Soalan:
Saya telah membaca dalam salah sebuah karya tafsir anda,
satu nukilan daripada Imam al-Qurtubi daripada Syeikh al-Tartusyi berupa
pandangan yang menentang tasawuf dan menyerangnya dengan keras.
Lalu saya berasa pelik dengan perkara tersebut kerana saya
mengetahui bahawa sebahagian besar ulama umat ini yang masyhur adalah dari
kalangan ahli sufi seperti Imam al-Ghazali, al-Suyuti, Ibn Abd al-Salam, Ibn
Daqiq al-Id, Ibn Abidin al-Syami, dan ramai lagi, begitu juga sebahagian
daripada guru-guru anda yang mulia.
Maka, bolehkah anda jelaskan kepada kami pandangan anda
mengenai tasawuf, memandangkan anda langsung tidak menjelaskan bahawa tasawuf
itu mempunyai pelbagai jenis dan tidak mengecualikan ahli sufi daripada
kalangan ulama yang menuruti al-Quran dan Sunnah Nabawiah serta jauh daripada
bidaah dan penyelewengan.
Jawapan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili:
Tasawuf itu ada dua jenis: yang terpuji dan yang dikeji, dan
perbahasan saya tersebut bukanlah tentangnya.
Tasawuf yang terpuji adalah yang bertepatan dengan al-Quran
dan Sunnah, iaitu yang menitikberatkan kejernihan jiwa, keelokan penumpuan
kepada Allah dan hubungan dengan Allah, terutamanya zikir-zikir yang sabit di
dalam al-Quran dan yang ma'thur (diriwayatkan) daripada Nabi SAW.
Manakala tasawuf yang dikeji pula adalah tokok tambah kepada
perkara tersebut yang terdiri daripada perlakuan luaran, formaliti, perbuatan
melampau-lampau, pukulan gendang, dan serunai yang masuk di bawah kategori
bidaah yang diharamkan atau mungkar. Inilah yang menjadi fokus bantahan oleh
para ulama seperti al-Qurtubi dan selainnya, dan ia juga adalah pandangan saya.
Sangat didukacitakan, gendang dan serunai telah masuk ke
dalam rumah-rumah Allah atau masjid-masjid di dalam majlis-majlis maulid. Ini
adalah perkara yang saya ingkari bersama-sama dengan para ulama lain yang kukuh
ilmunya lagi dipercayai.
Saya menyukai ahli tasawuf yang bersederhana dan berpegang
teguh dengan adab-adab dan syariat al-Quran dan Sunnah, dan saya membenci
golongan pembuat bidaah dan anasir luar ke dalam Islam. Maka, inilah metodologi
saya.
وَاللَّهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ
يَهْدِي السَّبِيلَ
"Dan Allah menerangkan perkara yang benar, dan Dialah
jua yang menunjukkan jalan yang betul."
Sumber:
Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili


Tiada ulasan:
Catat Ulasan