Soalan:
Apakah hukum kata-kata seorang penasyid:
"Tiada siapa bagiku selainmu tatkala turunnya
bencana yang merata.
Dan sesungguhnya sebahagian daripada kedermawananmu
adalah (terciptanya) dunia dan madunya (iaitu akhirat)...
Dan sebahagian daripada ilmumu adalah ilmu Luh dan
Qalam."
Dan juga kata-katanya:
"Namanya adalah satu sumpah daripada sumpah yang
paling agung"
Untuk makluman, saya sangat menyukai qasidah karya al-Busiri
ini, dan saya memohon kepada Allah agar saya menjadi orang yang benar jujur
dalam mencintai Nabi SAW, keluarganya, dan para sahabatnya. Namun, ada yang
berkata kepada saya bahawa di dalamnya terdapat perkara yang menyalahi akidah
tauhid.
Jawapan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili:
1. Ungkapan pertama merupakan satu keimanan dan penetapan
terhadap syafaat bagi Nabi SAW.
Baginda memiliki dua syafaat: Syafaat Kubra (terbesar) untuk
seluruh makhluk bagi melepaskan mereka daripada kedahsyatan hari kiamat dan
membawa manusia ke tempat hisab. Syafaat Sughra (kecil) untuk para pelaku
maksiat daripada kalangan umatnya.
2. Ungkapan kedua pula, ia tidak bermaksud penciptaan dan
pengadaan (alam semesta), sebaliknya apa yang dimaksudkan ialah kenikmatan
dunia dan akhirat itu terhasil melalui keimanan terhadap risalah Rasul yang
agung SAW.
Adapun ilmu-ilmu yang dimaksudkan pula ialah apa yang
diajarkan oleh Allah kepada Baginda melalui wahyu semata-mata, dan bukannya
mengetahui perkara-perkara ghaib atau apa yang tidak dipelajarinya melalui
wahyu.
3. Ungkapan ketiga, sesungguhnya Allah Taala telah bersumpah
dengan Nabi SAW dalam firman-Nya:
لَعَمْرُكَ إِنَّهُمْ لَفِي سَكْرَتِهِمْ يَعْمَهُونَ
Maksudnya: "Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya
mereka membabi buta dalam kemabukan (kesesatan) mereka." [Surah al-Hijr:
15/72]
Selepas (mendapat) kefahaman ini, maka waspadalah daripada kekeliruan yang ditimbulkan oleh golongan yang suka mengelirukan dan daripada dieksploitasi oleh golongan lurus bendul yang tidak memahami maksud al-Busiri dan selainnya.
Kami adalah orang yang paling kuat menitikberatkan soal
keselamatan akidah, dan salah faham golongan yang jahil sama sekali tidak
memudaratkan kami.
Sumber:
Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili


Tiada ulasan:
Catat Ulasan