Soalan:
Adakah Tariqat Naqshabandiah itu merupakan jalan Nabi
Muhammad SAW sepertimana yang didakwa oleh sebahagian syeikh di sini, di
Damsyik? Dan (adakah) kekhalifahan itu datangnya daripada Rasulullah SAW di
mana syeikh tersebut bermimpi melihat Nabi Muhammad SAW lalu Baginda bersabda:
"Engkaulah khalifahku di bumi", lalu dia bebas bertindak sesuka
hatinya, dan dia menjadi golongan ahli kasyaf, golongan yang memiliki karamah,
serta melihat Nabi pada setiap hari?
Semasa syeikh tersebut sedang menyampaikan kuliah, saya
bertanya kepadanya: "Mengapakah ulama syariat tidak memperoleh apa yang
diperoleh oleh ahli tariqat?" Dia menjawab: "Kami mempunyai
keistimewaan. Mereka adalah ahli syariat dan kami adalah ahli tariqat."
Dan apabila saya mengemukakan banyak soalan kepadanya, salah seorang
pengiringnya telah memukul saya dan mengeluarkan saya dari masjid. Adakah
kata-kata syeikh itu merupakan satu kebenaran, atau adakah saya yang berada di
pihak yang tidak benar?
Jawapan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili:
Segala dakwaan atau tuntutan yang disuarakan oleh para
pengikut tariqat sebegini langsung tidak mempunyai sebarang sandaran syarak.
Syariat tidak mengenali perbezaan antara ahli syariat dan ahli tariqat. Walau
bagaimanapun, adalah lebih baik agar anda tidak berkonflik dengan golongan awam
ini dan syeikh-syeikh mereka memandangkan apa yang telah mereka lakukan
terhadap anda.
Tariqat yang sebenar adalah jalan zikir-zikir yang makruf
(sabit) di dalam al-Quran dan Sunnah. Tiada siapa pun yang mempunyai kelebihan
berbanding orang lain melainkan dengan ketakwaan atau amal soleh. Kita biarkan
sahaja mereka ini dan apa yang mereka dakwakan.
فَرَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ
“Tuhan kamu lebih mengetahui siapa yang bertakwa.”
Sumber:
Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili


Tiada ulasan:
Catat Ulasan