Rabu, 16 September 2026

Istilah Muttafaqun 'Alaih Dalam Ilmu Hadis

Maksudnya ialah hadis yang disebut padanya dengan ungkapan ini telah disepakati untuk meriwayatkannya oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, semoga Allah Taala merahmati keduanya.

Ia bermaksud kesepakatan al-Bukhari dan Muslim, bukannya kesepakatan umat ke atasnya. Namun, kesepakatan umat Islam ke atasnya adalah suatu kelaziman daripada kesepakatan al-Bukhari dan Muslim tersebut. Kesepakatan umat Islam turut terhasil bersamanya memandangkan wujudnya kesepakatan umat Islam dalam menerima apa yang telah disepakati oleh kedua-dua imam tersebut.

Imam al-Nawawi telah menukilkan di dalam kitab Syarh Muslim daripada Ibn al-Salah akan kata-katanya: "Apa yang telah disepakati oleh mereka berdua adalah dapat dipastikan kebenarannya disebabkan oleh penerimaan umat Islam terhadapnya. Penerimaan tersebut memberikan faedah ilmu nazari[1], dan ia dari sudut memberikan faedah ilmu adalah seperti mutawatir, cuma hadis mutawatir memberikan faedah ilmu daruri[2], manakala penerimaan umat Islam pula memberikan faedah ilmu nazari."

Sebenarnya telah ada pihak yang mendahului Ibn al-Salah yang mengatakan apa yang diriwayatkan oleh al-Syaikhan (al-Bukhari dan Muslim) adalah diyakini kesahihannya.

Al-'Iraqi telah menyebutkan sebahagian daripada mereka, antaranya ialah Abu al-Fadl bin Tahir (meninggal dunia tahun 507 H) dan Abu Nasr bin Yusuf (meninggal dunia tahun 574 H).

Maka jika hadis itu diyakini kesahihannya, berserta penerimaan umat Islam terhadapnya, ia sebenarnya menghasilkan faedah ilmu daruri, bukannya ilmu nazari. Tambahan lagi kebanyakan matan (teks hadis) di dalam kedua-dua kitab Sahih tersebut telah mencapai tahap mutawatir.

Rujukan:

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri. 


[1] Ilmu atau keyakinan yang terhasil dalam diri seseorang secara spontan, serta-merta (automatik), dan tanpa memerlukan pembuktian dalil, kajian, atau proses berfikir yang mendalam.

Contohnya seperti khabar mutawatir iaitu berita yang disampaikan oleh orang yang terlalu ramai sehingga mustahil mereka bersepakat untuk berbohong. Contohnya, keyakinan kita yang secara serta-merta dan spontan tentang kewujudan kota Makkah (walaupun bagi yang belum pernah ke sana) atau kewujudan tokoh sejarah seperti Nabi Muhammad SAW. 

[2] Ilmu atau pengetahuan yang hanya boleh dicapai melalui proses berfikir, meneliti, analisis, perbahasan, dan memerlukan dalil atau hujah untuk meyakininya.

Contohnya seperti hadis ahad (hadis yang tidak mencapai tahap mutawatir) yang biasanya menghasilkan ilmu nazari. Untuk mengetahui sama ada hadis itu sahih atau tidak, ulama terpaksa membuat kajian (mengkaji profil perawi, sanad terputus atau bersambung, dan lain-lain). Setelah dikaji dan terbukti sahih, barulah wujud keyakinan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan