Ilmu ini turut dikenali dengan nama ‘Ulum Rijal al-Hadith
(ilmu-ilmu tentang rijal hadith). Ini adalah kerana setiap seni ilmu
yang terkandung dalamnya dikira sebagai satu ilmu yang berasingan.
Apa yang dimaksudkan dengan al-Rijal adalah perawi
hadis, tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan. Namun perkataan al-Rijal
digunakan pada ilmu ini kerana kebiasaannya kebanyakan perawi adalah orang
lelaki.
Ilmu ini adalah ilmu yang membahaskan tentang penelitian dan
pengesahan terhadap nama-nama perawi hadis, nasab, kunyah serta gelaran
mereka. Dalam ilmu ini terkandung perbahasan yang sangat luas seperti ilmu: Al-Mu’talaf
Wa al-Mukhtalaf, ilmu al-Muttafaq Wa al-Muftaraq, dan ilmu al-Musytabih.
Ia juga membahaskan tentang sejarah hidup para perawi dan
segala maklumat yang diperlukan oleh pengkritik sanad seperti maklumat murid
yang pernah mendengar daripada guru
mereka dan yang tidak pernah mendengar daripada guru mereka. Barangkali kadar
apa yang didengar juga diperbahaskan sekadar yang mampu. Antara kitab-kitab
yang membahaskan ilmu seperti ini adalah kitab al-Wafayat.
Ilmu ini juga membincangkan segala yang berkaitan dengan
keadaan perawi dari sudut al-jarh wa al-ta’dil di samping menerangkan
tentang perihal periwayatan mereka dari sudut bersambung atau terputus.
Melihat kepada kepentingan ilmu ini, maka al-Imam Ali bin
al-Madini pernah berkata: “Fiqh (kefahaman) terhadap makna-makna hadis
adalah separuh ilmu. Manakala pengetahuan tentang perihal para perawi hadis
pula adalah separuh yang lain.”
[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 366]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan