Musnid ialah orang yang meriwayatkan hadis dengan
sanadnya, sama ada dia mempunyai ilmu mengenai hadis tersebut atau dia tidak
mempunyai apa-apa ilmu tentangnya, melainkan dia hanya sekadar meriwayatkannya
sahaja.
Maka, Musnid dengan maksud ini adalah sama dengan
Rawi (periwayat hadis).
Oleh sebab itu, dikatakan bahawa kedudukan Musnid
lebih rendah daripada orang yang disifatkan sebagai seorang Muhaddith.
Al-Rafi'i dan selain beliau berkata:
“Jika seseorang berwasiat (untuk diberikan harta) kepada
para ulama, maka tidak termasuk di dalamnya mereka yang hanya mendengar hadis,
namun tidak mempunyai ilmu tentang jalur-jalur periwayatannya, tidak juga
mengetahui nama-nama perawi dan matan-matan. Ini kerana perbuatan mendengar
hadis semata-mata bukanlah ilmu.”
Al-Taj bin Yunus berkata di dalam Syarh al-Ta'jiz:
“Jika seseorang berwasiat untuk (diberikan harta kepada) Muhaddith,
maka ia merangkumi sesiapa yang mengetahui cara-cara pensabitan hadis dan
mengetahui sifat ‘adil para perawinya. Hal ini kerana sesiapa yang hanya
sekadar mendengar hadis sahaja, dia bukanlah seorang alim.”
Demikian jugalah yang dikatakan oleh al-Subki di dalam Syarh
al-Minhaj.
Akan tetapi, tidaklah disyaratkan bahawa untuk menamakan
seorang Syeikh itu sebagai Musnid bahawa beliau mestilah tidak mempunyai
pengetahuan tentang hadis yang diriwayatkannya.
Antara kebiasaan para penulis kitab-kitab biografi ialah
mereka sering menggabungkan gelaran-gelaran ini antara satu sama lain, lalu
mereka berkata misalnya: al-Muhaddith, al-Musnid, al-Hafiz, al-Naqid... dan
seterusnya.
al-'Allamah Khalil bin Aybak al-Safadi berkata dalam
mukadimah kitabnya, al-Wafi bi al-Wafayat ketika mendefinisikan istilah Musnid:
“Orang yang dipanjangkan umurnya dan banyak meriwayatkan
hadis.”
Sumber:
- Ghayah al-Idhah Fi 'Ulum al-Istilah – Prof Dr
Al-Khusyu'i al-Khusyu'i
- Lisan al-Muhaddithin - Muhammad Khalaf Salamah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan