Khamis, 19 Ogos 2021

Syeikh Muhammad al-Fadhali - Pengarang Kifayatul Awam

Nama dan Gelaran

Nama beliau ialah Muhammad bin Syafi’ (شَافِع) al-Misri al-Syafie al-Fudholi. Begitulah nama beliau yang disebutkan oleh Isma’il Basya dalam kitab Hadiyyah al-Arifin dan Idhoh al-Maknun. Al-Zirikli dalam al-A’lam pula menyebutkan namanya sebagai Muhammad bin Syafi’i (شَافِعِي).

Di Nusantara kebiasaannya disebutkan gelaran beliau sebagai al-Fudholi (الفُضَالِي), dengan baris hadapan pada huruf fa’

Al-Zirikli pula menyebutkannya sebagai al-Fadhali (الفَضَالي), dengan baris atas pada huruf fa’. Mungkin sebutan yang dikemukan oleh al-Zirikli ini lebih tepat kerana gelaran al-Fadhali tersebut merupakan nisbah kepada Maniyyah Fadalah seperti yang disebutkan oleh Imam al-Baijuri dalam kitab Tahqiq al-Maqam. Ia merupakan nama sebuah tempat yang terletak di Dakahlia, Mesir.

Daripada gelaran al-Misri dapat kita ketahui bahawa beliau berasal dari Mesir. Manakala gelaran al-Syafi’i menunjukkan bahawa beliau bermazhab al-Syafi’i. 

Kelahiran

Saya tidak menemui mana-mana ulama yang mencatatkan tahun kelahiran beliau.

Guru-Guru

Tidak ada sebarang maklumat tentang guru beliau.

Murid-Murid

Murid beliau yang masyhur dan diketahui hanyalah Imam Ibrahim al-Bajuri (m. 1279 H) yang sentiasa melazimi beliau sehingga beliau meninggal dunia dan mensyarahkan kitab-kitab beliau.

Karya Penulisan

1 - Risalah Fi Kalimah al-Tauhid

Kitab ini disyarahkan oleh Imam al-Bajuri pada tahun 1222 Hijrah ketika hayat gurunya. Kitab syarah tersebut merupakan karya pertama Imam al-Bajuri yang dikarang ketika usianya baru 24 tahun.

2 - Kifayah al-Awam Fima Yajibu ‘Alaihim Min ‘Ilm al-Kalam

Kitab ini disyarahkan oleh Imam al-Bajuri dengan kitab berjudul Tahqiq al-Maqam ‘Ala Kifayah al-Awam. Diselesaikan pada tahun 1223 Hijrah. Imam al-Bajuri menulis syarah ini setelah diizinkan oleh gurunya itu.

3 - Risalah Fi al-Taqlid

Kisah Beliau Mengajar Ilmu Kalam Kepada Pemandu Keldai

Syeikh Usamah al-Azhari menyebutkan dalam kitab Asanid al-Misriyyin (hlm. 229):

“Diceritakan oleh guru-guru kami berulang kali bahawa al-'Allamah al-Fadhali – rahimahullah Ta'ala – dahulunya menetap berhampiran Giza. Beliau sering berulang-alik ke al-Azhar al-Syarif dengan menunggang haiwan tunggangan, dan perkara ini berlaku sebelum zaman wujudnya kereta.

Di berhampiran al-Azhar al-Syarif, terdapat sebuah kawasan tempat berkumpulnya para pengusaha haiwan sewa dan pemilik haiwan tunggangan yang dikhususkan untuk membawa penumpang.

Apabila salah seorang pemandu keldai itu pergi mengambil al-Allamah al-Fadhali untuk membawanya ke al-Azhar al-Syarif atau menghantarnya pulang, al-Fadhali secara berterusan akan membentangkan kepadanya permasalahan dan asas-asas perbahasan daripada ilmu Kalam. Beliau menyampaikannya agar mudah difahami oleh pemandu tersebut, serta menjelaskannya dengan terang bagi mengisi masa yang diambil sepanjang perjalanan itu.

Para ulama berkata: "Al-Fadhali tidak meninggal dunia sehinggalah kesemua pemandu keldai (di kawasan tersebut) mampu membahaskan tentang ilmu Kalam." 

Kewafatan

Beliau meninggal dunia pada tahun 1236 Hijrah bersamaan 1820 Masihi.

Semoga Allah merahmati beliau.

2 ulasan: