Hadis Pertama
Nabi SAW bersabda:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ لَحْمٌ نَبَتَ
مِنْ سُحْتٍ النَّارُ أَوْلَى بِهِ
“Tidak masuk ke syurga daging yang tumbuh daripada sumber
yang haram. Neraka lebih layak baginya.”
Sumber dan Status Hadis:
Hadis ini sahih dan diiwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad
(no. 14441).
Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Hibban, al-Hakim dan al-Zahabi
dalam al-Kabair. Al-Haithami menyatakan perawinya adalah perawi kitab al-Sahih
(Sahih Muslim).
Huraian dan Pengajaran Hadis
1 - Maksud ‘tidak masuk syurga’ ini difahami dengan beberapa
tafsiran:
(i) Dia tidak akan masuk ke dalam Syurga secara segera
bersama orang-orang yang diselamatkan pada hari akhirat kelak, bahkan dia hanya
masuk syurga selepas dia diseksa mengikut kadar dia memakan makanan yang haram.
Ini sekirangya dia dia tidak diampunkan oleh Allah.
(ii) Dia tidak akan masuk ke Syurga yang tinggi.
(iii) Dia tidak akan memasuki syurga selama-lamanya
sekiranya dia menganggap yang haram itu sebagai halal, sedangkan perkara yang
haram itu merupakan perkara yang sudah diketahui secara asasi dalam agama.
(iv) Maksudnya ialah sebagai amaran, ancaman, dan ugutan
yang keras, bukanlah dia tidak akan masuk syurga selamanya.
2 - Perbuatan tidak masuk syurga itu disandarkan kepada
daging dan bukan kepada pemiliknya adalah untuk menunjukkan sebab kenapa dia
tidak dimasukkan ke dalam syurga iaitu kerana dagingnya tumbuh daripada sumber
yang haram.
Ia juga untuk menunjukkan bahawa daging itu adalah sesuatu
yang keji dan tidak layak untuk masuk ke tempat yang baik iaitu syurga. Ini
kerana sesuatu yang keji adalah untuk yang keji juga.
3 – Sekiranya pemakan sumber yang haram itu bertaubat, atau dia
diampunkan oleh Allah dan dia telah menyelesaikan urusannya dengan pihak yang dia
dizalimi, atau dia mendapat syafaat daripada Nabi SAW, maka dia terkecuali
daripada amaran ini.
Hadis Kedua
ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ: أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟
Nabi SAW menyebutkan tentang kisah seorang lelaki yang panjang pemusafirannya, kusut masai rambutnya dan berdebu wajahnya, mengangkat tangan ke langit lalu menyeru: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.”
Namun makanannya daripada sumber yang haram, minumannya
daripada sumber yang haram, pakaiannya daripada sumber yang haram, diberi makan
daripada yang haram. Maka bagaimanakah hendak dimakbulkan doa lelaki tersebut?”
Sumber dan Status Hadis
Hadis ini sahih dan diriwayatkan oleh Muslim (no. 1015).
Huraian dan Pengajaran Hadis
1 – Lelaki yang diceritakan oleh Nabi SAW tersebut dalam
pemusafiran yang panjang untuk tujuan ibadah seperti haji, jihad, menuntut ilmu,
menyambung silaturrahim dan lain-lain.
2 – Lelaki tersebut mengangkat tangan ke langit untuk berdoa
kerana langit adalah kiblat bagi doa.
3 – Galakan untuk berdoa dengan menyebutkan:
يَا رَبِّ يَا رَبِّ
“Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.”
4 – Lelaki tersebut bukan sahaja makan, minum dan pakaiannya
bersumber daripada yang haram, malah dia juga dibesarkan dari kecil sehingga
besar dengan sumber yang haram.
5 – Galakan untuk mencari rezeki daripada sumber yang halal
dan menjauhi yang haram.
6 – Salah satu punca doa tidak dimustajabkan kerana makan
dan minum daripada sumber yang haram. Oleh itu hendaklah berusaha mencari
rezeki yang halal agar doa dimustajabkan.
7 – Pemusafiran adalah salah satu sebab doa dimakbulkan.
Dalam hadis riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah, Nabi SAW menyebutkan
tiga golongan yang dimustajabkan doanya tanpa syak lagi: Orang yang dizalimi, orang
yang bermusafir dan doa ibu bapa untuk anaknya.
Hadis Ketiga
وَالَّذِي نَفسِي بِيَدِهِ لِأَن يَأْخُذ أحدكُم حبله فَيذْهب بِهِ إِلَى الْجَبَل فيحتطب ثمَّ يَأْتِي بِهِ فيحمله على ظَهره فيأكل خير لَهُ من أَن يسْأَل النَّاس. وَلِأَن يَأْخُذ تُرَابا فَيَجْعَلهُ فِي فِيهِ خير لَهُ من أَن يَجْعَل فِي فِيهِ مَا حرم الله عَلَيْهِ
“Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam kekuasaan-Nya, jika salah seorang daripada kamu mengambil talinya lalu dia pergi ke gunung untuk mengumpul kayu api, kemudian dia datang membawanya di atas belakangnya lalu dia makan (daripada hasilnya), adalah lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada orang ramai.
Jika dia mengambil tanah lalu memasukkannya ke
dalam mulutnya adalah lebih baik baginya daripada dia memasukkan ke dalam
mulutnya apa yang telah diharamkan oleh Allah ke atasnya.”
Sumber dan Status Hadis
Hadis ini sahih dan diiwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad
(no. 7490).
Al-Munziri dalam kitab al-Targhib Wa al-Tarhib
mengatakan sanadnya elok (jayyid). Al-Busiri dalam kitab Ithaf
al-Khiyarah al-Maharah menilai sanadnya sebagai sahih.
Huraian dan Pengajaran Hadis
1 - Galakkan untuk bekerja keras mencari rezeki. Melakukan
pekerjaan yang dianggap 'rendah' atau susah (seperti mengumpul kayu api) adalah
jauh lebih mulia di sisi Allah berbanding meminta-minta.
2 - Meminta-minta atau mengemis boleh menjatuhkan maruah dan
kehormatan diri seseorang. Islam mengajar umatnya untuk berdikari dan menjaga
harga diri dengan tidak bergantung pada belas kasihan orang lain.
3 – Rasulullah SAW menggunakan perumpamaan yang sangat kuat untuk mengambarkan bahaya memakan harta yang haram. Lebih baik seseorang itu 'memakan tanah' (sesuatu yang kotor dan tidak berfaedah) daripada memasukkan ke dalam mulutnya makanan atau rezeki yang datang dari sumber yang haram. Ini menunjukkan betapa besarnya dosa dan bahaya memakan harta haram.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan