Sabtu, 7 Julai 2018

Imam al-Bukhari Menegur Gurunya Ketika Berusia 11 Tahun

Abu Ja'far Muhammad bin Abu Hatim al-Warraq[1] berkata:

"Aku bertanya kepada Abu Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari: “Bagaimanakah permulaan kisahmu dalam menuntut ilmu hadis?”

Beliau menjawab: “Aku telah diilhamkan untuk menghafal hadis semasa aku masih di kuttab (sekolah pengajian asas).”

Al-Warraq bertanya lagi: “Berapakah umurmu ketika itu?”

Beliau menjawab: “Sepuluh tahun atau kurang. Kemudian aku keluar dari kuttab selepas berumur sepuluh tahun, lalu aku mula berulang-alik (menuntut ilmu) dengan al-Dakhili[2] dan selainnya.

Pada suatu hari, semasa beliau sedang membacakan (rantaian sanad) kepada orang ramai, beliau menyebut: “Sufyan, daripada Abu al-Zubair, daripada Ibrahim.”

Lalu aku berkata kepadanya: “Wahai Abu Fulan, sesungguhnya Abu al-Zubair tidak pernah meriwayatkan daripada Ibrahim.”

Lantas beliau menengkingku.

Aku pun berkata kepadanya: “Rujuklah kembali kepada naskhah asal jika ia ada padamu.”

Beliau terus masuk ke dalam dan menelitinya, kemudian beliau keluar lalu bertanya kepadaku: “Bagaimanakah yang sebenarnya, wahai budak?”

Aku menjawab: “Ia adalah al-Zubair bin 'Adi, daripada Ibrahim.”

Beliau pun mengambil pen daripadaku dan membetulkan kitabnya, lalu berkata: “Engkau benar.”

Kemudian, sebahagian sahabatnya bertanya kepada al-Bukhari: “Berapakah umurmu ketika engkau menegurnya itu?”

Beliau menjawab: “Sebelas tahun."

Sumber:

Tarikh Baghdad oleh al-Khatib al-Baghdadi.



[1] Al-Warraq ini merupakan salah seorang murid rapat dan jurutulis kepada Imam al-Bukhari. Beliau sentiasa melazimi Imam al-Bukhari semasa bermukim dan bermusafir serta banyak menyalin kitab-kitab al-Bukhari. Beliau ada menulis tentang biografi al-Bukhari bertajuk Syamail al-Bukhari. Al-Khatib al-Baghdadi, al-Zahabi dan ulama yang lain banyak menukilkan maklumat tentang al-Bukhari daripada kitab ini.

[2] Al-Dakhili ini menurut Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam kitab Tahqiq Ismi al-Sahihain, beliau telah mencari biografinya selama lebih 30 tahun namun beliau tidak menemuinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan