Khamis, 12 Mac 2026

Hampir Mati Kehausan Ketika Mengembara

Al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi telah meriwayatkan di dalam Tarikh Baghdad, dan al-Hafiz al-Zahabi di dalam Tazkirah al-Huffaz, pada biografi Imam Muhammad bin Nasr al-Marwazi, kedua-dua mereka meriwayatkan dengan sanad mereka kepada Abu 'Amr Uthman bin Ja'far bin al-Labban, beliau berkata:

"Muhammad bin Nasr al-Marwazi telah menceritakan kepadaku, beliau berkata: “Aku telah keluar dari Mesir bersama seorang hamba perempuanku. Aku belayar di lautan dengan tujuan menuju ke Makkah, lalu kapal kami karam dan aku telah kehilangan dua ribu juzuk (kitab)!

Aku dan hamba perempuanku terdampar di sebuah pulau, dan kami tidak melihat sesiapa pun di situ.

Aku berasa sangat dahaga, namun aku tidak mendapat air sehingga aku menjadi terlalu lemah. Lalu aku meletakkan kepalaku di atas pangkuan hamba perempuanku dalam keadaan pasrah menanti kematian.

Tiba-tiba seorang lelaki datang kepadaku membawa sebuah kendi, seraya berkata kepadaku: “Minumlah.”

Maka aku mengambilnya lalu meminumnya dan aku memberi hamba perempuanku minum. Kemudian lelaki itu berlalu pergi, dan aku tidak tahu dari mana dia datang dan ke mana dia pergi."

Sumber:

Safahat Min Sabr al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan