Isnin, 16 Mac 2026

Umur Aisyah Ketika Berkahwin Dengan Nabi

 

Oleh: Syeikh Dr Salahuddin al-Idlibi

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, baik, dan diberkati padanya, sebagaimana yang disukai dan diredai oleh Tuhan kita.

Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya sempurnalah segala amal kebaikan. Wahai Tuhanku, sempurnakanlah kebaikan, dan akhirilah bagi kami dengan kebaikan, dengan limpah kurnia, anugerah, dan kemuliaan-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mulia.

Terdapat hadis daripada Nabi SAW bahawa Baginda mengakad nikah dengan Saidatina Aisyah RA ketika beliau berusia 6 tahun, dan hidup bersama dengannya ketika beliau berusia 9 tahun. Teks ini –jika kita melihatnya dari sudut pandang si isteri– ia hanya merupakan satu riwayat sejarah mengenai umurnya pada hari perkahwinannya, dan ia tidak lebih daripada sekadar satu urusan kekeluargaan.

Akan tetapi, jika kita melihatnya dari sudut pandang si suami, iaitu Nabi yang mulia, penutup para Nabi dan penghulu para Rasul SAW, maka ia merupakan salah satu hadis fi'liyyah (perbuatan Nabi). Ia wajar diberikan perhatian kerana sama ada ia terbukti sahih ataupun tidak, ia akan membuka ruang kajian untuk mengeluarkan dan mengambil pengajaran serta iktibar daripada sirah Rasul yang agung ini, semoga sebaik-baik selawat dan salam yang paling sempurna ke atas Baginda.

Maka, adakah hadis ini sahih dari sudut sanad dan matannya? Ia sudah tentu memerlukan kepada satu kajian.

Aku telah menjumpai sebuah artikel berkaitan topik ini yang ditulis oleh seorang pengkaji tentang kedaifan hadis ini dari sudut sanad dan matannya. Lalu aku membacanya dan mendapati bahawa ia boleh dimanfaatkan dengan mengutip beberapa qarinah (petunjuk), mengkajinya semula, dan menulisnya kembali demi mencapai satu rumusan yang dibina di atas himpunan petunjuk yang akan membawa kepada pendapat yang tepat, dengan izin Allah.

Disebabkan ada keperluan untuk menjelaskan kebenaran dalam permasalahan yang penting berkenaan isu-isu sirah Nabawiyyah yang mulia dan riwayat-riwayat hadis ini, maka ini adalah sebuah kajian yang disokong dengan dalil mengenai tarikh kelahiran Saidatina Aisyah RA, serta tahap umurnya ketika Rasulullah SAW mengakad nikah dengannya, dan umurnya ketika majlis perkahwinannya.

Pendapat Yang Masyhur:

Baginda mengakad nikah dengan Aisyah ketika beliau berusia 6 tahun dan hidup bersama dengannya ketika beliau berusia 9 tahun. Pendapat ini bersandar kepada kata-kata Aisyah yang sabit di dalam Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, serta sumber-sumber hadis dan sejarah yang lain. Ini bermakna beliau dilahirkan 4 tahun selepas Nabi Muhammad diutuskan.

1 - Ibnu Ishaq berkata di dalam al-Sirah:

"Kemudian, Rasulullah SAW mengahwini Aisyah selepas Saudah binti Zam'ah, iaitu 3 tahun selepas kematian Khadijah. Aisyah pada hari tersebut berusia 6 tahun, dan Rasulullah SAW tinggal bersama dengannya ketika beliau berusia 9 tahun. Rasulullah SAW wafat ketika Aisyah berusia 18 tahun."

2 - Ibnu Sa'd telah meriwayatkan seumpamanya di dalam al-Tabaqat melalui beberapa jalur sanad daripada Aisyah.

3 - Abu Nu'aim berkata di dalam Ma'rifah al-Sahabah:

"Aisyah pada hari tersebut berusia 6 tahun."

4 - Ibnu Abdul Barr berkata di dalam al-Isti'ab:

"Rasulullah SAW mengahwininya di Makkah sebelum Hijrah ketika beliau berusia 6 tahun, dan ada pendapat mengatakan 7 tahun. Baginda tinggal bersama dengannya di Madinah ketika beliau berusia 9 tahun. Aku tidak mengetahui bahawa Ahli Sirah ada berselisih pendapat dalam perkara tersebut. Baginda SAW wafat meninggalkannya ketika beliau berusia 18 tahun."

5 - Ibnu Hajar berkata di dalam Fath al-Bari:

"Beliau dilahirkan pada zaman Islam iaitu 8 tahun sebelum Hijrah atau sekitarnya. Nabi SAW wafat ketika usianya sekitar 18 tahun."

Pendapat ini adalah berdasarkan beberapa riwayat yang diriwayatkan oleh Aisyah RA yang telah diambil oleh para ulama.

Dalil Bagi Pendapat Yang Masyhur:

1 - Al-Bukhari, Muslim, Ibnu Abi Syaibah, Ibnu Hanbal, Ibnu Sa'ad dan selain mereka telah meriwayatkan melalui pelbagai jalur dengan sanad-sanad yang sahih daripada Aisyah RA bahawa Nabi SAW mengahwininya ketika beliau berumur 6 tahun dan tinggal bersama dengannya ketika beliau berumur 9 tahun.

2 - Abu 'Awanah turut meriwayatkannya di dalam al-Mustakhraj melalui jalur sanad: 'Urwah daripada Aisyah bahawa Nabi SAW mengahwininya ketika beliau berumur 6 tahun, atau tujuh tahun, dan beliau dibawa (sebagai pengantin) kepada Baginda ketika berumur 9 tahun, sedangkan permainannya masih ada bersamanya. Baginda wafat meninggalkannya ketika beliau berumur 18 tahun.

Terdapat beberapa riwayat lain yang diriwayatkan dengan makna yang sama, namun ia bersumber daripada Aisyah sendiri. Maka riwayat-riwayat tersebut tidak menguatkan riwayat yang disebutkan di sini, kerana jika telah berlaku kekeliruan dan kelupaan pada diri Aisyah sendiri mengenai jumlah umurnya, maka kekeliruan itu turut memberi kesan kepada kesemua riwayat tersebut.

Perkataan ‘mengahwininya’ boleh membawa maksud mengakad nikah, dan inilah yang dimaksudkan di sini.

Sanad hadis ini adalah sahih. Sesungguhnya satu kesilapan yang amat buruk bagi sesiapa yang menyangka bahawa Hisyam bin 'Urwah (salah seorang perawinya) bersendirian dalam meriwayatkannya dan menganggap ia adalah daripada kekeliruannya.

3 - Hadis ini mempunyai syahid (hadis sokongan) daripada hadis Ibnu Mas'ud yang mungkin disangka mengandungi mutaba'ah (sokongan riwayat) yang baik bagi hadis Aisyah, akan tetapi ia adalah daif.

Al-Tirmizi telah meriwayatkannya di dalam al-'Ilal al-Kabir daripada Yahya bin Aktham, al-Nasa'i di dalam al-Sunan al-Kubra daripada Ishaq bin Rahawaih, dan al-Tabarani di dalam al-Kabir daripada Muhammad bin Musa bin Hammad al-Barbari -dan dia (Muhammad bin Musa) bukanlah seorang perawi yang kuat- daripada Abdul Rahman bin Salih al-Azdi. Ketiga-tiga mereka (Yahya, Ishaq dan Muhammad) meriwayatkannya daripada Yahya bin Adam, daripada Israil bin Yunus, daripada datuknya Abu Ishaq al-Sabi'i, daripada Abu 'Ubaidah, daripada bapanya Abdullah bin Mas'ud bahawa beliau berkata:

"Rasulullah SAW mengahwini Aisyah ketika beliau berumur 6 tahun, dan tinggal bersama dengannya ketika beliau berumur 9 tahun. Baginda diwafatkan ketika beliau berumur 18 tahun."

Ibnu Majah meriwayatkannya melalui jalur sanad: Abu Ahmad Muhammad bin Abdullah al-Zubairi, manakala al-'Uqaili di dalam al-Du'afa' daripada Muhammad bin Musa al-Balkhi daripada Malik bin Sulaiman al-Harawi  dan dia adalah daif. Kedua-dua mereka (Muhammad bin Abdullah dan Malik bin Sulaiman) meriwayatkannya daripada Israil secara mawsul (bersambung sanadnya).

Guru kepada at-Tabarani, iaitu Muhammad bin Musa bin Hammad telah keliru dalam menamakan guru kepada Yahya bin Adam, lantas dia menjadikannya "daripada Syarik", sebagai ganti daripada menyebut "daripada Israil". Kekeliruan ini berpunca daripadanya kerana dia bukanlah seorang perawi yang kuat, dan kerana dia telah menyalahi riwayat dua orang perawi yang meriwayatkannya dengan lafaz "daripada Yahya bin Adam, daripada Israil".

[Abu Ishaq as-Sabi'i, iaitu 'Amr bin Abdullah bin 'Ubaid adalah seorang warga Kufah yang thiqah (dipercayai), namun hafalannya berubah di akhir usianya, dan dia kadangkala melakukan tadlis (menyembunyikan kecacatan) pada sanad. Dia dilahirkan pada tahun 32 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 127 Hijrah, dan dia tidak menyatakan secara jelas bahawa dia mendengar hadis tersebut secara langsung.

Cucunya, Israil, termasuk dalam kalangan perawi yang mendengar daripadanya selepas hafalannya berubah.

Abu 'Ubaidah bin Abdullah bin Mas'ud pula adalah seorang warga Kufah yang thiqah namun padanya terdapat sedikit kelemahan (layyin), dia meninggal dunia pada tahun 81 Hijrah.

Bapanya (Abdullah bin Mas'ud) meninggal dunia ketika dia masih kecil dan dia tidak pernah mendengar apa-apa pun hadis daripada bapanya.]

Maka sanad ini adalah daif.

Sebagai tambahan kepada kedaifan sanad yang diriwayatkan di sini: “daripada Abu 'Ubaidah bin Abdullah bin Mas'ud daripada bapanya”, hadis ini juga adalah ma'lul (mempunyai kecacatan). Hal ini kerana apa yang sabit daripada Abu Ishaq ialah dia meriwayatkannya sekali daripada Abu 'Ubaidah secara mursal (terus kepada Nabi), dan sekali lagi daripada Abu 'Ubaidah daripada Aisyah. Ibnu Sa'ad telah meriwayatkannya di dalam al-Tabaqat daripada al-Fadl bin Dukain, manakala al-'Uqaili meriwayatkannya daripada Ali bin Abdul Aziz al-Baghawi daripada Abdullah bin Raja', kedua-dua (al-Fadl dan Abdullah) mereka meriwayatkannya daripada Israil secara mursal. Ibnu Sa'd turut meriwayatkannya daripada Waki', daripada Sufyan al-Thauri, daripada Abu Ishaq, juga secara mursal.

Al-Nasa'i meriwayatkannya dalam al-Sunan al-Kubra daripada Qutaibah bin Sa'id, daripada 'Abthar bin al-Qasim, daripada Mutarrif bin Tarif al-Kufi, daripada Abu Ishaq, daripada Abu Ubaidah, daripada Aisyah, seumpamanya. Mereka ini adalah para perawi yang dipercayai (thiqah).

Namun, Imam al-Bukhari telah menjelaskan kecacatan (‘ilal) pada riwayat yang bersumber daripada Abu Ubaidah daripada bapanya. Beliau berkata—sepertimana dalam al-'Ilal al-Kabir oleh at-Tirmizi–:

“Ini adalah satu kesilapan. Yang sebenarnya ialah "Abu Ishaq daripada Abu Ubaidah bahawa Nabi SAW mengahwini Aisyah". Begitulah mereka menceritakan daripada Israil daripada Abu Ishaq, dan mereka juga berkata: "Daripada Abu Ubaidah daripada Aisyah."

Al-Nasa'i turut mejelaskan kecacatannya dalam al-Sunan al-Kubra dengan berkata:

"Mutarrif bin Tarif al-Kufi lebih kuat daripada Israil, dan hadisnya lebih tepat."

Ini bermakna beliau mentarjih bahawa hadis di sini sebenarnya datang daripada Abu Ubaidah daripada Aisyah.

Oleh sebab riwayat yang disandarkan kepada Ibnu Mas'ud ini mempunyai sanad yang daif dan mempunyai ‘illah, maka tidak sah untuk menjadikannya sokongan bagi menyokong hadis Aisyah.

4 - Hadis ini mempunyai syahid (riwayat sokongan) lain daripada ucapan Yazid bin Jabir al-Azdi al-Syami.

Al-Hakim telah meriwayatkan melalui jalur sanad: Abdullah bin Abdul Rahman bin Yazid bin Jabir, daripada bapa saudaranya Yazid bin Yazid bin Jabir, daripada bapanya Yazid bin Jabir, bahawa dia berkata:

"Nabi SAW. mengahwini Aisyah RA ketika beliau berusia tujuh tahun, dan Baginda tinggal bersama dengannya ketika beliau berusia sembilan tahun."

Yazid bin Jabir disebutkan di kalangan Tabi'in oleh Ibnu Hibban dalam al-Thiqat.

Secara zahirnya, Tabi'in ini menyatakan ucapan tersebut berdasarkan apa yang didengarnya daripada beberapa perawi yang meriwayatkannya daripada Aisyah RA. Oleh itu, ia tidak memberi manfaat dalam menguatkan pendapat tersebut, memandangkan ia kembali kepada sumber asal yang sama (iaitu Aisyah sendiri).

Pendapat Kedua tentang Umur Saidatina Aisyah RA

Boleh dikatakan bahawa Rasulullah SAW mengakad nikah dengan Aisyah ketika beliau berusia 14 tahun, dan Baginda hidup bersamanya ketika beliau berumur 17 tahun menghampiri 18 tahun. Ini bermakna beliau dilahirkan 4 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul.

Inti pati pandangan ini telah dinyatakan dalam salah satu nas menurut Ibnu Ishaq, serta dalam kata-kata al-Tabari pada salah satu daripada dua tempat di mana beliau menyebutkan tentang kelahiran Aisyah RA, sepertimana yang akan diterangkan dalam perenggan keempat dan kelima mengenai petunjuk-petunjuk yang menyokong pandangan ini. Begitu juga, pandangan ini terdapat dalam kenyataan Ibnu Abd al-Barr menerusi kitabnya al-Durar fi Ikhtisar al-Maghazi wa al-Siyar ketika menyenaraikan nama-nama kaum Muslimin terawal memeluk Islam, yang mana ia berbeza dengan pandangannya yang disebutkan di dalam al-Isti'ab.

Petunjuk-petunjuk yang menunjukkan bahawa Aisyah RA dilahirkan sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul dan bukan selepasnya ialah:

Petunjuk Pertama

Aisyah lebih muda daripada kakaknya, Asma' RA, dengan perbezaan 10 tahun. Asma' telah dilahirkan 27 tahun sebelum Hijrah, yang bererti beliau dilahirkan 14 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul. Ini secara langsung bermakna Aisyah dilahirkan 4 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul.

Ibnu Abd al-Barr meriwayatkan di dalam al-Isti'ab dan Ibnu 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq melalui dua jalur sanad: daripada al-Asma'i, daripada Ibnu Abi al-Zinad bahawa beliau berkata:

"Asma' binti Abu Bakar adalah lebih tua daripada Aisyah sebanyak 10 tahun atau lebih kurang."

Ini adalah sanad yang baik (jayyid).

Abu Nu'aim pula berkata dalam Ma'rifah al-Sahabah pada biografi Asma':

"Beliau dilahirkan 27 tahun sebelum permulaan Hijrah, dan meninggal dunia pada tahun 73 Hijrah di Makkah, beberapa hari selepas pembunuhan anaknya, Abdullah bin al-Zubair, ketika berusia 100 tahun."

Antara perkara yang menguatkan riwayat ini mengenai tahun kelahiran Asma', Abu Nu'aim juga meriwayatkan daripada Asma' bahawa beliau berkata:

"Aku melihat Zaid bin 'Amr bin Nufail sedang menyandarkan belakangnya ke Kaabah sambil berkata: “Wahai sekalian kaum Quraisy, tidak ada seorang pun dalam kalangan kalian pada hari ini yang berada di atas agama Ibrahim selainku."

Zaid meninggal dunia semasa kaum Quraisy sedang membina Kaabah, iaitu 5 tahun sebelum wahyu diturunkan kepada Rasulullah SAW, sepertimana diriwayatkan oleh Ibnu Sa'd dalam al-Tabaqat daripada Sa'id bin al-Musayyab, iaitu beliau meninggal dunia 18 tahun sebelum Hijrah. Oleh itu, usia Asma' semasa mendengar ucapan Zaid bin 'Amr adalah 9 tahun. Ini adalah munasabah (masuk akal) kerana seseorang yang mengingati butiran seperti ini kebiasaannya berumur tidak kurang daripada 9 tahun.

Ibnu al-Athir berkata dalam Usd al-Ghabah: “Abu Nu'aim berkata: Beliau (Asma') dilahirkan 27 tahun sebelum permulaan Hijrah.” Ibnu Abd al-Barr pula berkata dalam al-Isti'ab: “Asma' meninggal dunia di Makkah pada bulan Jamadilawal tahun 73 Hijrah, dan usianya ketika itu mencapai 100 tahun.”

Petunjuk Kedua

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa beliau berkata:

"Sungguh, telah turun wahyu di Makkah kepada Muhammad SAW sewaktu aku masih seorang jariyah (remaja) yang masih bermain-main: “Bahkan hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka, dan hari kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit” [al-Qamar: 46]. Tidaklah surah al-Baqarah dan al-Nisa' diturunkan melainkan aku telah berada di sisi Baginda (iaitu sudah berkahwin dan tinggal bersama Baginda)."

Al-Qurtubi berkata dalam tafsirnya:

“Ibnu Abbas berkata: "Jarak antara turunnya ayat ini dengan perang Badar adalah 7 tahun."

Jika demikian keadaannya, ini bermakna ia diturunkan 4 tahun sebelum Hijrah dan 8 tahun selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul.

Ibnu Sidah dalam al-Muhkam dan Ibnu Manzur dalam Lisan al-'Arab berkata:

“Al-Jariyah bermaksud: wanita muda (al-fatiyyah). Al-fatiyyah ialah gadis remaja (al-syabbah). Seolah-olah mereka (orang Arab) menggunakan perkataan al-jariyah untuk merujuk kepada kanak-kanak perempuan pada awal usia remajanya yang aktif berlari ke sana ke mari.”

Maka, berapakah umur Aisyah ketika turunnya firman Allah SWT: “Bahkan hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka, dan hari kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit” yang diturunkan 8 tahun selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul?

Berdasarkan pendapat yang masyhur, umurnya ketika itu adalah 4 tahun, sedangkan kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun tidak dipanggil dengan istilah al-jariyah secara mutlak, yakni jika bukan dalam konteks perbandingan antara lelaki dan perempuan. Maka, zahirnya yang lebih tepat ialah umurnya ketika turunnya ayat tersebut adalah 15 tahun, dan inilah yang selari dengan makna asal al-jariyah dari sudut bahasa.

Petunjuk Ketiga

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa beliau berkata:

"Semenjak aku sudah boleh berfikir, aku tidak mendapati ibu bapaku melainkan telah pun memeluk agama Islam. Tidak ada sehari pun yang berlalu melainkan Rasulullah SAW akan datang kepada kami pada dua hujung siang, pagi dan petang. Apabila orang Islam diuji (dengan orang kafir Quraisy), Abu Bakar telah keluar berhijrah menghala ke Habsyah sehinggalah apabila beliau tiba di Bark al-Ghimad, beliau ditemui oleh Ibnu al-Dughunnah..." hingga akhir hadis.

Sudut pendalilan daripada riwayat ini mengandungi dua perkara:

Pertama: Seseorang kanak-kanak kebiasaannya tidak dapat menyedari anutan agama ibu bapanya yang berbeza dengan agama majoriti masyarakat sekelilingnya sebelum sekurang-kurangnya mencapai umur 4 tahun.

Jika Aisyah dilahirkan pada tahun ke-4 setelah Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, dan mula menyedari persekitarannya pada tahun ke-8 setelah Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, maka kata-katanya "Semenjak aku sudah boleh berfikir, aku tidak mendapati ibu bapaku melainkan telah pun memeluk agama Islam" menjadi satu kenyataan yang sudah sedia maklum dan tiada faedahnya. Hal ini kerana Abu Bakar telah diketahui umum sebagai orang yang terawal memeluk Islam, dan Ummu Ruman juga telah memeluk Islam di Makkah pada peringkat awal, sepertimana kata Ibnu Sa'ad.

Akan tetapi, jika beliau dilahirkan 4 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, dan mula menyedari persekitarannya pada tahun pertama Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, barulah kenyataan ini membawa erti, iaitu ketika beliau mula menyedari keadaan persekitarannya, beliau sudah melihat kedua-dua ibu bapanya memeluk agama Islam, bukan hanya bapanya sahaja. Ini adalah dalil bahawa kelahiran beliau berlaku sekitar 4 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, sepertimana yang ditunjukkan oleh petunjuk-petunjuk yang lain.

Kedua: Kata-katanya "apabila orang Islam diuji (dengan orang kafir Quraisy), Abu Bakar telah keluar berhijrah menghala ke Habsyah" yang dikaitkan dengan kesedarannya terhadap ibu bapanya yang telah pun memeluk agama Islam, mengandungi isyarat halus bahawa beliau ketika itu sedar akan peristiwa tersebut. Penghijrahan para Sahabat dari Makkah menuju ke Habsyah berlaku pada pertengahan tahun ke-5 selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, dan hijrah kedua mereka ke sana berlaku pada akhir tahun ke-5 atau awal tahun ke-6.

Jika Aisyah dilahirkan pada tahun ke-4 selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, mustahil baginya untuk menyedari apa yang berlaku pada awal tahun ke-6. Namun, jika beliau dilahirkan 4 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, ini bermakna beliau mempunyai kemampuan untuk menyedari peristiwa tersebut dengan jelas.

Petunjuk Keempat

Muhammad bin Ishaq berkata dalam al-Sirah al-Nabawiyyah ketika menyebutkan nama-nama individu terawal yang memeluk Islam:

"Kemudian beberapa orang daripada kabilah-kabilah Arab memeluk Islam, antaranya: Sa'id bin Zaid bin 'Amr bin Nufail, isterinya Fatimah binti al-Khattab, Asma' binti Abu Bakar, dan Aisyah binti Abu Bakar yang masih kecil... Kemudian, sesungguhnya Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya SAW supaya menyatakan secara terang-terangan apa yang dibawa olehnya, menyeru manusia kepada perintah-Nya, dan berdakwah kepada Allah SWT. Baginda kadangkala menyembunyikan sesuatu dan merahsiakannya sehinggalah diperintahkan untuk menzahirkannya. Maka Baginda melalui beberapa tahun sejak pengutusannya, sehinggalah Allah Ta'ala berfirman: “Oleh itu, sampaikanlah secara terang-terangan apa yang diperintahkan kepadamu, dan berpalinglah daripada orang-orang musyrik."

Kenyataan ini dinukilkan daripada Ibnu Ishaq tanpa sebarang penolakan atau bantahan oleh: Ibnu Abi Khaithamah dalam al-Tarikh al-Kabir, al-Baihaqi dalam Dala'il al-Nubuwwah, Ibnu Abd al-Barr dalam kitab al-Durar fi Ikhtisar al-Maghazi wa al-Siyar, al-Kala'i dalam al-Iktifa', Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, dan al-Maqrizi dalam Imta' al-Asma'.

Kata-kata Ibnu Ishaq ini bermaksud bahawa Aisyah berada bersama mereka yang memeluk Islam semasa tempoh dakwah secara rahsia selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, dan beliau masih kecil. Jika tempoh dakwah secara rahsia tersebut berlangsung selama 3 tahun, kemungkinan Aisyah telah dibawa ke beberapa majlis tersebut pada akhir tempoh itu. Berdasarkan pandangan bahawa beliau dilahirkan 4 tahun selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, perkara ini sama sekali tidak munasabah kerana —menurut pandangan ini— beliau belum lagi dilahirkan.

Namun, berdasarkan pandangan kedua, umur beliau pada masa itu adalah 6 atau 7 tahun. Kemungkinan Ibnu Ishaq menyebut namanya dalam kalangan umat Islam terawal –walaupun umurnya masih kecil– adalah disebabkan kedudukan bapanya, Abu Bakar RA, dan untuk disebutkan bersama kakaknya, Asma', yang berusia 10 tahun lebih tua daripadanya.

Petunjuk Kelima

Al-Tabari berkata di dalam kitab Tarikhnya:

"Abu Bakar telah berkahwin pada zaman Jahiliah dengan Qutailah binti Abdul 'Uzza lalu melahirkan untuknya Abdullah dan Asma'. Beliau juga berkahwin pada zaman Jahiliah dengan Ummu Ruman binti 'Amir lalu melahirkan untuknya Abdul Rahman dan Aisyah. Kesemua empat orang anaknya ini dilahirkan oleh kedua-dua isterinya yang telah kami sebutkan nama keduanya, pada zaman Jahiliah."

Al-Tabari telah menyatakan dengan jelas bahawa Abu Bakar berkahwin dengan isteri pertamanya, Qutailah binti Abdul 'Uzza pada zaman Jahiliah dan beliau juga berkahwin dengan isteri keduanya, Ummu Ruman binti 'Amir pada zaman Jahiliah. Maka, tidak ada maknanya jika beliau berkata selepas itu bahawa Abu Bakar mengahwini kedua-duanya pada zaman Jahiliah, kerana ia hanyalah satu pengulangan yang tiada faedahnya.

Oleh itu, kata-katanya "Kesemua empat orang anaknya ini dilahirkan oleh kedua-dua isterinya yang telah kami sebutkan nama kedunya, pada zaman Jahiliah " sebenarnya bermaksud bahawa keempat-empat anaknya itu dilahirkan pada zaman Jahiliah sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul.

Ini merupakan satu nas sejarah yang jelas lagi nyata bahawa Aisyah RA dilahirkan sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul.

Petunjuk Keenam

Ibnu Abi 'Asim di dalam al-Ahad wa al-Mathani, al-Tabarani di dalam al-Mu'jam al-Kabir, dan al-Hakim di dalam al-Mustadrak telah meriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Khaulah binti Hakim, isteri kepada Uthman bin Maz'un RA, berkata kepada Rasulullah SAW di Makkah:

"Wahai Rasulullah, tidakkah Tuan mahu berkahwin?!"

Baginda bertanya: "Dengan siapa?"

Khaulah menjawab: "Jika Tuan mahu, dengan anak dara, dan jika Tuan mahu, dengan janda."

Baginda bertanya lagi: "Siapakah anak dara itu?"

Khaulah menjawab: "Anak perempuan kepada makhluk Allah yang paling Tuan kasihi, iaitu Aisyah binti Abu Bakar."

Baginda bertanya: "Dan siapakah janda itu?"

Khaulah menjawab: "Saudah binti Zam'ah."

Baginda bersabda: "Pergilah dan sebutkan namaku kepada kedua-duanya."

Peristiwa ini berlaku selepas kematian Saidatina Khadijah RA, sepertimana yang dijelaskan dalam riwayat-riwayat lain.

Konteks riwayat ini menunjukkan bahawa Khaulah RA ingin merisikkan untuk Rasulullah SAW selepas kewafatan Saidatina Khadijah memandangkan Baginda telah menjadi duda. Amatlah jauh dari munasabah untuk merisikkan seorang kanak-kanak yang berumur 6 tahun untuk Baginda dalam keadaan sebegini! Namun, jika beliau berumur 14 tahun, ini adalah masuk akal.

Tidak syak lagi bahawa himpunan petunjuk ini yang menyokong pendapat bahawa Nabi SAW mengakad akad nikah dengan Aisyah ketika umurnya 14 tahun, dan Baginda hidup bersamanya ketika umurnya menghampiri 18 tahun, merupakan bukti yang jelas bahawa inilah pendapat yang sahih.

Adapun riwayat yang sabit daripada Aisyah bahawa Rasulullah mengahwininya ketika beliau berumur 9 tahun, ia pasti merupakan satu kekeliruan (waham). Beliau RA —berdasarkan pendapat yang dipilih di sini— telah hidup sehingga berumur 75 tahun. Boleh jadi beliau telah mengalami sedikit kelupaan mengenai perkara ini, lalu meriwayatkannya berdasarkan kekeliruannya.

Nampaknya tidak dapat dinafikan lagi bahawa riwayat yang diriwayatkan daripada Aisyah RA ini adalah satu kekeliruan, berdasarkan himpunan petunjuk yang telah disebutkan sebelum ini yang telah bercanggah dengannya.

Petunjuk Ketujuh

Al-Tahawi telah meriwayatkan di dalam Ahkam al-Quran daripada Ali bin Abdul Rahman, daripada al-Minjab bin al-Harith at-Tamimi, dan daripada Fahd bin Sulaiman, daripada Muhammad bin Sa'id al-Asbahani, kedua-duanya daripada Ali bin Mushir, daripada Hisyam bin 'Urwah, daripada bapanya, daripada Aisyah RA bahawa beliau berkata:

"Apakah yang diketahui oleh Abu Sa'id al-Khudri dan Anas bin Malik mengenai hadis Rasulullah SAW?! Sesungguhnya mereka berdua hanyalah dua orang budak lelaki yang masih kecil."

[Ali bin Abdul Rahman bin Muhammad bin al-Mughirah adalah seorang warga Kufah yang menetap di Mesir, seorang yang thiqah (dipercayai), meninggal dunia pada tahun 272 Hijrah.

Al-Minjab bin al-Harith adalah warga Kufah, disebut oleh Ibnu Hibban di dalam al-Thiqat, dan Muslim telah meriwayatkan daripadanya banyak riwayat di dalam Sahihnya, serta dinilai sebagai thiqah oleh al-Zahabi dan Ibnu Hajar, meninggal dunia pada tahun 231 Hijrah.

Fahd bin Sulaiman adalah warga Kufah yang datang ke Mesir, seorang yang thiqah, meninggal dunia pada tahun 275 Hijrah.

Muhammad bin Sa'id al-Asbahani adalah warga Kufah, thiqah, meninggal dunia pada tahun 220 Hijrah.

Ali bin Mushir adalah warga Kufah, thiqah, meninggal dunia pada tahun 189 Hijrah.

Hisyam bin 'Urwah bin az-Zubair adalah warga Madinah yang datang ke Iraq, seorang yang thiqah namun mungkin melakukan tadlis (menyembunyikan kecacatan) pada sanad daripada bapanya di Iraq, dan meninggal dunia pada tahun 146 Hijrah.

'Urwah bin az-Zubair adalah thiqah, meninggal dunia lebih kurang pada tahun 94 Hijrah.]

Al-Tabarani telah meriwayatkannya di dalam al-Mu'jam al-Kabir daripada Muhammad bin Abdullah al-Hadrami, daripada Minjab bin al-Harith, daripada Ali bin Mushir, daripada Hisyam bin 'Urwah bahawa dia berkata: Aisyah berkata... (lalu dia menyebutkan hadis tersebut).

[Muhammad bin Abdullah al-Hadrami yang digelar Mutayyan adalah warga Kufah, thiqah, seorang al-Hafiz, meninggal dunia pada tahun 297 Hijrah dan hidup selama 95 tahun].

Sanad ini adalah terputus (munqati') antara Hisyam bin 'Urwah dan Aisyah.

Ibnu 'Asakir telah meriwayatkannya daripada Abu al-Hasan Ali bin al-Hasan al-Mawazini, daripada Abu al-Husain bin Abu Nasr, daripada Abu Bakar Yusuf bin al-Qasim, daripada Ahmad bin Muhammad bin Sakin, daripada Ali bin al-Haitham, daripada al-Mu'alla bin Mansur, daripada Ali bin Mushir, daripada Hisyam bin 'Urwah, daripada bapanya, daripada Aisyah.

[Ali bin al-Hasan al-Mawazini adalah warga Damsyik, seorang yang thiqah (dipercayai), meninggal dunia pada tahun 514 Hijrah.

Muhammad bin Abdul Rahman bin Abu Nasr adalah warga Damsyik, seorang yang berintegriti ('adil) lagi dipercayai (ma'mun), meninggal dunia pada tahun 446 Hijrah.

Yusuf bin al-Qasim al-Miyanji adalah seorang yang thiqah, dilahirkan sebelum tahun 290 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 375 Hijrah.

Ahmad bin Muhammad bin Sakin az-Zanjani adalah saduq (jujur), meninggal dunia sebelum tahun 300 Hijrah.

Ali bin al-Haitham adalah warga Baghdad, al-Bukhari meriwayatkan satu hadis daripadanya di dalam Sahih-nya, dan Ibnu Hajar menganggapnya maqbul (diterima riwayatnya).

Al-Mu'alla bin Mansur adalah warga Rayy yang menetap di Baghdad, thiqah namun padanya terdapat sedikit kelemahan (layyin), meninggal dunia pada tahun 211 Hijrah].

Ibnu Abdul Barr telah meriwayatkan secara mu’allaq (tanpa sanad lengkap) di dalam Jami' Bayan al-'Ilm daripada Ali bin Mushir dengan hadis tersebut secara bersambung sanad (kepada Aisyah). Maka barangkali pendapat yang lebih kuat (rajih) ialah kata-kata ini sabit daripada Aisyah RA.

Jika demikian keadaannya, maka adalah penting untuk mengetahui tahun kelahiran Abu Sa'id al-Khudri RA dan Anas bin Malik RA supaya perbandingan umur dapat dilakukan antara mereka berdua dengan Aisyah.

Kedua-dua mereka dilahirkan kira-kira 10 tahun sebelum Hijrah. Manakala Aisyah —berdasarkan pendapat yang masyhur— adalah setahun lebih muda daripada kedua-dua Sahabat ini. Maka tidak munasabah —jika beliau lebih muda daripada mereka berdua— untuk beliau berkata tentang mereka: "Sesungguhnya mereka berdua hanyalah dua orang budak lelaki yang masih kecil."

Akan tetapi —berdasarkan pendapat kedua— beliau adalah 7 tahun lebih tua daripada mereka berdua. Maka, setiap seorang daripada mereka (Abu Sa'id dan Anas) —pada hari perkahwinan Aisyah yang berlaku kira-kira setahun selepas Hijrah— berumur 11 tahun, manakala Aisyah berumur 18 tahun. Oleh itu, beliau lebih peka menyedari peristiwa-peristiwa yang berlaku berbanding dengan mereka berdua. Maka adalah munasabah jika beliau mengatakan bahawa mereka berdua hanyalah dua orang budak lelaki yang masih kecil. Segala puji bagi Allah atas taufik-Nya.

Petunjuk Kelapan

Ibnu Abi 'Asim di dalam al-Ahad wa al-Mathani, al-Daulabi di dalam al-Zurriyyah al-Tahirah, al-Tahawi di dalam Musykil al-Athar, al-Tabarani di dalam al-Mu'jam al-Kabir, dan al-Baihaqi di dalam Dala'il al-Nubuwwah, telah meriwayatkan melalui sanad Muhammad bin Abdullah bin 'Amr bin Uthman, bahawa ibunya iaitu Fatimah binti al-Husain menceritakan kepadanya bahawa Aisyah, isteri Nabi SAW, pernah berkata:

"Sesungguhnya Rasulullah SAW pada waktu sakit yang membawa kepada kewafatannya telah bersabda kepada Fatimah: “Wahai anakku, dekatlah kepadaku.” Lalu Fatimah mendekat kepada baginda, dan baginda membisikkan sesuatu kepadanya seketika. Kemudian Fatimah menjauhinya dalam keadaan menangis. Kemudian baginda bersabda lagi kepadanya: “Dekatlah kepadaku wahai anakku.” Lalu dia mendekat kepada baginda, dan baginda membisikkan sesuatu kepadanya seketika. Kemudian dia menjauhi Baginda dalam keadaan tertawa."

Maka Aisyah bertanya: "Wahai anakku, beritahulah kepadaku apakah yang dibisikkan oleh bapamu kepadamu?"

Setelah Allah Ta'ala mewafatkan baginda, Fatimah menjawab: "Adapun sekarang, ya (aku akan beritahu). Baginda membisikkan kepadaku pada kali pertama, lalu memberitahuku bahawa Jibril biasanya menyemak al-Quran dengan baginda sekali pada setiap tahun, dan dia telah menyemak al-Quran denganku pada tahun ini sebanyak dua kali. Maka perkara itu membuatkan aku menangis. Kemudian baginda membisikkan kepadaku pada kali terakhir, lalu memberitahuku bahawa aku adalah ahli keluarganya yang paling awal yang akan menyusulinya, dan baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau adalah penghulu wanita ahli syurga setelah al-Batul Maryam binti Imran.” Maka aku tertawa disebabkan hal itu."

[Muhammad bin Abdullah bin 'Amr bin Uthman bin Affan adalah warga Madinah, seorang perawi yang daif, meninggal dunia pada tahun 145.

Ibunya, Fatimah anak perempuan kepada al-Husain yang mati syahid RA, telah meriwayatkan daripada sekelompok Sahabat dan sekelompok perawi yang thiqah (dipercayai) telah meriwayatkan daripadanya. Ibnu Hibban telah menyebutnya di dalam al-Thiqat, dan Ibnu Hajar telah menilainya sebagai thiqah].

Maka sanad ini adalah daif.

Sudut pendalilan (daripada kisah ini) ialah Aisyah telah memanggil Fatimah RA dalam riwayat ini dengan panggilan "Wahai anakku".

Fatimah —menurut pendapat yang paling masyhur— telah dilahirkan 5 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, atau sejurus sebelum Baginda menjadi Rasul, atau sejurus selepasnya.

Jika Aisyah dilahirkan 4 tahun selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, ini bermakna Fatimah adalah 9 atau 4 tahun lebih tua daripadanya! Sangat pelik dan jauh dari munasabah bagi seseorang yang lebih muda untuk memanggil orang yang lebih tua daripadanya dengan jarak umur sebegitu dengan panggilan "Wahai anakku", walaupun dia adalah isteri kepada bapanya.

Namun, jika Aisyah dilahirkan 4 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, ini bermakna Fatimah adalah setahun (atau mungkin beberapa bulan) lebih tua daripadanya, atau 3 tahun lebih muda daripadanya.

Maka bagi sesiapa yang menguatkan pendapat bahawa Fatimah adalah 3 tahun lebih muda, tidaklah mustahil bagi orang yang lebih tua memanggil orang yang lebih muda dengan panggilan "Wahai anakku".

Manakala bagi sesiapa yang menguatkan pendapat bahawa Fatimah adalah setahun atau beberapa bulan lebih tua —dan ini adalah pendapat yang lebih masyhur— perbezaan kecil ini tidak menjadi penghalang bagi orang yang lebih muda memanggil orang yang lebih tua dengan "Wahai anakku", memandangkan yang lebih muda itu adalah isteri kepada bapanya manakala yang lebih tua itu adalah anak tirinya.

Maka, di dalam riwayat ini terdapat satu petunjuk yang jelas bahawa Saidatina Aisyah telah dilahirkan sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, berkemungkinan 4 tahun (sebelumnya), dan bukannya 4 tahun selepasnya. Riwayat ini walaupun lemah sanadnya, namun ia tidak mengapa untuk dijadikan syawahid (riwayat sokongan), kerana ruang bagi penggunaan qarinah (petunjuk) itu adalah luas.

Petunjuk Kesembilan

Ibnu Abi 'Asim di dalam al-Ahad wa al-Mathani, Ibnu Rahawaih, Ibnu Hanbal, al-Tabari di dalam al-Tarikh, al-Tabarani di dalam al-Kabir, al-Hakim, dan al-Baihaqi telah meriwayatkan melalui pelbagai sanad daripada Muhammad bin 'Amr, daripada Yahya bin Abdul Rahman bin Hatib, daripada Aisyah bahawa beliau berkata:

“Apabila Khadijah meninggal dunia, Khaulah binti Hakim, isteri Uthman bin Maz'un berkata: "Wahai Rasulullah, tidakkah Tuan mahu berkahwin?!" Baginda bertanya: "Dengan siapa?" Khaulah menjawab: "Jika Tuan mahu, dengan anak dara, dan jika Tuan mahu, dengan janda." Baginda bertanya: "Siapakah anak dara itu?" Khaulah menjawab: "Anak perempuan kepada makhluk Allah yang paling Tuan kasihi, iaitu Aisyah binti Abu Bakar." Baginda bertanya: "Dan siapakah janda itu?" Khaulah menjawab: "Saudah binti Zam'ah."

Di dalam hadis ini dinyatakan bahawa Khaulah binti Hakim berkata kepada Abu Bakar: "Rasulullah mengutusku untuk merisik Aisyah untuk baginda."

Lalu Abu Bakar berkata kepadanya: "Tunggulah", dan beliau pun keluar.

Ummu Ruman, ibu Aisyah, berkata kepada Khaulah: "Sesungguhnya Mut'im bin 'Adi pernah menyebut nama Aisyah untuk anak lelakinya. Demi Allah, Abu Bakar tidak pernah memungkiri janji yang telah dibuatnya."

Lalu Abu Bakar menemui Mut'im bin 'Adi, dan bersamanya ada isterinya, ibu kepada pemuda tersebut. Isterinya berkata: "Wahai Ibnu Abu Quhafah (Abu Bakar), mungkinkah engkau akan menyelewengkan (agama) anak kami dan memasukkannya ke dalam agama yang sedang engkau anuti jika dia berkahwin dengan keluargamu?!"

Abu Bakar berkata kepada Mut'im bin 'Adi: "Adakah engkau juga berkata seperti apa yang dikatakannya ini?!"

Mut'im menjawab: "Memang begitulah yang dikatakannya."

Maka Abu Bakar pun keluar, dan Allah SWT telah menghilangkan daripada dirinya bebanan janji yang pernah dilakukannya itu.

Sebahagian pengkaji berpandangan bahawa Aisyah telah pun bertunang dengan Jubair bin Mut'im bin 'Adi sebelum risikan daripada Nabi SAW! Mereka menganggap perkara ini sebagai petunjuk bahawa usia Aisyah pada waktu risikan Nabi terhadapnya adalah jauh melebihi 6 tahun.

Namun, aku berpandangan bahawa tanggapan ini kurang tepat. Hal ini kerana Aisyah belum lagi bertunang dengan Jubair bin Mut'im, sebaliknya Mut'im bin 'Adi sekadar menyebut namanya untuk ditunangkan dengan anak lelakinya dan beliau telah mendapat janji persetujuan daripada Abu Bakar. Perkara seumpama ini kerap berlaku dalam kalangan masyarakat walaupun pihak perempuan dan pihak lelaki yang dirisikkan itu kedua-duanya masih kanak-kanak kecil, malah mungkin baru berusia setahun atau 2 tahun.

Beberapa tahun lalu, aku pernah mendengar salah seorang sahabat menetapkan pendalilan ini, iaitu Aisyah telah bertunang dengan Jubair bin Mut'im. Akan tetapi, aku tidak memasukkannya ke dalam senarai petunjuk yang disebutkan sebelum ini kerana aku mendapatinya tidak meyakinkan.

Namun, kini telah jelas kepadaku sudut pendalilannya yang menunjukkan bahawa Aisyah dilahirkan sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul.

Konteks kisah ini menunjukkan bahawa Mut'im bin 'Adi dan isterinya masih berpegang teguh dengan syirik dan amat membenci untuk memeluk Islam. Mereka juga tidak mahu anak lelaki mereka bertukar kepada agama baharu ini sekiranya dia berkahwin dengan Aisyah. Sudah sedia maklum bagaimana kesungguhan Abu Bakar RA yang amat kuat dalam berdakwah dan menyeru orang ramai agar memeluk agama ini.

Maka, sangatlah jauh dari munasabah —jika Aisyah RA dilahirkan 4 tahun selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul— untuk Mut'im bin 'Adi –yang bersikap tegas memegang ajaran syiriknya itu– merisik Aisyah untuk anak lelakinya, dan Abu Bakar pula bersetuju dengan perkara tersebut.

Maka, tiada kemungkinan lain melainkan Mut'im bin 'Adi menyebut Aisyah untuk ditunangkan dengan anak lelakinya serta mengambil janji persetujuan daripada Abu Bakar mengenainya, sebenarnya berlaku sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul. Ini bermakna Aisyah telah dilahirkan sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul, dan bukannya selepasnya.

Petunjuk Kesepuluh

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas RA bahawa beliau berkata:

"Pada hari peperangan Uhud, aku melihat Aisyah binti Abu Bakar dan Ummu Sulaim menyingsing pakaian mereka —sehingga aku dapat melihat gelang kaki mereka— sambil mereka 'tanquzan' (melompat membawa) kirbat-kirbat (bekas air dibuat daripada kulit) di atas belakang mereka, lalu menuangkannya ke dalam mulut-mulut pasukan tentera (yang cedera). Kemudian mereka berpatah balik, mengisinya semula, lalu mereka datang dan menuangkannya ke dalam mulut-mulut mulut-mulut pasukan tentera (yang cedera)."

Al-Bukhari berkata: "Selain Anas berkata: “mereka bedua ‘tanqulan’ (mengangkut) kirbat-kirbat."

Begitulah juga lafaznya dalam Sahih Muslim, dan Ibnu Hajar menukilkan bahawa lafaznya juga sedemikian di dalam Mustakhraj al-Isma'ili.

Umur Aisyah pada hari peperangan Uhud —berdasarkan pendapat yang masyhur— adalah 11 tahun. Manakala berdasarkan pendapat yang mahjur (lemah), umurnya adalah 19 tahun.

Al-Khattabi berkata dalam kitabnya A'lam al-Hadis: “Perkataan Anas: ‘tanquzan’, makna al-naqz ialah melompat, dan aku mengira ia sebenarnya ‘tazfiran’. Al-Zafr bermaksud: memikul kirbat-kirbat yang berat, dan kirbat itu sendiri dipanggil al-zifr.”

Aku katakan: Lafaz "tanquzan al-qirab" tiada makna yang sesuai di sini. Al-Khattabi RH telah melakukan perkara yang tepat apabila mentafsirkan al-zafr sebagai memikul kirbat-kirbat yang berat, dan dalam Lisan al-'Arab oleh Ibnu Manzur terdapat bukti bahawa dari sudut isytiqaq (terbitan kata) ia menyokong tafsiran tersebut.

Jika keadaannya sedemikian, perkara ini tidak munasabah berdasarkan pendapat yang masyhur. Hal ini kerana seseorang yang baru berumur 11 tahun –apatah lagi Aisyah terkenal dengan fizikalnya yang kurus dan tidak berisi pada waktu kecil– kebiasaannya tidak mampu untuk memikul kirbat-kirbat air yang berat lalu menuangkannya ke dalam mulut orang-orang yang tercedera, kemudian berpatah balik untuk mengisinya dengan air, dan datang membawanya semula berulang kali. Ini berbeza bagi seseorang yang telah berumur 19 tahun. Ini bermakna inilah pandangan yang lebih kuat (rajih).

Mungkin setiap satu daripada petunjuk-petunjuk yang disebutkan di atas –secara tersendirinya– merupakan dalil yang tidak cukup kuat untuk membuktikan berlakunya kekeliruan (waham) dalam riwayat yang masyhur mengenai Saidatina Aisyah RA. Namun begitu, himpunan kesemua petunjuk tersebut membentuk satu dalil yang kukuh mengenainya.

Kesimpulan kajian:

Berdasarkan himpunan beberapa petunjuk tersebut, pandangan yang lebih kuat (rajih) menunjukkan bahawa Saidatina Aisyah RA dilahirkan 4 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul. Rasulullah SAW telah mengakad nikah dengannya pada tahun ke-10 selepas Baginda menjadi Rasul, iaitu ketika beliau berusia 14 tahun, iaitu 3 tahun sebelum Hijrah. Baginda berumah tangga bersama beliau pada akhir tahun pertama selepas Hijrah ketika usianya menghampiri 18 tahun.

Hadis yang diriwayatkan mengenai penetapan umur Aisyah adalah 6 tahun pada hari akad dan 9 tahun pada hari berumah tangganya memang betul diriwayatkan daripada beliau melalui beberapa sanad yang sahih. Namun, ia bercanggah dengan petunjuk sejarah yang kukuh. Oleh itu, ia adalah syaz (ganjil) dan dianggap berpunca daripada kekeliruan.

Para ulama RH telah menyebutkan bahawa sekiranya matan sesuatu hadis bercanggah dengan fakta sejarah yang lebih kuat kedudukannya, maka hadis tersebut ditolak. Hal ini kerana perkara tersebut menunjukkan bahawa kecacatan telah menyusup ke dalamnya disebabkan oleh salah seorang perawinya telah terkeliru.

Dan Allah jua yang lebih mengetahui.

Ditulis oleh Salahuddin bin Ahmad al-Idlibi.

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Kesimpulan Ringkas Kajian Umur Saidatina Aisyah RA Ketika Berkahwin

Dua Pendapat Utama:

Pendapat Masyhur:

- Aisyah RA diakad nikah ketika berusia 6 tahun dan berumah tangga ketika berusia 9 tahun.

- Bermakna beliau dilahirkan 4 tahun selepas kenabian Rasulullah.

- Bersandarkan riwayat daripada Aisyah sendiri dengan sanad yang sahih dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim.

Pendapat Kedua (Dianggap kuat oleh Syeikh Dr Salahuddin al-Idlibi):

- Aisyah RA diakad nikah ketika berusia 14 tahun dan berumah tangga ketika berusia hampir 18 tahun.

- Bermakna beliau dilahirkan 4 tahun sebelum kenabian.

Sepuluh Petunjuk Yang Menyokong Pendapat Kedua:

1 - Perbezaan umur dengan Asma': Asma' lebih tua 10 tahun daripada Aisyah dan dilahirkan 27 tahun sebelum Hijrah, maka Aisyah dilahirkan 4 tahun sebelum kenabian.

2 - Gelaran ‘jariyah’ (gadis remaja): Aisyah menyebut dirinya sebagai ‘jariyah’ ketika turunnya surah al-Qamar, iaitu 8 tahun selepas kenabian. Menurut pendapat masyhur, umurnya ketika itu baru 4 tahun, sedangkan gelaran ‘jariyah’ tidak sesuai untuk kanak-kanak seusia itu.

3 - Kesedaran terhadap keislaman ibu bapa: Aisyah berkata beliau tidak pernah sedar melainkan kedua ibu bapanya sudah beragama Islam. Kenyataan ini hanya bermakna jika beliau lahir sebelum kenabian, bukan selepasnya.

4 - Disenaraikan dalam kalangan Muslim terawal: Ibn Ishaq menyenaraikan Aisyah antara orang yang memeluk Islam semasa tempoh dakwah Nabi secara rahsia. Jika beliau lahir 4 tahun selepas kenabian, beliau belum pun wujud ketika itu.

5 - Kenyataan al-Tabari: Al-Tabari menyatakan dengan jelas bahawa keempat-empat anak Abu Bakar, termasuk Aisyah, dilahirkan pada zaman Jahiliah, iaitu sebelum kenabian.

6 - Risikan Khaulah binti Hakim: Sangat jauh dari munasabah untuk merisik kanak-kanak berusia 6 tahun kepada Rasulullah SAW selepas kewafatan Khadijah, tetapi munasabah jika beliau berusia 14 tahun.

7 - Aisyah menggelar Abu Sa'id dan Anas sebagai ‘budak kecil’: Menurut pendapat masyhur, Aisyah lebih muda setahun daripada mereka, maka tidak munasabah beliau memanggil mereka demikian. Menurut pendapat kedua, beliau 7 tahun lebih tua, maka panggilan itu munasabah.

8 - Aisyah memanggil Fatimah "wahai anakku": Menurut pendapat masyhur, Fatimah lebih tua 4 atau 9 tahun daripada Aisyah, maka panggilan itu sangat ganjil. Menurut pendapat kedua, usia mereka hampir sebaya atau Aisyah sedikit lebih tua, maka panggilan itu wajar kerana Aisyah adalah isteri bapanya.

9 - Risikan Mut'im bin 'Adi: Mut'im yang berpegang teguh dengan syirik tidak mungkin merisik Aisyah untuk anaknya selepas zaman kenabian dengan persetujuan Abu Bakar. Risikan itu pasti berlaku sebelum zaman kenabian, bermakna Aisyah sudah pun lahir ketika itu.

10 – Mengangkut air ketika Perang Uhud: Kanak-kanak berusia 11 tahun yang bertubuh kurus tidak mampu memikul kirbat air yang berat berulang kali, tetapi munasabah bagi seorang wanita berusia 19 tahun.

Rumusan Akhir:

- Himpunan kesemua petunjuk ini membentuk dalil yang kukuh bahawa Aisyah RA dilahirkan 4 tahun sebelum kenabian.

- Baginda SAW mengakad nikah dengannya pada tahun ke-10 kenabian (umur 14 tahun) dan berumah tangga dengannya pada akhir tahun pertama Hijrah (umur hampir 18 tahun).

- Riwayat yang menyebut umur 6 dan 9 tahun, walaupun sahih sanadnya, dianggap syaz kerana bercanggah dengan petunjuk-petunjuk sejarah yang lebih kuat, dan ia berkemungkinan berpunca daripada kekeliruan (waham) Aisyah RA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan