Jumaat, 26 Februari 2016
Hadis: Syurga di bawah telapak kaki ibu
Selasa, 23 Februari 2016
Perawi Syiah Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim?
Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan dalam kitab Tahzib
al-Tahzib:
“Cenderung kepada fahaman Syiah (tashayyu’) pada kebiasaan ulama mutaqaddimin (terdahulu) adalah sesiapa yang beriktikad melebihkan Ali ke atas Uthman RA, Ali adalah adalah seorang yang benar dalam peperangannya (perang Jamal dan perang Siffin) dan sesiapa yang berselisih dengan beliau adalah orang yang salah, serta dia mendahulukan dan melebihkan Ali berbanding dua orang Syeikh (Abu Bakar dan Umar). Mungkin juga mereka beriktikad bahawa Ali adalah sebaik-baik makhluk selepas Rasulullah SAW.
Jika seseorang yang beriktikad sedemikian itu
adalah seorang yang warak, beragama, jujur dan bertaraf mujtahid, maka tidak ditolak
periwayatannya disebabkan iktikadnya itu, lebih-lebih lagi jika dia tidak menyeru
kepada iktikadnya itu.
Adapun tashayyu’ pada kebiasaan ulama mutaakhirin
(terkemudian), mereka adalah golongan Rafidah (Syiah yang menolak kepimpinan Abu Bakar
dan Umar) semata-mata. Maka tidak diterima golongan Rafidah yang melampau, dan
tidak dihormati mereka itu.”
Cenderung kepada syiah semata-mata tidak menjadi kritikan
kepada perawi
Ramai daripada ahli hadis dan perawi hadis yang hebat-hebat tidak
terselamat daripada dituduh cenderung kepada fahaman Syiah. Pada awalnya mereka dikenali dengan rasa cinta mereka kepada Ali dan melebihkannya ke atas
Uthman RA.
Sesiapa yang berkeyakinan sebegini tanpa mencela salah seorang pun daripada Sahabat dan tidak mengkafirkan mereka, maka situasinya lebih
mudah kerana perkara tersebut masih tertakluk dalam ruang lingkup ijtihad dan tidak menghalang ahli hadis untuk meriwayatkan daripadanya.
Sebagai contoh:
1 - Ali bin al-Munzir al-Thariqi
Al-Nasaie berkata mengenai beliau: “Seorang Syiah yang tulen
dan beliau thiqah (dapat dipercayai).”
Ibnu Abi Hatim berkata: “Saduq (seorang yang benar)
dan dapat dipercayai.”
2 - Ali bin Hasyim.
Abu Daud berkata: “Thabt (mantap periwayatannya) dan
cenderung kepada fahaman Syiah.”
Al-Bukhari berkata: “Beliau dan bapanya seorang yang ekstrem
dalam mazhabnya.”
Walaupun begitu, Muslim masih meriwayatkan hadis daripadanya.
Al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal berkata: “Disebabkan sifat ekstremnya maka al-Bukhari meninggalkan riwayat beliau. Al-Bukhari banyak menjauhi periwayatan hadis daripada golongan Rafidah kerana beliau bimbang sikap kuat beragama mereka itu hanya sekadar taqiyyah (pura-pura). Tidak dilihat bahawa beliau menjauhi periwayatan daripada golongan Khawarij dan Jahmiyyah kerana walaupun ada bidaah yang mereka lakukan namun mereka masih melazimi sikap benar.”
3. Fithr bin Khalifah
Imam Ahmad berkata: “Thiqah, salih al-hadis
(baik hadisnya), hadisnya adalah hadis seorang yang baik, meskipun beliau cenderung
kepada fahaman Syiah.”
4. Khalid bin Makhlad al-Qathawani, Abu al-Haitham
al-Jabali.
Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud meriwayatkan daripada beliau
meskipun beliau cenderung kepada fahaman Syiah.
Abu Daud berkata: “Saduq (seorang yang benar) tetapi
cenderung kepada fahaman Syiah.”
Ibnu Sa’ad berkata: “Seorang yang cenderung kepada fahaman Syiah,
mungkar al-hadith (ditolak hadisnya), seorang yang melampau dalam fahaman
Syiahnya, ditulis hadis daripadanya untuk keperluan sahaja.”
Al-‘Ijli berkata: “Thiqah, sedikit cenderung kepada fahaman
Syiah dan banyak meriwayatkan hadis.”
Al-Jurjani berkata: “Seorang yang suka menzahirkan cercaan
disebabkan buruk mazhabnya.”
Perawi Syiah Tidak Semestinya Ditolak
Cenderung kepada fahaman Syiah sahaja tidak mencukupi untuk
mengkritik seorang perawi.
Kritikan hanya berlaku pada perawi yang menghimpunkan antara fahaman Syiah dan sifat pendusta sebagaimana kata Abu Nu’aim pada seorang perawi yang bernama Abdul Jabbar bin al-‘Abbas al-Syami al-Kufi: “Tidak ada di Kufah seorang yang lebih pendusta daripadanya dan dia seorang yang berfahaman Syiah.”
Ahad, 7 Februari 2016
Kenali Seseorang Melalui Musafir
Pertama
عَنْ خَرَشَةَ بْنِ الْحُرِّ، قَالَ: شَهِدَ رَجُلٌ عِنْدَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ بِشَهَادَةٍ، فَقَالَ لَهُ: لَسْتُ أَعْرِفُكَ، وَلَا يَضُرُّكَ أَلَّا أَعْرِفَكَ، ائْتِ بِمَنْ يَعْرِفُكَ، فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ: أنا أَعْرِفُهُ، قَالَ: فَبِأَيِّ شَيْءٍ تَعْرِفُهُ؟ قَالَ: بِالْعَدَالَةِ وَالْفَضْلِ، قَالَ: فَهُوَ جَارُكَ الْأَدْنَى الَّذِي تَعْرِفُ لَيْلَهُ وَنَهَارَهُ وَمُدْخَلَهُ وَمُخْرَجَهُ؟ قَالَ: لَا، قَالَ: فَمُعَامِلُكَ بِالدِّينَارِ وَالدِّرْهَمِ اللَّذَيْنِ بِهِمَا يُسْتَدَلُّ عَلَى الْوَرَعِ؟ قَالَ: لَا، قَالَ: فَرَفِيقُكَ فِي السَّفَرِ الَّذِي يُسْتَدَلُّ بِهِ عَلَى مَكَارِمِ الْأَخْلَاقِ؟ قَالَ: لَا، قَالَ: لَسْتَ تَعْرِفُهُ، ثُمَّ قَالَ لِلرَّجُلِ: ائْتِ بِمَنْ يَعْرِفُكَ.
Daripada Kharasyah bin al-Hurr, beliau berkata:
“Seorang lelaki memberi kesaksian di hadapan Umar bin
al-Khattab r.a., lalu Umar berkata kepadanya: Aku tidak mengenalimu, dan tidak
mengapa jika aku tidak mengenalimu. Bawalah orang yang mengenalimu."
Lalu seorang lelaki daripada sekumpulan orang ramai di situ
berkata: "Aku mengenalinya."
Umar bertanya: "Dengan apa engkau
mengenalinya?"
Dia menjawab: "Dengan keadilan dan keutamaan."
Umar bertanya: "Adakah dia jiran terdekatmu yang
engkau ketahui malam dan siangnya, keluar masuknya?"
Dia menjawab: "Tidak."
Umar bertanya: "Pernahkah engkau bermuamalah
dengannya dengan dinar dan dirham yang dengannya dapat diketahui sifat
waraknya?"
Dia menjawab: "Tidak."
Umar bertanya: "Adakah dia temanmu dalam perjalanan
yang dengannya dapat diketahui kemuliaan akhlaknya?"
Dia menjawab: "Tidak."
Umar berkata: "Engkau tidak mengenalinya."
Kemudian Umar berkata kepada lelaki (yang memberi kesaksian)
itu: "Bawalah orang yang mengenalimu."
(Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Ma’rifah al-Sunan Wa
al-Athar, al-Sunan al-Sughra dan al-Sunan al-Kubra dan
al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Kifayah)
Kedua
عَنْ أَبِي غَنِيَّةَ، قَالَ: سَمِعَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَجُلًا يُثْنِي عَلَى رَجُلٍ، فَقَالَ: أَسَافَرْتَ مَعَهُ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: أَخَالَطْتَهُ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: وَاللَّهِ الَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ مَا تَعْرِفُهُ.
Daripada Abu Ghaniyyah, beliau berkata:
“Umar mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki yang lain.
Maka Umar bertanya padanya:
Adakah kamu pernah bermusafir bersamanya?”
Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.”
Umar bertanya lagi: “Adakah kamu pernah bergaul
dengannya?
Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.”
Umar berkata: “Demi Allah yang tiada Tuhan selainnya,
kamu tidak mengenalinya.”
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi al-Dunya dalam al-Samt)
Ketiga
عَنْ عَبْدِ اللهِ الْعُمَرِيِّ؛ قَالَ: قَالَ رَجُلٌ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ: إِنَّ فُلَانًا رَجُلُ صِدْقٍ. فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: هَلْ سَافَرْتَ مَعَهُ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: فهل كان بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ مُعَامَلَةٌ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: فَهَلِ ائْتَمَنْتَهُ عَلَى شَيْءٍ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: فَأَنْتَ الَّذِي لَا عِلْمَ لَكَ بِهِ، أَرَاكَ رَأَيْتَهُ يَرْفَعُ رَأْسَهُ وَيَخْفِضُهُ فِي الْمَسْجِدِ .
Daripada Abdullah al-‘Umri, beliau berkata:
“Seorang lelaki berkata pada Umar: Sesungguhnya si fulan
itu adalah seorang yang jujur. Maka Umar berkata padanya:
Adakah kamu pernah bermusafir bersamanya?”
Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.”
Umar bertanya lagi: “Adakah kamu pernah berurusan
dengannya?”
Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.”
Umar bertanya lagi: “Adakah kamu pernah mengamanahkan
padanya sesuatu?”
Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.”
Maka Umar berkata: “Maka kamu tidak mempunyai pengetahuan
tentangnya. Aku rasa kamu sekadar pernah melihat dia mengangkat dan menundukkan
kepalanya (solat) di masjid.”
(Diriwayatkan oleh al-Dinawari dalam al-Mujalasah)