Jumaat, 22 Jun 2018

Perawi Hadis

Dari sudut bahasa:

"Perawi (Rawi)", kata jamaknya ialah: "Ruwah".

Ia merupakan kata nama pelaku (isim fa’il) daripada perkataan rawa - yarwi - riwayatan yang bermaksud: "Pemindah/Penyampai (al-Naqil)".

Dikatakan: “Fulan meriwayatkan syair”, yang bermaksud: dia memindahkannya kepada orang lain. Daripada akar kata ini juga timbulnya sebutan: “Rawa al-Hadith (Meriwayatkan hadis).”

Gelaran "al-rawiyah" pula digunakan untuk merujuk kepada individu yang banyak meriwayatkan hadis atau syair.

Dari Sudut Istilah:

Perawi ialah orang yang menerima hadis, dan menyampaikannya menggunakan salah satu daripada bentuk-bentuk penyampaian hadis (sighah al-ada').

Atau dengan ungkapan lain: Perawi ialah orang yang menerima hadis daripada pihak yang memindahkan hadis itu kepadanya melalui salah satu daripada cara penerimaan hadis (turuq al-tahammul) yang telah ditetapkan oleh ulama hadis, lalu dia menyampaikannya pula kepada orang lain yang mengambil hadis daripadanya.

Maksud Penerimaan Hadis (Tahammul al-Hadith):

Ia bermaksud proses menerima hadis dan mengambilnya daripada guru.

Maksud Penyampaian Hadis (Ada' al-Hadith):

Ia adalah perbuatan menyampaikan hadis melalui salah satu bentuk penyampaian dan penerimaan hadis menggunakan mana-mana lafaz seperti:

1 - "Sami'tu" (Aku telah mendengar).

2 - "Sami'na" (Kami telah mendengar).

3 - "Haddathani" (Telah menceritakan kepadaku).

4 - "Haddathana" (Telah menceritakan kepada kami).

5 – “Akhbarani" (Telah mengabarkan kepadaku).

6 - "Akhbarana" (Telah mengabarkan kepada kami).

7 - "Anba'ani" (Telah memberitahu kepadaku).

8 - "Anba'ana" (Telah memberitahu kepada kami).

9 - "Qala" (Dia berkata).

9 - "Anna" (Bahawasanya dia).

10 - " 'An " (Daripada).

Sumber:

Al-Muyassar Fi 'Ilm Mustholah al-Hadith oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan