Sabtu, 23 Jun 2018

Siapakah Tabi’in?

Dari segi bahasa:

Tabi'in ialah kata jamak bagi Tabi'i, atau Tabi'.

Tabi' ialah kata nama pelaku (isim fa'il) bagi perkataan: tabi'ahu (dia mengikutinya), yang bermaksud: berjalan di belakangnya, atau melintasinya lalu pergi bersamanya.

Dari segi istilah:

Sesiapa yang bertemu dengan para Sahabat Rasulullah SAW dalam keadaan dia beriman.

Pujian Allah dan Rasul-Nya terhadap mereka:

Allah SWT dan Rasul-Nya SAW telah memuji dan menyanjung mereka.

Allah Ta'ala berfirman:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

"Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada golongan Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan, Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar." [al-Taubah: 100].

Nabi SAW telah memberi isyarat kepada para Sahabat dan Tabi'in melalui sabdanya:

طُوبَى لِمَنْ رَآنِي وَآمَنَ بِي! وَطُوبَى لِمَنْ رَأَى مَنْ رَآنِي! وَلِمَنْ رَأَى مَنْ رَأَى مَنْ رَآنِي

"Beruntunglah orang yang melihatku dan beriman kepadaku! Beruntunglah orang yang melihat orang yang melihatku! (Beruntung) bagi orang yang melihat orang yang melihat orang yang melihatku." (Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Tarikh)

Faedah Ilmu Mengenal Tabi’in:

Ilmu ini mempunyai faedah yang sangat besar. Jika seseorang itu mengabaikan ilmu ini, dia tidak akan dapat membezakan antara golongan Sahabat dan golongan Tabi'in, kemudian dia juga tidak akan dapat membezakan antara golongan Tabi'in dan golongan Tabi’ al-Tabi'in.

Kita juga boleh menyatakan bahawa antara faedah ilmu ini ialah: dapat membezakan antara hadis Mursal (terputus sanadnya) dan hadis Muttasil (bersambung sanadnya) dan membezakan hadis Mauquf (berasal daripada Sahabat) dan hadis Maqtu’ (berasal daripada Tabi’in).

Tabaqat Tabi'in:

Terdapat perselisihan pendapat mengenai bilangan tabaqat (peringkat) mereka. Para ulama telah membahagikan mereka mengikut pandangan masing-masing:

1 - Imam Muslim menjadikan mereka kepada tiga tabaqat.

2 - Ibn Sa'ad menjadikan mereka kepada empat tabaqat.

3 - Al-Hakim al-Naysaburi menjadikan mereka kepada lima belas tabaqat. Beliau hanya menyebut tiga tabaqat daripadanya dalam mukadimahnya:

Mereka yang sempat bertemu dengan Sepuluh Orang Sahabat yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah SAW, seperti: Qays bin Abu Hazim. Beliau telah mendengar daripada Sepuluh Orang Sahabat tersebut dan meriwayatkan hadis daripada mereka, dan tidak ada seorang pun dalam kalangan Tabi'in yang meriwayatkan daripada Sepuluh Orang Sahabat tersebut selain beliau.

Manakala tabaqat Tabi'in yang terakhir pula: Mereka yang bertemu dengan Anas bin Malik dari kalangan penduduk Basrah, mereka yang bertemu dengan 'Abdullah bin Abu Awfa, dan mereka yang bertemu dengan al-Sa'ib bin Yazid dari penduduk Madinah. Mereka ini merupakan antara Sahabat yang terakhir meninggal dunia.

Termasuk dalam tabaqah ini ialah: Imam Abu Hanifah menurut pendapat yang paling sahih.

Golongan Tabi'in boleh dibahagikan kepada tiga tabaqat yang masyhur terdapat di dalam kitab-kitab ilmu, iaitu:

1 - Tabaqat Kibar al-Tabi'in (Tabi'in Besar):

Mereka ialah orang-orang yang meriwayatkan daripada Kibar al-Sahabah (Sahabat Besar).

Kedudukan hadis mereka ini adalah menyamai kedudukan hadis para Sahabat yang terkemudian (junior), yang kebanyakannya turut diriwayatkan oleh Tabi'in.

2 - Tabaqat Mutawassiti al-Tabi'in (Tabi'in Pertengahan):

Mereka ialah orang-orang yang sempat bertemu dengan imam-imam tersebut (Sahabat-Sahabat Besar dan Tabi'in Besar) dan seumpama mereka, dan mereka turut meriwayatkan daripada para Sahabat serta daripada para Tabi'in yang lain.

3 - Tabaqat Sighar al-Tabi'in (Tabi'in Kecil):

Mereka ialah orang-orang yang meriwayatkan hadis daripada para Sahabat Kecil yang terkemudian kematian mereka.

Maka Tabi'in Kecil ini sempat bertemu dengan para Sahabat tersebut sewaktu usia Tabi'in ini masih kecil manakala usia para Sahabat tersebut telah lanjut, iaitu mereka adalah Sahabat-Sahabat yang masih kecil pada zaman Rasulullah SAW.

Tabi’in Yang Pertama dan Terakhir Meninggal Dunia

1 - Tabi'in yang pertama meninggal dunia: Abu Zayd Ma'mar bin Yazid, beliau dibunuh pada tahun 30 Hijrah.

2 - Tabi'in yang terakhir meninggal dunia: Khalaf bin Khalifah, beliau meninggal dunia pada tahun 180 Hijrah.

Penghulu Golongan Tabi'in:

Antara penghulu golongan Tabi'in dan pembesar-pembesar mereka ialah: Fuqaha (Ahli Fiqh) Yang Tujuh dari penduduk Madinah al-Munawwarah. Merekalah kemuncak rujukan dalam meminta pendapat dan fatwa.

'Abdullah bin al-Mubarak berkata: "Apabila datang kepada mereka sesuatu masalah, mereka semua akan melibatkan diri di dalamnya, lalu menelitinya. Seorang hakim tidak akan menjatuhkan hukuman sehinggalah masalah tersebut diangkat kepada mereka, lalu mereka menelitinya, kemudian barulah mereka mengeluarkan (keputusan)."

Walaupun golongan fuqaha itu sangat ramai pada zaman Tabi'in, namun gelaran ini ini tidak ditujukan melainkan kepada mereka sahaja, dan mereka ada sembilan orang[1]:

1 - Kharijah bin Zayd bin Thabit al-Ansari (meninggal dunia tahun 100H).

2 - Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakr al-Siddiq (meninggal dunia tahun 106H).

3 - 'Urwah bin al-Zubayr bin al-'Awwam al-Asadi (meninggal dunia tahun 94H).

4 - Sulayman bin Yasar al-Hilali al-Asadi (meninggal dunia tahun 104H).

5 - 'Ubaydullah bin 'Abdullah bin 'Utbah bin Mas'ud (meninggal dunia tahun 99H).

6 - Sa'id bin al-Musayyab bin Hazn al-Qurasyi (meninggal dunia tahun 94H).

7 - Abu Salamah bin 'Abd al-Rahman bin 'Awf (meninggal dunia tahun 94H).

8 - Salim bin 'Abdullah bin 'Umar bin al-Khattab (meninggal dunia tahun 106H).

9 - Abu Bakr bin 'Abd al-Rahman bin al-Harith bin Hisyam al-Qurasyi (meninggal dunia tahun 93H).

Tabi‘in yang Paling Utama

Terdapat beberapa pendapat ulama tentang siapakah yang paling utama dalam kalangan mereka.

Abu ‘Abdillah Muhammad bin Khafif al-Shirazi berkata:

1 - Penduduk Madinah berkata: Tabi‘in yang paling utama ialah Sa‘id bin al-Musayyab (meninggal dunia tahun 94 H).

2 - Penduduk Kufah berkata: Tabi‘in yang paling utama ialah Uways bin ‘Amir al-Qarani (meninggal dunia tahun 37 H).

3 - Penduduk Basrah berkata: Tabi‘in yang paling utama ialah al-Hasan al-Basri (meninggal dunia tahun 110 H).

Pendapat yang masyhur ialah Tabi’in yang paling utama dalam kalangan mereka ialah Sa‘id bin al-Musayyab.

Rujukan:

1 - 'Ilm al-Rijal Ta'rifuhu Wa Kutubuhu oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

2 - Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.


[1] Disebutkan 9 orang kerana terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan ulama tentang penentuan individu daripada 9 fuqaha tersebut sama ada dia tergolong dalam senarai tujuh orang fuqaha tersebut atau tidak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan