Ahad, 1 Ogos 2021

Hadis Kelebihan Solat Rawatib


Kelebihan Menjaga 12 Rakaat Solat Rawatib

 مَا مِنْ عبْدٍ مُسْلِم يُصَلِّي للَّهِ تَعَالى كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عشْرةَ رَكْعَةً تَطوعاً غَيْرَ فَرِيضَةٍ، إِلاَّ بَنَى اللَّه لهُ بَيْتاً في الجَنَّةِ.

Tidaklah seorang hamba Muslim itu bersolat semata-mata kerana Allah pada setiap hari sebanyak 12 rakaat solat sunat yang bukan fardu melainkan Allah akan membina baginya sebuah rumah di syurga.”

Riwayat Muslim daripada hadis Ummu Habibah.

Huraian Hadis:

1 - 12 rakaat solat sunat tersebut ialah: 2 rakaat sebelum subuh, 4 rakaat sebelum zohor dan 2 rakaat selepasnya, 2 rakaat selepas maghrib dan 2 rakaat selepas isyak.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini menerangkan kelebihan solat sunat rawatib dan sesiapa yang bersungguh-sungguh menjaganya akan dibina untuknya sebuah rumah di syurga.

Kelebihan Solat Rawatib Subuh

Hadis Pertama

رَكْعتا الفجْرِ خيْرٌ مِنَ الدُّنيا ومَا فِيها.

“Dua rakaat solat sunat fajar lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di dalamnya.”

Riwayat Muslim daripada hadis Aisyah.

Hadis Kedua

عن عائشةَ رضِيَ اللَّه عنْهَا، قالت: لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم، عَلَى شَيْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أشَدَّ تَعَاهُدَاً مِنهُ عَلَى رَكْعَتَي الفَجْرِ.

Daripada Aisyah radhiallahu ‘anha, beliau berkata:

“Tidaklah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersunguh-sungguh menjaga suatu pun daripada ibadah sunat lebih daripada bersungguh-sungguhnya baginda menjaga dua rakaat (sunat) fajar.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Aisyah.

Pengajaran Dua Hadis Tersebut:

1 - Penekanan sunnahnya melakukan solat sunat sebelum fajar berdasarkan perbuatan nabi sallahu ‘aihi wasallam dan ucapan baginda.

2 - Kepentingan dan tingginya nilai dua rakaat sunat fajar yang lebih bernilai daripada dunia dan harta benda yang ada di dalamnya.

3 - Seruan supaya menjaganya sebagaimana nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang begitu bersungguh-sungguh menunaikannya lebih daripada ibadah sunat yang lain.

Kelebihan Solat Rawatib Zohor

Hadis Pertama

منْ حَافظَ عَلى أَرْبَعِ ركعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ، وَأَرْبعٍ بَعْدَهَا، حَرَّمهُ اللَّه عَلَى النَّارَ.

“Sesiapa yang menjaga empat rakaat (solat sunat) sebelum zohor dan empat rakaat selepasnya Allah akan mengharamkannya daripada api neraka.”

Riwayat Abu Daud dan Termizi. Kata al-Termizi: “Hadis hasan sahih.”

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘Allah akan mengharamkannya daripada api neraka’ yakni Allah akan menghalangnya daripada kekal dalam neraka.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini mengandungi berita gembira bagi orang yang melazimi empat rakaat solat sunat sebelum zohor dan setelahnya bahawa dia akan mati dalam Islam dan dia tidak akan kekal di dalam neraka sebagaimana kekalnya orang kafir di dalam neraka.

Hadis Kedua

عن عائشةَ رضِيَ اللَّه عنْهَا، قالت: أَنَّ النَّبِيَّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم كَانَ لا يدعُ أَرْبعاً قَبْلَ الظُّهْرِ.

Daripada Aisyah radhiallahu ‘anha, beliau berkata:

“Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tidak meninggalkan empat rakaat (solat sunat) sebelum zohor.”

Riwayat al-Bukhari

Pengajaran Hadis:

1 -  Nabi sallahu ‘aihi wasallam berterusan melaksanakan solat sunat empat rakaat sebelum zohor, jika begitu maka ia adalah solat sunat yang muakkad (sangat dituntut). Tetapi yang sedia diketahui dalam kitab-kitab fiqh bahawa solat sunat sebelum zohor yang muakkad adalah dua rakaat sahaja. Mungkin kerana ada hadis lain yang menunjukkan bahawa nabi sallahu ‘alaihi wasallam kadang kala meninggalkan tambahan dua rakaat lagi yang menunjukkan bahawa ia tidak muakkad. Mungkin apa yang Aisyah riwayatkan di sini adalah berdasarkan apa yang beliau lihat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam lakukan ketika tinggal di rumah beliau.

Hadis Ketiga

أَنَّ رسولَ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم كانَ يُصَلِّي أَرْبعاً بعْدَ أَن تَزول الشَّمْسُ قَبْلَ الظُّهْرِ، وقَالَ:" إِنَّهَا سَاعَةٌ تُفْتَحُ فِيهَا أَبوابُ السَّمَاءِ، فأُحِبُّ أَن يَصعَدَ لِي فيهَا عمَلٌ صَالِحٌ.

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersolat empat rakaat (solat sunat) setelah tergelincir matahari (masuk waktu zohor) sebelum (solat fardu) zohor. Baginda bersabda:

“Ia adalah waktu dibuka padanya pintu-pintu langit. Maka aku suka agar amalan solehku diangkat pada waktu itu.”

Riwayat al-Termizi daripada hadis Abdullah bin al-Sa’ib. Kata al-Termizi: “Hadis hasan.”

Pengajaran Hadis:

1 - Kelebihan waktu zohor bahawa ia adalah waktu diangkat amalan soleh kepada Allah dan galakan melakukan solat pada waktu tersebut agar diterima oleh Allah.

Kelebihan Solat Rawatib Asar

رَحِمَ اللَّه امْرَءاً صلَّى قبْلَ العَصْرِ أَرْبعاً.

“Semoga Allah merahmati seseorang yang solat empat rakaat sebelum solat Asar.”

Riwayat Abu Daud dan al-Termizi daripada hadis Ibnu Umar. Kata al-Termizi: “Hadis hasan.”

Pengajaran Hadis:

1 - Galakan melaksanakan solat sunat empat rakaat sebelum zohor agar termasuk dalam golongan yang didoakan mendapat rahmat oleh Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Rujukan:

1 - Al-Bahr al-Muhith al-Thajjaj Fi Syarh Sahih al-Imam Muslim bin al-Hajjaj karangan Syeikh Muhammad Ali Adam al-Athyubi.

2 - Dalil al-Falihin Syarah Riyadh al-Salihin karangan Imam Ibnu ‘Allan al-Siddiqi.

3 - Nuzhah al-Muttaqin Syarah Riyadh al-Salihin karangan Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha, Muhyiddin Misto, Ali al-Syirbaji dan Muhammad Amin Luthfi.

4 - Tuhfah Al-Ahwazi Syarah Jami' Al-Termizi karangan Syeikh Muhammad Abdul Rahman al-Mubarakfuri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan