Definisi Tabi’
al-Tabi'in:
Tabi' al-Tabi'in ialah sesiapa yang bertemu dengan seorang
Tabi'in dalam keadaan dia beriman kepada Nabi SAW.
Faedah Mengenali Tabi’ al-Tabiin
Mengenali Tabi’ al-Tabi’in dapat membantu untuk mengenali hadis yang muttasil (bersambung sanad) berbanding yang mursal (terputus sanad), serta hadis yang marfu' (disandarkan kepada Nabi) berbanding yang mauquf (disandarkan kepada Sahabat) dan maqtu' (disandarkan kepada Tabi’in).
Al-Hakim berkata: "Apabila seseorang alpa terhadap ilmu ini, dia tidak akan dapat membezakan antara para Sahabat dan Tabi'in, kemudian dia tidak akan dapat membezakan pula antara Tabi'in dan Tabi’ al-Tabi'in."
Al-Hakim juga berkata: "Sesungguhnya kesilapan orang yang tidak mengenali mereka adalah besar, dan mereka merupakan generasi ketiga selepas Nabi SAW. Di dalam kalangan mereka terdapat sejumlah imam-imam bagi umat Islam dan ahli-ahli fiqah dari pelbagai kota. Dalam generasi ini juga terdapat sekumpulan orang yang nama-nama mereka boleh mengelirukan penuntut ilmu, sehingga dia menyangka mereka dari kalangan Tabi'in disebabkan persamaan nasab keturunan mereka atau sebab selainnya."
Keistimewaan Tabi’
al-Tabi’in
Mereka merupakan generasi ketiga selepas para Sahabat dan
Tabi'in, di mana Nabi SAW telah menjadikan mereka sebaik-baik manusia selepas para Sahabat dan Tabi'in.
Baginda bersabda:
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذين يَلُوْنَهُمْ، ثُمَّ الَّذِيْنَ
يَلُوْنَهُمْ
"Sebaik-baik manusia adalah kurunku (generasiku),
kemudian orang-orang yang mengiringi mereka, kemudian orang-orang yang
mengiringi mereka." (Riwayat al-Bukhari)
Baginda juga bersabda:
يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ فَيَغْزُو فِئَامٌ مِنَ النَّاسِ فَيُقَالُ: هَلْ فِيكُمْ مَنْ صَاحَبَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَيَقُولُونَ: نَعَمْ، فَيُفْتَحُ لَهُمْ، ثُمَّ يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ فَيَغْزُو فِئَامٌ مِنَ النَّاسِ فَيُقَالُ: هَلْ فِيكُمْ مَنْ صَاحَبَ أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَيَقُولُونَ: نَعَمْ، فَيُفْتَحُ لَهُمْ، ثُمَّ يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ فَيَغْزُو فِئَامٌ مِنَ النَّاسِ فَيُقَالُ: هَلْ فِيكُمْ مَنْ صَاحَبَ مَنْ صَاحَبَ أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَيَقُولُونَ: نَعَمْ، فَيُفْتَحُ لَهُمْ
"Akan datang kepada manusia suatu zaman, lalu sekelompok manusia pergi berperang.
Maka ditanya: 'Adakah dalam kalangan kamu sesiapa yang pernah bersahabat dengan Rasulullah SAW?'
Mereka menjawab: 'Ya', lalu diberikan kemenangan kepada mereka.
Kemudian, datang kepada manusia suatu zaman, lalu sekelompok manusia pergi berperang.
Maka ditanya: 'Adakah dalam kalangan kamu sesiapa yang pernah bersahabat dengan para sahabat Rasulullah SAW?'
Mereka menjawab: 'Ya', lalu diberikan kemenangan kepada mereka.
Kemudian, datang kepada manusia suatu zaman, lalu sekelompok manusia pergi berperang.
Maka ditanya: 'Adakah dalam kalangan kamu sesiapa yang pernah bersahabat dengan orang yang bersahabat dengan para sahabat Rasulullah SAW?'
Mereka menjawab: 'Ya', lalu diberikan kemenangan kepada mereka." (Riwayat Muslim)
Maka inilah sifat Tabi’ al-Tabi'in yang Nabi SAW telah
menjadikan mereka sebaik-baik manusia selepas para Sahabat dan Tabi'in yang
terpilih, dan mereka adalah generasi ketiga selepas Nabi SAW.
Keistimewaan Zaman
Tabi’ al-Tabi’in
1 - Pembukuan hadis semakin banyak pada zaman Tabi’ al-Tabi'in,
dan susunannya dibuat berdasarkan bab-bab.
2 - Hadis Rasulullah SAW diasingkan daripada selainnya, lalu
kitab-kitab Musnad pun dikarang.
3 - Pada zaman ini, muncul terlalu ramai ulama yang tidak
terhitung bilangannya yang menghimpunkan hadis dan sunah, serta ilmu al-Jarh wa
al-Ta’dil.
4 - Pada penghujung zaman ini atau awal zaman selepasnya,
hadis-hadis sahih telah dihimpunkan secara tersendiri melalui tangan al-Bukhari
dan Muslim.
Garis Pemisah Antara Zaman Tabi'in dan Tabi’ al-Tabi'in
Garis pemisah antara zaman Tabi'in dan Tabi’ al-Tabi'in
ialah tahun 150 Hijrah. Manakala garis pemisah antara Tabi’ al-Tabi'in dan
generasi selepas mereka pula ialah tahun 220 Hijrah.
Dalam perbahasan mengenai Sahabat Nabi SAW disebutkan bahawa
Sahabat yang terakhir meninggal dunia adalah pada tahun 110 Hijrah yang mana ia
merupakan garis pemisah antara Sahabat dan Tabi'in.
Tokoh Tabi’ Tabi’in
Dalam generasi ini, terdapat sekumpulan imam umat Islam dan tokoh
Fuqaha (Ahli Fiqh) di pelbagai tempat, seperti:
1 - Imam Malik bin Anas al-Asbahi (meninggal dunia tahun 179
H).
2 - Abdul Rahman bin 'Amr al-Awza'i (meninggal dunia tahun
157 H).
3 - Sufyan bin Sa'id al-Thauri (meninggal dunia tahun 161
H).
4 - Syu'bah bin al-Hajjaj al-'Ataki (meninggal dunia tahun
160 H).
5 - Abdul Malik bin Abdul Aziz, yang dikenali sebagai Ibn
Juraij (meninggal dunia tahun 150 H).
Kemudian dalam kalangan mereka juga terdapat sekumpulan
daripada murid-murid kepada tokoh-tokoh yang telah disebutkan ini, seperti:
1 - Yahya bin Sa'id al-Qattan (meninggal dunia tahun 198 H).
Beliau sempat bertemu dengan murid-murid Anas bin Malik.
2 - Abdullah bin al-Mubarak (meninggal dunia tahun 181 H). Beliau
sempat bertemu dengan sekumpulan Tabi'in.
3 - Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani (meninggal dunia tahun 189 H). Beliau adalah antara orang yang meriwayatkan kitab al-Muwatta' daripada al-Imam Malik, dan beliau sempat bertemu dengan sekumpulan Tabi'in.
Tabaqat
Tabi’ al-Tabi’in Menurut Ibnu Hajar
Dapat difahami daripada pendekatan al-Hafiz Ibnu Hajar dalam
usahanya untuk membahagikan kesemua perawi kepada dua belas generasi (tabaqat)
bahawa Tabi' al-Tabi'in terbahagi kepada tiga tingkatan:
1 - Generasi Senior (Kibar), antaranya: al-Imam Malik
dan al-Thauri.
2 - Generasi Pertengahan (Wusta), antaranya: Ibnu
'Uyainah.
3 - Generasi Junior (Sughra), antaranya: Imam
al-Syafi'i. Sesungguhnya generasi ini telah meninggalkan sumbangan yang sangat
besar dalam pemeliharaan dan pembukuan Sunnah.
Rujukan Mengenali Tabi'in
dan Tabi’ al-Tabi'in:
1 - Al-Tabaqat al-Kubra: Karya Ibnu Sa’ad (meninggal
dunia tahun 230 H).
2 - Al-Tabaqat: Karya Khalifah bin Khayyat al-Syaibani
al-'Usfuri (meninggal dunia tahun 240 H).
3 - Zikr Asma' al-Tabi'in: Karya al-Daraqutni
(meninggal dunia tahun 385 H).
4 - Kitab Ma'rifah al-Tabi'in: Karya Abu
al-Mutarrif, Abdul Rahman bin Muhammad al-Qurtubi (meninggal dunia tahun 402
H).
5 - Talqih Fuhum al-Athar: Karya al-Jauzi (meninggal
dunia tahun 597 H).
Ia mengandungi satu fasal tentang Tabi'in.
6 - Jannah al-Nazirin fi Ma'rifah al-Tabi'in:
Karya Ibnu al-Najjar al-Baghdadi (meninggal dunia tahun 643 H).
7 - Al-Tabyin 'an Manaqib man 'Urifa bi Qurtubah min
al-Tabi'in: Karya Qasim bin Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi (meninggal
dunia tahun 643 H).
8 - Ma'rifah al-Tabi'in min al-Thiqat li Ibn Hibban:
Karya al-Hafiz al-Zahabi (meninggal dunia tahun 748 H).
Ibnu Hibban (meninggal dunia tahun 354 H) telah mengarang
kitabnya al-Thiqat dan menyusunnya mengikut generasi (tabaqat). Beliau
membahaskan di dalamnya tentang para Sahabat, Tabi'in, dan Tabi' al-Tabi'in.
Beliau menyusun setiap generasi itu mengikut susunan huruf hijaiyah.
Namun begitu, beliau telah menyebutkan dalam kitab ini
sejumlah perawi yang ramai dan sekumpulan besar perawi yang tidak dikenali (majhul),
bahkan beliau menyebut sekumpulan ramai perawi di dalam kitab al-Thiqat,
kemudian mengulangi menyebut mereka dalam kitab al-Du'afa' wa al-Majruhin.
Al-Zahabi telah meringkaskan bahagian Tabi'in daripada Ibnu
Hibban, mengekalkan susunan asalnya, menulis tarikh kematian mereka menggunakan
angka, dan memberi komentar terhadap sebahagian biografi perawi.
Beliau juga mengkritik Ibnu Hibban kerana tidak memuatkan
secara menyeluruh kesemua golongan Tabi'in di dalam kitabnya.
Kitab ini masih lagi dalam bentuk manuskrip.
9 - Al-Ruwat al-Thiqat al-Mutakallam Fihim Bima La
Yujibu Raddahum: Karya al-Hafiz al-Zahabi juga.
10 - Tazkirah al-Huffaz: Karya al-Hafiz
al-Zahabi juga.
Rujukan:
1 - Bulugh al-Amal Min Mustholah al-Hadith Wa al-Rijal oleh Prof Dr Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar.
2 - 'Ilm al-Rijal Ta'rifuhu Wa Kutubuhu oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.
.jpg)



Tiada ulasan:
Catat Ulasan