Hadis Pertama
عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الِاثْنَيْنِ؟ قَالَ: ذَاكَ
يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ، وَيَوْمٌ بُعِثْتُ أَوْ أُنْزِلَ عَلَيَّ فِيهِ.
Daripada Abi Qatadah, Nabi sallahu
‘alaihi wasallam ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda
menjawab:
“Pada hari tersebut aku dilahirkan dan hari
aku diutuskan sebagai Rasul atau diturunkan kepadaku al-Quran.”
Riwayat Muslim (no. 1162).
Huraian Hadis
1 - Sahabat yang bertanya kepada baginda
tentang puasa hari Isnin tersebut ialah Umar bin al-Khattab sebagaimana yang
disebutkan namanya secara jelas oleh al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra.
2 - Soalan Umar bin al-Khattab tersebut ialah
soalan berkenaan kelebihan dan hikmah berpuasa pada hari Isnin.
3 - Perkataan 'atau' pada bahagian hadis 'hari
aku diutuskan sebagai Rasul atau diturunkan kepadaku al-Quran' ialah syak daripada perawi hadis yang tidak
pasti sama ada baginda berkata: 'hari aku diutuskan
sebagai Rasul' atau baginda
berkata: 'diturunkan kepadaku al-Quran'. Kedua-duanya membawa maksud yang sama sahaja
walaupun berbeza lafaznya.
Pengajaran Hadis:
1 - Hadis ini menunjukkan kelebihan berpuasa
pada hari Isnin pada setiap minggu kerana ia adalah hari yang agung kerana
Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam dilahirkan pada hari tersebut dan pada hari
ini jugalah baginda diutuskan sebagai Rasul dan diwahyukan al-Quran kepada
baginda. Ini adalah satu kenikmatan yang besar yang Allah khususkan pada hari
ini yang seharusnya disyukuri dengan melakukan ketaatan kepada Allah melalui
berpuasa pada hari tersebut.
2 - Imam Ibnu Ruslan menyebutkan dalam Syarah
Sunan Abu Daud:
"Kata ulama: Berkumpulnya pada hari
Isnin itu tujuh perkara: Pada hari ini baginda dilahirkan, diutuskan (sebagai
rasul), diturunkan wahyu, baginda diwafatkan, baginda diisrakkan mengikut
pendapat sebahagian ulama, baginda masuk ke Madinah dan amalan dipersembahkan
(kepada Allah)...Ini menunjukkan kelebihan hari ini."
Hadis
Kedua
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ
وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
"Ditunjukkan amalan-amalan itu (oleh
para malaikat kepada Allah Ta'ala) pada hari Isnin dan Khamis, maka saya suka
jika amalanku itu ditunjukkan dalam keadaan aku berpuasa."
Riwayat al-Termizi (no. 747) dan beliau
berkata: “Hadis hasan gharib.”
Pengajaran Hadis:
1 - Hadis ini
menunjukkan hikmah dianjurkan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis
kerana kerana amalan manusia dipersembahkan kepada Allah pada dua
hari tersebut, disamping kerana hari Isnin merupakan hari baginda
dilahirkan dan diutuskan menjadi Rasul.
2 - Baginda suka agar
amalan baginda dipersembahkan dalam keadaan berpuasa agar amalan tersebut dapat
menjadi sebab diangkat darjat baginda di sisi Allah.
Hadis
Ketiga
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ،
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَصُومُ الِاثْنَيْنِ
وَالْخَمِيسَ، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ تَصُومُ الِاثْنَيْنِ
وَالْخَمِيسَ؟ فَقَالَ: إِنَّ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالْخَمِيسَ يَغْفِرُ اللَّهُ
فِيهِمَا لِكُلِّ مُسْلِمٍ، إِلَّا مُتَهَاجِرَيْنِ، يَقُولُ: دَعْهُمَا حَتَّى
يَصْطَلِحَا.
Daripada
Abu Hurairah, (beliau meriwayatkan) bahawa sesungguhnya Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam berpuasa ada hari Isnin dan Khamis.
Sahabat
bertanya kepada baginda: “Wahai Rasulullah, (mengapa) engkau berpuasa pada
hari Isnin dan Khamis?”
Baginda
menjawab: “Sesungguhnya Allah akan mengampunkan setiap Muslim pada hari Isnin dan Khamis melainkan dua orang
yang saling memutuskan hubungan. Allah berfirman (kepada malaikat): Kecualikan
kedua mereka (daripada mendapat pengampunan dosa) melainkan setelah mereka
berdua saling berdamai.”
Riwayat
Ibnu Majah (no. 1740). Al-Hafiz al-Busiri mensahihkan hadis ini dalam kitab Misbah
al-Zujajah.
Pengajaran Hadis:
1 - Kelebihan
hari Isnin dan Khamis yang merupakan hari pengampunan dosa bagi setiap Muslim
melainkan orang yang memutuskan hubungan kerana permusuhan.
2 -
Bermusuhan dan memutuskan hubungan merupakan dosa besar yang tidak diampunkan
dosanya oleh Allah melainkan setelah mereka berdamai.
3 - Imam
al-Sindi menyebutkan: “Ada hadis yang menunjukkan bahawa dipersembahkan
amalan (kepada Allah pada hari Isnin dan Khamis. Seolah-olah Allah mengampunkan
Muslim itu ketika dipersembahkan amalan mereka kepadaNya.”
Hadis Keempat
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ.
Daripada Aisyah, beliau berkata:
“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam
berusaha keras untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.”
Riwayat al-Tirmizi dalam al-Jami’ (no.
745) dan al-Syamail (304), al-Nasa’ie (no. 2187) dan Ibnu Majah (no.
1739). Al-Tirmizi berkata: “Hadis hasan gharib.”
Pengajaran Hadis:
1 -
Penekanan untuk melaksanakan puasa hari Isnin dan Khamis kerana
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam begitu bersungguh-sungguh
untuk melaksanakan puasa pada dua hari tersebut kerana keistimewaan dua hari
tersebut sebagaimana yang terkandung dalam tiga hadis sebelum ini.
*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 3/9/2021. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat.
Baca juga:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan