Soalan: Apakah maksud istighathah?
Jawapan:
Istighathah ialah permohonan seorang hamba (makluk)
akan bantuan dan pertolongan daripada sesiapa yang dapat membantunya dan
menolak (keburukan) daripadanya ketika ditimpa kesusahan atau seumpamanya.
Soalan: Adakah harus memohon bantuan (istighathah) daripada selain Allah?
Jawapan:
Ya, harus memohonnya daripada selain Allah Taala dengan
mengambil kira bahawa makhluk yang dimohon bantuan itu adalah sebagai asbab dan
perantara.
Sesungguhnya bantuan itu, walaupun pada hakikatnya ia datang
daripada Allah 'Azza wa Jalla, namun perkara tersebut tidak menafikan bahawa
Allah Taala telah menjadikan baginya asbab dan perantara yang telah disediakan
untuknya.
Dalil bagi perkara tersebut adalah sabda baginda SAW:
اللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ
الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيه
"Allah sentiasa menolong hamba-Nya selagi mana hamba
itu menolong saudaranya." (Riwayat Muslim)
Dan sabda Baginda mengenai hak (tanggungjawab) di jalanan:
...وَأَنْ تُغِيثُوا الْمَلْهُوفَ، وَتَهْدُوا الضَّالَّ
"...dan hendaklah kamu membantu orang yang dalam
kesusahan, dan memberi petunjuk kepada orang yang sesat." (Riwayat Abu
Daud)
Baginda menyandarkan perbuatan membantu itu kepada hamba dan
mengaitkannya dengan hamba tersebut, serta menggalakkan para hamba agar saling
bantu-membantu antara satu sama lain.
Oleh itu, orang yang memohon pertolongan daripada selain
Allah tidaklah meminta makhluk tersebut untuk mencipta sesuatu, sebaliknya
tujuannya memohon daripada makhluk itu adalah supaya makhluk itu mendoakannya
kepada Allah agar menyelamatkannya daripada kesusahan, sebagai contoh.
Soalan: Apakah dalil mengenai pensyariatan Istighathah?
Jawapan:
Terdapat banyak dalil bagi perkara tersebut, antaranya: apa
yang terdapat di dalam Hadis Nabawi yang mulia:
إِنَّ الشَّمْسَ تَدْنُو يَوْمَ الْقِيَامَةِ، حَتَّى يَبْلُغَ الْعَرَقُ نِصْفَ الْأُذُنِ، فَبَيْنَمَا هُمْ كَذَلِكَ اسْتَغَاثُوا بِآدَمَ، ثُمَّ بِمُوسَى، ثُمَّ بِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
"Sesungguhnya matahari akan mendekat pada hari kiamat sehingga peluh mencapai separuh telinga, maka ketika mereka berada dalam keadaan sedemikian, mereka memohon bantuan (beristighathah) kepada Adam, kemudian kepada Musa, kemudian kepada Muhammad SAW." (Riwayat al-Bukhari)
Seluruh penduduk di Padang Mahsyar telah bersepakat mengenai
keharusan beristighathah dengan para nabi AS, dan perkara itu berlaku
melalui ilham daripada Allah Taala kepada mereka. Perkara tersebut merupakan
bukti yang paling jelas mengenai pensyariatan beristighathah dengan
selain Allah.
Antaranya lagi: sabda Baginda SAW:
إِذَا ضَلَّ أَحَدُكُمْ - أَيْ: عَنِ الطَّرِيقِ - أَوْ أَرَادَ عَوْنًا وَهُوَ بِأَرْضٍ لَيْسَ فِيهَا أَنِيسٌ، فَلْيَقُلْ: يَا عِبَادَ اللَّهِ أَغِيثُونِي
"Apabila salah seorang daripada kamu tersesat - iaitu: dari jalan - atau mahukan pertolongan sedangkan dia berada di kawasan yang dia tiada rakan disitu, maka hendaklah dia berkata:
يَا عِبَادَ اللَّهِ أَغِيثُونِي
Wahai hamba-hamba Allah, bantulah aku."
Dan di dalam satu riwayat lain:
أَعِينُونِي، فَإِنَّ لِلَّهِ عِبَادًا لَا تَرَوْنَهُمْ
"Tolonglah aku, kerana sesungguhnya Allah mempunyai
hamba-hamba yang tidak kamu lihat." (Riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir)
Hadis ini adalah sangat jelas mengenai keharusan beristighathah
dan menyeru orang yang tidak hadir (ghaib) dalam kalangan orang yang masih
hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Dan Allah lebih mengetahui.
Al-Sayyid al-Imam Ahmad bin Zaini Dahlan rahimahullah
berkata di dalam kitabnya Khulasah al-Kalam:
“Kesimpulannya, sesungguhnya mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah
berpendapat harus untuk bertawassul dan beristighathah dengan orang yang
masih hidup dan yang telah meninggal dunia. Ini kerana kita tidak meyakini
wujudnya sebarang kesan/kuasa (ta’thir), manfaat mahupun mudarat
melainkan hanya bagi Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya.
Para nabi tidak memberi sebarang kesan pada sesuatu pun,
sebaliknya mereka hanyalah diambil keberkatan daripadanya dan dimohon bantuan (istighathah)
melalui kedudukan mereka, memandangkan mereka adalah kekasih-kekasih Allah
Taala.
Orang yang membeza-bezakan antara orang yang hidup dan orang
yang telah meninggal dunia adalah mereka yang meyakini bahawa orang yang hidup
boleh memberi kesan tetapi tidak bagi orang yang telah meninggal dunia,
sedangkan kami berkata:
خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ
"...Pencipta tiap-tiap sesuatu." [Az-Zumar: 62]
وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ
"Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang
kamu buat itu!" [As-Saffat: 96]
Soalan: Apakah maksud hadis:
إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ،
وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ
"Apabila engkau meminta, maka mintalah kepada Allah,
dan apabila engkau memohon pertolongan, maka mohonlah pertolongan kepada
Allah." (Riwayat al-Tirmizi)?
Jawapan:
Hadis yang disebutkan itu menunjukkan bahawa penunaian hajat
dan bantuan itu pada hakikatnya adalah daripada Allah Taala. Walau
bagaimanapun, telah menjadi ketetapan (sunnatullah) bahawa Allah membantu
hamba-Nya melalui perantara mahupun tanpa perantara.
Maka, adalah harus meminta kepada selain Allah dan memohon
pertolongan daripadanya dengan maksud memohon bantuan daripadanya sebagai asbab
bagi mendapatkan bantuan Allah Taala, berserta keyakinan (iktikad) bahawa Yang
Maha Pemberi pada hakikatnya adalah Allah Taala semata-mata, bukan selain-Nya.
Oleh itu, tidak sah berdalilkan hadis ini untuk melarang
perbuatan memohon bantuan (istighathah) daripada selain Allah. Hal ini
kerana jika kita membawa maksud hadis tersebut bahawa istighathah tidak
dibenarkan melainkan hanya kepada Allah, maka kita telah menyalahi al-Quran dan
al-Sunnah, memandangkan al-Syari’ (Pembuat Syariat/Allah) telah
menyandarkan perbuatan memberi bantuan kepada selain-Nya, serta menggalakkan
para hamba agar saling bantu-membantu antara satu sama lain.
Maka Allah Taala berfirman:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ
وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat
kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan
dosa (maksiat) dan pencerobohan." [Al-Ma'idah: 2]
Dan terdapat juga hadis-hadis lain yang telah disebutkan
sebelum ini.
Soalan: Apakah hukum menyeru (nida') selain Allah?
Jawapan:
Harus untuk menyerunya, sama ada yang masih hidup mahupun
yang telah meninggal dunia, agar dia (pihak yang diseru itu) bertawajuh (memohon)
kepada Allah dalam urusannya (hajat orang yang menyeru).
Perkara ini adalah dengan kesepakatan para ulama dan
imam-imam yang terkemuka, dan tiada seorang pun yang mengatakan perbuatan itu
makruh, apatah lagi syirik dan haram.
Soalan: Adakah seruan itu dianggap sebagai ibadah?
Jawapan:
Para ulama rahimahumullah berkata: Seruan tidak
menjadi ibadah melainkan jika orang yang menyeru berkeyakinan bahawa pihak yang
diseru itu mampu memberi manfaat dan mudarat secara mutlak (bebas/sendiri),
atau kehendaknya pasti terlaksana bersama Allah (berkongsi kuasa) tanpa dapat
dihalang.
Maka ini adalah syirik kerana dia berkeyakinan padanya
terdapat salah satu daripada sifat-sifat khusus ketuhanan (Rububiyyah). Namun,
jika dia tidak berkeyakinan sedemikian, maka ia secara mutlaknya bukanlah
ibadah.
Oleh itu, jika seseorang menyeru (meminta bantuan) ketuanya
untuk membelanya daripada orang yang zalim atau menyelamatkannya daripada
kesusahan, sedangkan dia yakin bahawa ketuanya itu tidak berupaya secara mutlak
untuk mendatangkan manfaat atau menolak mudarat, sebaliknya Allah yang
menjadikannya sebagai asbab menurut hukum kebiasaan yang dengannya Allah
melaksanakan apa sahaja yang dikehendaki-Nya melalui tangan ketua itu, maka
perbuatan tersebut bukanlah ibadah kepadanya.
Jika setiap seruan itu dianggap ibadah, nescaya terhalanglah
(diharamkan) perbuatan menyeru orang yang masih hidup mahupun yang telah
meninggal dunia, kerana kedua-duanya adalah sama sahaja dari sudut tidak mampu
memberi sebarang kesan tanpa ada ketenruan daripada Allah, dan menyamakan
seruan dengan ibadah ini tidak diucapkan oleh mana-mana orang Islam pun.
Al-Tabari memetik dalam kitab Tarikh-nya bahawa para
Sahabat RA laungan syiar mereka ketika memerangi golongan murtad pada
peperangan Yamamah adalah "Ya Muhammadah!" (Wahai Muhammad!).
Perkara ini berlaku selepas kewafatan Baginda SAW pada zaman kekhalifahan Abu
Bakar as-Siddiq RA.
Dan telah sabit bahawa Ibn Abbas dan Ibn Umar RA
kedua-duanya berkata:
إِذَا خَدِرَتْ رِجْلُ أَحَدِكُمْ
فَلْيُنَادِ: يَا مُحَمَّدُ
"Apabila kebas kaki salah seorang daripada kamu, maka
hendaklah dia menyeru: Wahai Muhammad!"
Perkara itu disebutkan oleh Ibn Taymiyyah di dalam al-Kalim
Al-Tayyib.
Dan diriwayatkan bahawa kaki Abdullah bin Umar RA berasa
kebas, lalu dikatakan kepadanya:
اذْكُرْ أَحَبَّ النَّاسِ إِلَيْكَ
يُزِلْهُ عَنْكَ
"Sebutlah manusia yang paling engkau cintai, nescaya ia
akan menghilangkan kebas daripadamu."
Lalu beliau melaungkan: "Ya Muhammadah!"
(Wahai Muhammad!).
Perkara ini disebutkan oleh al-Qadi Iyad di dalam kitab al-Syifa'.
Soalan: Apakah hukum orang awam meminta ditunaikan hajat
daripada para wali?
Jawapan:
Orang awam yang meminta ditunaikan hajat daripada para wali
yang telah meninggal dunia tidaklah meminta daripada mereka melainkan sekadar
apa yang mampu dilakukan oleh mereka.
Hal ini kerana seorang nabi atau wali itu mampu untuk
berkata: "Wahai Tuhanku, tunaikanlah hajat si polan," memandangkan
rohnya hadir di hadapan Allah, serta mampu untuk memohon kepada Allah Taala
agar menunaikan hajat orang-orang yang bertawassul dengannya.
Sesungguhnya manusia itu apabila mati, hanyalah jasadnya yang binasa, manakala rohnya tetap kekal dan tidak binasa. Roh itulah yang bercakap, mendengar, dan melihat sewaktu hayatnya.
Betapa banyak roh para wali yang memiliki kemampuan luar biasa (tasarrufat)
dengan izin Allah Taala selepas perpindahan mereka ke alam barzakh mereka. Mereka
itu hidup di sisi Tuhan mereka serta dikurniakan rezeki dengan kehidupan
barzakh yang lebih sempurna dan lebih lengkap berbanding kehidupan para
syuhada.
Sumber:
Al-Ajwibah al-Ghaliyyah Fi ‘Aqidah al-Firqah al-Najiyyah oleh Habib Zain bin Sumait.
.jpg)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan