersendirian dalam meriwayatkannya dan menganggap ia adalah daripada kekeliruannya.

3 - Hadis ini mempunyai syahid (hadis sokongan) daripada hadis Ibnu Mas'ud yang mungkin disangka mengandungi mutaba'ah (sokongan riwayat) yang baik bagi hadis Aisyah, akan tetapi ia adalah daif.

Al-Tirmizi telah meriwayatkannya di dalam al-'Ilal al-Kabir daripada Yahya bin Aktham, al-Nasa'i di dalam al-Sunan al-Kubra daripada Ishaq bin Rahawaih, dan al-Tabarani di dalam al-Kabir daripada Muhammad bin Musa bin Hammad al-Barbari -dan dia (Muhammad bin Musa) bukanlah seorang perawi yang kuat- daripada Abdul Rahman bin Salih al-Azdi. Ketiga-tiga mereka (Yahya, Ishaq dan Muhammad) meriwayatkannya daripada Yahya bin Adam, daripada Israil bin Yunus, daripada datuknya Abu Ishaq al-Sabi'i, daripada Abu 'Ubaidah, daripada bapanya Abdullah bin Mas'ud bahawa beliau berkata:

"Rasulullah SAW mengahwini Aisyah ketika beliau berumur 6 tahun, dan tinggal bersama dengannya ketika beliau berumur 9 tahun. Baginda diwafatkan ketika beliau berumur 18 tahun."

Ibnu Majah meriwayatkannya melalui jalur sanad: Abu Ahmad Muhammad bin Abdullah al-Zubairi, manakala al-'Uqaili di dalam al-Du'afa' daripada Muhammad bin Musa al-Balkhi daripada Malik bin Sulaiman al-Harawi  dan dia adalah daif. Kedua-dua mereka (Muhammad bin Abdullah dan Malik bin Sulaiman) meriwayatkannya daripada Israil secara mawsul (bersambung sanadnya).

Guru kepada at-Tabarani, iaitu Muhammad bin Musa bin Hammad telah keliru dalam menamakan guru kepada Yahya bin Adam, lantas dia menjadikannya "daripada Syarik", sebagai ganti daripada menyebut "daripada Israil". Kekeliruan ini berpunca daripadanya kerana dia bukanlah seorang perawi yang kuat, dan kerana dia telah menyalahi riwayat dua orang perawi yang meriwayatkannya dengan lafaz "daripada Yahya bin Adam, daripada Israil".

[Abu Ishaq as-Sabi'i, iaitu 'Amr bin Abdullah bin 'Ubaid adalah seorang warga Kufah yang thiqah (dipercayai), namun hafalannya berubah di akhir usianya, dan dia kadangkala melakukan tadlis (menyembunyikan kecacatan) pada sanad. Dia dilahirkan pada tahun 32 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 127 Hijrah, dan dia tidak menyatakan secara jelas bahawa dia mendengar hadis tersebut secara langsung.

Cucunya, Israil, termasuk dalam kalangan perawi yang mendengar daripadanya selepas hafalannya berubah.

Abu 'Ubaidah bin Abdullah bin Mas'ud pula adalah seorang warga Kufah yang thiqah namun padanya terdapat sedikit kelemahan (layyin), dia meninggal dunia pada tahun 81 Hijrah.

Bapanya (Abdullah bin Mas'ud) meninggal dunia ketika dia masih kecil dan dia tidak pernah mendengar apa-apa pun hadis daripada bapanya.]

Maka sanad ini adalah daif.

Sebagai tambahan kepada kedaifan sanad yang diriwayatkan di sini: “daripada Abu 'Ubaidah bin Abdullah bin Mas'ud daripada bapanya”, hadis ini juga adalah ma'lul (mempunyai kecacatan). Hal ini kerana apa yang sabit daripada Abu Ishaq ialah dia meriwayatkannya sekali daripada Abu 'Ubaidah secara mursal (terus kepada Nabi), dan sekali lagi daripada Abu 'Ubaidah daripada Aisyah. Ibnu Sa'ad telah meriwayatkannya di dalam al-Tabaqat daripada al-Fadl bin Dukain, manakala al-'Uqaili meriwayatkannya daripada Ali bin Abdul Aziz al-Baghawi daripada Abdullah bin Raja', kedua-dua (al-Fadl dan Abdullah) mereka meriwayatkannya daripada Israil secara mursal. Ibnu Sa'd turut meriwayatkannya daripada Waki', daripada Sufyan al-Thauri, daripada Abu Ishaq, juga secara mursal.

Al-Nasa'i meriwayatkannya dalam al-Sunan al-Kubra daripada Qutaibah bin Sa'id, daripada 'Abthar bin al-Qasim, daripada Mutarrif bin Tarif al-Kufi, daripada Abu Ishaq, daripada Abu Ubaidah, daripada Aisyah, seumpamanya. Mereka ini adalah para perawi yang dipercayai (thiqah).

Namun, Imam al-Bukhari telah menjelaskan kecacatan (‘ilal) pada riwayat yang bersumber daripada Abu Ubaidah daripada bapanya. Beliau berkata—sepertimana dalam al-'Ilal al-Kabir oleh at-Tirmizi–:

“Ini adalah satu kesilapan. Yang sebenarnya ialah "Abu Ishaq daripada Abu Ubaidah bahawa Nabi SAW mengahwini Aisyah". Begitulah mereka menceritakan daripada Israil daripada Abu Ishaq, dan mereka juga berkata: "Daripada Abu Ubaidah daripada Aisyah."

Al-Nasa'i turut mejelaskan kecacatannya dalam al-Sunan al-Kubra dengan berkata:

"Mutarrif bin Tarif al-Kufi lebih kuat daripada Israil, dan hadisnya lebih tepat."

Ini bermakna beliau mentarjih bahawa hadis di sini sebenarnya datang daripada Abu Ubaidah daripada Aisyah.

Oleh sebab riwayat yang disandarkan kepada Ibnu Mas'ud ini mempunyai sanad yang daif dan mempunyai ‘illah, maka tidak sah untuk menjadikannya sokongan bagi menyokong hadis Aisyah.

4 - Hadis ini mempunyai syahid (riwayat sokongan) lain daripada ucapan Yazid bin Jabir al-Azdi al-Syami.

Al-Hakim telah meriwayatkan melalui jalur sanad: Abdullah bin Abdul Rahman bin Yazid bin Jabir, daripada bapa saudaranya Yazid bin Yazid bin Jabir, daripada bapanya Yazid bin Jabir, bahawa dia berkata:

"Nabi SAW. mengahwini Aisyah RA ketika beliau berusia tujuh tahun, dan Baginda tinggal bersama dengannya ketika beliau berusia sembilan tahun."

Yazid bin Jabir disebutkan di kalangan Tabi'in oleh Ibnu Hibban dalam al-Thiqat.

Secara zahirnya, Tabi'in ini menyatakan ucapan tersebut berdasarkan apa yang didengarnya daripada beberapa perawi yang meriwayatkannya daripada Aisyah RA. Oleh itu, ia tidak memberi manfaat dalam menguatkan pendapat tersebut, memandangkan ia kembali kepada sumber asal yang sama (iaitu Aisyah sendiri).

Pendapat Kedua tentang Umur Saidatina Aisyah RA

Boleh dikatakan bahawa Rasulullah SAW mengakad nikah dengan Aisyah ketika beliau berusia 14 tahun, dan Baginda hidup bersamanya ketika beliau berumur 17 tahun menghampiri 18 tahun. Ini bermakna beliau dilahirkan 4 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul.

Inti pati pandangan ini telah dinyatakan dalam salah satu nas menurut Ibnu Ishaq, serta dalam kata-kata al-Tabari pada salah satu daripada dua tempat di mana beliau menyebutkan tentang kelahiran Aisyah RA, sepertimana yang akan diterangkan dalam perenggan keempat dan kelima mengenai petunjuk-petunjuk yang menyokong pandangan ini. Begitu juga, pandangan ini terdapat dalam kenyataan Ibnu Abd al-Barr menerusi kitabnya al-Durar fi Ikhtisar al-Maghazi wa al-Siyar ketika menyenaraikan nama-nama kaum Muslimin terawal memeluk Islam, yang mana ia berbeza dengan pandangannya yang disebutkan di dalam al-Isti'ab.

Petunjuk-petunjuk yang menunjukkan bahawa Aisyah RA dilahirkan sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul dan bukan selepasnya ialah:

Petunjuk Pertama

Aisyah lebih muda daripada kakaknya, Asma' RA, dengan perbezaan 10 tahun. Asma' telah dilahirkan 27 tahun sebelum Hijrah, yang bererti beliau dilahirkan 14 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul. Ini secara langsung bermakna Aisyah dilahirkan 4 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul.

Ibnu Abd al-Barr meriwayatkan di dalam al-Isti'ab dan Ibnu 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq melalui dua jalur sanad: daripada al-Asma'i, daripada Ibnu Abi al-Zinad bahawa beliau berkata:

"Asma' binti Abu Bakar adalah lebih tua daripada Aisyah sebanyak 10 tahun atau lebih kurang."

Ini adalah sanad yang baik (jayyid).

Abu Nu'aim pula berkata dalam Ma'rifah al-Sahabah pada biografi Asma':

"Beliau dilahirkan 27 tahun sebelum permulaan Hijrah, dan meninggal dunia pada tahun 73 Hijrah di Makkah, beberapa hari selepas pembunuhan anaknya, Abdullah bin al-Zubair, ketika berusia 100 tahun."

Antara perkara yang menguatkan riwayat ini mengenai tahun kelahiran Asma', Abu Nu'aim juga meriwayatkan daripada Asma' bahawa beliau berkata:

"Aku melihat Zaid bin 'Amr bin Nufail sedang menyandarkan belakangnya ke Kaabah sambil berkata: “Wahai sekalian kaum Quraisy, tidak ada seorang pun dalam kalangan kalian pada hari ini yang berada di atas agama Ibrahim selainku."

Zaid meninggal dunia semasa kaum Quraisy sedang membina Kaabah, iaitu 5 tahun sebelum wahyu diturunkan kepada Rasulullah SAW, sepertimana diriwayatkan oleh Ibnu Sa'd dalam al-Tabaqat daripada Sa'id bin al-Musayyab, iaitu beliau meninggal dunia 18 tahun sebelum Hijrah. Oleh itu, usia Asma' semasa mendengar ucapan Zaid bin 'Amr adalah 9 tahun. Ini adalah munasabah (masuk akal) kerana seseorang yang mengingati butiran seperti ini kebiasaannya berumur tidak kurang daripada 9 tahun.

Ibnu al-Athir berkata dalam Usd al-Ghabah: “Abu Nu'aim berkata: Beliau (Asma') dilahirkan 27 tahun sebelum permulaan Hijrah.” Ibnu Abd al-Barr pula berkata dalam al-Isti'ab: “Asma' meninggal dunia di Makkah pada bulan Jamadilawal tahun 73 Hijrah, dan usianya ketika itu mencapai 100 tahun.”

Petunjuk Kedua

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa beliau berkata:

"Sungguh, telah turun wahyu di Makkah kepada Muhammad SAW sewaktu aku masih seorang jariyah (remaja) yang masih bermain-main: “Bahkan hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka, dan hari kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit” [al-Qamar: 46]. Tidaklah surah al-Baqarah dan al-Nisa' diturunkan melainkan aku telah berada di sisi Baginda (iaitu sudah berkahwin dan tinggal bersama Baginda)."

Al-Qurtubi berkata dalam tafsirnya:

“Ibnu Abbas berkata: "Jarak antara turunnya ayat ini dengan perang Badar adalah 7 tahun."

Jika demikian keadaannya, ini bermakna ia diturunkan 4 tahun sebelum Hijrah dan 8 tahun selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul.

Ibnu Sidah dalam al-Muhkam dan Ibnu Manzur dalam Lisan al-'Arab berkata:

“Al-Jariyah bermaksud: wanita muda (al-fatiyyah). Al-fatiyyah ialah gadis remaja (al-syabbah). Seolah-olah mereka (orang Arab) menggunakan perkataan al-jariyah untuk merujuk kepada kanak-kanak perempuan pada awal usia remajanya yang aktif berlari ke sana ke mari.”

Maka, berapakah umur Aisyah ketika turunnya firman Allah SWT: “Bahkan hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka, dan hari kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit” yang diturunkan 8 tahun selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul?

Berdasarkan pendapat yang masyhur, umurnya ketika itu adalah 4 tahun, sedangkan kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun tidak dipanggil dengan istilah al-jariyah secara mutlak, yakni jika bukan dalam konteks perbandingan antara lelaki dan perempuan. Maka, zahirnya yang lebih tepat ialah umurnya ketika turunnya ayat tersebut adalah 15 tahun, dan inilah yang selari dengan makna asal al-jariyah dari sudut bahasa.

Petunjuk Ketiga

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa beliau berkata:

"Semenjak aku sudah boleh berfikir, aku tidak mendapati ibu bapaku melainkan telah pun memeluk agama Islam. Tidak ada sehari pun yang berlalu melainkan Rasulullah SAW akan datang kepada kami pada dua hujung siang, pagi dan petang. Apabila orang Islam diuji (dengan orang kafir Quraisy), Abu Bakar telah keluar berhijrah menghala ke Habsyah sehinggalah apabila beliau tiba di Bark al-Ghimad, beliau ditemui oleh Ibnu al-Dughunnah..." hingga akhir hadis.

Sudut pendalilan daripada riwayat ini mengandungi dua perkara:

Pertama: Seseorang kanak-kanak kebiasaannya tidak dapat menyedari anutan agama ibu bapanya yang berbeza dengan agama majoriti masyarakat sekelilingnya sebelum sekurang-kurangnya mencapai umur 4 tahun.

Jika Aisyah dilahirkan pada tahun ke-4 setelah Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, dan mula menyedari persekitarannya pada tahun ke-8 setelah Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, maka kata-katanya "Semenjak aku sudah boleh berfikir, aku tidak mendapati ibu bapaku melainkan telah pun memeluk agama Islam" menjadi satu kenyataan yang sudah sedia maklum dan tiada faedahnya. Hal ini kerana Abu Bakar telah diketahui umum sebagai orang yang terawal memeluk Islam, dan Ummu Ruman juga telah memeluk Islam di Makkah pada peringkat awal, sepertimana kata Ibnu Sa'ad.

Akan tetapi, jika beliau dilahirkan 4 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, dan mula menyedari persekitarannya pada tahun pertama Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, barulah kenyataan ini membawa erti, iaitu ketika beliau mula menyedari keadaan persekitarannya, beliau sudah melihat kedua-dua ibu bapanya memeluk agama Islam, bukan hanya bapanya sahaja. Ini adalah dalil bahawa kelahiran beliau berlaku sekitar 4 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, sepertimana yang ditunjukkan oleh petunjuk-petunjuk yang lain.

Kedua: Kata-katanya "apabila orang Islam diuji (dengan orang kafir Quraisy), Abu Bakar telah keluar berhijrah menghala ke Habsyah" yang dikaitkan dengan kesedarannya terhadap ibu bapanya yang telah pun memeluk agama Islam, mengandungi isyarat halus bahawa beliau ketika itu sedar akan peristiwa tersebut. Penghijrahan para Sahabat dari Makkah menuju ke Habsyah berlaku pada pertengahan tahun ke-5 selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, dan hijrah kedua mereka ke sana berlaku pada akhir tahun ke-5 atau awal tahun ke-6.

Jika Aisyah dilahirkan pada tahun ke-4 selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, mustahil baginya untuk menyedari apa yang berlaku pada awal tahun ke-6. Namun, jika beliau dilahirkan 4 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, ini bermakna beliau mempunyai kemampuan untuk menyedari peristiwa tersebut dengan jelas.

Petunjuk Keempat

Muhammad bin Ishaq berkata dalam al-Sirah al-Nabawiyyah ketika menyebutkan nama-nama individu terawal yang memeluk Islam:

"Kemudian beberapa orang daripada kabilah-kabilah Arab memeluk Islam, antaranya: Sa'id bin Zaid bin 'Amr bin Nufail, isterinya Fatimah binti al-Khattab, Asma' binti Abu Bakar, dan Aisyah binti Abu Bakar yang masih kecil... Kemudian, sesungguhnya Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya SAW supaya menyatakan secara terang-terangan apa yang dibawa olehnya, menyeru manusia kepada perintah-Nya, dan berdakwah kepada Allah SWT. Baginda kadangkala menyembunyikan sesuatu dan merahsiakannya sehinggalah diperintahkan untuk menzahirkannya. Maka Baginda melalui beberapa tahun sejak pengutusannya, sehinggalah Allah Ta'ala berfirman: “Oleh itu, sampaikanlah secara terang-terangan apa yang diperintahkan kepadamu, dan berpalinglah daripada orang-orang musyrik."

Kenyataan ini dinukilkan daripada Ibnu Ishaq tanpa sebarang penolakan atau bantahan oleh: Ibnu Abi Khaithamah dalam al-Tarikh al-Kabir, al-Baihaqi dalam Dala'il al-Nubuwwah, Ibnu Abd al-Barr dalam kitab al-Durar fi Ikhtisar al-Maghazi wa al-Siyar, al-Kala'i dalam al-Iktifa', Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, dan al-Maqrizi dalam Imta' al-Asma'.

Kata-kata Ibnu Ishaq ini bermaksud bahawa Aisyah berada bersama mereka yang memeluk Islam semasa tempoh dakwah secara rahsia selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, dan beliau masih kecil. Jika tempoh dakwah secara rahsia tersebut berlangsung selama 3 tahun, kemungkinan Aisyah telah dibawa ke beberapa majlis tersebut pada akhir tempoh itu. Berdasarkan pandangan bahawa beliau dilahirkan 4 tahun selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, perkara ini sama sekali tidak munasabah kerana —menurut pandangan ini— beliau belum lagi dilahirkan.

Namun, berdasarkan pandangan kedua, umur beliau pada masa itu adalah 6 atau 7 tahun. Kemungkinan Ibnu Ishaq menyebut namanya dalam kalangan umat Islam terawal –walaupun umurnya masih kecil– adalah disebabkan kedudukan bapanya, Abu Bakar RA, dan untuk disebutkan bersama kakaknya, Asma', yang berusia 10 tahun lebih tua daripadanya.

Petunjuk Kelima

Al-Tabari berkata di dalam kitab Tarikhnya:

"Abu Bakar telah berkahwin pada zaman Jahiliah dengan Qutailah binti Abdul 'Uzza lalu melahirkan untuknya Abdullah dan Asma'. Beliau juga berkahwin pada zaman Jahiliah dengan Ummu Ruman binti 'Amir lalu melahirkan untuknya Abdul Rahman dan Aisyah. Kesemua empat orang anaknya ini dilahirkan oleh kedua-dua isterinya yang telah kami sebutkan nama keduanya, pada zaman Jahiliah."

Al-Tabari telah menyatakan dengan jelas bahawa Abu Bakar berkahwin dengan isteri pertamanya, Qutailah binti Abdul 'Uzza pada zaman Jahiliah dan beliau juga berkahwin dengan isteri keduanya, Ummu Ruman binti 'Amir pada zaman Jahiliah. Maka, tidak ada maknanya jika beliau berkata selepas itu bahawa Abu Bakar mengahwini kedua-duanya pada zaman Jahiliah, kerana ia hanyalah satu pengulangan yang tiada faedahnya.

Oleh itu, kata-katanya "Kesemua empat orang anaknya ini dilahirkan oleh kedua-dua isterinya yang telah kami sebutkan nama kedunya, pada zaman Jahiliah " sebenarnya bermaksud bahawa keempat-empat anaknya itu dilahirkan pada zaman Jahiliah sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul.

Ini merupakan satu nas sejarah yang jelas lagi nyata bahawa Aisyah RA dilahirkan sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul.

Petunjuk Keenam

Ibnu Abi 'Asim di dalam al-Ahad wa al-Mathani, al-Tabarani di dalam al-Mu'jam al-Kabir, dan al-Hakim di dalam al-Mustadrak telah meriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Khaulah binti Hakim, isteri kepada Uthman bin Maz'un RA, berkata kepada Rasulullah SAW di Makkah:

"Wahai Rasulullah, tidakkah Tuan mahu berkahwin?!"

Baginda bertanya: "Dengan siapa?"

Khaulah menjawab: "Jika Tuan mahu, dengan anak dara, dan jika Tuan mahu, dengan janda."

Baginda bertanya lagi: "Siapakah anak dara itu?"

Khaulah menjawab: "Anak perempuan kepada makhluk Allah yang paling Tuan kasihi, iaitu Aisyah binti Abu Bakar."

Baginda bertanya: "Dan siapakah janda itu?"

Khaulah menjawab: "Saudah binti Zam'ah."

Baginda bersabda: "Pergilah dan sebutkan namaku kepada kedua-duanya."

Peristiwa ini berlaku selepas kematian Saidatina Khadijah RA, sepertimana yang dijelaskan dalam riwayat-riwayat lain.

Konteks riwayat ini menunjukkan bahawa Khaulah RA ingin merisikkan untuk Rasulullah SAW selepas kewafatan Saidatina Khadijah memandangkan Baginda telah menjadi duda. Amatlah jauh dari munasabah untuk merisikkan seorang kanak-kanak yang berumur 6 tahun untuk Baginda dalam keadaan sebegini! Namun, jika beliau berumur 14 tahun, ini adalah masuk akal.

Tidak syak lagi bahawa himpunan petunjuk ini yang menyokong pendapat bahawa Nabi SAW mengakad akad nikah dengan Aisyah ketika umurnya 14 tahun, dan Baginda hidup bersamanya ketika umurnya menghampiri 18 tahun, merupakan bukti yang jelas bahawa inilah pendapat yang sahih.

Adapun riwayat yang sabit daripada Aisyah bahawa Rasulullah mengahwininya ketika beliau berumur 9 tahun, ia pasti merupakan satu kekeliruan (waham). Beliau RA —berdasarkan pendapat yang dipilih di sini— telah hidup sehingga berumur 75 tahun. Boleh jadi beliau telah mengalami sedikit kelupaan mengenai perkara ini, lalu meriwayatkannya berdasarkan kekeliruannya.

Nampaknya tidak dapat dinafikan lagi bahawa riwayat yang diriwayatkan daripada Aisyah RA ini adalah satu kekeliruan, berdasarkan himpunan petunjuk yang telah disebutkan sebelum ini yang telah bercanggah dengannya.

Petunjuk Ketujuh

Al-Tahawi telah meriwayatkan di dalam Ahkam al-Quran daripada Ali bin Abdul Rahman, daripada al-Minjab bin al-Harith at-Tamimi, dan daripada Fahd bin Sulaiman, daripada Muhammad bin Sa'id al-Asbahani, kedua-duanya daripada Ali bin Mushir, daripada Hisyam bin 'Urwah, daripada bapanya, daripada Aisyah RA bahawa beliau berkata:

"Apakah yang diketahui oleh Abu Sa'id al-Khudri dan Anas bin Malik mengenai hadis Rasulullah SAW?! Sesungguhnya mereka berdua hanyalah dua orang budak lelaki yang masih kecil."

[Ali bin Abdul Rahman bin Muhammad bin al-Mughirah adalah seorang warga Kufah yang menetap di Mesir, seorang yang thiqah (dipercayai), meninggal dunia pada tahun 272 Hijrah.

Al-Minjab bin al-Harith adalah warga Kufah, disebut oleh Ibnu Hibban di dalam al-Thiqat, dan Muslim telah meriwayatkan daripadanya banyak riwayat di dalam Sahihnya, serta dinilai sebagai thiqah oleh al-Zahabi dan Ibnu Hajar, meninggal dunia pada tahun 231 Hijrah.

Fahd bin Sulaiman adalah warga Kufah yang datang ke Mesir, seorang yang thiqah, meninggal dunia pada tahun 275 Hijrah.

Muhammad bin Sa'id al-Asbahani adalah warga Kufah, thiqah, meninggal dunia pada tahun 220 Hijrah.

Ali bin Mushir adalah warga Kufah, thiqah, meninggal dunia pada tahun 189 Hijrah.

Hisyam bin 'Urwah bin az-Zubair adalah warga Madinah yang datang ke Iraq, seorang yang thiqah namun mungkin melakukan tadlis (menyembunyikan kecacatan) pada sanad daripada bapanya di Iraq, dan meninggal dunia pada tahun 146 Hijrah.

'Urwah bin az-Zubair adalah thiqah, meninggal dunia lebih kurang pada tahun 94 Hijrah.]

Al-Tabarani telah meriwayatkannya di dalam al-Mu'jam al-Kabir daripada Muhammad bin Abdullah al-Hadrami, daripada Minjab bin al-Harith, daripada Ali bin Mushir, daripada Hisyam bin 'Urwah bahawa dia berkata: Aisyah berkata... (lalu dia menyebutkan hadis tersebut).

[Muhammad bin Abdullah al-Hadrami yang digelar Mutayyan adalah warga Kufah, thiqah, seorang al-Hafiz, meninggal dunia pada tahun 297 Hijrah dan hidup selama 95 tahun].

Sanad ini adalah terputus (munqati') antara Hisyam bin 'Urwah dan Aisyah.

Ibnu 'Asakir telah meriwayatkannya daripada Abu al-Hasan Ali bin al-Hasan al-Mawazini, daripada Abu al-Husain bin Abu Nasr, daripada Abu Bakar Yusuf bin al-Qasim, daripada Ahmad bin Muhammad bin Sakin, daripada Ali bin al-Haitham, daripada al-Mu'alla bin Mansur, daripada Ali bin Mushir, daripada Hisyam bin 'Urwah, daripada bapanya, daripada Aisyah.

[Ali bin al-Hasan al-Mawazini adalah warga Damsyik, seorang yang thiqah (dipercayai), meninggal dunia pada tahun 514 Hijrah.

Muhammad bin Abdul Rahman bin Abu Nasr adalah warga Damsyik, seorang yang berintegriti ('adil) lagi dipercayai (ma'mun), meninggal dunia pada tahun 446 Hijrah.

Yusuf bin al-Qasim al-Miyanji adalah seorang yang thiqah, dilahirkan sebelum tahun 290 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 375 Hijrah.

Ahmad bin Muhammad bin Sakin az-Zanjani adalah saduq (jujur), meninggal dunia sebelum tahun 300 Hijrah.

Ali bin al-Haitham adalah warga Baghdad, al-Bukhari meriwayatkan satu hadis daripadanya di dalam Sahih-nya, dan Ibnu Hajar menganggapnya maqbul (diterima riwayatnya).

Al-Mu'alla bin Mansur adalah warga Rayy yang menetap di Baghdad, thiqah namun padanya terdapat sedikit kelemahan (layyin), meninggal dunia pada tahun 211 Hijrah].

Ibnu Abdul Barr telah meriwayatkan secara mu’allaq (tanpa sanad lengkap) di dalam Jami' Bayan al-'Ilm daripada Ali bin Mushir dengan hadis tersebut secara bersambung sanad (kepada Aisyah). Maka barangkali pendapat yang lebih kuat (rajih) ialah kata-kata ini sabit daripada Aisyah RA.

Jika demikian keadaannya, maka adalah penting untuk mengetahui tahun kelahiran Abu Sa'id al-Khudri RA dan Anas bin Malik RA supaya perbandingan umur dapat dilakukan antara mereka berdua dengan Aisyah.

Kedua-dua mereka dilahirkan kira-kira 10 tahun sebelum Hijrah. Manakala Aisyah —berdasarkan pendapat yang masyhur— adalah setahun lebih muda daripada kedua-dua Sahabat ini. Maka tidak munasabah —jika beliau lebih muda daripada mereka berdua— untuk beliau berkata tentang mereka: "Sesungguhnya mereka berdua hanyalah dua orang budak lelaki yang masih kecil."

Akan tetapi —berdasarkan pendapat kedua— beliau adalah 7 tahun lebih tua daripada mereka berdua. Maka, setiap seorang daripada mereka (Abu Sa'id dan Anas) —pada hari perkahwinan Aisyah yang berlaku kira-kira setahun selepas Hijrah— berumur 11 tahun, manakala Aisyah berumur 18 tahun. Oleh itu, beliau lebih peka menyedari peristiwa-peristiwa yang berlaku berbanding dengan mereka berdua. Maka adalah munasabah jika beliau mengatakan bahawa mereka berdua hanyalah dua orang budak lelaki yang masih kecil. Segala puji bagi Allah atas taufik-Nya.

Petunjuk Kelapan

Ibnu Abi 'Asim di dalam al-Ahad wa al-Mathani, al-Daulabi di dalam al-Zurriyyah al-Tahirah, al-Tahawi di dalam Musykil al-Athar, al-Tabarani di dalam al-Mu'jam al-Kabir, dan al-Baihaqi di dalam Dala'il al-Nubuwwah, telah meriwayatkan melalui sanad Muhammad bin Abdullah bin 'Amr bin Uthman, bahawa ibunya iaitu Fatimah binti al-Husain menceritakan kepadanya bahawa Aisyah, isteri Nabi SAW, pernah berkata:

"Sesungguhnya Rasulullah SAW pada waktu sakit yang membawa kepada kewafatannya telah bersabda kepada Fatimah: “Wahai anakku, dekatlah kepadaku.” Lalu Fatimah mendekat kepada baginda, dan baginda membisikkan sesuatu kepadanya seketika. Kemudian Fatimah menjauhinya dalam keadaan menangis. Kemudian baginda bersabda lagi kepadanya: “Dekatlah kepadaku wahai anakku.” Lalu dia mendekat kepada baginda, dan baginda membisikkan sesuatu kepadanya seketika. Kemudian dia menjauhi Baginda dalam keadaan tertawa."

Maka Aisyah bertanya: "Wahai anakku, beritahulah kepadaku apakah yang dibisikkan oleh bapamu kepadamu?"

Setelah Allah Ta'ala mewafatkan baginda, Fatimah menjawab: "Adapun sekarang, ya (aku akan beritahu). Baginda membisikkan kepadaku pada kali pertama, lalu memberitahuku bahawa Jibril biasanya menyemak al-Quran dengan baginda sekali pada setiap tahun, dan dia telah menyemak al-Quran denganku pada tahun ini sebanyak dua kali. Maka perkara itu membuatkan aku menangis. Kemudian baginda membisikkan kepadaku pada kali terakhir, lalu memberitahuku bahawa aku adalah ahli keluarganya yang paling awal yang akan menyusulinya, dan baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau adalah penghulu wanita ahli syurga setelah al-Batul Maryam binti Imran.” Maka aku tertawa disebabkan hal itu."

[Muhammad bin Abdullah bin 'Amr bin Uthman bin Affan adalah warga Madinah, seorang perawi yang daif, meninggal dunia pada tahun 145.

Ibunya, Fatimah anak perempuan kepada al-Husain yang mati syahid RA, telah meriwayatkan daripada sekelompok Sahabat dan sekelompok perawi yang thiqah (dipercayai) telah meriwayatkan daripadanya. Ibnu Hibban telah menyebutnya di dalam al-Thiqat, dan Ibnu Hajar telah menilainya sebagai thiqah].

Maka sanad ini adalah daif.

Sudut pendalilan (daripada kisah ini) ialah Aisyah telah memanggil Fatimah RA dalam riwayat ini dengan panggilan "Wahai anakku".

Fatimah —menurut pendapat yang paling masyhur— telah dilahirkan 5 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, atau sejurus sebelum Baginda menjadi Rasul, atau sejurus selepasnya.

Jika Aisyah dilahirkan 4 tahun selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, ini bermakna Fatimah adalah 9 atau 4 tahun lebih tua daripadanya! Sangat pelik dan jauh dari munasabah bagi seseorang yang lebih muda untuk memanggil orang yang lebih tua daripadanya dengan jarak umur sebegitu dengan panggilan "Wahai anakku", walaupun dia adalah isteri kepada bapanya.

Namun, jika Aisyah dilahirkan 4 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, ini bermakna Fatimah adalah setahun (atau mungkin beberapa bulan) lebih tua daripadanya, atau 3 tahun lebih muda daripadanya.

Maka bagi sesiapa yang menguatkan pendapat bahawa Fatimah adalah 3 tahun lebih muda, tidaklah mustahil bagi orang yang lebih tua memanggil orang yang lebih muda dengan panggilan "Wahai anakku".

Manakala bagi sesiapa yang menguatkan pendapat bahawa Fatimah adalah setahun atau beberapa bulan lebih tua —dan ini adalah pendapat yang lebih masyhur— perbezaan kecil ini tidak menjadi penghalang bagi orang yang lebih muda memanggil orang yang lebih tua dengan "Wahai anakku", memandangkan yang lebih muda itu adalah isteri kepada bapanya manakala yang lebih tua itu adalah anak tirinya.

Maka, di dalam riwayat ini terdapat satu petunjuk yang jelas bahawa Saidatina Aisyah telah dilahirkan sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, berkemungkinan 4 tahun (sebelumnya), dan bukannya 4 tahun selepasnya. Riwayat ini walaupun lemah sanadnya, namun ia tidak mengapa untuk dijadikan syawahid (riwayat sokongan), kerana ruang bagi penggunaan qarinah (petunjuk) itu adalah luas.

Petunjuk Kesembilan

Ibnu Abi 'Asim di dalam al-Ahad wa al-Mathani, Ibnu Rahawaih, Ibnu Hanbal, al-Tabari di dalam al-Tarikh, al-Tabarani di dalam al-Kabir, al-Hakim, dan al-Baihaqi telah meriwayatkan melalui pelbagai sanad daripada Muhammad bin 'Amr, daripada Yahya bin Abdul Rahman bin Hatib, daripada Aisyah bahawa beliau berkata:

“Apabila Khadijah meninggal dunia, Khaulah binti Hakim, isteri Uthman bin Maz'un berkata: "Wahai Rasulullah, tidakkah Tuan mahu berkahwin?!" Baginda bertanya: "Dengan siapa?" Khaulah menjawab: "Jika Tuan mahu, dengan anak dara, dan jika Tuan mahu, dengan janda." Baginda bertanya: "Siapakah anak dara itu?" Khaulah menjawab: "Anak perempuan kepada makhluk Allah yang paling Tuan kasihi, iaitu Aisyah binti Abu Bakar." Baginda bertanya: "Dan siapakah janda itu?" Khaulah menjawab: "Saudah binti Zam'ah."

Di dalam hadis ini dinyatakan bahawa Khaulah binti Hakim berkata kepada Abu Bakar: "Rasulullah mengutusku untuk merisik Aisyah untuk baginda."

Lalu Abu Bakar berkata kepadanya: "Tunggulah", dan beliau pun keluar.

Ummu Ruman, ibu Aisyah, berkata kepada Khaulah: "Sesungguhnya Mut'im bin 'Adi pernah menyebut nama Aisyah untuk anak lelakinya. Demi Allah, Abu Bakar tidak pernah memungkiri janji yang telah dibuatnya."

Lalu Abu Bakar menemui Mut'im bin 'Adi, dan bersamanya ada isterinya, ibu kepada pemuda tersebut. Isterinya berkata: "Wahai Ibnu Abu Quhafah (Abu Bakar), mungkinkah engkau akan menyelewengkan (agama) anak kami dan memasukkannya ke dalam agama yang sedang engkau anuti jika dia berkahwin dengan keluargamu?!"

Abu Bakar berkata kepada Mut'im bin 'Adi: "Adakah engkau juga berkata seperti apa yang dikatakannya ini?!"

Mut'im menjawab: "Memang begitulah yang dikatakannya."

Maka Abu Bakar pun keluar, dan Allah SWT telah menghilangkan daripada dirinya bebanan janji yang pernah dilakukannya itu.

Sebahagian pengkaji berpandangan bahawa Aisyah telah pun bertunang dengan Jubair bin Mut'im bin 'Adi sebelum risikan daripada Nabi SAW! Mereka menganggap perkara ini sebagai petunjuk bahawa usia Aisyah pada waktu risikan Nabi terhadapnya adalah jauh melebihi 6 tahun.

Namun, aku berpandangan bahawa tanggapan ini kurang tepat. Hal ini kerana Aisyah belum lagi bertunang dengan Jubair bin Mut'im, sebaliknya Mut'im bin 'Adi sekadar menyebut namanya untuk ditunangkan dengan anak lelakinya dan beliau telah mendapat janji persetujuan daripada Abu Bakar. Perkara seumpama ini kerap berlaku dalam kalangan masyarakat walaupun pihak perempuan dan pihak lelaki yang dirisikkan itu kedua-duanya masih kanak-kanak kecil, malah mungkin baru berusia setahun atau 2 tahun.

Beberapa tahun lalu, aku pernah mendengar salah seorang sahabat menetapkan pendalilan ini, iaitu Aisyah telah bertunang dengan Jubair bin Mut'im. Akan tetapi, aku tidak memasukkannya ke dalam senarai petunjuk yang disebutkan sebelum ini kerana aku mendapatinya tidak meyakinkan.

Namun, kini telah jelas kepadaku sudut pendalilannya yang menunjukkan bahawa Aisyah dilahirkan sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul.

Konteks kisah ini menunjukkan bahawa Mut'im bin 'Adi dan isterinya masih berpegang teguh dengan syirik dan amat membenci untuk memeluk Islam. Mereka juga tidak mahu anak lelaki mereka bertukar kepada agama baharu ini sekiranya dia berkahwin dengan Aisyah. Sudah sedia maklum bagaimana kesungguhan Abu Bakar RA yang amat kuat dalam berdakwah dan menyeru orang ramai agar memeluk agama ini.

Maka, sangatlah jauh dari munasabah —jika Aisyah RA dilahirkan 4 tahun selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul— untuk Mut'im bin 'Adi –yang bersikap tegas memegang ajaran syiriknya itu– merisik Aisyah untuk anak lelakinya, dan Abu Bakar pula bersetuju dengan perkara tersebut.

Maka, tiada kemungkinan lain melainkan Mut'im bin 'Adi menyebut Aisyah untuk ditunangkan dengan anak lelakinya serta mengambil janji persetujuan daripada Abu Bakar mengenainya, sebenarnya berlaku sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul. Ini bermakna Aisyah telah dilahirkan sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, dan bukannya selepasnya.

Petunjuk Kesepuluh

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas RA bahawa beliau berkata:

"Pada hari peperangan Uhud, aku melihat Aisyah binti Abu Bakar dan Ummu Sulaim menyingsing pakaian mereka —sehingga aku dapat melihat gelang kaki mereka— sambil mereka 'tanquzan' (melompat membawa) kirbat-kirbat (bekas air dibuat daripada kulit) di atas belakang mereka, lalu menuangkannya ke dalam mulut-mulut pasukan tentera (yang cedera). Kemudian mereka berpatah balik, mengisinya semula, lalu mereka datang dan menuangkannya ke dalam mulut-mulut mulut-mulut pasukan tentera (yang cedera)."

Al-Bukhari berkata: "Selain Anas berkata: “mereka bedua ‘tanqulan’ (mengangkut) kirbat-kirbat."

Begitulah juga lafaznya dalam Sahih Muslim, dan Ibnu Hajar menukilkan bahawa lafaznya juga sedemikian di dalam Mustakhraj al-Isma'ili.

Umur Aisyah pada hari peperangan Uhud —berdasarkan pendapat yang masyhur— adalah 11 tahun. Manakala berdasarkan pendapat yang mahjur (lemah), umurnya adalah 19 tahun.

Al-Khattabi berkata dalam kitabnya A'lam al-Hadis: “Perkataan Anas: ‘tanquzan’, makna al-naqz ialah melompat, dan aku mengira ia sebenarnya ‘tazfiran’. Al-Zafr bermaksud: memikul kirbat-kirbat yang berat, dan kirbat itu sendiri dipanggil al-zifr.”

Aku katakan: Lafaz "tanquzan al-qirab" tiada makna yang sesuai di sini. Al-Khattabi RH telah melakukan perkara yang tepat apabila mentafsirkan al-zafr sebagai memikul kirbat-kirbat yang berat, dan dalam Lisan al-'Arab oleh Ibnu Manzur terdapat bukti bahawa dari sudut isytiqaq (terbitan kata) ia menyokong tafsiran tersebut.

Jika keadaannya sedemikian, perkara ini tidak munasabah berdasarkan pendapat yang masyhur. Hal ini kerana seseorang yang baru berumur 11 tahun –apatah lagi Aisyah terkenal dengan fizikalnya yang kurus dan tidak berisi pada waktu kecil– kebiasaannya tidak mampu untuk memikul kirbat-kirbat air yang berat lalu menuangkannya ke dalam mulut orang-orang yang tercedera, kemudian berpatah balik untuk mengisinya dengan air, dan datang membawanya semula berulang kali. Ini berbeza bagi seseorang yang telah berumur 19 tahun. Ini bermakna inilah pandangan yang lebih kuat (rajih).

Mungkin setiap satu daripada petunjuk-petunjuk yang disebutkan di atas –secara tersendirinya– merupakan dalil yang tidak cukup kuat untuk membuktikan berlakunya kekeliruan (waham) dalam riwayat yang masyhur mengenai Saidatina Aisyah RA. Namun begitu, himpunan kesemua petunjuk tersebut membentuk satu dalil yang kukuh mengenainya.

Kesimpulan kajian:

Berdasarkan himpunan beberapa petunjuk tersebut, pandangan yang lebih kuat (rajih) menunjukkan bahawa Saidatina Aisyah RA dilahirkan 4 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul. Rasulullah SAW telah mengakad nikah dengannya pada tahun ke-10 selepas Baginda menjadi Rasul, iaitu ketika beliau berusia 14 tahun, iaitu 3 tahun sebelum Hijrah. Baginda berumah tangga bersama beliau pada akhir tahun pertama selepas Hijrah ketika usianya menghampiri 18 tahun.

Hadis yang diriwayatkan mengenai penetapan umur Aisyah adalah 6 tahun pada hari akad dan 9 tahun pada hari berumah tangganya memang betul diriwayatkan daripada beliau melalui beberapa sanad yang sahih. Namun, ia bercanggah dengan petunjuk sejarah yang kukuh. Oleh itu, ia adalah syaz (ganjil) dan dianggap berpunca daripada kekeliruan.

Para ulama RH telah menyebutkan bahawa sekiranya matan sesuatu hadis bercanggah dengan fakta sejarah yang lebih kuat kedudukannya, maka hadis tersebut ditolak. Hal ini kerana perkara tersebut menunjukkan bahawa kecacatan telah menyusup ke dalamnya disebabkan oleh salah seorang perawinya telah terkeliru.

Dan Allah jua yang lebih mengetahui.

Ditulis oleh Salahuddin bin Ahmad al-Idlibi.

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Kesimpulan Ringkas Kajian Umur Saidatina Aisyah RA Ketika Berkahwin

Dua Pendapat Utama:

Pendapat Masyhur:

- Aisyah RA diakad nikah ketika berusia 6 tahun dan berumah tangga ketika berusia 9 tahun.

- Bermakna beliau dilahirkan 4 tahun selepas kenabian Rasulullah.

- Bersandarkan riwayat daripada Aisyah sendiri dengan sanad yang sahih dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim.

Pendapat Kedua (Dianggap kuat oleh Syeikh Dr Salahuddin al-Idlibi):

- Aisyah RA diakad nikah ketika berusia 14 tahun dan berumah tangga ketika berusia hampir 18 tahun.

- Bermakna beliau dilahirkan 4 tahun sebelum kenabian.

Sepuluh Petunjuk Yang Menyokong Pendapat Kedua:

1 - Perbezaan umur dengan Asma': Asma' lebih tua 10 tahun daripada Aisyah dan dilahirkan 27 tahun sebelum Hijrah, maka Aisyah dilahirkan 4 tahun sebelum kenabian.

2 - Gelaran ‘jariyah’ (gadis remaja): Aisyah menyebut dirinya sebagai ‘jariyah’ ketika turunnya surah al-Qamar, iaitu 8 tahun selepas kenabian. Menurut pendapat masyhur, umurnya ketika itu baru 4 tahun, sedangkan gelaran ‘jariyah’ tidak sesuai untuk kanak-kanak seusia itu.

3 - Kesedaran terhadap keislaman ibu bapa: Aisyah berkata beliau tidak pernah sedar melainkan kedua ibu bapanya sudah beragama Islam. Kenyataan ini hanya bermakna jika beliau lahir sebelum kenabian, bukan selepasnya.

4 - Disenaraikan dalam kalangan Muslim terawal: Ibn Ishaq menyenaraikan Aisyah antara orang yang memeluk Islam semasa tempoh dakwah Nabi secara rahsia. Jika beliau lahir 4 tahun selepas kenabian, beliau belum pun wujud ketika itu.

5 - Kenyataan al-Tabari: Al-Tabari menyatakan dengan jelas bahawa keempat-empat anak Abu Bakar, termasuk Aisyah, dilahirkan pada zaman Jahiliah, iaitu sebelum kenabian.

6 - Risikan Khaulah binti Hakim: Sangat jauh dari munasabah untuk merisik kanak-kanak berusia 6 tahun kepada Rasulullah SAW selepas kewafatan Khadijah, tetapi munasabah jika beliau berusia 14 tahun.

7 - Aisyah menggelar Abu Sa'id dan Anas sebagai ‘budak kecil’: Menurut pendapat masyhur, Aisyah lebih muda setahun daripada mereka, maka tidak munasabah beliau memanggil mereka demikian. Menurut pendapat kedua, beliau 7 tahun lebih tua, maka panggilan itu munasabah.

8 - Aisyah memanggil Fatimah "wahai anakku": Menurut pendapat masyhur, Fatimah lebih tua 4 atau 9 tahun daripada Aisyah, maka panggilan itu sangat ganjil. Menurut pendapat kedua, usia mereka hampir sebaya atau Aisyah sedikit lebih tua, maka panggilan itu wajar kerana Aisyah adalah isteri bapanya.

9 - Risikan Mut'im bin 'Adi: Mut'im yang berpegang teguh dengan syirik tidak mungkin merisik Aisyah untuk anaknya selepas zaman kenabian dengan persetujuan Abu Bakar. Risikan itu pasti berlaku sebelum zaman kenabian, bermakna Aisyah sudah pun lahir ketika itu.

10 – Mengangkut air ketika Perang Uhud: Kanak-kanak berusia 11 tahun yang bertubuh kurus tidak mampu memikul kirbat air yang berat berulang kali, tetapi munasabah bagi seorang wanita berusia 19 tahun.

Rumusan Akhir:

- Himpunan kesemua petunjuk ini membentuk dalil yang kukuh bahawa Aisyah RA dilahirkan 4 tahun sebelum kenabian.

- Baginda SAW mengakad nikah dengannya pada tahun ke-10 kenabian (umur 14 tahun) dan berumah tangga dengannya pada akhir tahun pertama Hijrah (umur hampir 18 tahun).

- Riwayat yang menyebut umur 6 dan 9 tahun, walaupun sahih sanadnya, dianggap syaz kerana bercanggah dengan petunjuk-petunjuk sejarah yang lebih kuat, dan ia berkemungkinan berpunca daripada kekeliruan (waham) Aisyah RA.

Jumaat, 13 Mac 2026

Umur Khadijah Ketika Berkahwin Dengan Nabi

Oleh: Syeikh Dr Salahuddin al-Idlibi

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang aku bermula dan kepada-Nya aku memohon pertolongan.

Ini adalah sedikit catatan ringkas mengenai umur Saidatina Khadijah RA pada hari perkahwinannya dengan junjungan kita, Rasulullah SAW:

Beberapa riwayat sebagai mukadimah kepada isu ini:

1 - Imam at-Tabarani (meninggal dunia pada tahun 360 Hijrah) telah meriwayatkan di dalam al-Mu'jam al-Kabir daripada Ibnu Syihab al-Zuhri (meninggal dunia pada tahun 124 Hijrah) bahawa beliau berkata:

"Khadijah RA meninggal dunia di Makkah tiga tahun sebelum Rasulullah SAW keluar (berhijrah) ke Madinah."

2 - Diriwayatkan juga daripada 'Urwah bin al-Zubair (meninggal dunia pada tahun 94 Hijrah) dan daripada Qatadah bin Di'amah (meninggal dunia pada tahun 117 Hijrah) mengenai fakta yang serupa. Ketiga-tiga mereka ini adalah daripada kalangan Tabi'in.

3 - Imam al-Baihaqi (meninggal dunia pada tahun 458 Hijrah) telah meriwayatkan di dalam kitab Dala'il an-Nubuwwah daripada Aisyah RA, bahawa beliau berkata:

"Rasulullah SAW mengahwiniku tiga tahun selepas kematian Khadijah."

Al-Baihaqi berkata: "Kedua-duanya (al-Bukhari dan Muslim) telah mengeluarkannya di dalam kitab al-Sahih.”

4 - Diriwayatkan daripada al-Zuhri bahawa beliau berkata:

"Khadijah meninggal dunia di Makkah sebelum Rasulullah SAW keluar (berhijrah) ke Madinah dan sebelum solat difardukan."

5 - Diriwayatkan daripada Muhammad bin Ishaq (meninggal dunia pada tahun 151 Hijrah), bahawa beliau berkata:

"Khadijah binti Khuwailid dan Abu Talib meninggal dunia pada tahun yang sama."

6 - Al-Waqidi mendakwa bahawa mereka (para sahabat) telah keluar dari al-Syi'b tiga tahun sebelum Hijrah, dan pada tahun inilah Khadijah serta Abu Talib meninggal dunia.

Berapakah umur Saidatina Khadijah RA pada hari perkahwinan Nabi SAW dengannya?

Dalam isu ini terdapat beberapa pendapat, dan yang masyhur adalah umurnya empat puluh tahun.

Berikut adalah beberapa pendapat ulama yang menyokong bahawa umurnya pada waktu itu adalah 40 tahun atau sekitarnya:

1 - Ibnu Sa'ad (meninggal dunia pada tahun 230 Hijrah) telah meriwayatkan di dalam al-Tabaqat al-Kubra daripada Muhammad bin Umar al-Waqidi (meninggal dunia pada tahun 207 Hijrah), dengan sanadnya daripada al-Zuhri dan daripada al-Muttalib bin Abdullah bin Hantab, bahawa kedua-duanya berkata:

"Rasulullah SAW mengahwininya ketika Baginda berusia 25 tahun dan Khadijah berusia 40 tahun. Khadijah meningal dunia setelah 10 berlalu dari bulan Ramadan (yakni pada 10 Ramadan) pada tahun 10 kenabian, iaitu 3 tahun sebelum Hijrah, ketika beliau berusia 65 tahun."

Ibnu Sa'ad turut meriwayatkannya daripada al-Waqidi dengan sanadnya daripada Hakim bin Hizam RA.

2 - Al-Hakim (meninggal dunia pada tahun 405 Hijrah) telah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Mustadrak melalui sanad: Abdullah bin Muhammad bin Yahya bin 'Urwah bin al-Zubair daripada bapa saudaranya iaitu Hisyam bin 'Urwah, bahawa beliau berkata:

"Khadijah binti Khuwailid RA meninggal dunia ketika beliau berusia 65 tahun."

Abdullah bin Muhammad bin Yahya bin 'Urwah adalah seorang yang matruk (ditinggalkan hadisnya). Maka sanad ini adalah rosak (talif).

Jika beliau meninggal dunia ketika berusia 65 tahun, ini bermakna usianya pada hari perkahwinannya dengan Nabi SAW adalah 40 tahun.

Al-Hakim telah memberikan komentar terhadap riwayat ini dengan berkata:

"Ini adalah pendapat yang syaz (ganjil), kerana pandangan yang kuat di sisiku ialah beliau tidak mencapai usia 60 tahun."

3 - Ibnu Abdul Barr (meninggal dunia pada tahun 463 Hijrah) berkata di dalam al-Isti'ab:

"Ketika Rasulullah SAW mengahwininya, beliau berusia 60 tahun, lalu beliau hidup bersama Baginda SAW selama 24 tahun, dan meninggal dunia ketika berusia 64 tahun 6 bulan."

Al-Waqidi dianggap thiqah oleh sekelompok ulama, namun didaifkan oleh sekelompok ulama yang lain serta dituduh melakukan pendustaan. Boleh jadi beliau adalah seorang yang thiqah dalam riwayat-riwayat berkaitan sejarah, namun mencampuradukkan fakta atau berdusta dalam sebahagian sanad riwayat-riwayat hadis.

4 - Ibnu al-Athir (meninggal dunia pada tahun 630 Hijrah) berkata di dalam kitabnya, Usd al-Ghabah:

"Umurnya ketika itu adalah 40 tahun."

5 - Al-Nawawi (meninggal dunia pada tahun 676 Hijrah) berkata di dalam kitabnya Tahzib al-Asma' wa al-Lughat:

"Rasulullah SAW mengahwininya ketika beliau berusia 45 tahun pada hari tersebut. Ada pandangan mengatakan 28 tahun, dan ada pandangan mengatakan 40 tahun. Di dalam Tarikh Damsyik (dinyatakan) bahawa beliau meninggal dunia pada bulan Ramadan tahun kesepuluh Kenabian ketika berusia 65 tahun."

6 - Ibnu Hajar (meninggal dunia pada tahun 852 Hijrah) berkata di dalam kitab al-Isabah:

"Diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam bahawa Khadijah lebih tua daripada Nabi SAW sebanyak 15 tahun. Al-Waqidi telah meriwayatkan dengan sanadnya daripada beberapa jalur sanad bahawa ketika perkahwinannya dengan Baginda, beliau berusia 40 tahun. Al-Waqidi berkata: “Beliau meninggal dunia setelah 10 berlalu dari bulan Ramadan (yakni pada 10 Ramadan) ketika berusia 65 tahun.” Kemudian beliau meriwayatkan dengan sanadnya daripada hadis Hakim bin Hizam bahawa beliau wafat pada tahun kesepuluh pengutusan baginda sebagai Rasul."

6 - As-Salihi (meninggal dunia pada tahun 942 Hijrah) di dalam kitabnya, Subul al-Huda wa al-Rasyad telah menukilkan daripada Muhammad bin Umar al-Waqidi al-Aslami bahawa Khadijah meninggal dunia setelah 10 hari berlalu dari bulan Ramadan ketika berusia 65 tahun. Kemudian beliau meriwayatkan daripada Hakim bin Hizam bahawa Khadijah meninggal dunia pada tahun kesepuluh pengutusan Kenabian. Ini bermakna usianya pada hari perkahwinannya dengan Nabi SAW adalah 40 tahun.

7 - Mulla Ali al-Qari (meninggal dunia pada tahun 1014 Hijrah) berkata di dalam kitabnya, Jam' al-Wasa'il:

"Rasulullah SAW mengahwininya ketika Baginda berusia 25 tahun dan beliau ketika itu berusia 40 tahun. Beliau meninggal dunia pada bulan Ramadan tahun kesepuluh Kenabian di Makkah ketika berusia 65 tahun."

8 - Ibnu 'Asakir (meninggal dunia pada tahun 571 Hijrah) telah meriwayatkan di dalam Tarikh Damsyik melalui sanad: al-Mufaddal al-Ghallabi daripada al-Waqidi bahawa beliau berkata:

"Ulama-ulama kita telah bersepakat bahawa wanita pertama yang dikahwini oleh Nabi SAW ialah Khadijah binti Khuwailid, dan beliau ketika itu berusia 44 tahun."

Pendapat ini adalah bercanggah dengan apa yang pernah dikatakan oleh al-Waqidi, dipertahankannya, dan diriwayatkannya melalui sanad-sanadnya bahawa Khadijah berusia 40 tahun.

Ini adalah beberapa pendapat ulama yang menyatakan bahawa beliau  berusia di bawah 40 tahun:

1 - Ibnu 'Asakir telah meriwayatkan daripada Abu Bakar bin Uthman bin Sahl bin Hunaif bahawa Rasulullah SAW mengahwini Khadijah ketika beliau pada hari tersebut berusia 30 tahun.

2 - Ibnu Sa'ad telah meriwayatkan daripada Hisyam bin Muhammad bin al-Sa'ib al-Kalbi, daripada bapanya, daripada Abu Salih, daripada Ibnu Abbas bahawa beliau berkata:

"Khadijah pada hari Rasulullah SAW mengahwininya berusia dua puluh lapan tahun."

Hisyam bin Muhammad bin al-Sa'ib dan bapanya adalah dituduh berdusta dalam periwayatan hadis.

3 - Al-Hakim (meninggal dunia pada tahun 405 Hijrah) telah meriwayatkan di dalam kitabnya, al-Mustadrak melalui sanad: Ibrahim bin Sa'ad al-Zuhri daripada Muhammad bin Ishaq bahawa Abu Talib dan Khadijah binti Khuwailid meninggal dunia pada tahun yang sama, iaitu 3 tahun sebelum penghijrahan Nabi SAW ke Madinah, dan usia beliau pada hari Baginda mengahwininya adalah 28 tahun.

4 - Al-Baihaqi berkata di dalam kitab Dala'il an-Nubuwwah: Abu Abdullah al-Hakim berkata: Aku telah membaca daripada tulisan tangan Abu Bakar bin Abu Khaithamah, beliau berkata: Mus'ab bin Abdullah az-Zubairi telah menceritakan kepada kami, beliau berkata:

"Usia Khadijah mencapai 65 tahun, dan ada pendapat mengatakan 50 tahun, dan inilah pendapat yang lebih sahih."

Abu Bakar bin Abu Khaithamah meninggal dunia pada tahun 279 Hijrah, manakala Mus'ab bin Abdullah al-Zubairi meninggal dunia pada tahun 236 Hijrah.

Aku berkata: Jika Saidatina Khadijah RA telah mencapai usia 65 tahun pada hari kematiannya, ini bermakna beliau berusia 40 tahun pada hari perkahwinan Nabi SAW dengannya. Namun, jika beliau telah mencapai usia 50 tahun pada hari kematiannya, ini bermakna beliau berusia 25 tahun pada hari perkahwinan Nabi SAW dengannya.

Ringkasan:

Pendapat pertama yang juga merupakan pendapat yang masyhur: Umur beliau pada hari perkahwinannya dengan Nabi SAW adalah 40 tahun, dan umurnya pada hari kematiannya adalah 65 tahun. Inilah yang diriwayatkan oleh Ibnu Sa'ad di dalam al-Tabaqat al-Kubra daripada al-Waqidi berserta sanad-sanadnya.

Pendapat kedua: Umur beliau pada hari perkahwinannya dengan Nabi SAW adalah 30 tahun. Inilah yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Asakir daripada Abu Bakar bin Uthman bin Sahl bin Hunaif.

Pendapat ketiga: Umur beliau pada hari perkahwinannya dengan Nabi SAW adalah 28 tahun. Inilah yang diriwayatkan oleh Imam Abu Abdullah al-Hakim di dalam al-Mustadrak daripada Ibnu Ishaq, dan ia turut diriwayatkan oleh Ibnu Sa'ad dengan sanad yang rosak daripada Ibnu Abbas.

Pendapat keempat: Umur beliau pada hari perkahwinannya dengan Nabi SAW adalah 25 tahun, dan umurnya pada hari kematiannya adalah 50 tahun. Inilah yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Dala'il an-Nubuwwah daripada Mus'ab bin Abdullah al-Zubairi, dan beliau berpandangan bahawa pendapat ini adalah lebih sahih.

Tarjih (Pandangan yang Lebih Kuat):

1 - Mengikut kebiasaan, adalah jauh kemungkinan bagi seseorang yang berusia 25 tahun mengahwini wanita pertama dalam hidupnya yang berusia 40 tahun, sebagaimana jauh kemungkinannya juga bagi seorang wanita yang berkahwin pada usia 40 tahun dapat melahirkan 6 orang anak selepas umur tersebut. Maka, ini merupakan antara qarinah (petunjuk) yang menguatkan pendapat-pendapat selain daripada pendapat pertama, iaitu usia beliau kemungkinan adalah 30, 28, atau 25 tahun sewaktu berkahwin.

2 - Kelemahan pendapat pertama ini turut diperkuatkan lagi oleh kenyataan Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak mengenainya bahawa ia adalah syaz (ganjil), kemudian kenyataan beliau: "Pandangan yang kuat di sisiku ialah beliau tidak mencapai usia 60 tahun (ketika meninggal dunia)." Jika usianya tidak mencapai 60 tahun (ketika meninggal dunia), ini bermakna pada hari perkahwinan Nabi SAW dengannya, usianya adalah di bawah 35 tahun.

3 - Sekiranya kita mempunyai riwayat daripada seorang Sahabat dengan sanad yang sahih, nescaya itulah yang akan dijadikan pegangan utama. Namun, memandangkan kita tidak mempunyainya, maka kita perlu meneliti riwayat-riwayat yang ada berserta petunjuk sejarah.

4 - Kita mempunyai pelbagai riwayat yang menyatakan bahawa Khadijah adalah lebih tua daripada Nabi SAW pada hari perkahwinan Baginda dengannya. Oleh itu, jika kita mengambil kira kesemua petunjuk yang telah disebutkan di atas, kemungkinan besar usianya adalah 28 tahun. Dan Allah jua yang lebih mengetahui.

Ditulis oleh Salahuddin al-Idlibi, pada 2/2/1440, bersamaan 11/10/2018. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Sabtu, 22 November 2025

Kepentingan Mempelajari Sirah Nabi

1 - Zainul Abidin Ali bin al-Husain bin Ali bin Abi Talib berkata: "Kami dahulunya diajarkan tentang kisah-kisah peperangan (maghazi) Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dan ekspedisi ketenteraan (saraya) baginda, sepertimana kami diajarkan satu surah daripada al-Quran."

2 - Imam al-Zuhri berkata: "Dalam ilmu kisah-kisah peperangan itu terdapat ilmu dunia dan akhirat."

3 - Ismail bin Muhammad bin Sa'ad bin Abi Waqqas berkata: "Ayahku dahulunya mengajarkan kami kisah-kisah peperangan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, dan beliau berkata: Wahai anak-anakku, ini adalah jasa-jasa terpuji datuk nenek kamu, maka janganlah kamu sia-siakan penyebutannya (ingatannya)."

4 - Al-Khatib al-Baghdadi berkata: "Banyak hukum-hakam yang berkait dengan kisah-kisah peperangan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, maka wajib menulisnya dan memeliharanya."

5 - Imam Ibn al-Jawzi berkata: "Pokok segala pokok adalah ilmu, dan ilmu yang paling bermanfaat adalah meneliti sirah Rasul sallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat baginda. Allah Taala berfirman: Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutilah petunjuk mereka itu.” (Al-An'am: 90)

6 - Syeikh Ali al-Tantawi berkata: "Wajib ke atas setiap ketua keluarga untuk mempunyai di rumahnya sebuah kitab himpunan daripada kitab-kitab sirah nabawiyyah, dan sentiasa membaca di dalamnya, dan membacakannya kepada keluarga dan anak-anaknya, dan memperuntukkan untuknya satu jam setiap hari, agar mereka membesar dengan mengenali sirah Rasul yang agung sallahu ‘alaihi wasallam, kerana sesungguhnya sirah baginda adalah mata air yang jernih bagi penuntut ilmu fiqh, dan petunjuk yang memandu bagi pencari kebaikan, dan contoh teladan yang tertinggi bagi gaya bahasa yang fasih, dan perlembagaan yang menyeluruh bagi setiap cabang kebaikan."

Syeikh Ali juga berkata: "Sesungguhnya di dalam sirah itu, wahai saudara-saudara, terdapat kisah-kisah yang lengkap, di dalamnya terdapat semua elemen seni yang disyaratkan oleh ahli sastera cerita, dan di dalamnya juga—melebihi semua itu—terdapat kebenaran, dan di dalamnya terdapat pengajaran."

7 - Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi berkata: "Sesungguhnya Sirah Nabawiyah dan sirah para sahabat serta sejarah mereka radhiyallahu 'anhum adalah antara sumber kekuatan iman dan sentimen keagamaan yang paling kuat, yang mana umat ini dan gerakan-gerakan dakwah masih lagi mengambil nyalaan iman daripadanya, dan dengannya hati-hati kembali bernyala, (hati-hati) yang cepat terpadam dan malap di tengah tiupan angin dan ribut materialistik, yang mana jika ia terpadam, maka umat ini akan kehilangan kekuatannya, keistimewaannya, dan pengaruhnya, lalu ia menjadi bangkai kaku yang dipikul oleh kehidupan di atas bahunya."

8 - Dr. Muhammad Abu Syahbah berkata: "Sesungguhnya sebaik-baik perkara yang dipelajari oleh orang Islam, terutamanya generasi muda dan pelajar, serta yang diberi perhatian oleh para pengkaji dan penulis, adalah kajian Sirah Muhammadiyah, kerana ia adalah sebaik-baik guru, pendidik, pembimbing, dan pengasuh, serta sekolah yang paling asli yang melahirkan generasi pertama dalam kalangan Muslimin dan Muslimat, yang mana dunia jarang dapat mempersembahkan orang yang seumpama mereka. Maka padanya terdapat apa yang dicari oleh seorang Muslim dan pencari kesempurnaan, sama ada daripada segi agama, dunia, iman, akidah, ilmu, amal, adab, akhlak, politik, kebijaksanaan, kepimpinan, keadilan, rahmat, kepahlawanan, perjuangan, jihad, dan kesyahidan di jalan akidah dan syariah, serta contoh-contoh insaniah yang tinggi, dan nilai-nilai akhlak yang mulia.

Sesungguhnya Sirah Nabawiyah telah menjadi sebuah sekolah yang melahirkan contoh-contoh manusia yang terbaik, iaitu para sahabat yang mulia radhiyallahu 'anhum. Maka adalah dalam kalangan mereka: Khalifah yang mendapat petunjuk, panglima yang berpengalaman luas, pahlawan yang gagah berani, ahli politik yang cerdik, genius yang diilhamkan, orang alim yang beramal, ahli fiqh yang mahir, orang berakal yang tegas, ahli hikmah yang memancar dari hatinya mata air ilmu dan hikmah, pedagang yang menukarkan pasir gurun menjadi emas, petani dan tukang yang melihat kerja sebagai ibadah, pekerja keras yang melihat mengumpul kayu api sebagai kerja mulia yang mengangkat dirinya daripada meminta-minta dan mengemis, orang kaya yang bersyukur yang melihat dirinya sebagai pemegang amanah harta ini untuk dibelanjakan pada jalan kebaikan dan maslahat umum, dan orang miskin yang sabar yang disangka kaya oleh orang yang tidak mengetahui keadaannya kerana sifat memelihara diri (daripada meminta-minta). Semua itu adalah hasil daripada keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya sallahu ‘alaihi wasallam, dan dengan inilah mereka menjadi umat pertengahan, dan menjadi sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia."

9 - Syeikh Muhammad al-Ghazali berkata: "Sesungguhnya kehidupan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bukanlah bagi seorang Muslim sekadar hiburan bagi orang yang kosong (tiada kerja), atau kajian bagi pengkritik yang berkecuali. Tidak, sama sekali tidak! Sesungguhnya ia adalah sumber teladan yang baik yang diikutinya, dan punca syariat yang agung yang dianutinya. Maka sebarang penyelewengan dalam membentangkan sirah ini, dan sebarang kekeliruan dalam menceritakan peristiwa-peristiwanya adalah satu penghinaan yang besar terhadap hakikat iman itu sendiri... Sesungguhnya aku menulis tentang Sirah Nabawiyah sepertimana seorang tentera menulis tentang panglimanya, atau seorang pengikut tentang tuannya, dan seorang murid tentang gurunya.. Sesungguhnya seorang Muslim yang Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tidak hidup dalam sanubarinya, dan pandangan hatinya tidak mengikutinya dalam amalan dan pemikirannya, tidak akan sama sekali memadai baginya (hanya) menggerakkan lidahnya dengan seribu selawat siang dan malam."

10 - Al-Hafiz Ibn Abd al-Barr berkata: "Dalam sirah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam terdapat peringatan ke atas banyak (hukum) nasikh dan mansukh di dalam Sunnah."

Sumber:

Al-Lu'lu' al-Maknun Fi Sirah al-Nabi al-Ma'mun - Musa bin Rasyid al-'Azami

Selasa, 27 Mei 2025

Ringkasan Sirah Nabi Muhammad

Keturunannya: Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'ay bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin al-Nadr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudar bin Nizar bin Ma'ad bin Adnan dan keturunannya bersambung kepada Ismail bin Ibrahim alaihimassalam.

Ibunya: Sayyidah Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah, berasal dari keluarga Mekah yang paling suci dan mulia.

Kelahirannya: Rasulullah dilahirkan di Mekah dalam kabilah Bani Hashim pada hari Isnin 12 Rabiul Awal bersamaan 20 April 571M pada Tahun Gajah, dalam keadaan yatim (ayahnya meninggal beberapa bulan selepas ibunya mengandung). Datuknya Abdul Muttalib menamakan baginda ‘Muhammad’ supaya menjadi terpuji di bumi dan di langit.

Penyusuannya: Orang pertama yang menyusukannya ialah ibunya Aminah, kemudian Thuwaibah, hamba Abu Lahab bapa saudara Rasulullah (yang dimerdekakan ketika memberi khabar gembira kelahiran Nabi), kemudian Halimah al-Sa'diyah (yang mendapat kemuliaan dan kelebihan dengan kehadiran Nabi di rumahnya yang membawa kebaikan dan keberkatan.

Peristiwa membelah dada:

Berlaku empat kali:

Pertama: Ketika baginda berusia empat tahun. Jibril dan Mikail datang lalu membelah dadanya yang mulia dan mengeluarkan jantungnya dan membasuhnya dengan air salji dan mengeluarkan sesuatu daripadanya dan Jibril berkata: "Ini adalah bahagian syaitan daripadamu" (Sahih Bukhari, Sahih Muslim).

Kedua: Berlaku sebelum baligh.

Ketiga: Sebelum wahyu.

Keempat: Sebelum Mikraj ke tujuh petala langit.

Kematian ibunya: Ketika Nabi kembali ke pangkuan ibunya untuk menikmati kasih sayang dan belaiannya, ibunya ingin menziarahi bapa saudaranya Bani Najjar di Madinah dan menziarahi kubur suaminya Abdullah. Beliau membawa Rasulullah bersamanya. Semasa dalam perjalanan pulang, beliau jatuh sakit lalu meninggal dunia. Nabi menjadi yatim piatu dan pulang ke Mekah bersama Ummu Aiman, hamba perempuan ayahnya. Ketika itu Nabi berusia enam tahun.

Dalam penjagaan datuknya, Abdul Muttalib: Datuknya, Abdul Muttalib mengambil alih penjagaannya. Beliau adalah sebaik-baik pendidik dan penyayang, malah mendudukkan baginda bersamanya dan menyayanginya lebih daripada anak-anaknya sendiri serta mengharapkan masa depan yang cemerlang baginya. Namun, ini tidak bertahan lama kerana datuknya meninggal dunia selepas dua tahun.

Dalam penjagaan bapa saudaranya, Abu Talib: Apabila Nabi mencapai usia lapan tahun, bapa saudaranya Abu Talib mengambil alih penjagaannya. Beliau adalah saudara kandung kepada ayah baginda seibu dan sebapa. Baginda membesar di rumahnya bersama anak-anaknya dan mendapat kasih sayangnya sehingga Rasulullah berkahwin.

Pekerjaannya: Pekerjaan pertama yang dilakukan oleh Nabi adalah mengembala kambing (pekerjaan para nabi dan rasul) ketika berusia lapan tahun. Kemudian baginda bekerja dalam bidang perniagaan bersama bapa saudaranya ketika berusia dua belas tahun.

Rahib Bahira: Bapa saudaranya membawanya ke Syam. Apabila rombongan singgah di Busra (tempat berhampiran Syam), seorang rahib bernama Bahira yang beribadat di biara dan beragama Nasrani melihatnya dan mengenali Nabi kerana awan menaungi rombongan tersebut.

Beliau menjemput mereka sebagai tetamu. Ketika orang ramai bergerak, awan itu tidak bergerak. Rahib bertanya kepada Abu Talib: "Adakah kamu meninggalkan sesiapa?" Jawabnya: "Ya, seorang budak kecil." Rahib menyuruh membawanya dan awan bergerak mengikut pergerakan Nabi. Rahib bertanya: "Siapa ayahnya?" Jawab Abu Talib: "Saya." Rahib berkata: "Budak ini tidak mungkin mempunyai ayah yang masih hidup." Abu Talib berkata: "Saya bapa saudaranya." Rahib berkata: "Pulanglah dengannya kerana jika diketahui, mereka akan membunuhnya." Maka bapa saudaranya membawanya pulang ke Mekah.

Perang Fijar: Ketika Nabi berusia dua puluh tahun, berlaku peperangan antara Quraisy dan Kinanah melawan puak Qais ‘Ailan. Nabi turut serta bersama bapa-bapa saudaranya dengan menyediakan anak panah untuk mereka. Perang berakhir dengan perdamaian dan dinamakan Perang Fijar kerana berlaku pada bulan-bulan haram.

Perjanjian Fudul: Quraisy berkumpul selepas Perang Fijar di rumah Abdullah bin Jud'an At-Taimi dan berjanji untuk menolong orang yang dizalimi. Nabi menyaksikan perjanjian ini dan berkata selepas baginda menjadi Nabi: "Jika aku diajak kepadanya dalam Islam, aku akan memenuhinya" kerana perjanjian ini menyeru kepada kebaikan.

Perkahwinannya dengan Saidatina Khadijah binti Khuwailid: Nabi terkenal dengan kejujuran, amanah dan  reputasi yang baik. Baginda bekerja dengan Saidatina Khadijah dalam bidang perniagaan. Khadijah menghantar hambanya Maisarah bersamanya. Selepas pulang dari perjalanan, Maisarah menceritakan kepada Khadijah tentang kejujuran Nabi dalam urusan, bagaimana semua orang yang melihatnya menyukainya dan bagaimana keuntungan perniagaan bertambah. Ini mendorong Saidatina Khadijah untuk meminangnya. Nafisah binti Munabbih menjadi perantara antara mereka. Nabi pergi bersama bapa saudaranya untuk meminang Khadijah dan Abu Talib menyampaikan khutbah nikah.

Mas Kahwin Saidatina Khadijah: Mas kahwinnya adalah dua belas setengah uqiah emas (1 uqiyah bersamaan 119 gram). Beliau merupakan wanita Quraisy yang terbaik dari segi keturunan, paling banyak harta dan paling cantik. Pada zaman jahiliah beliau digelar ‘al-Tahirah" (Yang Suci). Ketika itu umur Baginda 25 tahun manakala Khadijah berusia 40 tahun. Sebelum berkahwin dengan Baginda, Khadijah pernah berkahwin dengan Abu Halah bin Zararah al-Tamimi dan 'Atiq bin 'Abid Al-Makhzumi.

Pembinaan Kaabah: Ketika Nabi berusia 35 tahun, banjir telah merosakkan dinding Kaabah sehingga retak. Mereka membinanya semula tetapi kabilah-kabilah bertelagah tentang siapa yang akan meletakkan Hajar Aswad ke tempatnya kerana ia membawa kemuliaan yang besar. Mereka bersetuju untuk menerima keputusan orang pertama yang lalu di jalan tersebut. Orang ramai bersorak "Inilah al-Sadiq al-Amin!" Nabi memerintahkan untuk menghamparkan kain dan meletakkan Hajar Aswad di atasnya. Baginda mengarahkan setiap kabilah memegang hujung kain tersebut. Apabila sampai ke tempat Hajar Aswad, Baginda meletakkannya dengan tangan mulianya di tempatnya.

Nabi Beribadat di Gua Hira: Sebelum diutus menjadi Nabi, Baginda mengasingkan diri di Gua Hira selama sebulan setiap tahun, beribadah mengikut syariat Nabi Ibrahim. Setelah mencapai usia 40 tahun, Jibril datang kepada Baginda di Gua Hira dan berkata: "Bacalah". Baginda menjawab: "Aku tidak tahu membaca". Jibril memeluk Baginda dengan kuat kemudian melepaskannya dan berkata: "Bacalah". Baginda menjawab: "Aku tidak tahu membaca". Jibril memeluk Baginda dengan kuat sekali lagi dan melepaskannya, lalu berkata: "Bacalah". Baginda menjawab: "Aku tidak tahu membaca". Maka Jibril berkata: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar dengan pena" (Al-'Alaq: 1-4). Kemudian Jibril meninggalkannya sambil berkata "Wahai Muhammad, engkau adalah Rasulullah". Nabi pulang kepada isterinya dalam keadaan menggigil dan menceritakan apa yang berlaku.

Waraqah bin Naufal: Beliau adalah Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, sepupu Saidatina Khadijah. Khadijah membawa Rasulullah kepadanya dan menceritakan apa yang berlaku. Waraqah berkata: "Ini adalah Namus (Jibril) yang pernah turun kepada Musa" dan beliau membenarkan apa yang dilihat oleh Nabi. Namun Waraqah meninggal dunia sebelum bermulanya dakwah.

Bahagian-Bahagian Wahyu:

1. Mimpi yang benar - semua yang dilihat Nabi dalam mimpi dan menjadi kenyataan.

2. Wahyu yang diilhamkan malaikat ke dalam hati Nabi tanpa melihatnya.

3. Malaikat menjelma dalam bentuk seorang lelaki.

4. Wahyu datang seperti bunyi loceng yang amat berat bagi Rasulullah.

5. Melihat malaikat dalam bentuk asalnya.

6. Wahyu yang diturunkan Allah ketika di atas langit pada malam Israk Mikraj.

7. Kalam Allah secara langsung tanpa perantaraan malaikat.

Dakwah: Nabi berdakwah secara rahsia kepada kaumnya. Abu Bakar adalah lelaki pertama yang memeluk Islam, Saidatina Khadijah wanita pertama, Ali bin Abi Talib kanak-kanak pertama, Zaid bin Harithah hamba lelaki pertama, dan Ummu Aiman Al-Habasyiah hamba perempuan pertama. Kemudian Abu Bakar As-Siddiq giat berdakwah dan membawa lima orang masuk Islam iaitu:

1. Uthman bin Affan

2. Al-Zubair bin al-Awwam

3. Abdur Rahman bin Auf

4. Saad bin Abi Waqqas

5. Talhah bin Ubaidillah al-Taimi

Nabi kemudian mula berdakwah kepada keluarga terdekat secara rahsia selama tiga tahun sehingga tiba fasa dakwah secara terang-terangan.

Dakwah Secara Terang-terangan: Nabi mengumpulkan kaumnya dan bertanya: "Bagaimana pendapat kamu sekiranya aku memberitahu bahawa ada pasukan berkuda di lembah di kaki gunung ini yang hendak menyerang kamu, adakah kamu akan mempercayai aku?" (Sahih Bukhari). Mereka menjawab: "Ya, kami tidak pernah mendapati engkau melainkan seorang yang benar."

Di sini Nabi memberitahu mereka tentang agama baharu dan penyembahan kepada Allah Yang Esa dengan berkata: "Ucapkanlah La ilaha illallah, nescaya kamu berjaya." Penduduk Mekah tidak memberi sebarang respons kecuali Abu Lahab yang memberi respons buruk. Selepas itu, orang ramai mula menerima dakwah dan Nabi mula berdakwah kepada kaumnya siang dan malam. Quraisy kemudiannya mula menyakiti orang-orang yang memeluk Islam.

Hijrah Pertama ke Habsyah: Apabila penindasan kaum musyrikin terhadap orang Islam semakin teruk, Nabi memerintahkan mereka berhijrah ke Habsyah untuk menyelamatkan agama mereka. Baginda memberitahu bahawa di sana ada seorang raja yang adil bernama Najashi. Jumlah mereka adalah sebelas lelaki dan lima wanita. Ini berlaku pada tahun kelima selepas kenabian. Namun, mereka kembali pada tahun yang sama kerana menyangka keadaan di Mekah telah stabil dan ramai penduduknya telah memeluk Islam.

Hijrah Kedua ke Habsyah: Apabila para penghijrah kembali dari Habsyah, mereka mendapati keadaan di Mekah lebih buruk daripada sebelumnya. Jumlah penghijrah bertambah sehingga mencapai lapan puluh dua orang lelaki dan lapan belas orang wanita. Mereka berhijrah pada tahun keenam selepas kenabian. Ini menunjukkan betapa teruknya penindasan terhadap orang Islam. Quraisy menghantar ‘Amru bin al-'As kepada Najashi untuk menuntut pemulangan para penghijrah. Namun, Najashi memanggil Ja'far bin Abi Talib yang menjawab tuduhan ‘Amru bin al-'As dan memberitahu bahawa mereka melarikan diri kerana penindasan kaum musyrikin. Najashi menolak untuk memulangkan mereka.

Pemboikotan: Golongan zalim Quraisy bersepakat untuk tidak berurusan dengan sesiapa yang memeluk Islam, memboikot Bani Hasyim dan Bani Mutalib, serta menghalang mereka dari masuk ke pasar. Pengepungan ini berterusan selama tiga tahun sehingga orang Islam terpaksa memakan daun-daun pokok.

Beberapa orang bangsawan Quraisy berusaha menyelamatkan Bani Hasyim, Bani Mutalib dan golongan yang tertindas. Mereka membatalkan dokumen perjanjian yang telah dipersetujui oleh Quraisy yang disimpan di dalam Kaabah. Apabila mereka memeriksa dokumen tersebut, didapati ia telah dimakan anai-anai kecuali perkataan "Bismikallahumma" (Dengan nama-Mu Ya Allah).

Bangsawan tersebut ialah:

1. Hisyam bin Amru.

2. Zuhair bin Abi Umayyah.

3. Al-Mut'im bin Adi.

4. Abu al-Bakhtari bin Hisyam.

5. Zam'ah bin al-Aswad.

Tahun Kesedihan: Pada tahun kesepuluh selepas kenabian, bapa saudara Nabi, Abu Talib yang menjadi pelindung fizikal baginda telah meninggal dunia. Nabi amat bersedih atas pemergiannya. Tiga atau lima hari selepas itu, isteri baginda, Saidatina Khadijah yang menjadi sokongan moral kepada baginda juga meninggal dunia. Maka tahun itu dikenali sebagai Tahun Kesedihan bagi Rasulullah.

Perjalanan ke Taif: Selepas kematian bapa saudaranya, kaum Quraisy semakin menyakiti Nabi. Baginda pergi ke Taif untuk mencari sokongan, tetapi penduduk di sana juga menyakiti baginda. Kemudian malaikat penjaga gunung datang memberi salam dan menawarkan untuk menimpakan dua gunung ke atas mereka. Nabi bersabda: "Bahkan aku berharap akan keluar dari keturunan mereka orang-orang yang menyembah Allah semata-mata tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu." (Sahih Bukhari dan Sahih Muslim). Malaikat itu berkata: "Engkau sebagaimana Tuhanmu menamakanmu: Yang penyayang lagi pengasih."

Isra' dan Mi'raj: Isra' bermaksud perjalanan malam, manakala Mi'raj bermaksud naik ke atas. Kira-kira setahun setengah sebelum Hijrah ke Madinah, Jibril datang kepada Nabi bersama Buraq (haiwan yang hanya ditunggangi para nabi dan sangat laju). Nabi menunggang Buraq pada waktu malam sehingga sampai ke Baitul Maqdis. Baginda menjadi imam solat para nabi, ini menunjukkan kelebihannya ke atas mereka.

Kemudian baginda naik bersama Jibril ke langit pertama dan bertemu Nabi Adam, ke langit kedua bertemu Nabi Isa dan Nabi Yahya, ke langit ketiga bertemu Nabi Yusuf, ke langit keempat bertemu Nabi Idris, ke langit kelima bertemu Nabi Harun, ke langit keenam bertemu Nabi Musa dan ke langit ketujuh di mana baginda melihat Baitul Makmur yang diziarahi para malaikat dan berada tepat di atas Kaabah. Di sana baginda bertemu Nabi Ibrahim yang bersandar pada Baitul Makmur.

Kemudian baginda pergi ke Sidratil Muntaha di mana Jibril berhenti dan berkata kepada Nabi: "Silakan ke hadapan, jika engkau maju, engkau akan menembusi, jika aku maju, aku akan terbakar." Baginda sampai ke tempat yang belum pernah dicapai oleh makhluk lain. Di sana Allah berfirman kepada baginda dan mewajibkan solat. Apabila Nabi kembali kepada kaumnya dan menceritakan apa yang dilihatnya, orang yang kuat imannya membenarkannya manakala yang lemah imannya menjadi murtad.

Nabi Berdakwah Kepada Kabilah-Kabilah Arab: Nabi menerima rombongan orang Arab yang datang ke Makkah pada musim haji, menawarkan Islam kepada mereka sehingga bertemu dengan sekumpulan orang dari Yathrib yang menyahut seruannya tetapi tidak berbai'ah dengannya.

Bai’ah Aqabah Pertama: Rombongan Yathrib kembali setahun selepas pertemuan pertama dengan Nabi di Aqabah seramai dua belas lelaki dari Aus dan Khazraj dan mereka berbai'ah dengan Nabi. Baginda menghantar bersama mereka Abdullah bin Ummi Maktum dan Mus'ab bin Umair untuk mengajarkan al-Quran kepada mereka yang memeluk Islam dan menyeru orang ramai kepada Islam.

Bai’ah Aqabah Kedua: Selepas setahun Mus'ab ra dihantar ke Yathrib, beliau kembali ke Makkah bersama tujuh puluh tiga lelaki dan dua wanita yang berbai'ah dengan Nabi untuk memberi pertolongan dan melindungi dakwah baginda. Mus'ab bin Umair telah berjaya menanam Islam dalam jiwa penduduk Yathrib dan menjadikannya bersedia untuk menerima dakwah Islam yang keluar dari Madinah ke seluruh dunia.

Hijrah ke Madinah: Apabila penindasan kaum musyrikin terhadap orang yang memeluk Islam semakin teruk, Nabi mengizinkan orang Islam untuk berhijrah ke Madinah demi menyelamatkan agama dan menyebarkan Islam di tempat baru. Orang pertama yang berhijrah ialah Abu Salamah. Hijrah dilakukan secara rahsia kecuali Umar bin Al-Khattab yang berhijrah secara terang-terangan sambil mengancam sesiapa yang cuba menghalangnya.

Apabila tiba masa untuk Rasulullah berhijrah, Abu Bakar yang berharap untuk menjadi teman dalam perjalanan Baginda telah mendapat kehormatan besar ini. Nabi berhijrah menunggang tunggangan yang dibeli daripada Abu Bakar al-Siddiq. Baginda mengambil jalan yang jauh dari pandangan Quraisy dan bersembunyi di Gua Thur selama tiga hari. Asma' binti Abu Bakar membawa makanan dan minuman kepada mereka dan pemandu mereka dalam perjalanan ialah Abdullah bin Uraiqit yang masih kafir tetapi mahir tentang selok-belok jalan.

Ummu Ma'bad: Dalam perjalanan, Nabi dan sahabatnya bertemu dengan seorang wanita dan meminta susu daripadanya. Wanita itu memohon maaf kerana kambingnya lemah dan tidak mempunyai susu. Nabi mengusap kambing itu lalu menghasilkan susu yang banyak. Baginda memberi minum kepada wanita itu dan orang yang bersamanya. Baginda minum sebagai orang terakhir, sebagai tanda kerendahan hati baginda. Apabila suami wanita itu pulang, dia hairan dengan apa yang berlaku. Wanita itu menceritakan ciri-ciri Nabi dan suaminya mengenali bahawa itu adalah Nabi.

Perjalanan berterusan selama lapan hari dengan Nabi tidur pada siang hari dan bergerak dalam kegelapan malam. Penduduk Yathrib keluar setiap hari menunggu ketibaan Nabi SAW. Apabila Baginda tiba, mereka melantunkan:

Telah terbit bulan purnama ke atas kami,

Dari Thaniyyatul Wada',

Wajib bersyukur ke atas kami,

Selagi ada yang menyeru kepada Allah,

Wahai yang diutus kepada kami,

Engkau datang dengan perintah yang ditaati,

Engkau datang memuliakan Madinah,

Selamat datang wahai sebaik-baik penyeru.

Nabi tiba di Quba' dan membina masjid pertama dalam Islam di sana dan menunaikan solat Jumaat pertama. Baginda membiarkan untanya berjalan dan berkata kepada Ansar yang ingin memuliakan Baginda dengan menjadi tuan rumah: "Biarkan unta ini kerana ia diperintahkan". Unta itu berhenti di tanah kepunyaan dua anak yatim dari Bani Najjar. Baginda membeli tanah tersebut dengan wang yang dipinjam daripada Abu Bakar As-Siddiq dan membina masjid serta bilik-bilik untuk isteri-isterinya di situ.

Kerja-kerja Nabi di Madinah: Apabila Nabi tiba di Yathrib, ia dinamakan Madinah al-Munawwarah kerana telah diterangi dengan cahaya kedatangan baginda. Baginda melakukan perkara-perkara berikut:

1. Pembinaan masjid

2. Mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar

3. Membuat perjanjian dengan Yahudi Madinah

Masjid dibina untuk menjadi tempat melakukan ibadah, pusat penyampaian risalah dan tempat pertemuan orang-orang beriman.

Maksud persaudaraan: "Iaitu menjadikan setiap lelaki Ansar mempunyai saudara dari kalangan Muhajirin yang membantunya dengan harta dan tempat tinggal."

Perjanjian dibuat dengan Yahudi Bani Qainuqa', Quraizah dan Nadhir. Nabi membuat perjanjian dengan mereka untuk keamanan dan hubungan kejiranan yang baik. Ketiga-tiga perkara ini menjadi asas dalam pembinaan negara Islam.

Penukaran Kiblat: Nabi menghadap ke Baitulmaqdis dalam solatnya sebelum hijrah dan terus menghadap ke arahnya selama enam belas bulan selepas hijrah. Hati Baginda sentiasa tertumpu ke langit berdoa kepada Tuhannya agar dapat menghadap ke Baitullah di Mekah.

Allah memperkenankan doanya lalu menukar kiblat dari Baitulmaqdis ke Baitullah di Mekah pada lima belas Syaaban tahun kedua Hijrah.

Allah berfirman: "Sesungguhnya Kami melihat wajahmu (Muhammad) sering menengadah ke langit, maka akan Kami palingkan engkau ke kiblat yang engkau sukai." (Al-Baqarah: 144)

Peperangan Nabi:

Peperangan ketenteraan Nabi bukanlah untuk membalas dendam atau menceroboh atau kerana suka menumpahkan darah, tetapi adalah sebagai tindak balas terhadap pencerobohan, pengajaran kepada penceroboh dan untuk menyebarkan serta melindungi dakwah. Nabi telah menghantar pasukan tentera (saraya) sebelum Perang Badar untuk menjamin keselamatan Madinah dan melindunginya.

Perang Badar al-Kubra (17 Ramadhan 2H):

Rasulullah mengetahui tentang kedatangan kafilah dagang Quraisy (seribu unta) yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Baginda berkata kepada para sahabatnya: "Keluarlah menuju ke arahnya, semoga Allah memberikannya kepada kamu." Namun Abu Sufyan menghantar permintaan bantuan kepada Quraisy dan mengambil jalan lain sehingga kafilah itu terselamat.

Abu Sufyan mencadangkan agar kaum musyrikin pulang, tetapi Abu Jahal bersumpah untuk tinggal di Badar selama tiga hari untuk minum arak dan mendengar nyanyian supaya orang Arab mendengar tentangnya dan gentar dengan Quraisy. Di sini, Nabi keluar untuk menghadapi mereka bersama 316 pejuang dengan tujuh puluh unta dan tiga ekor kuda.

Bilangan kaum musyrikin adalah 950 pejuang dengan tujuh ratus unta dan seratus kuda. Pertempuran berlaku dan Allah menurunkan malaikat untuk meneguhkan hati orang-orang yang beriman. Kemenangan berpihak kepada orang Islam dengan empat belas orang syahid, manakala pihak musyrikin kehilangan tujuh puluh orang yang terbunuh dan tujuh puluh orang ditawan. Dalam peperangan ini, musuh Allah Abu Jahal dan beberapa pemimpin Quraisy telah terbunuh.

Allah berfirman: "Dan sungguh, Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu dalam keadaan lemah. Maka bertakwalah kepada Allah, agar kamu bersyukur." (Ali Imran: 123)

Peperangan Bani Qainuqa' (Syawal 2H):

Mereka adalah orang Yahudi yang tinggal di Madinah dan telah membuat perjanjian dengan Nabi. Mereka adalah tukang emas. Selepas kemenangan umat Islam dalam Perang Badar, mereka menunjukkan permusuhan terhadap umat Islam dan simpati kepada Quraisy. Nabi memberi amaran kepada mereka. Keadaan menjadi tegang apabila seorang wanita Islam memasuki pasar mereka, lalu seorang Yahudi mengikat hujung pakaian wanita itu dengan tudungnya sehingga terdedah auratnya. Orang Yahudi ketawa, lalu wanita itu berteriak "Duhai Islamku!". Seorang Muslim datang lalu membunuh orang Yahudi tersebut, kemudian mereka membunuh orang Muslim itu. Nabi mengepung mereka selama lima belas hari sehingga mereka menyerah, lalu Baginda mengusir mereka dari Madinah sebagai balasan atas perbuatan mereka.

Peperangan Sawiq (Zulhijjah 2H(:

Pada lima Zulhijjah tahun kedua Hijrah, Abu Sufyan keluar bersama dua ratus orang musyrik Mekah dengan bekalan yang ringan untuk memerangi umat Islam. Mereka sampai ke pinggir Madinah dan membunuh dua orang Ansar serta membakar dua rumah dan beberapa pokok kurma. Apabila Nabi hendak keluar untuk memerangi mereka, mereka melarikan diri sambil mencampakkan sawiq (sejenis makanan) yang mereka bawa. Tempoh ketiadaan Nabi di Madinah adalah lima hari.

Peperangan Uhud (Syawal 3H):

Berlaku berhampiran Bukit Uhud. Puncanya ialah Quraisy berkumpul untuk membalas kekalahan mereka pada Perang Badar. Mereka keluar dengan tentera seramai tiga ribu pejuang, manakala umat Islam keluar untuk menghadapi mereka dengan tujuh ribu pejuang. Nabi mengarahkan lima puluh pemanah untuk berdiri di atas bukit dan tidak meninggalkan kedudukan mereka kecuali dengan perintah Baginda.

Pertempuran bermula dan pada mulanya kemenangan berpihak kepada umat Islam. Para pemanah menyangka pertempuran telah berakhir lalu meninggalkan kedudukan mereka kecuali beberapa orang. Khalid bin Walid (sebelum memeluk Islam) mengepung dan membunuh pemanah yang masih tinggal, lalu mengepung umat Islam. Kaum musyrikin berjaya menang kerana tidak mematuhi perintah Nabi.

Dua puluh dua orang musyrikin terbunuh, manakala tujuh puluh orang Islam syahid termasuk Hamzah (bapa saudara Nabi), Abdullah bin Jahsy, Musab bin Umair dan Saad bin Rabi'. Nabi juga cedera. Ini menjadi pengajaran bagi umat Islam.

Allah berfirman: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan berwaspadalah. Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang." (Al-Maidah: 92)

Peperangan Hamra' Al-Asad (3H):

Pada hari selepas Perang Uhud, Nabi ingin menghadapi Quraisy untuk membuktikan bahawa baginda masih mampu berperang dengan mereka. Abu Sufian, ketua kaum musyrikin, berniat untuk menghapuskan umat Islam. Beliau bertemu dengan Ma'bad bin Abi Al-Khuza'i dan bertanya: "Apa khabar di belakang sana?" Ma'bad menjawab: "Wahai Abu Sufian, larilah daripada mereka kerana mereka telah bersedia untuk memerangi kamu." Hamra' al-Asad terletak lapan batu dari Madinah. Nabi berkhemah di sana selama tiga hari kemudian pulang ke Madinah setelah mengetahui Quraisy telah membatalkan niat mereka.

Peperangan Bani Nadhir (4H):

Berlaku pada tahun keempat Hijrah. Bani Nadhir adalah kabilah besar Yahudi yang tinggal di kawasan tinggi Madinah. Puncanya apabila Nabi keluar bersama beberapa orang sahabat untuk meminta bantuan mereka membayar diat dua orang yang terbunuh secara tidak sengaja.

Ketika Baginda duduk berehat, orang bersepakat agar salah seorang daripada mereka naik dan menjatuhkan batu ke atas baginda. Allah memberitahu baginda tentang rancangan mereka, lalu baginda kembali ke Madinah dan mengutus Muhammad bin Maslamah Al-Ansari kepada mereka dengan pesanan: "Rasulullah mengutusku kepada kamu untuk keluar dari negeriku kerana kamu telah memungkiri perjanjian dengan merancang untuk mengkhianatiku. Aku beri tempoh sepuluh hari, sesiapa yang dilihat selepas itu akan dipancung."

Mereka enggan keluar, lalu Nabi mengepung mereka. Akhirnya mereka menyerah dengan syarat dibenarkan keluar bersama harta, keluarga dan zuriat mereka tetapi tanpa senjata. Nabi bersetuju.

Peperangan Badar Akhir (Syaaban 4H):

Abu Sufian berkata pada hari Uhud: "Badar dibalas dengan Badar dan janji kita di Badar akan datang." Nabi keluar pada bulan Syaaban tahun keempat mengikut janji untuk menghadapi Quraisy, tetapi mereka pengecut dan tidak keluar.

Peperangan Dumah Al-Jandal (Rabiulawal 5H):

Ia adalah tempat berhampiran Tabuk di negeri Syam dan merupakan tempat terjauh yang Nabi pergi pada waktu itu bersama seribu orang sahabat. Tujuannya untuk memberi pengajaran kepada kabilah-kabilah yang sering menyerang dan mengancam kafilah pedagang Muslim. Kabilah-kabilah tersebut melarikan diri apabila mengetahui kedatangan Nabi. Baginda kembali ke Madinah dan tidak mengejar mereka kerana Baginda tidak bermaksud memerangi mereka tetapi sekadar memberi pengajaran dan itu telah tercapai.

Peperangan Ahzab (Syawal 5 Hijrah):

Yahudi berniat untuk menimbulkan kekacauan dengan menghasut Quraisy dan kabilah-kabilah lain untuk memerangi umat Islam. Nabi tidak bersedia untuk berperang dengan mereka, lalu baginda meminta pandangan para sahabatnya. Salman al-Farisi mencadangkan untuk menggali parit yang tidak dapat dilalui musuh. Nabi bersetuju dan parit pun digali. berlegar-legar di sekeliling parit dengan harapan menemui celah untuk memasukinya. Jumlah mereka sepuluh ribu orang manakala umat Islam tiga ribu orang. Kedua-dua pihak berbalas-balas memanah dan pengepungan berlangsung selama sebulan.

Pengkhianatan Bani Quraizah: Apabila pengepungan berlanjutan, Yahudi bimbang Quraisy dan sekutunya akan jemu dengan pengepungan yang lama. Maka Huyai bin Akhtab pergi kepada Yahudi Quraizah meminta mereka memungkiri perjanjian dengan Nabi. Berita ini sampai kepada Rasulullah lalu baginda menyiasat kebenaran berita tersebut dan menghantar utusan untuk menasihati Quraizah dan mengingatkan mereka tentang perjanjian, namun mereka tetap mengkhianatinya.

Tanda-Tanda Kemenangan: Nu'aim bin Mas'ud bin Amir Al-Asyja'i datang kepada Rasulullah dan berkata: "Sesungguhnya aku telah memeluk Islam dan kaumku tidak mengetahui keislamanku". Nabi bersabda: "Sesungguhnya engkau hanyalah seorang lelaki dari Ghatafan, jika engkau keluar dan memecah-belahkan (musuh) bagi pihak kami, itu lebih kami sukai daripada engkau tinggal bersama kami. Maka keluarlah, kerana peperangan itu adalah tipu daya" (Sahih al-Bukhari).

Lalu dia menimbulkan kekacauan antara Quraisy dan Yahudi dengan meminta Yahudi mengambil tebusan manusia dari Quraisy sebagai jaminan untuk peperangan (ini perkara besar bagi Quraisy). Apabila Quraisy menolak, Bani Quraizah berkata: "Nu'aim benar". Maka mereka berselisih pendapat. Allah menghantar angin kencang pada malam yang sangat sejuk sehingga mencabut khemah-khemah mereka dan mereka tidak dapat bertahan lagi. Maka kesusahan itu berakhir dan kaum Quraisy pulang dengan sia-sia.

Perang Bani Quraizah (5H):

Pada bulan Zulkaedah dan awal Zulhijjah tahun 5H, Nabi keluar dengan tujuan membalas pengkhianatan mereka pada hari Ahzab. Apabila mereka mengetahui kedatangannya, mereka menghantar wakil berunding bagi meminta untuk keluar dengan diri dan zuriat mereka seperti Bani Nadir, tetapi Nabi menolak lalu mengepung mereka selama dua puluh lima hari. Selepas itu mereka menyerah diri, maka Nabi menjadikan Saad bin Muaz sebagai hakim bagi mereka. Beliau berkata: "Hukuman saya bagi mereka ialah para pejuang mereka dibunuh dan wanita serta anak-anak mereka ditawan." Maka Nabi bersabda kepadanya: "Itulah hukum Allah." Lalu mereka dibunuh dan mereka berjumlah enam ratus orang dan dilemparkan ke dalam perigi. Dengan itu Madinah dibersihkan daripada semua orang Yahudi.

Perang Bani Mustaliq tahun (Tahun 6H):

Berlaku pada tahun keenam Hijrah dan puncanya ialah ketua mereka al-Harith bin Abi Dirar mengumpulkan beberapa kabilah Arab dengan tujuan ingin memerangi Nabi. Lalu Nabi memastikan keazaman mereka (untuk memerangi Nabi). Al-Harith lalu menghantar mata-mata untuk mengintip orang Islam. Orang Islam bertemu dengannya lalu membunuhnya, maka hal itu menakutkan Bani Mustaliq dan melemparkan ketakutan ke dalam hati mereka. Apabila Nabi tiba di tempat sumber air mereka, al-Muraisi’, berlaku pertempuran anak panah selama sejam, kemudian orang Islam menyerang mereka lalu kemenangan tercapai. Dalam perang itu ditawan Juwairiyyah binti al-Harith, maka Nabi memerdekakan dan kemudian mengahwininya. Beliau menjadi sebab menyelamatkan kaumnya dibebaskan daripada tawanan.

Perjanjian Hudaibiyah (Tahun 6H):

Nabi keluar menuju Mekah untuk mengerjakan umrah bersama kira-kira 1,400 orang jemaah umrah. Apabila kaum musyrikin mendengar tentang kedatangan Nabi, mereka takut lalu berkumpul dan berkata: "Dia mahu masuk ke kawasan kita dengan tenteranya untuk berumrah. Demi Allah, ini tidak akan berlaku selama-lamanya."

Nabi ingin memberitahu Quraisy tentang niatnya, lalu mengutus Uthman bin Affan kepada mereka. Uthman tinggal di Mekah selama tiga hari cuba meyakinkan mereka dengan pelbagai cara. Kemudian tersebar khabar tentang pembunuhan Uthman di kalangan orang Islam.

Baiah Ridwan:

Apabila tersebar berita pembunuhan Uthman, orang Islam memberi baiah kepada Nabi di bawah pokok yang dikenali sebagai Baiah Ridwan untuk memerangi Quraisy. Apabila Quraisy mengetahui tentang baiah ini, mereka cenderung kepada perdamaian untuk memelihara kehormatan mereka. Uthman kembali dengan selamat dan Quraisy menghantar Suhail bin Amru untuk berunding dengan Nabi bagi mencapai perdamaian.

Syarat-syarat utama Perjanjian Hudaibiyah:

1. Gencatan senjata selama 10 tahun tanpa peperangan.

2. Sesiapa yang ingin bersekutu dengan Quraisy boleh berbuat demikian (Bani Bakr menyertai) dan sesiapa yang ingin bersekutu dengan Rasulullah boleh berbuat demikian (Bani Khuza’ah menyertai).

3. Umrah ditangguhkan ke tahun hadapan dan Rasulullah boleh memasuki Mekah selama tiga hari tanpa senjata.

4. Sesiapa dari Quraisy yang keluar tanpa keizinan walinya akan dikembalikan oleh Rasulullah dan sesiapa dari orang Islam yang datang kepada Quraisy sebagai seorang murtad tidak akan dikembalikan.

Walaupun syarat-syarat ini kelihatan berat untuk orang Islam, ia sebenarnya membawa kebaikan kepada mereka.

Surat kepada Raja-raja dan Pemimpin:

Selepas Perjanjian Hudaibiyah dan gencatan senjata antara orang Islam dan musyrikin, Nabi menumpukan perhatian untuk menyeru negara-negara jiran dan lain-lain. Ini membuktikan bahawa dakwah Islam bersifat universal dan menyeluruh untuk seluruh alam.

1. Menghantar surat kepada Raja Habsyah (Najasyi) melalui Amru bin Umayyah, lalu baginda memeluk Islam.

2. Menghantar surat kepada Muqawqis (Raja Mesir) melalui Hatib bin Abi Balta'ah. Beliau menyambutnya dengan baik dan menghantar hadiah kepada Rasulullah tetapi tidak memeluk Islam.

3. Menghantar surat kepada Kisra (Raja Parsi) melalui Abdullah bin Huzafah al-Sahmi. Dia mengoyak surat Rasulullah, lalu Rasulullah berdoa agar kerajaannya dikoyak-koyakkan dan ia berlaku.

4. Menghantar surat kepada Kaisar (Raja Rom) melalui Dihyah bin Khalifah al-Kalbi. Baginda memberi wang dan pakaian tetapi tidak memeluk Islam.

Dan banyak lagi surat-surat lain ke seluruh dunia.

Peperangan Khaibar (Muharram Tahun 7H):

Berlaku pada bulan Muharram tahun ketujuh. Khaibar adalah sebuah bandar dengan kubu-kubu yang kukuh, terletak kira-kira 180 kilometer dari Madinah. Puncanya ialah Khaibar yang asalnya tidak bermusuh dengan Nabi telah menjadi tempat perlindungan untuk Yahudi Bani Qainuqa' dan Bani Nadhir. Pendirian mereka berubah sehingga mereka berhubung dengan kabilah Ghatafan dan berpakat menentang Nabi.

Nabi keluar bersama orang-orang yang menyaksikan Perjanjian Hudaibiyah. Kubu-kubu mereka berjumlah lapan. Dalam peperangan ini Nabi bersabda: "Aku akan berikan bendera esok kepada seorang lelaki yang mencintai Allah dan RasulNya dan Allah dan RasulNya mencintainya. Allah akan memberikan kemenangan melalui tangannya." Lalu baginda memberikannya kepada Ali bin Abi Talib.

Apabila Yahudi melihat tentera Islam, mereka lari ke kubu-kubu mereka. Orang Islam mula menakluki kubu demi kubu sehingga mencapai kemenangan. Harta rampasan perang adalah banyak. Nabi hendak mengusir mereka dari tanah mereka, tetapi mereka berkata: "Biarkan kami di tanah ini untuk bertani." Maka baginda memberikan tanah itu kepada mereka dengan syarat separuh hasilnya untuk orang Islam.

Umrah Qadha pada Zulhijjah Tahun 7H:

Nabi keluar bersama 2,000 orang tidak termasuk wanita dan kanak-kanak untuk berumrah. Baginda memasuki Mekah dan tinggal selama tiga hari. Dalam umrah ini, Nabi berkahwin dengan Maimunah binti al-Harith al-Amiriyyah. Dinamakan Umrah Qadha kerana ia menggantikan Umrah Hudaibiyah atau kerana baginda memasukinya secara damai.

Peperangan Mu'tah (Jamadil Awal Tahun 8H):

Berlaku pada Jamadil Awal tahun kelapan. Puncanya ialah pembunuhan utusan Nabi, al-Harith bin Umair al-Azdi yang dihantar kepada pembesar Busra. Pembunuhan utusan adalah jenayah yang keji. Mu'tah adalah sebuah kampung di sempadan Syam, timur Jordan.

Nabi menyediakan 3,000 pejuang dan memberikan kepimpinan kepada Zaid bin Harithah, sambil bersabda: "Jika dia terbunuh, kepimpinan kepada Ja'far bin Abi Talib, jika dia terbunuh, kepada Abdullah bin Rawahah, jika dia terbunuh, pilihlah sesiapa yang kamu mahu."

Kesemua mereka syahid dan orang Islam memilih Khalid bin al-Walid. Tentera Mu'tah berjumlah 100,000 dari tentera Syurahbil, pemimpin Mu'tah dan Raja Rom menambah 100,000 lagi. Apabila Khalid mengambil alih kepimpinan, dia mengatur barisan tentera. Rom menyangka bantuan telah datang kepada orang Islam, lalu Khalid menarik diri dari medan perang untuk menyelamatkan tentera Islam. Dua belas orang Islam syahid dan ramai tentera Rom terbunuh.

Peperangan ini meninggalkan kesan besar dalam jiwa Rom dan Arab dan semua mengetahui bahawa orang Islam adalah kekuatan yang tidak boleh dipandang remeh.

Pembukaan Mekah (20 Ramadhan Tahun 8H):

Ini adalah Penaklukan Islam yang terbesar, di mana Nabi memasuki tanah airnya yang baginda telah diusir darinya, menghancurkan berhala-berhala dan membebaskan Kaabah dari kaum musyrikin.

Puncanya ialah kabilah Bakr yang bersekutu dengan Quraisy menyerang kabilah Khuza’ah yang bersekutu dengan Nabi, pada waktu malam. Quraisy membantu Bakr dan membunuh 20 orang. Amru bin Salim Al-Khuza'i, ketua Khuza’ah, pergi meminta pertolongan dari Rasulullah. Nabi bersabda: "Engkau akan ditolong wahai Amru." (Sahih al-Bukhari)

Apabila Quraisy menyedari perbuatan mereka, mereka menyesali apa yang mereka lakukan. Nabi menyediakan tentera besar berjumlah 10,000 pejuang dan bergerak ke Mekah secara rahsia. Ketika sampai di Juhfah, bapa saudaranya Abbas menemui baginda sebagai seorang Muslim yang berhijrah.

Maka Quraisy menjadi takut dan Abu Sufyan keluar untuk melihat apa yang berlaku. Abbas membawanya kepada Nabi yang menyuruhnya memeluk Islam. Abu Sufyan memeluk Islam dan bergegas kepada kaumnya sebelum Nabi memasuki Mekah, berkata: "Rasulullah telah datang dengan kekuatan yang tidak dapat kamu tandingi. Sesiapa yang masuk ke rumahnya akan selamat dan sesiapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan akan selamat."

Nabi memasuki Mekah dalam keadaan sujud di atas baghalnya. Tiada pertempuran berlaku kecuali di pihak Khalid bin al-Walid di mana beberapa musyrikin menyerang dan membunuh dua orang Islam. Dua puluh musyrikin terbunuh dan 2,000 ditawan.

Nabi bertanya kepada mereka: "Apa pendapat kamu tentang aku?" Mereka menjawab: "Saudara yang mulia dan anak kepada saudara yang mulia." Nabi bersabda: "Pergilah, kamu semua bebas."

Orang ramai memeluk Islam secara beramai-ramai. Dua ribu orang memeluk Islam pada hari itu. Berhala-berhala (360 buah) dihancurkan dan Mekah dibersihkan daripadanya. Allah berfirman: "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan dan engkau melihat manusia masuk ke dalam agama Allah secara beramai-ramai. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima taubat." (Al-Nasr: 1-3)

Peperangan Hunain (Tahun 8H):

Arab merasa takut kepada orang Islam selepas pembukaan Mekah. Kabilah Hawazin dan Thaqif berkumpul untuk bermusyawarah dan bersepakat untuk memerangi Rasulullah di bawah pimpinan Malik bin Auf. Beliau menyediakan 30,000 pejuang dan memerintahkan agar wanita dan anak-anak mereka berada di belakang lelaki, diikuti unta dan harta (supaya ini menghalang mereka dari melarikan diri dan mendorong mereka memerangi orang Islam).

Nabi keluar menghadapi mereka dengan tentera berjumlah 12,000 pejuang. Sesetengah orang Islam menjadi terpedaya dan berkata: "Hari ini kita tidak akan kalah kerana bilangan yang sedikit." Ini menyedihkan Rasulullah kerana mereka menyandarkan kemenangan kepada jumlah yang ramai sedangkan kemenangan datang dari Allah.

Apabila peperangan bermula, orang Islam dikejutkan dengan tipu daya, muslihat dan penipuan yang dirancang oleh Hunain. Ramai dari barisan orang Islam melarikan diri dan hanya sedikit yang bertahan. Nabi berseru: "Aku adalah Nabi, tidak ada dusta, aku anak Abdul Muttalib."

Mereka kembali dan keadaan berbalik ke atas Hawazin dan Thaqif. Kemenangan berpihak kepada orang Islam dan wanita serta harta mereka menjadi harta rampasan perang untuk orang Islam. Dengan itu, peperangan ini menjadi pengajaran berharga untuk orang Islam.

Peperangan Tabuk (9H):

Berita sampai kepada Rasulullah bahawa Rom sedang membuat persiapan untuk memerangi umat Islam. Baginda menyediakan tentera yang besar seramai 30,000 pejuang. Peperangan ini dinamakan "Peperangan Kesusahan" kerana kesulitannya di mana seekor unta terpaksa membawa lima atau enam orang pejuang.

Dalam peperangan ini, Uthman bin Affan menyediakan 300 orang pejuang dan Abu Bakar mengeluarkan semua hartanya di jalan Allah. Ini adalah satu-satunya peperangan di mana Nabi memberitahu tenteranya ke mana mereka akan pergi kerana kesukaran dan cabaran yang bakal dihadapi.

Apabila Nabi sampai ke Tabuk, tentera Rom telah melarikan diri setelah mendengar kedatangan Rasulullah. Peperangan ini memberi kesan besar kepada orang Arab kerana bagaimana mungkin raja Rom melarikan diri daripada kekuatan tentera Islam?

Tahun Delegasi (9H): Selepas Peperangan Tabuk, delegasi dari seluruh Semenanjung Arab datang berturut-turut untuk mengisytiharkan kesetiaan dan ketaatan kepada Rasulullah dan untuk menjamin masa depan mereka sebelum penaklukan Islam sampai kepada mereka. Antara delegasi ini termasuk delegasi Abdul Qais, Tamim, Bani Saad bin Bakr dan delegasi Thaqif.

Haji Wada' (10H): Pada tahun kesepuluh Hijrah, Nabi keluar untuk menunaikan fardu haji (satu-satunya haji yang baginda tunaikan dalam Islam). Baginda berangkat dari Madinah pada 25 Zulkaedah dan melakukan haji Qiran dari Zulhulaifah. Lebih daripada 100,000 orang Islam menunaikan haji bersama baginda. Di sana, Nabi menyampaikan khutbah terkenalnya yang dinamakan "Khutbah Wada'" di mana baginda menetapkan prinsip-prinsip kebebasan, keadilan dan kesaksamaan.

Kewafatan Rasulullah (12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah): Pada akhir bulan Safar tahun kesebelas Hijrah di rumah Maimunah binti Al-Harith, tanda-tanda sakit mula kelihatan pada Nabi. Apabila sakitnya bertambah teruk, baginda meminta izin daripada isteri-isterinya untuk berada di rumah Aisyah dan mereka mengizinkannya. Semasa sakitnya, baginda mengarahkan Abu Bakar As-Siddiq untuk menjadi imam solat kepada umat Islam.

Sakitnya berlanjutan selama 13 hari dan pada waktu duha hari Isnin 12 Rabiulawal tahun kesebelas Hijrah, roh suci baginda kembali kepada Tuhannya pada usia 63 tahun. Kewafatannya merupakan kejutan besar kepada umat Islam dan berita itu diumumkan oleh Abu Bakar al-Siddiq.

Baginda dikafankan dengan tiga helai kain putih selepas dimandikan bersama pakaian baginda sewaktu kewafatannya. Yang memandikan baginda ialah bapa saudaranya al-Abbas, al-Fadhl bin al-Abbas, sepupunya Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid, Syuqran (hamba baginda) dan Qutham bin al-Abbas. Umat Islam menunaikan solat jenazah secara bergilir-gilir - lelaki, kemudian wanita, kemudian kanak-kanak. Baginda dikebumikan di bilik Aisyah pada malam Rabu.

Isteri-isterinya:

Nabi berkahwin dengan isteri-isteri yang mulia, setiap seorang daripadanya dikahwini atas perintah Allah, bukan kerana nafsu atau tujuan duniawi.

1- Saidatina Khadijah binti Khuwailid: Nabi mengahwininya ketika berusia 25 tahun dan Khadijah berusia 40 tahun. Beliau hidup bersama Nabi sehingga meninggal tiga tahun sebelum Hijrah dan Nabi tidak berkahwin dengan wanita lain semasa hayatnya.

2- Saidatina Saudah binti Zam'ah: Nabi mengahwininya pada tahun kesepuluh kenabian. Suaminya meninggal di Habsyah dan dia kembali ke Mekah. Keluarganya masih musyrik, maka Nabi bimbang mereka akan  memesongkannya (dari Islam), lalu mengahwininya. Beliau meninggal pada zaman khalifah Umar bin Al-Khattab.

3- Saidatina Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq: Dikahwini pada tahun pertama Hijrah atau tahun kedua. Perkahwinan ini merupakan harapan Abu Bakar As-Siddiq agar dapat mengeratkan hubungan mereka. Beliau adalah isteri termuda dan satu-satunya yang dikahwini dalam keadaan dara. Meninggal pada 17 Ramadhan tahun 58H.

4- Saidatina Hafsah binti Umar bin Al-Khattab: Suaminya syahid dalam perang Badar. Umar menawarkan perkahwinannya kepada beberapa sahabat Nabi tetapi tiada yang menerima. Nabi mengahwininya pada tahun ketiga sebagai penghormatan kepada Umar. Meninggal pada bulan Syaaban tahun 45H.

5- Saidatina Zainab binti Khuzaimah (Umm al-Masakin): Suaminya syahid dalam perang Badar. Beliau tidak mempunyai orang yang menanggungnya, lalu Nabi mengahwininya pada tahun ketiga Hijrah. Beliau meninggal pada tahun keempat.

6- Saidatina Juwairiyah binti al-Harith bin Abu Dhirar al-Khuza'iyyah: Beliau menjadi tawanan dalam perang Bani Mustaliq dan merupakan anak ketua mereka. Nabi membebaskannya untuk mengembalikan kemuliaannya dan mengahwininya pada tahun keenam. Perkahwinan ini menyebabkan pembebasan kaumnya dan keislaman mereka. Beliau meninggal pada tahun 56H.

7- Saidatina Zainab binti Jahsy: Nabi mengahwininya pada bulan Zulkaedah tahun keempat Hijrah selepas perceraiannya dengan Zaid bin Harithah (hamba yang dimerdekakan oleh Nabi) yang dahulunya dipanggil Zaid bin Muhammad. Beliau adalah sepupu Nabi. Apabila tabanna (menganggap anak angkat seperti anak kandung) diharamkan dan Zaid menceraikannya, Nabi mengahwininya sebagai pelaksanaan praktikal untuk menghapuskan kesan dan hukum berkaitan anak angkat. Beliau meninggal pada tahun 20H.

8 - Saidatina Ummu Salamah: Beliau ialah Hindun binti Abu Umayyah Al-Makhzumi dan suaminya Abu Salamah adalah muhajir pertama yang syahid pada Perang Uhud. Nabi mengahwininya pada bulan Syawal tahun keempat sebagai penghormatan kepada suaminya dan beliau meninggal pada tahun 62H.

9 - Saidatina Safiyyah binti Huyay bin Akhtab: Beliau berasal dari Yahudi Bani Nadhir. Nabi membebaskannya dan mengahwininya setelah beliau memeluk Islam dan ramai kaumnya turut memeluk Islam. Ini berlaku pada tahun ketujuh Hijrah. Beliau meninggal pada tahun 52H.

10 - Saidatina Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan: Beliau pernah berkahwin dengan Abdullah bin Jahsy dan berhijrah ke Habsyah. Suaminya murtad tetapi beliau tetap dengan Islamnya. Nabi menulis kepada Najasyi, raja Habsyah untuk untuk menikahkannya dengan Baginda. Nabi berumah tanggan dengannya di Madinah pada tahun ketujuh Hijrah. Beliau meninggal pada tahun 40H.

11 - Saidatina Maimunah binti al-Harith al-Hilaliyyah: Nabi mengahwininya pada tahun ketujuh semasa dalam perjalanan ke Umrah Qadha', untuk menyatukan kaumnya, maka ramai di antara mereka memeluk Islam. Beliau meninggal pada tahun 51H.

Hamba Sahaya:

1 - Saidatina Mariah al-Qibtiyyah: Dihadiahkan oleh Muqawqis, raja Mesir kepada Nabi. Nabi mengahwininya selepas membebaskannya - mengikut pendapat yang paling sahih - dan beliau adalah ibu kepada anaknya, Ibrahim. Beliau meninggal pada tahun 16H.

2 - Saidatina Raihanah binti Zaid al-Quraziyyah: Beliau adalah dari tawanan Bani Quraizah. Nabi berkahwin dengannya pada tahun 6H dan ada yang mengatakan Nabi membebaskannya dan mengahwininya.

Anak-Anak Nabi:

1 - Al-Qasim: Meninggal semasa kecil di Mekah dan tidak mencapai umur dua tahun. Beliau adalah anak pertama Nabi yang meninggal dunia.

2- Abdullah (al-Tayyib): Meninggal semasa kecil di Mekah.

3 - Ibrahim: Dilahirkan pada bulan Zulhijjah tahun kelapan Hijrah. Beliau hidup selama setahun sepuluh bulan dan dikebumikan di Baqi'.

4 - Zainab: Berkahwin dengan sepupunya, Abu al-As bin al-Rabi' dan meninggal dunia pada tahun kelapan Hijrah.

5 - Ruqayyah: Berkahwin dengan Uthman bin Affan dan meninggal dunia pada tahun kedua Hijrah selepas perang Badar.

6 - Umm Kulthum: Berkahwin dengan Uthman bin Affan selepas kematian Ruqayyah dan kerana itu Uthman digelar Zun Nurain kerana mengahwini dua orang puteri Nabi. Beliau meninggal dunia pada tahun 9 Hijrah.

7 - Fatimah: Berkahwin dengan Ali bin Abi Talib dan meninggal dunia enam bulan selepas kewafatan Nabi. Beliau adalah satu-satunya anak yang hidup selepas kewafatan Nabi.

Semua anak-anak baginda adalah daripada Khadijah kecuali Ibrahim yang ibunya ialah Mariah al-Qibtiyyah.

Bapa Saudara Baginda Sebelah Ayah:

1 - Al-Harith.

2 - Al-Zubair.

3 – Jahl.

4 – Dhirar.

5 - Al-Muqawwim.

6 - Abu Lahab.

7 - Al-Abbas.

8 – Hamzah.

9 - Abu Talib.

Ibu Saudara Baginda Sebelah Ayah:

1 - Umaimah

2 - Umm Hakim.

3 – Barrah.

4 – Atikah.

5 – Safiyyah.

6 - Arwa.

Bapa Saudara Sebelah Ibu:

1 – Aswad.

2 - Abd Yaghuth.

3 - Umair.

Ibu Saudara sebelah ibu:

1 – Farisah.

2 - Fakhtah.

Saudara Susuan Baginda:

1 - Daripada Thuwaibah (hamba Abu Lahab):

i - Bapa saudaranya, Hamzah.

ii - Abu Salamah bin Abdul Asad.

iii - Masruh bin Thuwaibah.

2 - Daripada Halimah al-Sa'diyyah:

i - Abdullah bin al-Harith.

ii - Abu Sufyan bin al-Harith.

iii- Al-Syaima’.

iv - Anisah binti al-Harith.

Mukjizat-Mukjizatnya: Mukjizat adalah perkara luar biasa yang berlaku melalui seorang nabi sebagai bukti kebenaran dakwahnya.

Telah berlaku banyak mukjizat kepada Nabi kita dan yang paling agung ialah al-Quran al-Karim yang Allah mencabar dengannya orang Arab dan selain mereka.

Antara mukjizatnya ialah pembelahan bulan, tangisan batang pokok yang mana Nabi berdiri di atasnya semasa khutbah dan tidak berhenti menangis sehingga Nabi meletakkan tangannya dan memeluknya, tasbih batu-batu kecil di tapak tangan Nabi, tangisan unta yang mana pemiliknya mengadu kepada Nabi, pancaran air dari celah jari-jarinya yang mulia dan banyak lagi mukjizat yang tidak terhitung jumlahnya.

Akhlaknya: Allah Ta'ala telah menyifatkan akhlaknya dengan firman-Nya: "Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang agung" (Al-Qalam: 4).

Apabila Saidatina Aisyah ditanya tentang akhlak baginda, beliau menjawab: "Akhlaknya adalah Al-Quran".

Anas bin Malik berkata: "Aku telah berkhidmat kepada Rasulullah selama sepuluh tahun dan baginda tidak pernah mengatakan 'ah' kepadaku dan tidak pernah bertanya tentang sesuatu yang aku lakukan: Mengapa engkau melakukannya? atau sesuatu yang aku tinggalkan: Mengapa engkau meninggalkannya?.”

Aisyah berkata: "Rasulullah tidak pernah memukul sesuatu dengan tangannya kecuali ketika berjihad di jalan Allah dan tidak pernah memukul pembantu atau wanita."

Sesungguhnya Rasulullah adalah contoh tertinggi dalam segala kebaikan dan keindahan. Baginda adalah teladan tertinggi dan contoh terbaik bagi akhlak yang terpuji.

Mencintainya: Wajib bagi setiap Muslim untuk mencintai Rasulullah, mendokongnya, sentiasa berselawat kepadanya, merindui pertemuan dengannya dan beradab dengan adab-adabnya.

Allah Ta'ala berfirman: "Katakanlah (Wahai Muhammad): Jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" (Ali Imran: 31).

Antara Tanda-Tanda Mencintai Baginda:

1 - Mengikuti baginda dalam perkataan dan perbuatan, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya.

2 - Banyak merindui pertemuan dengannya, kerana setiap yang mencintai suka bertemu dengan yang dicintainya.

3 - Menghormati, mengagungkan dan merendah diri ketika mendengar nama baginda.

4 - Mencintai orang yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya dan membenci orang yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya.

5 - Mencintai Islam dan orang-orang Islam.

6 - Zuhud terhadap dunia dan mengutamakan akhirat.

Keistimewaan Baginda

Antara keistimewaan-keistimewaannya yang banyak itu ialah:

1 - Baginda adalah penghulu seluruh makhluk.

2 - Penutup para nabi dan rasul.

3 - Makhluk pertama yang dibangkitkan dari bumi pada hari kiamat.

4 - Pemilik telaga al-Kauthar di syurga.

5-  Orang pertama yang masuk syurga.

6 - Pemilik syafaat pada hari kiamat.

7 - Umatnya separuh daripada penghuni syurga.

8 - Dakwahnya untuk seluruh manusia.

9 - Diberikan jawami' al-kalim (kata-kata yang ringkas namun padat dengan makna).

10 - Dijadikan bumi sebagai masjid dan suci untuknya.

11 - Dakwahnya merangkumi akidah dan syariat.

12 - Diutus sebagai rahmat untuk seluruh alam. 

Sumber: 

Al-Mukhtasar Fi Sirah Sayyid al-Basyar oleh Syeikh Dr Hisyam al-Kamil Hamid Musa al-Azhari.