Selasa, 26 April 2016

Hadis Kelebihan Ayat Kursi

Hadis Pertama

عَنْ أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَبَا الْمُنْذِرِ، أَتَدْرِي أَيُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللهِ مَعَكَ أَعْظَمُ؟ قَالَ: قُلْتُ: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: يَا أَبَا الْمُنْذِرِ أَتَدْرِي أَيُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللهِ مَعَكَ أَعْظَمُ؟ قَالَ: قُلْتُ: {اللهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ}. قَالَ: فَضَرَبَ فِي صَدْرِي، وَقَالَ: وَاللهِ لِيَهْنِكَ الْعِلْمُ أَبَا الْمُنْذِرِ.

Daripada Ubai bin Ka’ab, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bertanya kepadanya:

“Wahai Abu al-Munzir (gelaran Ubai bin Ka’ab), adakah kamu tahu ayat al-Quran apakah yang paling agung?”

Aku menjawab: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.”

Baginda bertanya lagi: ““Wahai Abu al-Munzir, adakah kamu tahu ayat al-Quran apakah yang bersama kamu itu yang paling agung?”

Aku menjawab: الله لَا إِلَه إِلَّا هُوَ الْحَيّ القيوم (Ayat Kursi).”

Baginda menepuk-nepuk dadaku lalu bersabda: “Demi Allah, kamu akan dipermudahkan untuk mendapat ilmu wahai Abu al-Munzir.”

Riwayat Muslim (no. 810) dan Abu Daud (no. 1460).

Huraian:

1 - Maksud ‘ayat al-Quran apakah yang paling agung’ yakni ayat al-Quran yang paling besar pahala dan ganjaranya.

2 - Maksud ‘ayat al-Quran apakah yang bersama kamu’ merujuk kepada ayat al-Quran yang dihafal oleh Ubai bin Ka’ab.

3 - Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam gemar menyoal para sahabat sama ada untuk tujuan menarik perhatian mereka supaya mendengar apa yang baginda ingin sampaikan atau untuk menguji tahap keilmuan dan kefahaman mereka.

3 - Pada mulanya Ubai bin Ka’ab menjawab ‘Allah dan RasulNya lebih mengetahui’ kerana ingin beradab dengan baginda. Namun setelah itu beliau menjawab setelah disoal sekali lagi kerana beliau tahu bahawa baginda ingin menguji tahap keilmuan beliau.

4 - Baginda menepuk-nepuk dada Ubai sebagai isyarat bahawa dada Ubai penuh dengan ilmu dan kebijaksanaan.

4 - Ayat Kursi merupakan ayat al-Quran yang paling agung kerana ia mengandungi penjelasan yang paling utama berkenaan ketuhanan iaitu bahawasanya Allah itu Maha Esa, Maha Hidup, kekal selamanya, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, suci daripada kekurangan, Maha Tinggi darjat kemuliaanNya, lagi Maha Besar kekuasaanNya.

Hadis Kedua

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ:

"وَكَّلَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ، فَأَتَانِي آتٍ فَجَعَلَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ فَأَخَذْتُهُ، وَقُلْتُ: وَاللَّهِ لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: إِنِّي مُحْتَاجٌ، وَعَلَيَّ عِيَالٌ وَلِي حَاجَةٌ شَدِيدَةٌ، قَالَ: فَخَلَّيْتُ عَنْهُ، فَأَصْبَحْتُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ، قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً، وَعِيَالًا، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ، وَسَيَعُودُ، فَعَرَفْتُ أَنَّهُ سَيَعُودُ، لِقَوْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّهُ سَيَعُودُ، فَرَصَدْتُهُ، فَجَاءَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ، فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: دَعْنِي فَإِنِّي مُحْتَاجٌ وَعَلَيَّ عِيَالٌ، لاَ أَعُودُ، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، فَأَصْبَحْتُ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً، وَعِيَالًا، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ وَسَيَعُودُ، فَرَصَدْتُهُ الثَّالِثَةَ، فَجَاءَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ، فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ، وَهَذَا آخِرُ ثَلاَثِ مَرَّاتٍ، أَنَّكَ تَزْعُمُ لاَ تَعُودُ، ثُمَّ تَعُودُ قَالَ: دَعْنِي أُعَلِّمْكَ كَلِمَاتٍ يَنْفَعُكَ اللَّهُ بِهَا، قُلْتُ: مَا هُوَ؟ قَالَ: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ، فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ: {اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ}، حَتَّى تَخْتِمَ الآيَةَ، فَإِنَّكَ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلاَ يَقْرَبَنَّكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، فَأَصْبَحْتُ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، زَعَمَ أَنَّهُ يُعَلِّمُنِي كَلِمَاتٍ يَنْفَعُنِي اللَّهُ بِهَا، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: مَا هِيَ، قُلْتُ: قَالَ لِي: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ مِنْ أَوَّلِهَا حَتَّى تَخْتِمَ الآيَةَ: {اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ}، وَقَالَ لِي: لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلاَ يَقْرَبَكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ - وَكَانُوا أَحْرَصَ شَيْءٍ عَلَى الخَيْرِ - فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَمَا إِنَّهُ قَدْ صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ، تَعْلَمُ مَنْ تُخَاطِبُ مُنْذُ ثَلاَثِ لَيَالٍ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، قَالَ: لاَ، قَالَ: ذَاكَ شَيْطَانٌ."

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata:

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menugaskan aku untuk menjaga zakat Ramadhan (zakat fitrah). Kemudian datang seseorang kepadaku lalu dia mencuri makanan (zakat fitrah) tersebut dan orang itu dapat aku tangkap. Lalu aku berkata kepadanya: Aku akan laporkan engkau kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam."

Dia berkata: "Saya perlu kepadanya kerana saya mempunyai keluarga dan saya sangat-sangat berkehendak terhadapnya."

Abu Hurairah berkata: “Lalu aku lepaskan sahaja orang itu."

Esok pagi Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bertanya: "Wahai Abu Hurairah, apa yang engkau lakukan terhadap tawanan engkau malam tadi?"

Aku menjawab: "Wahai Rasulullah, dia mengatakan sangat perlu kepadanya kerana dia mempunyai keluarga. Maka saya merasa kasihan lalu saya lepaskan sahaja dia."

Baginda bersabda: "Sebenarnya dia berdusta kepada engkau dan dia akan kembali."

Abu Hurairah berkata:  “Saya yakin bahawa dia akan kembali kerana telah diberitahu oleh Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Lalu saya intip dan memang orang itu datang lagi  untuk mencuri makanan tersebut.”

Aku berkata kepadanya: “Aku akan laporkan engkau kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam."

Dia menjawab: "Lepaskan saya kerana saya sangat perlu kepadanya dan mempunyai keluarga. Saya tidak akan ulangi lagi selepas ini.”

Abu Hurairah berkata: “Aku pun merasa kasihan kepadanya lalu aku lepaskan sahaja orang itu."  

Esok pagi Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bertanya: "Wahai Abu Hurairah, apa yang engkau lakukan terhadap tawanan engkau malam tadi?"

Aku menjawab: "Wahai Rasulullah, dia mengatakan sangat perlu kepadanya kerana dia mempunyai keluarga. Maka saya merasa kasihan lalu saya lepaskan sahaja dia."

Baginda bersabda: "Sebenarnya dia berdusta kepada engkau dan dia akan kembali."

Abu Hurairah berkata: “Lalu saya intip dia untuk kali ketiga dan memang orang itu datang lagi  untuk mencuri makanan tersebut. Aku tangkap dia lalu aku berkata: Aku akan laporkan engkau kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Ini adalah kali ketiga dan yang terakhir. Engkau mengatakan tidak akan kembali, tetapi ternyata engkau kembali juga."

Dia berkata: "Lepaskanlah aku. Aku akan ajarkan kepada engkau beberapa kalimah yang Allah akan beri manfaat kepada engkau dengan sebabnya."

Aku berkata: "Apakah kalimah itu?"

Dia menjawab: "Apabila engkau hendak tidur, bacalah Ayat Kursi. Maka engkau sentiasa dalam pemeliharaan Allah dan syaitan tidak akan menghampiri engkau sampai pagi."

Abu Hurairah berkata: “Lalu aku lepaskan orang itu."  

Esok paginya Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bertanya: "Wahai Abu Hurairah, apa yang engkau lakukan terhadap tawanan engkau malam tadi?"

Aku menjawab: "Wahai Rasulullah, dia ajarkan kepada aku kalimah-kalimah yang Allah akan beri manfaat kepadaku dengan sebabnya. Lalu aku lepaskan dia."

Baginda bertanya: "Apakah kalimah itu?"

Aku menjawab: "Dia mengatakan kepadaku: Apabila engkau hendak tidur, bacalah Ayat Kursi dari awal sampai akhir. Dia berkata lagi kepadaku: Engkau akan sentiasa dalam pemeliharaan Allah dan syaitan tidak akan mendekati engkau sampai pagi."

Baginda bersabda: "Memang benar apa yang dia katakan kepada engkau walaupun dia itu sebenarnya pendusta. Tahukah engkau dengan siapa engkau bercakap selama tiga malam itu, wahai Abu Hurairah?"

 Aku menjawab: "Tidak!"

Sabda baginda: "Itulah syaitan!"

Riwayat al-Bukhari (no. 2311, 3275 & 5010).

Faedah Hadis:

1 - Sunat membaca Ayat Kursi sebelum tidur supaya mendapat perlindungan daripada Allah dan dijauhkan daripada syaitan.

2 - Harus memaafkan pencuri sebelum membawa kesnya kepada pemerintah.

3 - Hukum hudud ke atas pencuri tidak dilaksanakan dengan sebab wujud syubhah (keraguan) seperti keadaan pencuri yang lapar ketika mencuri.

4 - Syaitan boleh menyerupai dengan rupa manusia.

5 - Kaki menipu juga kadang-kadang bercakap benar.

6 - Ucapan yang benar itu diterima sama ada orang yang mengucapkannya itu baik ataupun jahat kerana yang diambil kira itu ialah ucapannya bukan pengucapnya.

7 - Harus mengambil ilmu daripada orang yang tidak beramal dengan ilmunya sendiri.

Hadis Ketiga

عَن الْحسن بن عَليّ قَالَ: قَالَ رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم:

"من قَرَأَ آيَة الْكُرْسِيّ فِي دبر الصَّلَاة الْمَكْتُوبَة كَانَ فِي ذمَّة الله إِلَى الصَّلَاة الْأُخْرَى."

Daripada al-Hasan bin Ali, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang membaca Ayat Kursi setelah solat fardu, maka dia dalam pelindungan Allah sehinggalah solat seterusnya.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (no. 2733) dan al-Du’a (no. 674)

Hadis ini dihasankan oleh al-Munziri dalam al-Targhib Wa al-Tarhib, al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid dan al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur.

Faedah Hadis: 

1 - Amalan membaca Ayat Kursi setelah selesai solat fardu menjadi salah satu sebab untuk mendapat perlindungan Allah daripada sebarang keburukan, malapetaka dan gangguan syaitan.

Hadis Keempat

عَن أبي أُمَامَة قَالَ: قَالَ رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم:

 "من قَرَأَ آيَة الْكُرْسِيّ دبر كل صَلَاة مَكْتُوبَة لم يمنعهُ من دُخُول الْجنَّة إِلَّا أَن يَمُوت."

“Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas solat lima waktu tidak ada yang menghalangnya daripada masuk ke syurga kecuali kematian.”

Riwayat al-Nasai’e dalam Sunan al-Kubra  (no. 9848) dan ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 100) daripada hadis Abi Umamah al-Bahili.

Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Hibban, al-Munziri dalam al-Targhib Wa al-Tarhib, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Abdil Hadi, Ibnu Hajar dan al-Suyuti. Al-Haithami menilai salah satu sanadnya sebagai baik (jayyid). Ibnu al-Jauzi menilainya sebagai palsu tetapi dibantah oleh Ibnu Abdil Hadi dan Ibnu Hajar.

Huraian:

1 - Maksud ‘tidak ada yang menghalangnya daripada masuk ke syurga kecuali kematian’ yakni tidak ada yang menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan dia belum mati. Setelah dia mati maka dia akan masuk ke syurga.

2 - Disunatkan untu membaca Ayat Kursi setelah solat dan ia merupakan salah satu amalan untuk masuk ke syurga.

Hadis Kelima

عَن أبي قَتَادَة، أَن النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم قَالَ:

"من قَرَأَ آيَة الْكُرْسِيّ وخواتيم سُورَة الْبَقَرَة عِنْد الكرب أغاثه الله."

Daripada Abu Qatadah, Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang membaca Ayat Kursi dan penutup surah al-Baqarah ketika dalam kesusahan, maka dia akan dibantu oleh Allah.”

Riwayat Ibnu al-Sunni dalam Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 344) dengan sanad yang daif.

Huraian:

1 - Penutup surah al-Baqarah ialah daripada ayat 285 sehingga 286 dan menurut sebahagian ulama yang lain berpendapat ia adalah ayat 284 sehingga 286.

Hadis Keenam

عَنْ أَنَسٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

"مَنْ قَرَأَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ آيَةَ الْكُرْسِيِّ حُفِظَ إِلَى الصَّلَاةِ الْأُخْرَى، وَلَا يُحَافِظُ عَلَيْهَا إِلَّا نَبِيٌّ، أَوْ صِدِّيقٌ، أَوْ شَهِيدٌ."

Daripada Anas, beliau berkata Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang membaca Ayat Kursi selepas solat fardu, maka dia akan dilindungi sehingga solat seterusnya. Tidak ada yang mampu untuk istiqamah melaksanakannya melainkan para nabi atau siddiq (orang yang bersifat benar) atau syahid.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 2175). Kata al-Baihaqi: “Sanadnya daif.” 

Faedah Hadis: 

1 - Besarnya ganjaran bagi orang yang mampu istiqamah membaca Ayat Kursi setelah solat fardu. Dia akan mendapat perlindungan Allah sehingga solat yang seterusnya. Jarang-jarang ada orang yang mampu melaksanakannya secara berterusan melainkan golongan nabi, orang yang berada di kedudukan siddiqin dan orang yang berjuang di jalan Allah sehingga mati syahid.

Hadis Kelapan

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

"مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ كَانَ بِمَنْزِلَةِ مَنْ قَاتَلَ عَنْ أَنْبِيَاءِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ حَتَّى يُسْتَشْهَدَ."

Daripada Abu Umamah al-Bahili radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang membaca Ayat Kursi selepas solat fardu, maka kedudukannya seperti orang yang berjuang untuk para nabi Allah sehinggalah dia syahid.”

Riwayat Ibnu al-Sunni dalam Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 123) dengan sanad yang daif.

Faedah Hadis: 

1 - Walaupun amalan membaca Ayat Kursi dilihat mudah untuk dilakukan, namun sukar untuk kekal istiqamah melaksanakannya setiap kali solat. Sesiapa yang berjaya istiqamah membacanya selepas solat seolah-olah kedudukannya seperti yang yang berjuang bersama para nabi Allah sehinggalah dia terkorban sebagai seorang syahid.

Hadis Kesembilan

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

"مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ عِنْدَ الْحِجَامَةِ كَانَتْ لَهُ مَنْفَعَةُ حِجَامَتِهِ."

Daripada Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang membaca Ayat Kursi ketika berbekam maka dia akan mendapat manfaat daripada bekamnya itu.”

Riwayat Ibnu al-Sunni dalam Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 167) dengan sanad yang daif.

Faedah Hadis: 

1 - Disunatkan bagi orang yang berbekam untuk membaca Ayat Kursi agar dia mendapat manfaat daripada bekamnya dengan berkat pembacaan Ayat Kursinya itu. 

Baca juga: 

Hadis Kelebihan Bersedekah 

Hadis Kelebihan Zikir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan