Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan dalam kitab Tahzib
al-Tahzib:
“Cenderung kepada fahaman Syiah (tashayyu’) pada kebiasaan ulama mutaqaddimin (terdahulu) adalah sesiapa yang beriktikad melebihkan Ali ke atas Uthman RA, Ali adalah adalah seorang yang benar dalam peperangannya (perang Jamal dan perang Siffin) dan sesiapa yang berselisih dengan beliau adalah orang yang salah, serta dia mendahulukan dan melebihkan Ali berbanding dua orang Syeikh (Abu Bakar dan Umar). Mungkin juga mereka beriktikad bahawa Ali adalah sebaik-baik makhluk selepas Rasulullah SAW.
Jika seseorang yang beriktikad sedemikian itu
adalah seorang yang warak, beragama, jujur dan bertaraf mujtahid, maka tidak ditolak
periwayatannya disebabkan iktikadnya itu, lebih-lebih lagi jika dia tidak menyeru
kepada iktikadnya itu.
Adapun tashayyu’ pada kebiasaan ulama mutaakhirin
(terkemudian), mereka adalah golongan Rafidah (Syiah yang menolak kepimpinan Abu Bakar
dan Umar) semata-mata. Maka tidak diterima golongan Rafidah yang melampau, dan
tidak dihormati mereka itu.”
Cenderung kepada syiah semata-mata tidak menjadi kritikan
kepada perawi
Ramai daripada ahli hadis dan perawi hadis yang hebat-hebat tidak
terselamat daripada dituduh cenderung kepada fahaman Syiah. Pada awalnya mereka dikenali dengan rasa cinta mereka kepada Ali dan melebihkannya ke atas
Uthman RA.
Sesiapa yang berkeyakinan sebegini tanpa mencela salah seorang pun daripada Sahabat dan tidak mengkafirkan mereka, maka situasinya lebih
mudah kerana perkara tersebut masih tertakluk dalam ruang lingkup ijtihad dan tidak menghalang ahli hadis untuk meriwayatkan daripadanya.
Sebagai contoh:
1 - Ali bin al-Munzir al-Thariqi
Al-Nasaie berkata mengenai beliau: “Seorang Syiah yang tulen
dan beliau thiqah (dapat dipercayai).”
Ibnu Abi Hatim berkata: “Saduq (seorang yang benar)
dan dapat dipercayai.”
2 - Ali bin Hasyim.
Abu Daud berkata: “Thabt (mantap periwayatannya) dan
cenderung kepada fahaman Syiah.”
Al-Bukhari berkata: “Beliau dan bapanya seorang yang ekstrem
dalam mazhabnya.”
Walaupun begitu, Muslim masih meriwayatkan hadis daripadanya.
Al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal berkata: “Disebabkan sifat ekstremnya maka al-Bukhari meninggalkan riwayat beliau. Al-Bukhari banyak menjauhi periwayatan hadis daripada golongan Rafidah kerana beliau bimbang sikap kuat beragama mereka itu hanya sekadar taqiyyah (pura-pura). Tidak dilihat bahawa beliau menjauhi periwayatan daripada golongan Khawarij dan Jahmiyyah kerana walaupun ada bidaah yang mereka lakukan namun mereka masih melazimi sikap benar.”
3. Fithr bin Khalifah
Imam Ahmad berkata: “Thiqah, salih al-hadis
(baik hadisnya), hadisnya adalah hadis seorang yang baik, meskipun beliau cenderung
kepada fahaman Syiah.”
4. Khalid bin Makhlad al-Qathawani, Abu al-Haitham
al-Jabali.
Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud meriwayatkan daripada beliau
meskipun beliau cenderung kepada fahaman Syiah.
Abu Daud berkata: “Saduq (seorang yang benar) tetapi
cenderung kepada fahaman Syiah.”
Ibnu Sa’ad berkata: “Seorang yang cenderung kepada fahaman Syiah,
mungkar al-hadith (ditolak hadisnya), seorang yang melampau dalam fahaman
Syiahnya, ditulis hadis daripadanya untuk keperluan sahaja.”
Al-‘Ijli berkata: “Thiqah, sedikit cenderung kepada fahaman
Syiah dan banyak meriwayatkan hadis.”
Al-Jurjani berkata: “Seorang yang suka menzahirkan cercaan
disebabkan buruk mazhabnya.”
Perawi Syiah Tidak Semestinya Ditolak
Cenderung kepada fahaman Syiah sahaja tidak mencukupi untuk
mengkritik seorang perawi.
Kritikan hanya berlaku pada perawi yang menghimpunkan antara fahaman Syiah dan sifat pendusta sebagaimana kata Abu Nu’aim pada seorang perawi yang bernama Abdul Jabbar bin al-‘Abbas al-Syami al-Kufi: “Tidak ada di Kufah seorang yang lebih pendusta daripadanya dan dia seorang yang berfahaman Syiah.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan