Definisinya:
Dari segi bahasa:
Ia adalah kata nama objek (isim maf'ul) daripada kata
qat'a (potong), dan potong itu adalah lawan kepada sambung (wasal).
Dari segi istilah:
Ia adalah perkataan atau perbuatan yang disandarkan kepada Tabi’in
dan generasi yang di peringkat bawahnya, serta ia bebas daripada petunjuk (qarinah)
yang menunjukkan bahawa ia adalah Marfu' (berasal daripada Nabi) atau Mawquf
(berasal daripada Sahabat).
Penjelasan Definisi
1 - Maksud “dan generasi yang di peringkat bawahnya” iaitu
di bawah Tabi’in daripada kalangan pengikut kepada Tabi’in (Atba' al-Tabi'in)
dan generasi yang selepasnya. Maka hadis mereka dinamakan sebagai Maqtu'.
Ibnu Hajar berkata: “Mereka yang di bawah Tabi’in daripada
kalangan pengikut Tabi’in dan generasi yang selepasnya masuk dalam penamaan
sebagai Maqtu'.”
2 – “Bebas daripada petunjuk (qarinah) yang
menunjukkan bahawa ia adalah Marfu' (berasal daripada Nabi) atau Mawquf
(berasal daripada Sahabat).”
Pengecualian ini mengeluarkan apa yang mempunyai petunjuk
yang menunjukkan ia di-marfu'-kan (disandarkan) kepada Nabi SAW atau di-mauquf-kan
(dihentikan) kepada Sahabat. Maka ia tidak dinamakan sebagai Maqtu',
sebaliknya ia dinamakan sebagai Marfu' atau Mawquf.
Contoh Maqtu’
1 - Contoh dalam bentuk ucapan:
Ucapan al-Hasan al-Basri tentang solat di belakang pembuat
bidaah:
صَلِّ وَعَلَيْهِ بِدْعَتُهُ
"Solatlah, dan ke atasnya (tanggungan) bidaahnya itu."
2 - Contoh dalam bentuk perbuatan:
Ucapan Ibrahim bin Muhammad bin al-Muntashir:
كَانَ مَسْرُوقٌ يُرْخِي السِّتْرَ
بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَهْلِهِ، وَيُقْبِلُ عَلَى صَلَاتِهِ، وَيُخَلِّيهِمْ
وَدُنْيَاهُمْ
"Masruq dahulunya melabuhkan tirai antara dirinya dan
keluarganya, lalu dia menumpukan perhatian pada solatnya dan membiarkan mereka
dengan dunia mereka.”
Hukum Hadis Maqtu':
Terdapat perselisihan pendapat mengenai hukum beramal
dengannya, adakah ia merupakan hujah yang wajib diamalkan atau bukan hujah?
Sekumpulan ulama berpendapat bahawa ia bukanlah hujah.
Antara mereka ialah Abu Hanifah yang berkata: “Apa yang
datang daripada Rasulullah SAW, maka ia dijunjung di atas mata dan kepala
(diterima sepenuhnya). Apa yang datang daripada Tabiin, maka mereka adalah
tokoh (rijal) dan kami juga adalah tokoh.”
Shams al-A’immah pula berkata: “Perkataan Tabi’in bukanlah
hujah yang membolehkan qiyas ditinggalkan kerananya.”
Al-Zarkashi tidak sekadar menyatakan ia bukan hujah, bahkan
beliau mengeluarkannya terus daripada jenis-jenis hadis. Beliau berkata: “Memasukkan
Maqtu' ke dalam jenis-jenis hadis merupakan satu kelonggaran (tasamuh)
yang besar kerana sesungguhnya perkataan-perkataan Tabi’in dan mazhab-mazhab
mereka tiada kaitan dengan ilmu hadis, maka bagaimana ia boleh menjadi salah
satu jenis daripadanya.”
Jumhur ulama hadis pula berpandangan bahawa ia adalah hujah
sekiranya tiada ruang bagi pandangan akal padanya dan tiada tempat bagi ijtihad
di dalamnya kerana pada ketika itu ia mengambil hukum Marfu',
sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu al-'Arabi. Beliau mendakwa bahawa ia
adalah mazhab Imam Malik, serta kerana konsep Sunnah itu merangkumi Maqtu'
di sisi pandangan para ulama hadis.
Sebahagian ulama fiqah berkata: “Sekiranya fatwa Tabi’in itu
tersebar pada zaman Sahabat dan mereka tidak mengingkarinya, maka ia adalah
hujah. Jika tidak, maka ia bukan hujah.”
Mazhab jumhur merupakan pendapat yang sahih yang menjadi
amalan pada masa kini.
Perbezaan Antara Maqtu' dan Munqati':
Sebahagian ahli hadis seperti al-Imam al-Syafi‘i dan
al-Tabarani - semoga Allah merahmati mereka berdua - telah menggunakan lafaz Maqtu‘
dan maksud mereka ialah Munqati‘, iaitu: hadis yang tidak
bersambung sanadnya.
Ia ialah istilah yang tidak masyhur. Al-Syafi‘i mungkin
diberi kelonggaran kerana beliau menyebut demikian sebelum istilah hadis menjadi
mantap. Manakala al-Tabarani pula, penggunaannya sedemikian dianggap sebagai tajawwuz
(penggunaan secara longgar) daripada istilah sebenar.
Sumber-sumber Maqtu‘:
Bagi hadis Mawquf dan Maqtu‘ terdapat beberapa sumber utama, iaitu:
1 - Musannaf Ibn Abi Shaybah: Karya Abu Bakr
‘Abdullah bin Muhammad bin Abi Shaybah (meninggal dunia tahun 235 Hijrah).
2 - Musannaf ‘Abd al-Razzaq: Karya Abu Bakr ‘Abd al-Razzaq bin Hammam al-Himyari al-San‘ani (meninggal dunia tahun 276 Hijrah).
3 - Tafsir Ibn Jarir (meninggal dunia tahun 310 Hijrah).
4 – Tafsir Ibn Abi Hatim (meninggal dunia tahun 277 Hijrah).
5 – Tafsir Ibn al-Munzir (meninggal dunia tahun 319 Hijrah).
Sumber:
- Bulugh al-Amal Min Mustholah al-Hadith Wa al-Rijal - Prof Dr Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar
- Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi – Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri





Tiada ulasan:
Catat Ulasan