Sabtu, 31 Oktober 2026

Cara Mengenali Hadis Palsu

Garis Panduan Untuk Mengenal Pasti Pemalsuan Hadis Berdasarkan Sanad dan Matan

Para ulama dan ahli hadis telah menetapkan beberapa kaedah yang teliti lagi kukuh, serta petunjuk yang jelas yang melaluinya hadis palsu dapat dikenali. Ia terbahagi kepada dua jenis:

1 - Berkaitan dengan sanad hadis.

2 - Berkaitan dengan matan.

Di sini akan disebutkan kedua-duanya berserta contohnya:

Pertama: Tanda-Tanda Kepalsuan Hadis Berdasarkan Sanad:

1 - Perawinya merupakan seorang pendusta yang memang terkenal dengan penipuannya, dan hadis itu tidak diriwayatkan oleh perawi thiqah (dipercayai) yang lain.

Ahli-ahli hadis mengenali para pendusta ini dengan pengetahuan yang sangat terperinci.

Ibn Abi Hatim menyebutkan bahawa Nu'aim bin Hammad telah bertanya kepada Abdul Rahman Mahdi: "Bagaimanakah engkau mengenali seorang pendusta?"

Beliau menjawab: "Sebagaimana seorang doktor mengenali orang gila.”

Contohnya ialah nukilan daripada al-Khatib al-Baghdadi bahawa Ali ibn Abdullah al-Bardani telah dituduh melakukan pemalsuan hadis, dan antara hasil pemalsuannya ialah hadis:

الأُمَنَاءُ عِنْدَ اللَّهِ ثَلَاثَةٌ: أَنَا، وَجِبْرِيلُ، وَمُعَاوِيَةُ

"Orang-orang yang dipercayai di sisi Allah itu ada tiga: Aku, Jibril, dan Muawiyah."

2 - Pemalsunya mengakui pemalsuan tersebut, sebagaimana pengakuan Abu 'Ismah Nuh bin Abu Maryam, Maysarah bin Abd Rabbih, dan selain mereka tentang pemalsuan mereka terhadap hadis-hadis berkenaan kelebihan surah-surah.

3 – Perawi tersebut telah meriwayatkan hadis daripada seorang syeikh yang tidak terbukti pertemuannya dengan syeikh tersebut, atau dia dilahirkan selepas kematian syeikh itu, atau dia tidak pernah menjejakkan kaki di tempat yang dia dakwa bahawa dia mendengar hadis tersebut di situ.

Contohnya ialah apa yang terdapat dalam kitab Lisan al-Mizan, pada biografi: Ahmad bin Sulaiman al-Fawariri:

"Pembohongannya sangat jelas...kerana Muhammad bin Ishaq telah meninggal dunia pada tahun 151H atau 152H, dan dikatakan sebelum itu. Namun Ahmad bin Sulaiman al-Fawariri ini telah menulis hadis daripadanya, sedangkan tahun kelahirannya adalah pada tahun 151H. Yang lebih menghairankan daripada ini adalah dakwaannya bahawa dia mendengar hadis daripada Ibn Ishaq di Kufah, kemudian di Madinah, padahal Ibn Ishaq sebenarnya datang ke Kufah semasa hayat al-A'mash, dan itu adalah bertahun-tahun sebelum syeikh ini dilahirkan.”

4 - Pemalsuan dapat diketahui berdasarkan keadaan perawi dan motif peribadinya.

Contohnya ialah apa yang diriwayatkan oleh al-Hakim daripada Saif bin Umar al-Tamimi bahawa dia berkata:

“Kami berada bersama Sa'ad bin Tarif, tiba-tiba anaknya datang dari tempat pengajian sambil menangis. Lalu dia bertanya: "Kenapa dengan kamu?" Anaknya menjawab: "Guru telah memukulku." Maka Sa'ad berkata: “Ikrimah telah menceritakan kepadaku daripada Ibn Abbas secara marfu' (daripada Nabi SAW):

مُعَلِّمُو صِبْيَانِكُمْ شِرَارُكُمْ، أَقَلُّهُمْ رَحْمَةً لِلْيَتِيمِ، وَأَغْلَظُهُمْ عَلَى الْمِسْكِينِ

"Guru-guru kanak-kanak kamu adalah orang yang paling jahat dalam kalangan kamu. Mereka paling kurang belas kasihan terhadap anak yatim, dan paling kasar terhadap orang miskin."

Ibn Ma'in berkata mengenai Sa'ad bin Tarif ini: "Tidak dihalalkan bagi sesiapa pun untuk meriwayatkan daripadanya."

Ibn Hibban pula berkata: "Dia telah memalsukan hadis."

Kedua: Tanda-Tanda Kepalsuan Hadis Berdasarkan Matan:

Ibn Taimiyyah berkata: "Secara umumnya, hadis-hadis yang dinukilkan oleh ramai orang yang jahil itu tiada kayu ukur tertentu untuknya (untuk mengenali kepalsuannya). Namun sebahagian daripadanya dapat diketahui pendustaannya melalui akal, sebahagian daripadanya dapat diketahui pendustaannya melalui adat kebiasaan, sebahagian daripadanya dapat diketahui pendustaannya kerana ia bercanggah dengan periwayatan yang sahih, dan sebahagian daripadanya dapat diketahui pendustaannya melalui cara-cara yang lain."

Contoh-contoh perkara tersebut:

Disebutkan di sini beberapa contoh hadis bagi jenis ini secara ringkas daripada apa yang terdapat dalam kitab-kitab yang menghimpunkan hadis palsu:

1 - Kelemahan pada lafaz dan makna hadis.

Sehinggakan orang yang arif tentang bahasa Arab mengetahui bahawa perkataan seperti itu tidak akan diucapkan oleh seseorang yang fasih lidahnya, apatah lagi untuk ia menjadi ucapan Nabi SAW.

Ibn Daqiq al-'Id berkata: "Mereka (ahli hadis) kerap kali menghukum dengan sedemikian (iaitu menghukum hadis sebagai palsu) berdasarkan pertimbangan terhadap beberapa perkara yang berkaitan dengan riwayat tersebut dan lafaz-lafaz hadisnya. Kesimpulannya, disebabkan terlalu kerap mereka melazimi lafaz-lafaz Nabi SAW, maka terbentuk di dalam diri mereka suatu kepekaan jiwa dan kemahiran yang kuat, yang dengannya mereka dapat mengenali mana yang layak dan mana yang tidak layak menjadi lafaz yang diucapkan oleh Nabi SAW."

Antara contoh hadis-hadis sebegini:

لَوْ كَانَ الْأَرُزُّ رَجُلًا لَكَانَ حَلِيمًا، مَا أَكَلَهُ جَائِعٌ إِلَّا أَشْبَعَهُ

"Kalaulah beras itu seorang lelaki, nescaya dia seorang yang penyabar. Tidaklah orang yang lapar memakannya melainkan dia akan mengenyangkannya."

إِنَّ لِلَّهِ مَلَكًا اسْمُهُ عُمَارَةُ، عَلَى فَرَسٍ مِنْ حِجَارَةِ الْيَاقُوتِ، طُولُهُ مَدُّ بَصَرِهِ، يَدُورُ فِي الْبُلْدَانِ، وَيَقِفُ فِي الْأَسْوَاقِ فَيُنَادِي: أَلَا لِيَغْلُ كَذَا وَكَذَا، أَلَا لِيَرْخُصْ كَذَا وَكَذَا

"Sesungguhnya Allah memiliki seorang malaikat bernama 'Umarah yang menunggang seekor kuda daripada batu delima. Tingginya sejauh mata memandang. Dia mengelilingi beberapa negeri dan berdiri di pasar-pasar lalu menyeru: Ketahuilah, hendaklah barang sekian dan sekian menjadi mahal. Ketahuilah, hendaklah barang sekian dan sekian menjadi murah."

Ucapan ini telah mencapai tahap kejelekan yang ucapan orang-orang biasa yang berakal pun akan terpelihara daripadanya, apatah lagi ucapan Penghulu segala nabi.

Oleh hal yang demikian, al-Rabi' bin Khuthaim berkata: "Sesungguhnya hadis itu mempunyai cahaya seperti cahaya siang hari yang membolehkan engkau mengenalinya, dan ia juga mempunyai kegelapan seperti kegelapan malam yang membuatkan engkau mengingkarinya."

Ibn al-Jauzi pula berkata: "Hadis yang mungkar itu membuatkan kulit penuntut ilmu meremang, dan secara kebiasaannya hatinya akan menjauhi hadis tersebut."

Demikianlah yang terjadi kepada para ulama yang teguh keilmuannya. Disebabkan banyaknya mereka melazimi serta bersifat amanah dengan hadis Nabi SAW, ia akan membentuk suatu kemahiran yang membolehkan mereka mengenali sama ada sesuatu itu berkemungkinan adalah ucapan Nabi SAW ataupun tidak.

2 - Ia bercanggah dengan nas al-Quran, atau Sunnah yang sahih, atau ijmak yang pasti (qat'i), dan tidak dapat menerima sebarang takwil bagi percanggahan tersebut:

Seperti:

لَوْ أَحْسَنَ أَحَدُكُمْ ظَنَّهُ بِحَجَرٍ لَنَفَعَهُ

"Kalaulah salah seorang daripada kamu bersangka baik terhadap sebiji batu, nescaya ia akan memberinya manfaat".

Ia adalah rekaan para penyembah berhala, dan bercanggah dengan kesemua ayat-ayat tauhid di dalam al-Quran.

Dan seperti:

إِذَا حُدِّثْتُمْ عَنِّي بِحَدِيثٍ يُوَافِقُ الْحَقَّ؛ فَصَدِّقُوهُ وَخُذُوا بِهِ، حَدَّثْتُ بِهِ، أَوْ لَمْ أُحَدِّثْ

"Jika kamu diceritakan daripada aku dengan suatu hadis yang menepati kebenaran, maka benarkanlah ia dan berpeganglah dengannya, sama ada aku pernah menceritakannya ataupun aku tidak pernah menceritakannya."

Ia adalah hadis palsu dari sudut sanad dan matannya kerana ia bercanggah dengan hadis yang mutawatir:

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا؛ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

"Sesiapa yang berdusta ke atasku secara sengaja; maka siap sedialah tempat duduknya di dalam neraka."

3 - Ia bercanggah dengan pancaindera dan pemerhatian:

Seperti:

الْبَاذِنْجَانُ لِمَا أُكِلَ لَهُ

"Terung itu (manfaatnya) bergantung kepada niat ia dimakan."

Dan seperti:

الْبَاذِنْجَانُ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ

"Terung itu adalah penawar bagi setiap penyakit".

Ibn al-Qayyim berkata: "Semoga Allah memburukkan pemalsunya. Sekiranya ia diucapkan oleh sebahagian doktor yang jahil, nescaya manusia akan mentertawakannya. Kalaulah terung itu dimakan untuk merawat demam, penyakit hempedu hitam (al-sauda') yang teruk, dan pelbagai jenis penyakit, ia tidak akan menambahkan (sebarang kesan) melainkan menjadi bertambah teruk. Kalaulah orang fakir memakannya untuk menjadi kaya, ia tidak akan memberikan kekayaan kepadanya, atau orang jahil (memakannya) untuk belajar; ilmu tidak akan memberinya manfaat."

4 - Ia bercanggah dengan logik akal yang asas tanpa sebarang kemungkinan untuk ditakwilkan:

Seperti:

إِنَّ سَفِينَةَ نُوحٍ طَافَتْ بِالْكَعْبَةِ سَبْعًا، وَصَلَّتْ عِنْدَ الْمَقَامِ رَكْعَتَيْنِ

"Sesungguhnya bahtera Nuh telah bertawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali, dan ia menunaikan solat di sisi Maqam (Ibrahim) sebanyak dua rakaat.”

5 - Secara sendirinya ia adalah batil kerana realiti sejarah membuktikan kebatilannya:

Seperti hadis:

إِنَّ هَذَا الْأَمْرَ إِذَا وَصَلَ إِلَى بَنِي الْعَبَّاسِ؛ بَقِيَ فِيهِمْ حَتَّى يُسَلِّمُوهُ إِلَى عِيسَى بْنِ مَرْيَمَ، أَوِ الْمَهْدِيِّ

"Sesungguhnya urusan pemerintahan ini apabila ia sampai kepada Bani Abbasiyyah, ia akan kekal pada mereka sehinggalah mereka menyerahkannya kepada Isa bin Maryam, atau al-Mahdi".

6 - Ia bercanggah dengan salah satu daripada maqasid (objektif) syariah, atau salah satu daripada matlamatnya, atau salah satu daripada kaedah-kaedahnya:

Seperti hadis:

خَيْرُكُمْ بَعْدَ الْمِئَتَيْنِ مَنْ لَا زَوْجَةَ لَهُ وَلَا وَلَدَ

"Sebaik-baik kamu selepas tahun dua ratus (Hijrah) ialah orang yang tidak mempunyai isteri dan tidak mempunyai anak".

Padahal memelihara keturunan merupakan salah satu daripada maqasid syariah.

7 - Ia bercanggah dengan fakta-fakta sejarah yang diketahui pada zaman Nabi SAW:

Seperti hadis:

دَخَلْتُ الْحَمَّامَ فَرَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسًا؛ وَعَلَيْهِ مِئْزَرٌ...

"Aku telah masuk ke tempat mandi awam (hammam) lalu aku melihat Rasulullah SAW sedang duduk, dan baginda memakai kain sarung..."

Perkara tersebut terbatal secara sejarah kerana fakta yang sabit adalah bahawa Rasulullah SAW tidak pernah memasuki tempat mandi awam sama sekali memandangkan tempat-tempat mandi awam tidak dikenali di Hijaz pada zaman baginda SAW.

Ketika permergian baginda ke Syam - tempat-tempat mandi awam telah wujud di sana - pada kali pertama semasa baginda masih kecil, dan pada kali kedua semasa baginda merupakan seorang pemuda belia dan baginda tidak melepasi kawasan Busra di Syam.

8 - Antaranya ialah ia merupakan satu khabar tentang suatu perkara yang besar yang sepatutnya mempunyai banyak pendorong untuk ia dinukilkan secara mutawatir kerana di sebalik kepentingannya, ia berlaku di hadapan khalayak ramai yang besar, namun kemudian ia tidak masyhur, dan tidak diriwayatkan melainkan oleh seorang perawi sahaja.

Contohnya: Matahari dikembalikan semula kepada Saidina Ali ketika Nabi SAW tidur di pangkuannya. Matahari telah terbenam, kemudian ia terbit semula supaya Ali dapat menunaikan solat Asar. Peristiwa tersebut berlaku di Khaibar.

Padahal peristiwa tersebut tidak masyhur dengan semasyhur-masyhurnya!

Dan yang lebih pelik daripada itu ialah hadis baiah Rasulullah SAW kepada Ali selepas pulang dari Haji Wida'.

9 - Ia mengandungi ancaman keras yang sangat berlebihan bagi perkara yang kecil:

Seperti:

مَنْ أَكَلَ الثُّومَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ فَلْيَهْوِ فِي النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا

"Sesiapa yang memakan bawang putih pada malam Jumaat, maka hendaklah dia dihumban ke dalam neraka selama tujuh puluh musim luruh (tahun)".

Atau mengandungi janji ganjaran yang sangat besar bagi perbuatan yang sedikit, seperti:

مَنْ صَلَّى الضُّحَى كَذَا وَكَذَا رَكْعَةً أُعْطِيَ ثَوَابَ سَبْعِينَ نَبِيًّا

"Sesiapa yang menunaikan solat Dhuha sebanyak sekian dan sekian rakaat, dia akan diberikan pahala tujuh puluh orang nabi."

Ibn al-Qayyim berkata: "Seolah-olah pendusta yang keji itu tidak mengetahui bahawa untuk selain nabi, kalaulah dia bersolat sepanjang umur Nuh AS pun, dia tidak akan diberikan pahala walau seorang nabi."

10 - Hadis-hadis yang kalaulah ia dicari di dalam himpunan-himpunan kitab Islam yang terdiri daripada kitab-kitab Sahih, Sunan, Musnad, dan kitab-kitab yang masyhur lagi dipercayai dalam bidang hadis, nescaya ia tidak akan dijumpai.

Sumber:

Al-Madkhal Ila Dirasah Ulum al-Hadis oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Jumaat, 30 Oktober 2026

Hadis Musnad

Definisi Musnad Dari Segi Bahasa dan Istilah:

Dari segi bahasa:

Ia ialah kata nama objek (isim maf'ul) bagi perkataaan Asnada yang bermaksud: menyandarkan, atau menisbahkan.

Dari segi istilah:

Hadis yang bersambung sanadnya secara marfu' (disandarkan) kepada Nabi SAW.

Ini ialah definisi yang muktamad bagi hadis musnad di sisi majoriti ulama hadis.

Terdapat beberapa pendapat lain mengenai definisi musnad iaitu:

1 - Definisi al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi:

Beliau mendefinisikannya dengan berkata:

"Ia ialah hadis yang bersambung sanadnya hingga ke akhirnya."

Definisi ini bertepatan dengan definisi majoriti ulama bagi muttasil. Oleh itu, turut termasuk di dalam definisi ini apa jua yang disandarkan kepada Nabi SAW, atau kepada para Sahabat, atau kepada para Tabi'in, sekiranya sanad tersebut bersambung daripada perawi sehinggalah ke akhir sanad.

2 - Definisi al-Hafiz Ibn Abd Al-Barr:

Beliau mendefinisikannya dengan berkata:

"Ia ialah hadis yang datang daripada Rasulullah SAW sama ada ia bersambung sanad (muttasil) atau terputus sanad (munqati')."

Definisi ini bertepatan dengan definisi majoriti ulama bagi hadis marfu', dan ia termasuk dalam konsep mursal, munqati' serta selainnya, asalkan ia disandarkan kepada Nabi SAW.

Contoh Hadis Musnad:

Contoh Pertama: Al-Bukhari telah meriwayatkan di dalam Sahihnya dan berkata: Umar bin Hafs bin Ghiyath menceritakan kepada kami: Bapaku menceritakan kepadaku: Al-A'mash menceritakan kepada kami, dia berkata: Aku mendengar Abu Salih, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ السَّارِقَ يَسْرِقُ الْبَيْضَةَ فَتُقْطَعُ يَدُهُ، وَيَسْرِقُ الْحَبْلَ فَتُقْطَعُ يَدُهُ

"Allah melaknat pencuri yang mencuri baydhah (zahirnya bermaksud sebiji telur), lalu dipotong tangannya, dan mencuri seutas tali lalu dipotong tangannya."

Al-A'mash berkata: “Mereka (perawi hadis) berpandangan bahawa yang dimaksudkan dengan ‘baydhah’ tersebut ialah baydh al-hadid (topi perang besi). Tali tersebut pula mereka berpandangan bahawa ia bermaksud barang yang nilainya bersamaan dengan beberapa dirham.”

Contoh Kedua: Al-Bukhari telah meriwayatkan di dalam Sahihnya dan berkata: Muhammad bin Abdullah menceritakan kepadaku: 'Asim bin 'Ali menceritakan kepada kami: 'Asim bin Muhammad menceritakan kepada kami: Daripada Waqid bin Muhammad, aku mendengar bapaku berkata: Abdullah bin Umar berkata: Rasulullah SAW bersabda semasa Haji Wada':

أَلَا أَيُّ شَهْرٍ تَعْلَمُونَهُ أَعْظَمَ حُرْمَةً؟ قَالُوا: أَلَا شَهْرُنَا هَذَا. قَالَ: أَلَا أَيُّ بَلَدٍ تَعْلَمُونَهُ أَعْظَمَ حُرْمَةً؟ قَالُوا: أَلَا بَلَدُنَا هَذَا. قَالَ: أَلَا أَيُّ يَوْمٍ تَعْلَمُونَهُ أَعْظَمَ حُرْمَةً؟ قَالُوا: أَلَا يَوْمُنَا هَذَا. قَالَ: فَإِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى قَدْ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ دِمَاءَكُمْ، وَأَمْوَالَكُمْ، وَأَعْرَاضَكُمْ إِلَّا بِحَقِّهَا، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا. أَلَا هَلْ بَلَّغْتُ؟ (ثَلَاثًا) كُلَّ ذَلِكَ يُجِيبُونَهُ: أَلَا نَعَمْ. قَالَ: وَيْحَكُمْ - أَوْ: وَيْلَكُمْ - لَا تَرْجِعُنَّ بَعْدِي كُفَّارًا يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ.

"Bulan apakah yang kamu ketahui paling agung kehormatannya?

Mereka (para sahabat) menjawab: “Bulan kita ini (bulan Zulhijjah).”

Baginda bertanya: “Negeri apakah yang kamu ketahui paling agung kehormatannya?

Mereka menjawab: “Negeri kita ini (Tanah Haram).”

Baginda bertanya: “Hari apakah yang kamu ketahui paling agung kehormatannya?”

Mereka menjawab: “Hari kita ini (Hari Raya Korban).”

Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta'ala telah mengharamkan ke atas kamu darah kamu, harta kamu, dan kehormatan kamu melainkan dengan haknya, sepertimana sucinya hari kamu ini, di negeri kamu ini, di bulan kamu ini. Adakah aku telah menyampaikannya?” (Tiga kali baginda mengulanginya).

Setiap kali itu mereka menjawab: “Ya, sudah.”

Baginda bersabda: “Awas kamu semua. Janganlah kamu kembali menjadi kafir selepas kematianku yang sebahagian kamu memenggal leher sebahagian yang lain."

Kedua-dua hadis ini sanadnya bersambung daripada perawi yang pertama - iaitu al-Bukhari - sehinggalah ke akhirnya, dan penghujungnya adalah kepada Nabi SAW memandangkan kata-kata tersebut disandarkan kepada baginda SAW.

Hukum Hadis Musnad:

Hadis musnad telah memenuhi salah satu syarat hadis sahih iaitu bersambung sanad. Maka jika ditambah kepadanya baki syarat-syarat hadis sahih yang lain, kita boleh menghukumnya sebagai sahih.

Jika dhabit (ketepatan hafalan) perawinya kurang, kita menghukumnya sebagai hasan.

Jika ia kehilangan salah satu daripada syarat-syarat hadis sahih, maka ia menjadi daif, dan persambungan sanad tidak lagi diambil kira ketika itu.

Hadis musnad kadangkala boleh menjadi sahih, atau hasan, atau daif, dan ia tidak dikhususkan dengan satu hukum sahaja daripada ketiga-tiga hukum tersebut.

Perbezaan antara Musnad dan Muttasil:

Musnad dan muttasil mempunyai persamaan dari sudut kedua-duanya mensyaratkan setiap perawinya mesti menerima hadis daripada perawi di atasnya tanpa terputus dari awal rantaian sanad sehingga ke akhirnya.

Kedua-duanya berbeza dari sudut: Musnad mengikut definisinya yang muktamad disyaratkan padanya penyandaran kepada Rasulullah SAW, manakala muttasil tidak disyaratkan sedemikian.

Oleh itu, di antara muttasil dan musnad wujudnya hubungan umum dan khusus secara mutlak ('umum wa khusus mutlaq). Muttasil adalah lebih umum. Justeru, setiap hadis musnad itu ialah muttasil, tetapi tidak sebaliknya.

Perbezaan antara Marfu' dan Musnad:

Marfu' dan musnad mempunyai persamaan dari sudut penyandaran kepada Rasulullah SAW.

Kedua-duanya berbeza dari sudut: Marfu' tidak disyaratkan padanya bersambung sanad, sedangkan perkara tersebut disyaratkan pada musnad.

Oleh itu, di antara marfu' dan musnad wujudnya hubungan umum dan khusus secara mutlak ('umum wa khusus mutlaq) juga. Maka marfu' adalah lebih umum secara berbanding musnad. Justeru, setiap hadis musnad itu adalah marfu', tetapi tidak sebaliknya.

Perbezaan antara Marfu' dan Muttasil:

Marfu' dan muttasil mempunyai persamaan pada hadis muttasil yang marfu' (iaitu musnad).

Hadis marfu' pula berbeza dengan hadis muttasil pada hadis munqati', mursal, dan mu'dal.

Manakala muttasil berbeza dengan marfu' pada hadis yang disandarkan kepada Sahabat atau Tabi'in, sekiranya sanad tersebut bersambung.

Maka di antara muttasil dan marfu' terdapat hubungan umum dan khusus dari satu sudut ('umum wa khusus min wajh).

Sumber:

Al-Madkhal Ila Dirasah Ulum al-Hadis oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Rabu, 28 Oktober 2026

Hadis Muttasil

Dari Segi Bahasa:

Muttasil ialah kata nama pelaku (isim fa'il) bagi perkataan ittisal (bersambung) yang merupakan lawan kepada inqita' (terputus).

Muttasil adalah lawan kepada munqati' (yang terputus).

Dari Segi Istilah:

Hadis yang bersambung sanadnya dari awal hingga ke akhirnya, sama ada ia berstatus marfu' (disandarkan kepada Nabi SAW) atau mawquf (disandarkan kepada Sahabat) atau maqtu' (disandarkan kepada Tabi'in). 

Ia juga dipanggil sebagai: Mawsul.

Penghujung sanadnya mungkin sampai kepada Nabi SAW, atau salah seorang Sahabat, atau salah seorang Tabi'in. 

Akan tetapi, jika penghujung hadis tersebut terhenti pada salah seorang Tabi'in dan sanadnya bersambung kepadanya, sebahagian ulama tidak menamakannya sebagai muttasil semata-mata tanpa sebarang penjelasan tambahan. 

Sebaliknya, mereka meletakkan penjelasan tambahan padanya dengan berkata sebagai contoh: "Sanad ini bersambung (muttasil) sehingga ke Sa'id bin al-Musayyab", atau: "Bersambung sehingga ke Ibn Shihab al-Zuhri", atau: "Bersambung sehingga ke Hasan al-Basri", dan seumpamanya dengannya.

Contohnya:

Contoh bagi muttasil marfu' ialah:

Malik, daripada Ibn Shihab, daripada Salim bin Abdullah, daripada bapanya - semoga Allah meredai mereka - daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: “….”

Contoh bagi muttasil mawquf:

Daripada Malik, daripada Nafi':

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا - كَانَ يُحَلِّي بَنَاتَهُ وَجَوَارِيَهُ الذَّهَبَ ثُمَّ لَا يُخْرِجُ مِنْ حُلِيِّهِنَّ الزَّكَاة

"Ibn Umar - semoga Allah meredai kedua-duanya - pernah memakaikan perhiasan emas kepada anak-anak perempuan dan hamba-hamba perempuannya, kemudian beliau tidak mengeluarkan zakat daripada perhiasan mereka itu."

Daripada Malik daripada Nu'aim bin Abdullah Al-Mujmir, dia mendengar Abu Hurairah - semoga Allah meredainya - berkata:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ ثُمَّ جَلَسَ فِي مُصَلَّاهُ لَمْ تَزَلِ الْمَلَائِكَةُ تُصَلِّي عَلَيْهِ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ، فَإِذَا قَامَ مِنْ مُصَلَّاهُ، فَجَلَسَ فِي الْمَسْجِدِ يَنْتَظِرُ الصَّلَاةَ؛ لَمْ يَزَلْ فِي صَلَاةٍ حَتَّى يُصَلِّيَ.

"Apabila salah seorang daripada kamu selesai bersolat kemudian dia duduk di tempat solatnya, para malaikat sentiasa mendoakannya: “Ya Allah, ampunilah dia, Ya Allah, rahmatilah dia.”

Maka apabila dia bangun dari tempat solatnya, lalu duduk di dalam masjid untuk menunggu solat (seterusnya); dia sentiasa dikira berada di dalam keadaan solat sehinggalah dia mendirikan solat."

Contoh bagi muttasil maqtu':

Ibn Abi Al-Dunya meriwayatkan daripada Al-Fadl bin Sahl: Abu Al-Nadr menceritakan kepada kami daripada Muhammad bin Talhah, daripada Khalaf bin Hawshab, daripada Hasan al-Basri tentang firman Allah:

إِنَّ الْإِنْسَانَ لِرَبِّهِ لَكَنُودٌ

"Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar kepada Tuhannya." [Al-Adiyat: 6]

Hasan al-Basri berkata:

يَذْكُرُ الْمُصِيبَاتِ، وَيَنْسَى النِّعَمَ

"Dia sering menyebut-nyebut tentang musibah, dan melupakan segala nikmat."

Hukum Hadis Muttasil:

Hadis muttasil kadangkala boleh menjadi sahih, kadangkala hasan, dan kadangkala daif.

Jika ia melengkapi baki syarat-syarat hadis sahih - di samping sanadnya yang bersambung/muttasil - maka ia dihukumkan sebagai sahih.

Jika dhabit (ketepatan hafalan) sebahagian perawinya kurang, maka ia menjadi hasan.

Namun, jika ia kehilangan salah satu syarat hadis sahih yang lain seperti hilangnya 'adalah (integriti) atau dhabit perawinya, atau hadis tersebut syaz ataupun mu'allal (mempunyai kecacatan tersembunyi), maka ia dihukumkan sebagai daif, dan bersambung sanadnya ketika itu tidak lagi diambil kira. 

Sumber: 

Al-Madkhal Ila Dirasah Ulum al-Hadis oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Rabu, 30 September 2026

Dajjal Tak Disebut Dalam al-Quran?

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah dalam kitab Fath al-Bari telah menjawab tentang persoalan tersebut:

Telah masyhur persoalan mengenai hikmah tidak dinyatakan secara jelas tentang Dajjal dalam al-Quran, sedangkan telah disebutkan mengenai kejahatannya, betapa besarnya fitnahnya, amaran para nabi terhadapnya, dan perintah untuk memohon perlindungan daripadanya sehinggakan dalam solat.

Maka ia telah dijawab dengan beberapa jawapan:

Pertama: Dajjal sebenarnya telah disebutkan dalam firman Allah Taala:

يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا

"Pada hari datangnya sebahagian tanda-tanda Tuhanmu, tidak berguna lagi iman seseorang yang belum beriman sebelum itu." [Al-An'am: 158].

Al-Tirmizi telah mengeluarkan sebuah riwayat dan mensahihkannya daripada Abu Hurairah secara marfu' (disandarkan kepada Nabi):

ثَلَاثَةٌ إِذَا خَرَجْنَ لَمْ يَنْفَعْ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ: الدَّجَّالُ، وَالدَّابَّةُ، وَطُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا

"Tiga perkara apabila ia keluar, tidak berguna lagi iman seseorang yang belum beriman sebelum itu: Dajjal, Dabbah, dan terbitnya matahari dari arah barat."

Kedua: Telah ada isyarat di dalam al-Quran mengenai turunnya Isa bin Maryam pada firman Allah Taala:

وَإِنْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ إِلَّا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ

"Dan tidak ada seorang pun daripada Ahli Kitab melainkan akan beriman kepadanya sebelum kematiannya."  [An-Nisa': 159]

Dan pada firman Allah Taala:

وَإِنَّهُ لَعِلْمٌ لِّلسَّاعَةِ

"Dan sesungguhnya ia (turunnya Isa) adalah tanda bagi (kedatangan) hari Kiamat." [Az-Zukhruf: 61].

Telah sahih bahawa Nabi Isa yang akan membunuh Dajal. Maka memadai dengan menyebut salah satu daripada dua perkara yang saling bertentangan dan tidak menyebutkan yang satu lagi. Dan juga kerana Dajjal digelar al-Masih sepertimana Isa, namun Dajjal adalah al-Masih yang membawa kesesatan (Masih al-Dalalah), manakala Isa adalah al-Masih yang membawa petunjuk (Masih al-Huda).

Ketiga: Ditinggalkan menyebut tentang Dajal kerana untuk menganggapnya hina.

Namun, pandangan ini disanggah kerana ada disebutkan tentang Yakjuj dan Makjuj, sedangkan kekacauan mereka tidaklah kurang hebat berbanding kekacauan Dajal dan juga orang sebelumnya.

Ia disanggah lagi bahawa persoalan itu masih kekal iaitu: Apakah hikmah ditinggalkan sebutan secara jelas mengenai Dajjal?

Guru al-Hafiz Ibnu Hajar iaitu Imam al-Bulqini menjawab bahawa beliau telah meneliti setiap pembuat kerosakan yang disebutkan di dalam al-Quran, maka beliau mendapati setiap orang yang disebutkan itu hanyalah daripada kalangan mereka yang telah lalu dan kisahnya telah tamat. Adapun sesiapa yang belum datang lagi, maka tidak disebutkan seorang pun dari kalangan mereka.

Namun pandangan ini terbatal dengan adanya disebutkan tentang Yakjuj dan Makjuj.

Keempat: Terdapat di dalam Tafsir al-Baghawi bahawa Dajjal ada disebutkan di dalam al-Quran pada firman Allah Taala[1]:

لَخَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ

"Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia." [Ghafir: 57].

Yang dimaksudkan dengan "manusia" di sini ialah Dajjal, iaitu melalui kaedah (bahasa ِArab): menyebutkan keseluruhan (iaitu manusia) namun yang dimaksudkan hanyalah sebahagian daripadanya (iaitu Dajjal).


[1] Orang-orang Yahudi pada zaman Nabi SAW sangat mengagung-agungkan dan membesar-besarkan kedatangan Dajjal. Mereka menganggap Dajjal itu mempunyai kuasa yang amat dahsyat dan luar biasa. Bagi mereka, Dajjal adalah makhluk yang sangat hebat dan besar. Maka, Allah menurunkan ayat ini untuk menempelak kesombongan orang Yahudi tersebut. Walau sehebat mana pun Dajjal, dia tetap seorang makhluk kecil yang hina berbanding kehebatan alam semesta yang Allah ciptakan.

Rabu, 16 September 2026

Istilah Muttafaqun 'Alaih Dalam Ilmu Hadis

Maksudnya ialah hadis yang disebut padanya dengan ungkapan ini telah disepakati untuk meriwayatkannya oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, semoga Allah Taala merahmati keduanya.

Ia bermaksud kesepakatan al-Bukhari dan Muslim, bukannya kesepakatan umat Islam ke atasnya. Namun, kesepakatan umat Islam ke atasnya adalah suatu kelaziman daripada kesepakatan al-Bukhari dan Muslim tersebut. Kesepakatan umat Islam turut terhasil bersamanya memandangkan wujudnya kesepakatan umat Islam dalam menerima apa yang telah disepakati oleh kedua-dua imam tersebut.

Imam al-Nawawi telah menukilkan di dalam kitab Syarh Muslim daripada Ibn al-Salah akan kata-katanya: "Apa yang telah disepakati oleh mereka berdua adalah dapat dipastikan kebenarannya disebabkan oleh penerimaan umat Islam terhadapnya. Penerimaan tersebut memberikan faedah ilmu nazari[1], dan ia dari sudut memberikan faedah ilmu adalah seperti mutawatir, cuma hadis mutawatir memberikan faedah ilmu daruri[2], manakala penerimaan umat Islam pula memberikan faedah ilmu nazari."

Sebenarnya telah ada pihak yang mendahului Ibn al-Salah yang mengatakan apa yang diriwayatkan oleh al-Syaikhan (al-Bukhari dan Muslim) adalah diyakini kesahihannya.

Al-'Iraqi telah menyebutkan sebahagian daripada mereka, antaranya ialah Abu al-Fadl bin Tahir (meninggal dunia tahun 507 H) dan Abu Nasr bin Yusuf (meninggal dunia tahun 574 H).

Maka jika hadis itu diyakini kesahihannya, berserta penerimaan umat Islam terhadapnya, ia sebenarnya menghasilkan faedah ilmu daruri, bukannya ilmu nazari. Tambahan lagi kebanyakan matan (teks hadis) di dalam kedua-dua kitab Sahih tersebut telah mencapai tahap mutawatir.

Rujukan:

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri. 


[1] Ilmu atau keyakinan yang terhasil dalam diri seseorang secara spontan, serta-merta (automatik), dan tanpa memerlukan pembuktian dalil, kajian, atau proses berfikir yang mendalam.

Contohnya seperti khabar mutawatir iaitu berita yang disampaikan oleh orang yang terlalu ramai sehingga mustahil mereka bersepakat untuk berbohong. Contohnya, keyakinan kita yang secara serta-merta dan spontan tentang kewujudan kota Makkah (walaupun bagi yang belum pernah ke sana) atau kewujudan tokoh sejarah seperti Nabi Muhammad SAW. 

[2] Ilmu atau pengetahuan yang hanya boleh dicapai melalui proses berfikir, meneliti, analisis, perbahasan, dan memerlukan dalil atau hujah untuk meyakininya.

Contohnya seperti hadis ahad (hadis yang tidak mencapai tahap mutawatir) yang biasanya menghasilkan ilmu nazari. Untuk mengetahui sama ada hadis itu sahih atau tidak, ulama terpaksa membuat kajian (mengkaji profil perawi, sanad terputus atau bersambung, dan lain-lain). Setelah dikaji dan terbukti sahih, barulah wujud keyakinan.

Ahad, 13 September 2026

Kenapa al-Bukhari Tak Riwayat Hadis Melalui al-Syafi’i

Soalan:

Mengapakah al-Bukhari tidak meriwayatkan hadis daripada al-Syafi’i?

Jawapan Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari:

Al-Bukhari tidak meriwayatkan hadis daripada al-Syafi’I dalam al-Sahih kerana dua sebab (selain daripada faktor kependekan sanad (uluw al-sanad), al-Syafi’i berumur pendek, dan al-Khatib al-Baghdadi mempunyai satu juzuk (karya) mengenai topik ini):

Pertama: Al-Syafi’i kerap kali berkata: "Telah mengkhabarkan kepada kami orang yang terpercaya (thiqah)", atau "Telah mengkhabarkan kepadaku orang yang tidak aku pertikaikan."

Kedua: Perawi-perawi yang al-Syafi’i meriwayatkan daripada mereka, dalam kalangan mereka terdapat perawi-perawi yang daif dan majhul (tidak dikenali). Al-Syafi’i sendiri telah memberikan peringatan terhadap keadaan sebahagian daripada mereka.

Sebab yang ketiga: Al-Syafi’i bukanlah seorang yang luas periwayatannya, dan hadis-hadis yang beliau riwayatkan secara sahih adalah sedikit. Sebahagian besarnya bukan mengikut kriteria al-Bukhari. Manakala hadis daripadan al-Syafi’i yang menepati kriteria al-Bukhari telah pun sedia ada pada al-Bukhari melalui jalan sanad yang lebih pendek.

Al-Bukhari telah menukilkan daripada al-Syafi’i sebanyak dua kali di dalam Sahihnya, sekali dalam Kitab Zakat di bawah tajuk: Bab Pada Harta Karun (Rikaz) Ada Satu Perlima (Zakat), dan sekali lagi di dalam Kitab Jual Beli di bawah tajuk: Bab Tafsir al-'Araya.

Sumber:

Mausu’ah Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari (16/251).

Sabtu, 12 September 2026

Firaun Mati Beriman?

Soalan:

Adakah Ibn al-'Arabi seorang sahaja yang berpendapat bahawa Firaun beriman?

Jawapan Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari:

Ibn al-'Arabi tidak bersendirian ketika berpandangan bahawa diterimanya keimanan Firaun, bahkan beliau telah didahului oleh sebahagian Ahli Sufi. Perkara ini dihikayatkan daripada mereka oleh Abdul Samad al-Hanafi di dalam Tafsirnya, dan beliau merupakan salah seorang daripada ulama kurun keempat.

Golongan yang berpandangan bahawa Firaun beriman telah terkeliru antara maqam doa dengan maqam iman.

Mereka mengatakan bahawa sesungguhnya Firaun berada dalam keadaan terdesak dan Allah Taala memperkenankan doa orang yang terdesak. Perkara ini adalah benar. Sekiranya Firaun berdoa pada saat tenggelam nescaya Allah akan menyelamatkannya, akan tetapi dia tidak berdoa sebaliknya dia menyatakan keimanan, sedangkan keimanan pada saat tersebut tidak diterima berdasarkan nas al-Quran.

Dalil yang jelas mengenai kematiannya dalam keadaan kafir daripada al-Quran adalah firman Allah Taala:

فَلْيُلْقِهِ الْيَمُّ بِالسَّاحِلِ يَأْخُذْهُ عَدُوٌّ لِي وَعَدُوٌّ لَهُ

“Kemudian lepaskanlah (Nabi Musa yang berada di dalam) peti itu ke sungai Nil. Biarlah sungai itu membawanya terdampar di tepian, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya (iaitu Firaun).” [Taha: 39]

Maka ayat ini memberitahu bahawa Firaun adalah musuh Allah. Perkhabaran (daripada Allah) tidak akan berubah dan tidak dimansuhkan. Oleh itu, Firaun telah mati sebagai seorang kafir yang menjadi musuh Allah. Hal ini berlaku demikian kerana jika keimanannya diterima, nescaya dia tidak akan dinamakan sebagai musuh Allah. Perkara ini (Firaun bukan musuh Allah) adalah batil (kerana al-Quran menyatakan secara jelas dia adalah musuh Allah).

Sumber:

Mausu’ah Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari (16/14).