Rabu, 30 September 2026

Dajjal Tak Disebut Dalam al-Quran?

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah dalam kitab Fath al-Bari telah menjawab tentang persoalan tersebut:

Telah masyhur persoalan mengenai hikmah tidak dinyatakan secara jelas tentang Dajjal dalam al-Quran, sedangkan telah disebutkan mengenai kejahatannya, betapa besarnya fitnahnya, amaran para nabi terhadapnya, dan perintah untuk memohon perlindungan daripadanya sehinggakan dalam solat.

Maka ia telah dijawab dengan beberapa jawapan:

Pertama: Dajjal sebenarnya telah disebutkan dalam firman Allah Taala:

يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا

"Pada hari datangnya sebahagian tanda-tanda Tuhanmu, tidak berguna lagi iman seseorang yang belum beriman sebelum itu." [Al-An'am: 158].

Al-Tirmizi telah mengeluarkan sebuah riwayat dan mensahihkannya daripada Abu Hurairah secara marfu' (disandarkan kepada Nabi):

ثَلَاثَةٌ إِذَا خَرَجْنَ لَمْ يَنْفَعْ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ: الدَّجَّالُ، وَالدَّابَّةُ، وَطُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا

"Tiga perkara apabila ia keluar, tidak berguna lagi iman seseorang yang belum beriman sebelum itu: Dajjal, Dabbah, dan terbitnya matahari dari arah barat."

Kedua: Telah ada isyarat di dalam al-Quran mengenai turunnya Isa bin Maryam pada firman Allah Taala:

وَإِنْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ إِلَّا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ

"Dan tidak ada seorang pun daripada Ahli Kitab melainkan akan beriman kepadanya sebelum kematiannya."  [An-Nisa': 159]

Dan pada firman Allah Taala:

وَإِنَّهُ لَعِلْمٌ لِّلسَّاعَةِ

"Dan sesungguhnya ia (turunnya Isa) adalah tanda bagi (kedatangan) hari Kiamat." [Az-Zukhruf: 61].

Telah sahih bahawa Nabi Isa yang akan membunuh Dajal. Maka memadai dengan menyebut salah satu daripada dua perkara yang saling bertentangan dan tidak menyebutkan yang satu lagi. Dan juga kerana Dajjal digelar al-Masih sepertimana Isa, namun Dajjal adalah al-Masih yang membawa kesesatan (Masih al-Dalalah), manakala Isa adalah al-Masih yang membawa petunjuk (Masih al-Huda).

Ketiga: Ditinggalkan menyebut tentang Dajal kerana untuk menganggapnya hina.

Namun, pandangan ini disanggah kerana ada disebutkan tentang Yakjuj dan Makjuj, sedangkan kekacauan mereka tidaklah kurang hebat berbanding kekacauan Dajal dan juga orang sebelumnya.

Ia disanggah lagi bahawa persoalan itu masih kekal iaitu: Apakah hikmah ditinggalkan sebutan secara jelas mengenai Dajjal?

Guru al-Hafiz Ibnu Hajar iaitu Imam al-Bulqini menjawab bahawa beliau telah meneliti setiap pembuat kerosakan yang disebutkan di dalam al-Quran, maka beliau mendapati setiap orang yang disebutkan itu hanyalah daripada kalangan mereka yang telah lalu dan kisahnya telah tamat. Adapun sesiapa yang belum datang lagi, maka tidak disebutkan seorang pun dari kalangan mereka.

Namun pandangan ini terbatal dengan adanya disebutkan tentang Yakjuj dan Makjuj.

Keempat: Terdapat di dalam Tafsir al-Baghawi bahawa Dajjal ada disebutkan di dalam al-Quran pada firman Allah Taala[1]:

لَخَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ

"Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia." [Ghafir: 57].

Yang dimaksudkan dengan "manusia" di sini ialah Dajjal, iaitu melalui kaedah (bahasa ِArab): menyebutkan keseluruhan (iaitu manusia) namun yang dimaksudkan hanyalah sebahagian daripadanya (iaitu Dajjal).


[1] Orang-orang Yahudi pada zaman Nabi SAW sangat mengagung-agungkan dan membesar-besarkan kedatangan Dajjal. Mereka menganggap Dajjal itu mempunyai kuasa yang amat dahsyat dan luar biasa. Bagi mereka, Dajjal adalah makhluk yang sangat hebat dan besar. Maka, Allah menurunkan ayat ini untuk menempelak kesombongan orang Yahudi tersebut. Walau sehebat mana pun Dajjal, dia tetap seorang makhluk kecil yang hina berbanding kehebatan alam semesta yang Allah ciptakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan