Jumaat, 19 Jun 2026

Terjemahan Akidah Tauhid Imam al-Dardir

[Kewajipan Mengenal Allah dan Sifat Dua Puluh]

Wajib ke atas mukallaf mengetahui sifat yang wajib/mesti bagi Allah Taala, bagi para Nabi-Nya, dan malaikat-Nya yang mulia.

Maka wajib bagi Allah Taala dua puluh sifat, iaitu:

1 – Wujud (Ada).

2 – Qidam (Tiada permulaan).

3 - Baqa' (Tiada Pengakhiran).

4 - Mukhalafah lil-Hawadith (Berbeza dengan makhluk).

5 - Qiyamuhu bi an-Nafs (Tidak berhajat kepada yang lain).

6 – Wahdaniyyah (Esa).

7 – Hayat (Hidup).

8 – Ilmu (Mengetahui).

9 – Iradah (Berkehendak).

10 – Qudrah (Berkuasa).

11 - Sama' (Mendengar).

12 – Basar (Melihat).

13 – Kalam (Berkata-kata).

Dan keadaan Allah Taala:

14 - Maha Hidup.

15 - Maha Mengetahui.

16 - Maha Berkehendak.

17 - Maha Berkuasa.

18 - Maha Mendengar.

19 - Maha Melihat.

20 - Maha Berkata-kata.

[Pembahagian Sifat Dua Puluh]

Maka ini adalah dua puluh sifat:

Yang pertama adalah sifat Nafsiyyah.

Lima sifat selepasnya adalah sifat Salbiyyah.

Tujuh sifat selepasnya adalah sifat Ma'ani.

Sifat selepasnya adalah sifat Ma'nawiyyah.

[Kesucian Zat dan Sifat Allah]

Allah Subahanahu Wa Ta’ala adalah Tuhan yang mesti ada (Wajib al-Wujud), tiada permulaan (Qadim), Kekal (Baqi), dan berbeza zat-Nya dengan seluruh makhluk.

Dia bukanlah jisim dan bukan juga 'arad (sifat makhluk) serta tidak disifatkan dengan tempat, tidak dengan masa, tidak di kanan, tidak di kiri, tidak di belakang, dan tidak di hadapan.

Dia tidak berhajat kepada yang lain dan Maha Esa pada zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan perbuatan-perbuatan-Nya.

Maha Hidup dan Maha Mengetahui akan setiap sesuatu, sama ada yang telah berlaku, yang sedang berlaku, dan yang akan berlaku.

Maha Berkehendak terhadap setiap sesuatu yang telah terjadi dan terzahir pada alam, dan apa yang akan terjadi padanya.

Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu daripada perkara-perkara yang mumkin (boleh ada atau tiada) dan berkuasa untuk meniadakannya, tidak ada sebarang sekutu yang menyekutui-Nya pada perkara tersebut.

Maha Mendengar bagi setiap yang wujud, Maha Melihat, dan Maha Berkata-kata dengan kalam yang azali, yang disucikan daripada suara dan huruf.

[Kemaksuman Para Nabi dan Malaikat]

Wajib bagi para Nabi alaihimus solatu was salam itu sifat maksum (terpelihara). Maka tidak berlaku kepada mereka sebarang perbuatan yang menyalahi Allah pada suruhan-Nya dan larangan-Nya, dan begitu juga para malaikat.

[Tugas Rasul dan Kewajipan Beriman Kepada Perkara Ghaib (Sam'iyyat)]

Wajib bagi para Rasul alaihimus solatu was salam menyampaikan apa yang diperintahkan untuk disampaikan kepada makhluk, yang terdiri daripada hukum-hakam dan selainnya, seperti Hari Akhirat dan apa yang berlaku pada Hari Akhirat tersebut berupa hisab (hitungan amalan), seksaan, titian sirat, mizan (timbangan amalan), syurga dan neraka.

Dan (wajib beriman) dengan Arasy, Kursi, kitab-kitab Samawi, para Rasul, dan apa yang berlaku kepada mereka daripada umat-umat mereka.

Dan (wajib beriman) dengan bidadari syurga, Wildan (pelayan-pelayan syurga) , para wali, dan peristiwa Israk serta Mikraj baginda, dan (wajib beriman) bahawa para syuhada itu hidup di sisi Tuhan mereka dengan diberikan rezeki.

Dan (wajib beriman) dengan syafaat nabi kita Muhammad SAW dan tanda-tanda Kiamat.

[Kewajipan Bertaubat dan Reda Terhadap Takdir]

Dan (wajib) memperbaharui taubat daripada dosa-dosa, dan reda dengan qada' dan qadar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan