Rabu, 28 Oktober 2026

Hadis Muttasil

Dari Segi Bahasa:

Muttasil ialah kata nama pelaku (isim fa'il) bagi perkataan ittisal (bersambung) yang merupakan lawan kepada inqita' (terputus).

Muttasil adalah lawan kepada munqati' (yang terputus).

Dari Segi Istilah:

Hadis yang bersambung sanadnya dari awal hingga ke akhirnya, sama ada ia berstatus marfu' (disandarkan kepada Nabi SAW) atau mawquf (disandarkan kepada Sahabat).

Contohnya:

Contoh bagi muttasil marfu' ialah:

Malik, daripada Ibn Shihab, daripada Salim bin Abdullah, daripada bapanya - semoga Allah meredai mereka - daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: “….”

Contoh bagi muttasil mawquf:

Daripada Malik, daripada Nafi':

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا - كَانَ يُحَلِّي بَنَاتَهُ وَجَوَارِيَهُ الذَّهَبَ ثُمَّ لَا يُخْرِجُ مِنْ حُلِيِّهِنَّ الزَّكَاة

"Ibn Umar - semoga Allah meredai kedua-duanya - pernah memakaikan perhiasan emas kepada anak-anak perempuan dan hamba-hamba perempuannya, kemudian beliau tidak mengeluarkan zakat daripada perhiasan mereka itu."

Daripada Malik daripada Nu'aim bin Abdullah Al-Mujmir, dia mendengar Abu Hurairah - semoga Allah meredainya - berkata:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ ثُمَّ جَلَسَ فِي مُصَلَّاهُ لَمْ تَزَلِ الْمَلَائِكَةُ تُصَلِّي عَلَيْهِ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ، فَإِذَا قَامَ مِنْ مُصَلَّاهُ، فَجَلَسَ فِي الْمَسْجِدِ يَنْتَظِرُ الصَّلَاةَ؛ لَمْ يَزَلْ فِي صَلَاةٍ حَتَّى يُصَلِّيَ.

"Apabila salah seorang daripada kamu selesai bersolat kemudian dia duduk di tempat solatnya, para malaikat sentiasa mendoakannya: “Ya Allah, ampunilah dia, Ya Allah, rahmatilah dia.”

Maka apabila dia bangun dari tempat solatnya, lalu duduk di dalam masjid untuk menunggu solat (seterusnya); dia sentiasa dikira berada di dalam keadaan solat sehinggalah dia mendirikan solat."

Antara contoh hadis yang bersambung (muttasil) kepada salah seorang Tabi'in:

Ibn Abi Al-Dunya meriwayatkan daripada Al-Fadl bin Sahl: Abu Al-Nadr menceritakan kepada kami daripada Muhammad bin Talhah, daripada Khalaf bin Hawshab, daripada Hasan al-Basri tentang firman Allah:

إِنَّ الْإِنْسَانَ لِرَبِّهِ لَكَنُودٌ

"Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar kepada Tuhannya." [Al-Adiyat: 6]

Hasan al-Basri berkata:

يَذْكُرُ الْمُصِيبَاتِ، وَيَنْسَى النِّعَمَ

"Dia sering menyebut-nyebut tentang musibah, dan melupakan segala nikmat."

Hukum Hadis Muttasil:

Hadis muttasil kadangkala boleh menjadi sahih, kadangkala hasan, dan kadangkala daif.

Jika ia melengkapi baki syarat-syarat hadis sahih - di samping sanadnya yang bersambung/muttasil - maka ia dihukumkan sebagai sahih.

Jika dhabit (ketepatan hafalan) sebahagian perawinya kurang, maka ia menjadi hasan.

Namun, jika ia kehilangan salah satu syarat hadis sahih yang lain seperti hilangnya 'adalah (integriti) atau dhabit perawinya, atau hadis tersebut syaz ataupun mu'allal (mempunyai kecacatan tersembunyi), maka ia dihukumkan sebagai daif, dan bersambung sanadnya ketika itu tidak lagi diambil kira. 

Sumber: 

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan