Rabu, 11 Ogos 2021

Hadis Kelebihan Solat

 

Hadis Pertama

خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللَّهُ عَلَى الْعِبَادِ، فَمَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ ، كَانَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ، وَمَنْ لَمْ يَأْتِ بِهِنَّ فَلَيْسَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ، إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ، وَإِنْ شَاءَ أَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ.

“Lima solat yang Allah wajibkan ke atas manusia, sesiapa yang melaksanakannya dan tidak meninggalkan satu pun daripadanya kerana meremeh-remehkannya, Allah berjanji akan memasukkannya ke dalam syurga. Sesiapa yang tidak melaksanakannya maka Allah tidak akan menjanjikan apa-apa kepadanya sama ada Allah akan mengazabnya atau Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.”

Riwayat Abu Daud, al-Nasa’i dan Ibnu Majah daripada hadis Ubadah bin al-Somit. Ibnu Abdil Barr dalam al-Tamhid dan al-Nawawi dalam al-Majmu’ mensahihkannya.

Pengajaran Hadis:

1 - Kelebihan orang yang menjaga pelaksanaan solat fardu lima waktu sepanjang hidupnya bahawa Allah menjanjikan baginya syurga.

2 - Meninggalkan solat lima waktu secara sengaja adalah berdosa besar.

3 - Nasib orang yang melakukan dosa di akhirat kelak bergantung kepada kehendak Allah sama ada mengazabnya atau mengampunkannya lalu dimasukkan ke dalam syurga.

Hadis Kedua

مَنْ حَافَظَ عَلَى الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ: رُكُوعِهِنَّ، وَسُجُودِهِنَّ ، وَوُضُوئِهِنَّ، وَمَوَاقِيتِهِنَّ، وَعَلِمَ أَنَّهُنَّ حَقٌّ مِنْ عِنْدِ اللهِ، دَخَلَ الْجَنَّةَ  أَوْ قَالَ: وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ.

“Sesiapa yang menjaga (pelaksanaan) solat lima waktu, rukuknya, sujudnya, wuduknya, waktunya dan mengetahui bahawa ia adalah tanggungjawab daripada Allah, maka dia akan masuk ke syurga (atau baginda bersabda) wajib baginya syurga.”

Riwayat Ahmad daripada hadis Hanzalah bin al-Rabi’ al-Katib al-Asidi. Al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib menilai sanadnya sebagai baik (jayyid).

Pengajaran Hadis:

1 - Janji syurga bagi orang yang melakukan solat lima waktu.

2 - Solat ialah satu tanggungjawab daripada Allah yang wajib dilaksanakan oleh manusia.

3 - Wajib menjaga syarat-syarat dan rukun-rukun solat.

Hadis Ketiga

أَرأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهْراً بِباب أَحَدِكم يغْتَسِلُ مِنْه كُلَّ يَوْمٍ خَمْس مرَّاتٍ، هلْ يبْقى مِنْ دَرَنِهِ شَيءٌ؟ قالُوا: لا يبْقَى مِنْ درنِهِ شَيْء، قَال: فذلكَ مَثَلُ الصَّلَواتِ الخَمْسِ، يمْحُو اللَّه بهِنَّ الخطَايا.

“Apa pendapat kamu (para sahabat) jika ada sebatang sungai di hapapan pintu rumah seseorang daripada kamu, lalu dia mandi daripadanya setiap hari sebanyak lima kali, adakah masih ada lagi kotoran? Sahabat menjawab: Sudah tentu tidak ada lagi kotoran. Baginda menjawab: Begitulah bandingannya solat lima waktu. Allah akan menghapuskan dosa-dosa dengan sebab solat tersebut.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Abu Hurairah.

 Pengajaran Hadis:

1 - Kelebihan menjaga dan melaksanakan solat lima waktu.

2 - Allah akan mengampunkan dosa-dosa kecil orang yang melaksanakan solat lima waktu yang sempurna syarat, rukun dan adabnya. Adapun dosa besar maka ia tidak diampunkan melainkan dengan taubat.

3 - Metod dakwah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam yang menggunakan perbandingan agar mesej baginda mudah difahami oleh sahabat.

Hadis Keempat

مثَلُ الصَّلواتِ الخَمْسِ كمثَلِ نهْرٍ جارٍ غمْرٍ عَلى بَابِ أَحَدِكُم يغْتَسِلُ مِنْهُ كُلَّ يَوْمٍ خمْسَ مرَّاتٍ.

“Perbandingan solat lima waktu adalah seperti sebatang sungai yang mengalir di hadapan pintu rumah seseorang daripada kamu, lalu dia mandi daripadanya setia hari sebanyak lima kali.”

Riwayat Muslim daripada hadis Jabir bin Abdullah.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini sama seperti hadis ketiga yang menunjukkan kelebihan solat lima waktu bahawa ia merupakan sebab dihilangkan dosa sebagaimana air menghilangkan kekotoran.

Hadis Kelima

أَنَّ رجُلاً أَصاب مِنِ امْرأَةٍ قُبْلَةً، فأَتَى النَّبِيَّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم فَأَخبرهُ فأَنزَل اللَّه تَعَالَى: وأَقِم الصَّلاةَ طَرفي النَّهَار وَزُلَفا مِنَ اللَّيْلِ، إِنَّ الْحَسنَاتِ يُذهِبْنَ السَّيِّئَاتِ. فَقَالَ الرَّجُلُ: أَلِيَ هَذَا؟ قَالَ: لجمِيع أُمَّتي كُلِّهِمْ.

“Seorang lelaki telah mencium seorang wanita lalu dia datang bertemu dengan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan menceritakan perkara tersebut kepada baginda.

Lalu Allah menurunkan wahyu: Dan dirikanlah sembahyang, pada dua bahagian siang, dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan.

Lelaki tersebut bertanya: Adakah ini hanya untuk saya?

Baginda menjawab: Bahkan untuk keseluruhan umatku.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Abdullah bin Mas’ud.

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘dua bahagian siang’ iaitu waktu subuh dan maghrib.

2 - Maksud ‘waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam’ iaitu waktu maghrib dan isyak.

Pengajaran Hadis:

1 - Keistimewaan solat bahawa ia dapat menghapuskan dosa-dosa kecil.

2 - Mencium wanita yang tidak halal (belum dinikahi) dan menyentuhnya adalah berdosa dan merupakan perbuatan maksiat.

Hadis Keenam

الصَّلواتُ الخَمْسُ، والجُمُعةُ إِلى الجُمُعَةِ، كفَّارةٌ لِمَا بَيْنهُنَّ، مَا لَمْ تُغش الكبَائِرُ.

“Solat lima waktu dan antara satu solat Jumaat ke solat Jumaat yang lain adalah penebus dosa yang berlaku diantaranya selama mana dia tidak melakukan dosa besar.”

Riwayat Muslim daripada hadis Abu Hurairah.

Pengajaran Hadis:

1 - Selain solat lima waktu, solat Jumaat juga menghapuskan dosa kecil orang yang menunaikannya.

2 - Dosa-dosa besar terhapus dengan sebab taubat nasuha.

Hadis Ketujuh

ما مِن امْرِيءٍ مُسْلِمٍ تحضُرُهُ صلاةٌ مَكتُوبةٌ فَيُحْسِنُ وُضُوءَهَا، وَخُشوعَهَا، وَرُكُوعَها، إِلاَّ كَانَتْ كَفَّارةً لِمَا قَبْلَهَا مِنْ الذنُوبِ مَا لَمْ تُؤْتَ كَبِيرةٌ، وَذلكَ الدَّهْرَ كلَّهُ.

“Tidaklah seorang muslim itu apabila tiba waktu solat fardu lalu dia memperelokkan wuduknya, kekusyukannya dan rukuknya melainkan ia menjadi penghapus dosa-dosanya yang lalu selama mana dia tidak melakukan dosa besar dan penghapusan dosa tersebut berterusan pada seluruh masa.”

Riwayat Muslim daripada hadis Uthman bin Affan.

Pengajaran Hadis:

1 - Mengambil berat dalam pelaksanaan solat dari segi memperelokkan wuduk, khusyuk dalam solat dan tamakninah dalam melaksanakan rukun, rukuk dan sujudnya agar solat tersebut diterima oleh Allah dan menjadi penghapus dosa-dosa kecil yang lalu.

Rujukan:

1 - Al-Bahr al-Muhith al-Thajjaj Fi Syarh Sahih al-Imam Muslim bin al-Hajjaj karangan Syeikh Muhammad Ali Adam al-Athyubi.

2 - Nuzhah al-Muttaqin Syarah Riyadh al-Salihin karangan Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha, Muhyiddin Misto, Ali al-Syirbaji dan Muhammad Amin Luthfi.

3 - Riyadh al-Salihin karangan Imam al-Nawawi.

4 - Zakhirah Al-'Uqba Fi Syarh Al-Mujtaba karangan Syeikh Muhammad Ali Adam al-Athyubi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan