Oleh: Syeikh Dr Salahuddin al-Idlibi
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang aku
bermula dan kepada-Nya aku memohon pertolongan.
Ini adalah sedikit catatan ringkas mengenai umur Saidatina
Khadijah RA pada hari perkahwinannya dengan junjungan kita, Rasulullah SAW:
Beberapa riwayat
sebagai mukadimah kepada persoalan ini:
1 - Imam at-Tabarani (meninggal dunia pada tahun 360 Hijrah)
telah meriwayatkan di dalam al-Mu'jam al-Kabir daripada Ibnu Syihab al-Zuhri
(meninggal dunia pada tahun 124 Hijrah) bahawa beliau berkata:
"Khadijah RA meninggal dunia di Makkah tiga tahun
sebelum Rasulullah SAW keluar (berhijrah) ke Madinah."
2 - Diriwayatkan juga daripada 'Urwah bin al-Zubair (meninggal
dunia pada tahun 94 Hijrah) dan daripada Qatadah bin Di'amah (meninggal dunia
pada tahun 117 Hijrah) mengenai fakta yang serupa. Ketiga-tiga mereka ini
adalah daripada kalangan Tabi'in.
3 - Imam al-Baihaqi (meninggal dunia pada tahun 458 Hijrah)
telah meriwayatkan di dalam kitab Dala'il an-Nubuwwah daripada Aisyah RA,
bahawa beliau berkata:
"Rasulullah SAW mengahwiniku tiga tahun selepas kematian
Khadijah."
Al-Baihaqi berkata: "Kedua-duanya (al-Bukhari dan
Muslim) telah mengeluarkannya di dalam kitab al-Sahih.”
4 - Diriwayatkan daripada al-Zuhri bahawa beliau berkata:
"Khadijah meninggal dunia di Makkah sebelum
Rasulullah SAW keluar (berhijrah) ke Madinah dan sebelum solat
difardukan."
5 - Diriwayatkan daripada Muhammad bin Ishaq (meninggal
dunia pada tahun 151 Hijrah), bahawa beliau berkata:
"Khadijah binti Khuwailid dan Abu Talib meninggal
dunia pada tahun yang sama."
6 - Al-Waqidi mendakwa bahawa mereka (para sahabat) telah
keluar dari al-Syi'b tiga tahun sebelum Hijrah, dan pada tahun inilah Khadijah
serta Abu Talib meninggal dunia.
Berapakah umur
Saidatina Khadijah RA pada hari perkahwinan Nabi SAW dengannya?
Dalam isu ini terdapat beberapa pendapat, dan yang masyhur
adalah umurnya empat puluh tahun.
Berikut adalah beberapa pendapat ulama yang menyokong bahawa
umurnya pada waktu itu adalah 40 tahun atau sekitarnya:
1 - Ibnu Sa'ad (meninggal dunia pada tahun 230 Hijrah) telah
meriwayatkan di dalam al-Tabaqat al-Kubra daripada Muhammad bin Umar
al-Waqidi (meninggal dunia pada tahun 207 Hijrah), dengan sanadnya daripada al-Zuhri
dan daripada al-Muttalib bin Abdullah bin Hantab, bahawa kedua-duanya berkata:
"Rasulullah SAW mengahwininya ketika Baginda berusia
25 tahun dan Khadijah berusia 40 tahun. Khadijah meningal dunia setelah 10
berlalu dari bulan Ramadan (yakni pada 10 Ramadan) pada tahun 10 kenabian,
iaitu 3 tahun sebelum Hijrah, ketika beliau berusia 65 tahun."
Ibnu Sa'ad turut meriwayatkannya daripada al-Waqidi dengan
sanadnya daripada Hakim bin Hizam RA.
2 - Al-Hakim (meninggal dunia pada tahun 405 Hijrah) telah
meriwayatkan di dalam kitabnya al-Mustadrak melalui sanad: Abdullah bin
Muhammad bin Yahya bin 'Urwah bin al-Zubair daripada bapa saudaranya iaitu
Hisyam bin 'Urwah, bahawa beliau berkata:
"Khadijah binti Khuwailid RA meninggal dunia ketika
beliau berusia 65 tahun."
Abdullah bin Muhammad bin Yahya bin 'Urwah adalah seorang
yang matruk (ditinggalkan hadisnya). Maka sanad ini adalah rosak (talif).
Jika beliau meninggal dunia ketika berusia 65 tahun, ini
bermakna usianya pada hari perkahwinannya dengan Nabi SAW adalah 40 tahun.
Al-Hakim telah memberikan komentar terhadap riwayat ini
dengan berkata:
"Ini adalah pendapat yang syaz (ganjil), kerana
pandangan yang kuat di sisiku ialah beliau tidak mencapai usia 60 tahun."
3 - Ibnu Abdul Barr (meninggal dunia pada tahun 463 Hijrah) berkata
di dalam al-Isti'ab:
"Ketika Rasulullah SAW mengahwininya, beliau berusia
60 tahun, lalu beliau hidup bersama Baginda SAW selama 24 tahun, dan meninggal
dunia ketika berusia 64 tahun 6 bulan."
Al-Waqidi dianggap thiqah oleh sekelompok ulama,
namun didaifkan oleh sekelompok ulama yang lain serta dituduh melakukan
pendustaan. Boleh jadi beliau adalah seorang yang thiqah dalam
riwayat-riwayat berkaitan sejarah, namun mencampuradukkan fakta atau berdusta
dalam sebahagian sanad riwayat-riwayat hadis.
4 - Ibnu al-Athir (meninggal dunia pada tahun 630 Hijrah) berkata
di dalam kitabnya, Usd al-Ghabah:
"Umurnya ketika itu adalah 40 tahun."
5 - Al-Nawawi (meninggal dunia pada tahun 676 Hijrah) berkata
di dalam kitabnya Tahzib al-Asma' wa al-Lughat:
"Rasulullah SAW mengahwininya ketika beliau berusia 45
tahun pada hari tersebut. Ada pandangan mengatakan 28 tahun, dan ada pandangan
mengatakan 40 tahun. Di dalam Tarikh Damsyik (dinyatakan) bahawa beliau meninggal
dunia pada bulan Ramadan tahun kesepuluh Kenabian ketika berusia 65
tahun."
6 - Ibnu Hajar (meninggal dunia pada tahun 852 Hijrah) berkata
di dalam kitab al-Isabah:
"Diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam bahawa Khadijah
lebih tua daripada Nabi SAW sebanyak 15 tahun. Al-Waqidi telah meriwayatkan
dengan sanadnya daripada beberapa jalur sanad bahawa ketika perkahwinannya
dengan Baginda, beliau berusia 40 tahun. Al-Waqidi berkata: “Beliau meninggal
dunia setelah 10 berlalu dari bulan Ramadan (yakni pada 10 Ramadan) ketika
berusia 65 tahun.” Kemudian beliau meriwayatkan dengan sanadnya daripada hadis
Hakim bin Hizam bahawa beliau wafat pada tahun kesepuluh pengutusan baginda sebagai
Rasul."
6 - As-Salihi (meninggal dunia pada tahun 942 Hijrah) di
dalam kitabnya, Subul al-Huda wa al-Rasyad telah menukilkan daripada
Muhammad bin Umar al-Waqidi al-Aslami bahawa Khadijah meninggal dunia setelah 10
hari berlalu dari bulan Ramadan ketika berusia 65 tahun. Kemudian beliau
meriwayatkan daripada Hakim bin Hizam bahawa Khadijah meninggal dunia pada tahun
kesepuluh pengutusan Kenabian. Ini bermakna usianya pada hari perkahwinannya
dengan Nabi SAW adalah 40 tahun.
7 - Mulla Ali al-Qari (meninggal dunia pada tahun 1014
Hijrah) berkata di dalam kitabnya, Jam' al-Wasa'il:
"Rasulullah SAW mengahwininya ketika Baginda berusia
25 tahun dan beliau ketika itu berusia 40 tahun. Beliau meninggal dunia pada
bulan Ramadan tahun kesepuluh Kenabian di Makkah ketika berusia 65 tahun."
8 - Ibnu 'Asakir (meninggal dunia pada tahun 571 Hijrah) telah
meriwayatkan di dalam Tarikh Damsyik melalui sanad: al-Mufaddal al-Ghallabi
daripada al-Waqidi bahawa beliau berkata:
"Ulama-ulama kita telah bersepakat bahawa wanita
pertama yang dikahwini oleh Nabi SAW ialah Khadijah binti Khuwailid, dan beliau
ketika itu berusia 44 tahun."
Pendapat ini adalah bercanggah dengan apa yang pernah
dikatakan oleh al-Waqidi, dipertahankannya, dan diriwayatkannya melalui
sanad-sanadnya bahawa Khadijah berusia 40 tahun.
Ini adalah
beberapa pendapat ulama yang menyatakan bahawa beliau berusia di bawah 40 tahun:
1 - Ibnu 'Asakir telah meriwayatkan daripada Abu Bakar bin
Uthman bin Sahl bin Hunaif bahawa Rasulullah SAW mengahwini Khadijah ketika
beliau pada hari tersebut berusia 30 tahun.
2 - Ibnu Sa'ad telah meriwayatkan daripada Hisyam bin
Muhammad bin al-Sa'ib al-Kalbi, daripada bapanya, daripada Abu Salih, daripada
Ibnu Abbas bahawa beliau berkata:
"Khadijah pada hari Rasulullah SAW mengahwininya
berusia dua puluh lapan tahun."
Hisyam bin Muhammad bin al-Sa'ib dan bapanya adalah dituduh
berdusta dalam periwayatan hadis.
3 - Al-Hakim (meninggal dunia pada tahun 405 Hijrah) telah
meriwayatkan di dalam kitabnya, al-Mustadrak melalui sanad: Ibrahim bin
Sa'ad al-Zuhri daripada Muhammad bin Ishaq bahawa Abu Talib dan Khadijah binti
Khuwailid meninggal dunia pada tahun yang sama, iaitu 3 tahun sebelum
penghijrahan Nabi SAW ke Madinah, dan usia beliau pada hari Baginda
mengahwininya adalah 28 tahun.
4 - Al-Baihaqi berkata di dalam kitab Dala'il an-Nubuwwah:
Abu Abdullah al-Hakim berkata: Aku telah membaca daripada tulisan tangan Abu
Bakar bin Abu Khaithamah, beliau berkata: Mus'ab bin Abdullah az-Zubairi telah
menceritakan kepada kami, beliau berkata:
"Usia Khadijah mencapai 65 tahun, dan ada pendapat
mengatakan 50 tahun, dan inilah pendapat yang lebih sahih."
Abu Bakar bin Abu Khaithamah meninggal dunia pada tahun 279
Hijrah, manakala Mus'ab bin Abdullah al-Zubairi meninggal dunia pada tahun 236
Hijrah.
Aku berkata: Jika Saidatina Khadijah RA telah mencapai usia 65
tahun pada hari kematiannya, ini bermakna beliau berusia 40 tahun pada hari
perkahwinan Nabi SAW dengannya. Namun, jika beliau telah mencapai usia 50 tahun
pada hari kematiannya, ini bermakna beliau berusia 25 tahun pada hari
perkahwinan Nabi SAW dengannya.
Ringkasan:
Pendapat pertama yang juga merupakan pendapat yang
masyhur: Umur beliau pada hari perkahwinannya dengan Nabi SAW adalah 40 tahun,
dan umurnya pada hari kematiannya adalah 65 tahun. Inilah yang diriwayatkan
oleh Ibnu Sa'ad di dalam al-Tabaqat al-Kubra daripada al-Waqidi berserta
sanad-sanadnya.
Pendapat kedua: Umur beliau pada hari perkahwinannya
dengan Nabi SAW adalah 30 tahun. Inilah yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Asakir
daripada Abu Bakar bin Uthman bin Sahl bin Hunaif.
Pendapat ketiga: Umur beliau pada hari perkahwinannya
dengan Nabi SAW adalah 28 tahun. Inilah yang diriwayatkan oleh Imam Abu
Abdullah al-Hakim di dalam al-Mustadrak daripada Ibnu Ishaq, dan ia
turut diriwayatkan oleh Ibnu Sa'ad dengan sanad yang rosak daripada Ibnu Abbas.
Pendapat keempat: Umur beliau pada hari
perkahwinannya dengan Nabi SAW adalah 25 tahun, dan umurnya pada hari kematiannya
adalah 50 tahun. Inilah yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Dala'il
an-Nubuwwah daripada Mus'ab bin Abdullah al-Zubairi, dan beliau
berpandangan bahawa pendapat ini adalah lebih sahih.
Tarjih
(Pandangan yang Lebih Kuat):
1 - Mengikut adat kebiasaan, adalah jauh kemungkinan bagi
seseorang yang berusia 25 tahun mengahwini wanita pertama dalam hidupnya yang
berusia 40 tahun, sebagaimana jauh kemungkinannya juga bagi seorang wanita yang
berkahwin pada usia 40 tahun dapat melahirkan 6 orang anak selepas umur
tersebut. Maka, ini merupakan antara qarinah (petunjuk) yang menguatkan
pendapat-pendapat selain daripada pendapat pertama, iaitu usianya adalah 30, 28,
atau 25 tahun.
2 - Kelemahan pendapat pertama ini turut diperkuatkan lagi oleh
kenyataan Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak mengenainya bahawa ia
adalah syaz (ganjil), kemudian kenyataan beliau: "Pandangan yang
kuat di sisiku ialah beliau tidak mencapai usia 60 tahun." Jika
usianya tidak mencapai 60 tahun (ketika meninggal dunia), ini bermakna pada
hari perkahwinan Nabi SAW dengannya, usianya adalah di bawah 35 tahun.
3 - Sekiranya kita mempunyai riwayat daripada seorang
Sahabat dengan sanad yang sahih, nescaya itulah yang akan dijadikan pegangan
utama. Namun, memandangkan kita tidak mempunyainya, maka kita perlu meneliti
riwayat-riwayat yang ada berserta petunjuk sejarah.
4 - Kita mempunyai pelbagai riwayat yang menyatakan bahawa
beliau adalah lebih tua daripada Nabi SAW pada hari perkahwinan Baginda
dengannya. Oleh itu, jika kita mengambil kira kesemua petunjuk yang telah
disebutkan di atas, kemungkinan besar usianya adalah 28 tahun. Dan Allah jua
yang lebih mengetahui.
Ditulis oleh Salahuddin al-Idlibi, pada 2/2/1440, bersamaan
11/10/2018. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan