Khamis, 20 Ogos 2020

Hadis Mursal

Dari segi bahasa:

Mursal ialah kata nama objek (isim maf'ul) daripada perkataan irsal yang bermaksud: melepaskan (itlaq).  

Seolah-olah perawi yang melakukan irsal telah ‘melepaskan’ sanad, dan tidak ‘mengikatnya’ dengan perawi yang dapat diketahui.

Dari segi istilah:

Hadis yang disandarkan oleh seorang Tabi'in kepada Nabi SAW tanpa menyebutkan perantara.

Maksud Tabi'in di sini adalah secara mutlak merangkumi Tabi'in Kecil (Sighar Tabi’in) dan Tabi'in Besar (Kibar Tabi’in).

Tabi'in Besar ialah orang-orang yang meriwayatkan daripada Sahabat Besar (Kibar al-Sahabah). Sahabat Besar pula seperti Sepuluh Orang Sahabat yang Dijanjikan Syurga, dan Sahabat yang terdahulu memeluk Islam.

Inilah takrif Mursal yang dipegang oleh Ahli Hadis.

Namun dalam kalangan Ahli  Hadis ada yang mengehadkannya kepada Tabi'in Besar sahaja, dan menjadikan hadis yang disandarkan oleh Tabi'in Kecil sebagai Munqati'.

Menurut ulama Usul Fiqh, Mursal ialah: Hadis yang disandarkan oleh perawi selain Sahabat kepada Nabi SAW.

Maksud ‘perawi selain Sahabat’ di sisi mereka adalah merangkumi hadis yang disandarkan oleh Tabi'in seperti al-Hasan al-Basri, atau Atba' al-Tabi'in seperti Malik, atau perawi yang hidup selepas generasi mereka seperti Tabi' Atba' al-Tabi'in. Kesemua ini di sisi mereka adalah Mursal.

Menurut Ahli Hadis pula, Mursal hanyalah apa yang telah disebutkan dalam takrif sebelum ini. Adapun hadis yang disandarkan oleh perawi selepas Tabi'in, maka ia di sisi mereka adalah satu bentuk daripada Mu'dhal.

Berdasarkan penjelasan ini, maka antara dua takrif tersebut — takrif Ahli Hadis dan takrif Ahli Usul — terdapat hubungan umum dan khusus yang mutlak, di mana takrif Ahli Usul Fiqh adalah lebih umum.

Contoh Mursal:

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya, dalam Kitab al-Buyu', beliau berkata:

"Muhammad bin Rafi' telah menceritakan kepadaku, Hujayn telah menceritakan kepada kami, al-Layth telah menceritakan kepada kami, daripada 'Uqayl, daripada Ibn Syihab, daripada Sa'id bin al-Musayyab: Rasulullah SAW melarang jual beli al-Muzabanah."

Sa'id bin al-Musayyab ialah seorang Tabi'in Besar. Beliau telah meriwayatkan hadis ini daripada Nabi SAW tanpa menyebut perantara antara beliau dengan Nabi SAW.

Beliau telah menggugurkan bahagian akhir sanad hadis ini, iaitu perawi selepas Tabi'in. Kadar minimum berlakunya keguguran perawi dalam sanad hadis ini ialah gugurnya seorang Sahabat, dan berkemungkinan juga turut gugur perawi selain Sahabat seperti seorang Tabi'in yang lain, misalnya.

Hukum Mursal dan Kehujahannya:

Mursal pada asalnya adalah daif dan ditolak. Ini kerana ia telah kehilangan salah satu daripada syarat-syarat hadis Maqbul (yang diterima) iaitu sanad yang bersambung, dan kerana ketidaktahuan tentang keadaan perawi yang digugurkan.

Ini kerana terdapat kemungkinan bahawa perawi yang digugurkan itu bukan seorang Sahabat, dan jika perawi itu bukan Sahabat maka terdapat kemungkinan bahawa dia adalah seorang perawi yang daif.

Walau bagaimanapun, para ulama daripada kalangan Ahli Hadis dan selain mereka telah berselisih pendapat mengenai hukum Mursal dan menjadikannya sebagai hujah. Ini kerana jenis terputus sanad sebegini berbeza dengan mana-mana bentuk terputus sanad yang lain kerana perawi yang gugur itu pada kebiasaannya merupakan seorang Sahabat, dan para Sahabat kesemuanya adalah ‘adil, maka ketidaktahuan tentang identiti mereka tidak memudaratkan.

Ringkasan pandangan para ulama mengenai hadis Mursal terbahagi kepada tiga pendapat, iaitu:

1 - Daif dan ditolak: 

Pendapat majoriti Ahli Hadis, dan ramai dalam kalangan ulama Usul Fiqh serta Ahli Fiqh.

Hujah mereka ialah: Ketidaktahuan tentang keadaan perawi yang digugurkan kerana wujudnya kemungkinan bahawa dia bukanlah seorang Sahabat.

2 - Sahih dan dijadikan hujah: 

Pendapat tiga imam: Abu Hanifah, Malik, dan Ahmad - berdasarkan riwayat yang masyhur daripada beliau - serta sekelompok ulama.

Boleh dijadikan hujah ini dengan syarat perawi yang melakukan irsal (mursil) itu adalah thiqah (dipercayai), dan dia tidak melakukan irsal melainkan daripada perawi yang thiqah juga.  

Hujah mereka: Seorang Tabi'in yang thiqah tidak akan membenarkan bagi dirinya untuk berkata: "Rasulullah SAW bersabda," melainkan jika dia mendengarnya daripada perawi yang thiqah.

3 - Diterima bersyarat: Iaitu ia menjadi sahih dengan syarat-syarat tertentu.

 Ini adalah pendapat Imam al-Syafi'i dan sebahagian ahli ilmu.

Syarat-syarat ini ada empat:

(i) Tiga syarat pada perawi yang melakukan irsal.

(ii) Satu syarat pada hadis tersebut.

Berikut adalah syarat-syarat tersebut:

1 - Hendaklah perawi yang melakukan irsal itu terdiri daripada kalangan Tabi'in Besar.

2 - Jika dia menamakan perawi yang dia melakukan irsal daripadanya itu, dia akan menamakan perawi yang thiqah.

3 - Jika ada para pakar hadis (Huffaz) yang dipercayai turut serta bersamanya dalam meriwayatkan hadis yang sama, mereka tidak akan bercanggah dengan riwayatnya.

4 - Hendaklah digabung bersama ketiga-tiga syarat ini salah satu daripada perkara berikut:

a - Hadis tersebut diriwayatkan melalui sanad yang lain secara Musnad (bersambung).

b - Atau ia diriwayatkan melalui jalan yang lain secara Mursal, yang di-irsal-kan oleh orang yang mengambil ilmu daripada perawi-perawi yang berbeza dengan perawi-perawi bagi hadis Mursal yang pertama.

c - Atau ia selari dengan pendapat seorang Sahabat.

d - Atau kebanyakan ahli ilmu berfatwa berdasarkan kehendak hadis tersebut.

Maka apabila syarat-syarat ini dipenuhi, nyatalah kesahihan sumber asal hadis Mursal tersebut dan hadis yang menyokongnya, dan kedua-duanya adalah sahih.

Sekiranya kedua-duanya bercanggah dengan sebuah hadis sahih yang datang melalui satu sanad sahaja, nescaya kita akan merajihkannya (mengutamakannya) ke atas hadis sahih tersebut disebabkan oleh kepelbagaian jalan riwayatnya, sekiranya mustahil untuk diharmonikan antara kedua-duanya.

Contoh bagi manhaj Imam al-Syafi'i dalam menerima Mursal:

Al-Syafi'i meriwayatkan daripada hadis Malik bin Anas, daripada Abu Hazim, daripada Sa'id bin al-Musayyab: “Rasulullah SAW melarang jual beli al-gharar (yang mempunyai unsur ketidakpastian."

Beliau menjadikannya sebagai hujah. Hadis ini adalah Mursal seperti yang  dapat dilihat, walau bagaimanapun ia telah sabit secara Musnad (bersambung sanadnya) daripada hadis 'Ubaydullah bin 'Umar, daripada Abu al-Zinad, daripada al-A'raj, daripada Abu Hurayrah.

Maka hadis Musnad tersebut telah menyokong hadis Mursal Ibn al-Musayyab, lalu sabitlah bahawa ia adalah hadis Mursal yang sahih, dan lantaran itu al-Syafi'i menjadikannya sebagai hujah.

Di sini mungkin terlintas di fikiran persoalan berikut: Jika hadis Mursal itu menjadi kuat dengan adanya hadis Musnad, maka hujah sebenarnya telah pun tertegak dengan hadis Musnad tersebut, lantas tiada lagi faedah pada hadis Mursal itu ketika itu?

Jawapannya: Dengan adanya hadis Musnad tersebut, jelaslah kepada kita akan kesahihan hadis Mursal itu. Maka wujudlah dalam masalah tersebut dua buah hadis yang sahih: hadis Musnad, dan hadis Mursal yang menjadi kuat dengan hadis Musnad itu. Maka kedua-duanya menjadi dua dalil.

Sekiranya kedua-duanya bercanggah dengan sebuah hadis sahih yang datang melalui satu sanad sahaja, dan mustahil untuk diharmonikan antaranya, nescaya kita akan mendahulukan (merajihkan) kedua-duanya ke atas hadis sahih tersebut, dan kita beramal dengan kedua-duanya dan bukan dengannya (hadis yang satu sanad itu).

Tokoh-tokoh Tabi'in yang Paling Masyhur Meng-irsal-kan Hadis:

Kebiasaannya hadis-hadis Mursal paling banyak diriwayatkan oleh:

  • Penduduk Madinah: Sa'id bin al-Musayyab (meninggal dunia tahun 94H).
  • Penduduk Kufah: 'Ata' bin Abi Rabah (meninggal dunia tahun 114H).
  • Penduduk Mesir: Sa'id bin Abi Hilal (meninggal dunia tahun 135H).
  • Penduduk Syam: Makhul al-Dimasyqi (meninggal dunia tahun 112H).
  • Penduduk Basrah: al-Hasan bin Yasar Abu al-Hasan al-Basri (meninggal dunia tahun 110H).

Status Mursal Sa’id bin al-Musayyab

Telah masyhur daripada al-Syafi'i bahawa beliau berkata: "Hadis Mursal Sa'id bin al-Musayyab di sisi kami adalah elok (hasan)."

Para ulama telah berselisih pendapat mengenai maksud kata-kata al-Syafi'i ini kepada dua pendapat:

Pendapat Pertama: Mursal Sa'id adalah hujah di sisi beliau walaupun tidak terdapat padanya apa-apa faktor-faktor penguat yang telah disebutkan sebelum ini, berbeza dengan hadis-hadis Mursal yang lain. Hal tersebut kerana hadis-hadis Mursal Sa'id telah disemak, lalu didapati ia mempunyai sanad yang bersambung (Musnad) melalui jalan-jalan yang lain.

Pendapat Kedua: Hadis Mursal beliau adalah sama seperti hadis Mursal selain beliau daripada kalangan Tabi'in Besar. Ia dijadikan hujah sekiranya ia telah menyempurnakan syarat-syarat yang telah lalu disebutkan, dan tidak ada kelebihan bagi Ibn al-Musayyab dalam hal ini melainkan beliau merupakan Tabi'in yang paling sahih Mursal-nya.

Al-Khatib al-Baghdadi berkata: "Inilah pendapat yang sahih di antara dua pendapat tersebut di sisi kami kerana dalam kalangan hadis-hadis Mursal Sa'id, terdapat hadis yang tidak dijumpai status Musnadnya sama sekali melalui sanad yang sahih. Al-Syafi'i telah meletakkan kelebihan bagi hadis-hadis Mursal golongan Tabi'in Besar berbanding perawi lain yang di bawah mereka, sebagaimana beliau menganggap baik hadis Mursal Sa'id bin al-Musayyab berbanding perawi selainnya."

Sumber-Sumber Hadis Mursal:

Beberapa orang ulama telah membuat penulisan khas mengenai hadis Mursal, dan yang paling masyhur dalam kalangan mereka ialah:

1 - Al-Marasil: Karya Imam Abu Dawud Sulayman bin al-Asy'ath al-Sijistani (meninggal dunia tahun 275H).

Kitab beliau disusun mengikut bab-bab fiqh, dan jumlah hadis yang dimuatkan oleh beliau dalam kitab ini mencapai 544 buah hadis. Ia telah dicetak beserta sanad-sanadnya, dan terdapat cetakan lain yang sanad-sanadnya dibuang.

2 - Al-Marasil: Karya Imam Ibn Abu Hatim Abu Muhammad 'Abd al-Rahman bin Muhammad bin Idris al-Hanzali al-Razi (meninggal dunia tahun 327H).

Kitab beliau disusun mengikut nama-nama Tabi'in berdasarkan huruf-huruf mu'jam, dan ia juga telah dicetak.

3 - Bayan al-Mursal: Karya Abu Bakr Ahmad bin Harun al-Bardiji (meninggal dunia tahun 301H).

4 - Jami' al-Tahsil bi Ahkam al-Marasil: Karya al-Hafiz Salah al-Din Abu Sa'id Khalil bin Kaykaldi al-'Ala'i (meninggal dunia tahun 861H).

Beliau membicarakan mengenai jenis-jenis terputus sanad beserta contoh-contoh baginya, dan bagaimana cara untuk mengetahui terputus sanad), serta menyebut tabaqat (generasi) perawi yang melakukan irsal, dan perbahasan-perbahasan lain selainnya.

Sumber:

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan