Jumaat, 20 Mac 2026

Hukum Wanita Menutup Wajahnya

Soalan:

Adakah wajib bagi wanita Muslimah menutup wajahnya?

Jawapan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili:

Tidak wajib bagi wanita menutup wajahnya dan juga kedua-dua lengan tangannya mengikut pandangan majoriti ulama, bahkan al-Qadi Iyad menyebutkan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa wanita dibenarkan untuk menampakkan wajahnya di luar solat.

Hukum ini bersumberkan daripada Sunnah Nabawiah di mana terdapat penjelasan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Aisyah RA:

يَا أَسْمَاءُ، إِنَّ المَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ المَحِيضَ، لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا، وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفِّهِ

"Wahai Asma', sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah mencapai usia haid, tidak wajar dilihat daripadanya melainkan ini dan ini, sambil Baginda menunjuk ke arah wajah dan tapak tangannya."

Dalil yang jelas daripada al-Quran al-Karim:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

"Dan janganlah mereka (para wanita) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya." [Surah al-Nur: 24/31]

Sekumpulan sahabat telah menafsirkan “yang zahir daripadanya” tersebut sebagai wajah, kedua-dua tapak tangan, dan pakaian. Maka, wajah wanita mahupun suaranya bukanlah aurat.

Manakala Imam Abu Hanifah dan sekelompok ulama telah mengecualikan kedua-dua belah kaki dan gelang kaki (sebagai bukan aurat).

Walau bagaimanapun, jika wanita tersebut terdedah kepada fitnah melalui gangguan secara fizikal, lisan, dan seumpamanya, maka dia hendaklah menutup wajahnya. Sekiranya dia memakai menutup wajah atas dasar warak dan langkah berjaga-jaga, maka tidak menjadi kesalahan baginya, dia mendapat pahala, dan uruf (adat setempat) bagi setiap negara perlu diambil kira.

Adapun mengenai menundukkan pandangan –iaitu tidak melepaskan pandangan, memerhati, merenung, dan mengamat-amati– ia adalah satu perintah yang disyariatkan secara bersama ke atas setiap lelaki dan wanita seperti dalam dua ayat Surah al-Nur (ayat 30-31). Ia merupakan satu adab Islam yang tinggi dan kewajipan akhlak yang agung, sama ada wanita itu menutup wajah dan kedua-dua tapak tangannya ataupun tidak.

Sumber:

Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili

Tiada ulasan:

Catat Ulasan