تَزَوَّجُوا وَلَا تُطَلِّقُوا فإِنَّ الطَّلاقَ
يَهْتَزُّ مِنْهُ العَرْشُ
“Berkahwinlah dan jangan kamu bercerai. Sesungguhnya
penceraian itu menggoncangkan arasy.”
Sumber Hadis
Hadis ini diriwayatkanlah oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh
Baghdad, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil, Abu Nu’aim dalam Tarikh
Asbahan dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus melalui sanad:
‘Amru bin Jumai’ daripada Juwaibir daripada
al-Dahhak daripada al-Nazzal bin Sabrah daripada ‘Ali bin Abi Thalib daripada
Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.
Penilaian Hadis
Dalam sanadnya ada dua perawi yang sangat bermasalah:
Pertama, ‘Amru bin Juma’i yang dinilai oleh Yahya bin
Ma’in sebagai pendusta. Al-Daraqutni menilainya sebagai matruk
(ditinggalkan hadisnya). Al-Bukhari menilainya mungkar al-hadis (perawi
yang tidak halal diriwayatkan hadis daripadanya). Ibnu ‘Adi mengatakan bahawa
dia dituduh memalsukan hadis.
Kedua, gurunya, Juwaibir juga matruk.
Ia dinilai palsu oleh Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu’at
dan diterima tanpa bantahan oleh al-Sayuthi dalam al-Laali
al-Masnu’ah dan Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah.
Ulama lain yang menghukumkannya sebagai palsu ialah
al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah, Ahmad al-Siddiq al-Ghumari
dalam al-Mughir, Abdul Aziz al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Tahani,
Dr Khaldun al-Ahdab dalam Zawaid Tarikh Baghdad dan lain-lain.
Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari berhujah kepalsuan hadis
ini dengan alasan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah
menceraikan isterinya dan begitu juga dengan para sahabat.
Cuma agak menghairankan, al-Sakhawi dalam al-Maqasid
al-Hasanah dan al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa cuma sekadar
menilainya sebagai daif. Mungkin daif yang mereka maksudnya adalah sangat
daif dan mereka berdua tidak mahu secara pasti menganggapnya sebagai palsu.
Walau bagaimanapun lebih baik untuk dielakkan penggunaan
hadis sebegini kerana kebanyakan ahli hadis menghukumnya sebagai palsu dan ahli
hadis juga telah meletakkan syarat-syarat beramal dengan hadis daif yang mana
salah satunya mestilah hadis tersebut tidak terlalu daif.
Wallahu a’lam.
Maksud Arasy Bergoncang
Maksud Arasy bergoncang itu tidaklah difahami secara literal
sebaliknya bermaksud secara kiasan. Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir Syarah
al-Jami’ al-Saghir menjelaskan maksudnya:
“Maksudnya para malaikat di sekelilingnya menjadi resah
gelisah kerana marah disebabkan perbuatan itu amat mereka benci,
sebagaimana ia juga dibenci oleh Allah, kerana ia mengandungi pemutusan ikatan
dan perpecahan kesatuan (keluarga).”
Imam al-San’ani menyebutkan dalam al-Tanwir Syarah al-Jami’
al-Saghir:
“Iaitu para malaikat di sekelilingnya menjadi resah gelisah
kerana marah terhadapnya disebabkan ia amat mereka benci, kerana ia mengandungi
pemutusan ikatan dan perpecahan kesatuan (keluarga).
‘Goncangan 'Arasy’ itu kadang-kadang berlaku kerana keagungan perkara yang berlaku, sama ada ia disukai atau dibenci. Maka daripada (kategori) yang pertama ialah goncangannya kerana kematian Sa'ad (bin Mu’az), dan daripada yang kedua ialah apa yang telah disebutkan (talak).”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan