Sabtu, 31 Julai 2021

Imam Abu Syuja’ - Pengarang Matan Abi Syuja’ atau al-Ghayah wa al-Taqrib

 

Nama beliau ialah Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-‘Abbadani al-Asfahani al-Syafi'e. Sebahagian ulama menyebutkan nama bapa beliau sebagai al-Husein. Kunyah beliau ialah Abu Syuja’ dan Abu al-Tayyib. Gelaran beliau pula ialah Syihabuddin.

Beliau dilahirkan di Basrah pada tahun 434 Hijrah sebagaimana yang beliau beritahu kepada muridnya, al-Hafiz Abu Tahir al-Silafi.

Gelaran al-‘Abbadani ialah nisbah kepada ‘Abbadan, Iran yang merupakan tempat kelahiran datuk beliau manakala gelaran al-Asfahan pula ialah nisbah kepada Asfahan, Iran yang merupakan tempat kelahiran bapa beliau.

Beliau mengajar mazhab al-Syafi’i di kota Basrah selama lebih daripada 40 tahun.

Tidak ada sebarang maklumat tentang guru-guru beliau dan murid beliau yang diketahui pula hanyalah al-Hafiz al-Silafi.

Menurut Imam al-Subki, beliau juga mempunyai sebuah kitab yang mensyarahkan kitab al-Iqna’ karangan Imam al-Mawardi.

Beliau meninggal dunia setelah tahun 500 Hijrah, iaitu pada tahun yang tidak diketahui secara tepat. Menurut al-Hafiz al-Silafi, beliau bertemu dengan Imam Abu Syuja’ pada tahun 500 Hijrah dan Imam Abu Syuja’ hidup beberapa tahun selepas itu yang beliau tidak dapat pastikan. Al-Hafiz al-Silafi sendiri meninggal dunia pada tahun 576 Hijrah, jadi dapat disimpulkan bahawa Imam Abu Syuja’ meninggal dunia antara tahun 500 Hijrah hingga 576 Hijrah. Imam al-Subki dalam Thabaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra juga menyebutkan bahawa beliau meninggal pada kurun ke-6 Hijrah.

Semoga Allah merahmati Imam Abu Syuja’.

Beberapa Perkara Yang Dinisbahkan Kepada Imam Abu Syuja’

Para ulama yang mensyarahkan matan Abi Syuja’ dan menulis biodata beliau ada menisbahkan beberapa fakta kepada beliau, antaranya:

1 - Beliau pernah menjawat jawatan menteri.

2 - Beliau meninggal dunia pada tahun 488 Hijrah.

3 - Beliau dikebumikan di Madinah al-Munawwarah iaitu berhampiran dengan Bab Jibril yang sekarang ini berada di dalam Masjid Nabawi dan tidak jauh dari makam Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

4 - Usia beliau sangat panjang sehingga 160 tahun. Apabila ditanya tentang rahsia panjang usia beliau, beliau menjawab: “Aku menjaga anggota badanku daripada maksiat ketika aku muda maka Allah menjaganya ketika aku tua.”

Berkenaan fakta pertama, kedua dan ketiga, mungkin para ulama yang menulis biodata Imam Abu Syuja’ tersilap menisbahkannya kepada beliau kerana terkeliru dengan seorang lagi tokoh yang mempunyai nama yang hampir sama iaitu Abu Syuja’ Zahiruddin Muhammad bin al-Hussein al-Ruzrawari al-Syafi’i.

Abu Syuja’ al-Ruzrawari ini memang pernah menjadi menteri ketika pemerintahan Khalifah al-Muqtadi daripada kerajaan Abbasiah dan meninggal dunia tahun 488 Hijrah di Madinah tetapi beliau dikebumikan di Baqi’. Manakala tokoh yang dikebumikan berhampiran Bab Jibril tersebut pula sebenarnya seorang menteri dari Asbahan bernama Jamaluddin Abu Ja’far Muhammad bin Ali bin Abi Mansur, meninggal dunia pada 559 Hijrah.

Berkenaan fakta keempat pula, sebenarnya fakta tersebut merujuk kepada tokoh lain yang sama kunyahnya seperti beliau iaitu al-Qadhi Abu al-Tayyib al-Tabari. Ibnu al-Jauzi dalam Sifah al-Sofwah mencatatkan bahawa beliau pernah berkata: “Sesungguhnya anggota-anggota kami ini kami jaga daripada bermaksiat kepada Allah maka Allah menjaganya untuk kami.” Al-Khatib al-Baghdadi juga menyebutkan bahawa usia Abu al-Tayyib al-Tabari ini mencapai 160 tahun tetapi masih mempunyai akal yang sihat, kefahaman yang baik, menjadi hakim dan memberi fatwa sehinggalah kematiannya.

Baca juga:

Imam Ibnu Ajurrum - Pengarang Matan al-Ajurrumiyyah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan