Rabu, 30 September 2026

Dajjal Tak Disebut Dalam al-Quran?

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah dalam kitab Fath al-Bari telah menjawab tentang persoalan tersebut:

Telah masyhur persoalan mengenai hikmah tidak dinyatakan secara jelas tentang Dajjal dalam al-Quran, sedangkan telah disebutkan mengenai kejahatannya, betapa besarnya fitnahnya, amaran para nabi terhadapnya, dan perintah untuk memohon perlindungan daripadanya sehinggakan dalam solat.

Maka ia telah dijawab dengan beberapa jawapan:

Pertama: Dajjal sebenarnya telah disebutkan dalam firman Allah Taala:

يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا

"Pada hari datangnya sebahagian tanda-tanda Tuhanmu, tidak berguna lagi iman seseorang yang belum beriman sebelum itu." [Al-An'am: 158].

Al-Tirmizi telah mengeluarkan sebuah riwayat dan mensahihkannya daripada Abu Hurairah secara marfu' (disandarkan kepada Nabi):

ثَلَاثَةٌ إِذَا خَرَجْنَ لَمْ يَنْفَعْ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ: الدَّجَّالُ، وَالدَّابَّةُ، وَطُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا

"Tiga perkara apabila ia keluar, tidak berguna lagi iman seseorang yang belum beriman sebelum itu: Dajjal, Dabbah, dan terbitnya matahari dari arah barat."

Kedua: Telah ada isyarat di dalam al-Quran mengenai turunnya Isa bin Maryam pada firman Allah Taala:

وَإِنْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ إِلَّا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ

"Dan tidak ada seorang pun daripada Ahli Kitab melainkan akan beriman kepadanya sebelum kematiannya."  [An-Nisa': 159]

Dan pada firman Allah Taala:

وَإِنَّهُ لَعِلْمٌ لِّلسَّاعَةِ

"Dan sesungguhnya ia (turunnya Isa) adalah tanda bagi (kedatangan) hari Kiamat." [Az-Zukhruf: 61].

Telah sahih bahawa Nabi Isa yang akan membunuh Dajal. Maka memadai dengan menyebut salah satu daripada dua perkara yang saling bertentangan dan tidak menyebutkan yang satu lagi. Dan juga kerana Dajjal digelar al-Masih sepertimana Isa, namun Dajjal adalah al-Masih yang membawa kesesatan (Masih al-Dalalah), manakala Isa adalah al-Masih yang membawa petunjuk (Masih al-Huda).

Ketiga: Ditinggalkan menyebut tentang Dajal kerana untuk menganggapnya hina.

Namun, pandangan ini disanggah kerana ada disebutkan tentang Yakjuj dan Makjuj, sedangkan kekacauan mereka tidaklah kurang hebat berbanding kekacauan Dajal dan juga orang sebelumnya.

Ia disanggah lagi bahawa persoalan itu masih kekal iaitu: Apakah hikmah ditinggalkan sebutan secara jelas mengenai Dajjal?

Guru al-Hafiz Ibnu Hajar iaitu Imam al-Bulqini menjawab bahawa beliau telah meneliti setiap pembuat kerosakan yang disebutkan di dalam al-Quran, maka beliau mendapati setiap orang yang disebutkan itu hanyalah daripada kalangan mereka yang telah lalu dan kisahnya telah tamat. Adapun sesiapa yang belum datang lagi, maka tidak disebutkan seorang pun dari kalangan mereka.

Namun pandangan ini terbatal dengan adanya disebutkan tentang Yakjuj dan Makjuj.

Keempat: Terdapat di dalam Tafsir al-Baghawi bahawa Dajjal ada disebutkan di dalam al-Quran pada firman Allah Taala[1]:

لَخَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ

"Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia." [Ghafir: 57].

Yang dimaksudkan dengan "manusia" di sini ialah Dajjal, iaitu melalui kaedah (bahasa ِArab): menyebutkan keseluruhan (iaitu manusia) namun yang dimaksudkan hanyalah sebahagian daripadanya (iaitu Dajjal).


[1] Orang-orang Yahudi pada zaman Nabi SAW sangat mengagung-agungkan dan membesar-besarkan kedatangan Dajjal. Mereka menganggap Dajjal itu mempunyai kuasa yang amat dahsyat dan luar biasa. Bagi mereka, Dajjal adalah makhluk yang sangat hebat dan besar. Maka, Allah menurunkan ayat ini untuk menempelak kesombongan orang Yahudi tersebut. Walau sehebat mana pun Dajjal, dia tetap seorang makhluk kecil yang hina berbanding kehebatan alam semesta yang Allah ciptakan.

Rabu, 16 September 2026

Istilah Muttafaqun 'Alaih Dalam Ilmu Hadis

Maksudnya ialah hadis yang disebut padanya dengan ungkapan ini telah disepakati untuk meriwayatkannya oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, semoga Allah Taala merahmati keduanya.

Ia bermaksud kesepakatan al-Bukhari dan Muslim, bukannya kesepakatan umat Islam ke atasnya. Namun, kesepakatan umat Islam ke atasnya adalah suatu kelaziman daripada kesepakatan al-Bukhari dan Muslim tersebut. Kesepakatan umat Islam turut terhasil bersamanya memandangkan wujudnya kesepakatan umat Islam dalam menerima apa yang telah disepakati oleh kedua-dua imam tersebut.

Imam al-Nawawi telah menukilkan di dalam kitab Syarh Muslim daripada Ibn al-Salah akan kata-katanya: "Apa yang telah disepakati oleh mereka berdua adalah dapat dipastikan kebenarannya disebabkan oleh penerimaan umat Islam terhadapnya. Penerimaan tersebut memberikan faedah ilmu nazari[1], dan ia dari sudut memberikan faedah ilmu adalah seperti mutawatir, cuma hadis mutawatir memberikan faedah ilmu daruri[2], manakala penerimaan umat Islam pula memberikan faedah ilmu nazari."

Sebenarnya telah ada pihak yang mendahului Ibn al-Salah yang mengatakan apa yang diriwayatkan oleh al-Syaikhan (al-Bukhari dan Muslim) adalah diyakini kesahihannya.

Al-'Iraqi telah menyebutkan sebahagian daripada mereka, antaranya ialah Abu al-Fadl bin Tahir (meninggal dunia tahun 507 H) dan Abu Nasr bin Yusuf (meninggal dunia tahun 574 H).

Maka jika hadis itu diyakini kesahihannya, berserta penerimaan umat Islam terhadapnya, ia sebenarnya menghasilkan faedah ilmu daruri, bukannya ilmu nazari. Tambahan lagi kebanyakan matan (teks hadis) di dalam kedua-dua kitab Sahih tersebut telah mencapai tahap mutawatir.

Rujukan:

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri. 


[1] Ilmu atau keyakinan yang terhasil dalam diri seseorang secara spontan, serta-merta (automatik), dan tanpa memerlukan pembuktian dalil, kajian, atau proses berfikir yang mendalam.

Contohnya seperti khabar mutawatir iaitu berita yang disampaikan oleh orang yang terlalu ramai sehingga mustahil mereka bersepakat untuk berbohong. Contohnya, keyakinan kita yang secara serta-merta dan spontan tentang kewujudan kota Makkah (walaupun bagi yang belum pernah ke sana) atau kewujudan tokoh sejarah seperti Nabi Muhammad SAW. 

[2] Ilmu atau pengetahuan yang hanya boleh dicapai melalui proses berfikir, meneliti, analisis, perbahasan, dan memerlukan dalil atau hujah untuk meyakininya.

Contohnya seperti hadis ahad (hadis yang tidak mencapai tahap mutawatir) yang biasanya menghasilkan ilmu nazari. Untuk mengetahui sama ada hadis itu sahih atau tidak, ulama terpaksa membuat kajian (mengkaji profil perawi, sanad terputus atau bersambung, dan lain-lain). Setelah dikaji dan terbukti sahih, barulah wujud keyakinan.

Ahad, 13 September 2026

Kenapa al-Bukhari Tak Riwayat Hadis Melalui al-Syafi’i

Soalan:

Mengapakah al-Bukhari tidak meriwayatkan hadis daripada al-Syafi’i?

Jawapan Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari:

Al-Bukhari tidak meriwayatkan hadis daripada al-Syafi’I dalam al-Sahih kerana dua sebab (selain daripada faktor kependekan sanad (uluw al-sanad), al-Syafi’i berumur pendek, dan al-Khatib al-Baghdadi mempunyai satu juzuk (karya) mengenai topik ini):

Pertama: Al-Syafi’i kerap kali berkata: "Telah mengkhabarkan kepada kami orang yang terpercaya (thiqah)", atau "Telah mengkhabarkan kepadaku orang yang tidak aku pertikaikan."

Kedua: Perawi-perawi yang al-Syafi’i meriwayatkan daripada mereka, dalam kalangan mereka terdapat perawi-perawi yang daif dan majhul (tidak dikenali). Al-Syafi’i sendiri telah memberikan peringatan terhadap keadaan sebahagian daripada mereka.

Sebab yang ketiga: Al-Syafi’i bukanlah seorang yang luas periwayatannya, dan hadis-hadis yang beliau riwayatkan secara sahih adalah sedikit. Sebahagian besarnya bukan mengikut kriteria al-Bukhari. Manakala hadis daripadan al-Syafi’i yang menepati kriteria al-Bukhari telah pun sedia ada pada al-Bukhari melalui jalan sanad yang lebih pendek.

Al-Bukhari telah menukilkan daripada al-Syafi’i sebanyak dua kali di dalam Sahihnya, sekali dalam Kitab Zakat di bawah tajuk: Bab Pada Harta Karun (Rikaz) Ada Satu Perlima (Zakat), dan sekali lagi di dalam Kitab Jual Beli di bawah tajuk: Bab Tafsir al-'Araya.

Sumber:

Mausu’ah Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari (16/251).

Sabtu, 12 September 2026

Firaun Mati Beriman?

Soalan:

Adakah Ibn al-'Arabi seorang sahaja yang berpendapat bahawa Firaun beriman?

Jawapan Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari:

Ibn al-'Arabi tidak bersendirian ketika berpandangan bahawa diterimanya keimanan Firaun, bahkan beliau telah didahului oleh sebahagian Ahli Sufi. Perkara ini dihikayatkan daripada mereka oleh Abdul Samad al-Hanafi di dalam Tafsirnya, dan beliau merupakan salah seorang daripada ulama kurun keempat.

Golongan yang berpandangan bahawa Firaun beriman telah terkeliru antara maqam doa dengan maqam iman.

Mereka mengatakan bahawa sesungguhnya Firaun berada dalam keadaan terdesak dan Allah Taala memperkenankan doa orang yang terdesak. Perkara ini adalah benar. Sekiranya Firaun berdoa pada saat tenggelam nescaya Allah akan menyelamatkannya, akan tetapi dia tidak berdoa sebaliknya dia menyatakan keimanan, sedangkan keimanan pada saat tersebut tidak diterima berdasarkan nas al-Quran.

Dalil yang jelas mengenai kematiannya dalam keadaan kafir daripada al-Quran adalah firman Allah Taala:

فَلْيُلْقِهِ الْيَمُّ بِالسَّاحِلِ يَأْخُذْهُ عَدُوٌّ لِي وَعَدُوٌّ لَهُ

“Kemudian lepaskanlah (Nabi Musa yang berada di dalam) peti itu ke sungai Nil. Biarlah sungai itu membawanya terdampar di tepian, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya (iaitu Firaun).” [Taha: 39]

Maka ayat ini memberitahu bahawa Firaun adalah musuh Allah. Perkhabaran (daripada Allah) tidak akan berubah dan tidak dimansuhkan. Oleh itu, Firaun telah mati sebagai seorang kafir yang menjadi musuh Allah. Hal ini berlaku demikian kerana jika keimanannya diterima, nescaya dia tidak akan dinamakan sebagai musuh Allah. Perkara ini (Firaun bukan musuh Allah) adalah batil (kerana al-Quran menyatakan secara jelas dia adalah musuh Allah).

Sumber:

Mausu’ah Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari (16/14).