Selasa, 3 Mei 2016

Hadis Jihad Adalah Pelancongan

وعن أَبي أُمَامَة رضي الله عنه: أنَّ رجلًا، قَالَ: يَا رسولَ اللهِ، ائْذَنْ لي فِي السِّيَاحَةِ! فَقَالَ النبيُّ صلى الله عليه وسلم: إنَّ سِيَاحَةَ أُمَّتِي الجِهَادُ فِي سَبيلِ اللهِ.

Diriwayatkan daripada Abu Umamah radiallahu ‘anhu bahawa ada seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, izinkan saya untuk melancong.”

Lalu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Sesungguhnya pelancongan umatku adalah jihad di jalan Allah.”

Sumber Hadis:

Riwayat Abu Daud (hadis no. 2486), al-Hakim dalam al-Mustadrak (hadis no. 2398) dan lain-lain.

Al-Hakim mensahihkan hadis ini manakala Imam al-Nawawi dalam Riyadh al-Salihin dan al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij Ahadith Ihya’ mengatakan sanadnya jayyid (baik).

Pengajaran Hadis:

1 – Maksud pelancongan dalam hadis ini adalah meninggalkan tanah air dan mengembara di bumi dengan tujuan untuk menundukkan nafsu dan menjauhkan diri daripada kebiasaan yang disukai seperti kelazatan dan keinginan syahwat.

2 - Jihad dari sudut bahasa bermaksud kesukaran. Dari sudut syarak, jihad bermaksud mengerahkan usaha untuk memerangi orang kafir. Ia juga merangkumi usaha melawan nafsu, syaitan, dan orang-orang fasik.

Melawan nafsu: Bermula dengan mempelajari urusan agama. Kemudian, mengamalkan ilmu tersebut. Akhirnya, menyebarkan ilmu itu kepada orang lain.

Melawan syaitan: Dengan menangkis syubhat yang dibawanya. Dan menghalang apa yang dihiasinya daripada keinginan syahwat.

Melawan orang kafir: Dengan tangan (senjata), harta, lisan, dan hati.

Melawan orang fasik: Bermula dengan tindakan tangan. Jika tidak mampu, dengan lisan. Dan jika tidak mampu juga, dengan hati.

Menurut Imam Ibnu al-Humam, jihad bermaksud menyeru mereka kepada agama yang benar dan memerangi mereka jika mereka menolak.

Kesimpulannya, jihad ialah mengorbankan sesuatu yang paling berharga, menanggung kesukaran yang paling besar – iaitu nyawa seseorang – demi mencari keredaan Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya.

3 -  Jenis pengembaraan yang paling utama di muka bumi ialah usaha mencari peluang untuk berjihad di jalan Allah. Hal ini kerana jihad membawa kepada kemuliaan Islam dan penghinaan terhadap kekufuran..

4 - Mungkin Rasulullah tidak mengizinkan lelaki tersebut untuk melakukan pelancongan kerana kewajipan jihad telah tertaklif ke atasnya atau Baginda ingin membimbingnya kepada sesuatu yang lebih baik baginya.

5 -  Seseorang tidak dibenarkan memilih untuk berehat-rehat melalui pelancongan atau perjalanan tanpa tujuan yang dibenarkan lalu meninggalkan jihad di jalan Allah, terutamanya apabila negara atau agama memerlukan jihad itu. Tidak kira sama ada jihad itu dengan nyawa, harta, ilmu, atau menyeru kepada Allah, semua ini adalah bentuk jihad yang bertujuan meninggikan kalimah Allah.

6 - Dapat difahami daripada hadis ini bahawa dilarang menggalakan orang lain melakukan perjalanan dengan tujuan yang tidak dibenarkan oleh syarak dan meninggalkan jihad di jalan Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan