Selasa, 27 Julai 2021

Imam al-Baiquni - Pengarang Manzumah al-Baiquniyyah

Nazam Manzumah al-Baiquniyyah sangat terkenal dipelajari oleh para pelajar yang ingin mendalami ilmu hadis, akan tetapi sisi kehidupan Imam al-Baiquni yang mengarang nazam ini boleh dikatakan sangat misteri sehinggakan semua ulama yang mensyarahkan nazam ini mengakui tidak menemui maklumat lengkap tentang biodata beliau.  

Imam Ahmad al-Hamawi (m. 1098 H) yang hidup hampir dengan zaman Imam al-Baiquni juga turut mengakui perkara tersebut. Beliau berkata dalam kitab Talqih al-Fikar Bi Syarh Manzumah al-Athar: “Saya tidak temui bagi pengarang nazam ini biodata yang dapat diketahui daripadanya namanya dan hal ehwal kehidupannya. Saya tidak tahu apakah nisbah ini (al-Baiquni)? Adakah ia nisbah kepada tempat, kampung, nama bapa atau nama datuk?”

Nama dan Gelaran

Dikatakan nama beliau ialah Umar bin Muhammad bin Fattuh al-Baiquni al-Dimasyqi al-Syaf’ie. Imam al-Ajhuri (m. 1190 H) dalam Hashiyyah al-Ajhuri ‘ala Syarah al-Zurqani ‘ala al-Baiquniyyah berkata: “Ditemui di tepi manuskrip (Manzumah al-Baiquniyyah) terdapat tulisan tangan pengarangnya: Namanya Umar bin Syeikh Muhammad bin Fattuh al-Dimasyqi al-Syafi’i.”

Pendapat lain pula menyatakan nama beliau ialah Taha bin Muhammad bin Fattuh al-Baiquni al-Dimasyqi al-Syafi’i. Ini adalah pendapat Umar Ridha Kahalah dalam kitab Mu’jam al-Muallifin. Namun pendapat pertama dianggap lebih kuat berdasarkan manuskrip tulisan pengarangnya sendiri.

Sebahagian ulama menyebutkan nama bapa beliau sebagai Futuh.

Mengenai gelaran al-Baiquni pula, menurut Syeikh Badruddin al-Hasani dalam al-Durar al-Bahiyyah bi Syarh al-Baiquniyyah, ia adalah nama sebuah perkampungan yang terletak di Azerbaijan. Syeikh Dr Hisyam al-Kamil dalam al-Nafahat al-Madaniyyah Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah pula mengatakan bahawa terdapat sebuah tempat bernama Baiqun yang terletak di Jabal Lubnan, kira-kira 50 kilometer dari Beirut.

Gelaran al-Dimasyqi pula menunjukkan bahawa beliau menetap di Damsyik, Syiria. Mungkin asal usul beliau dari Baiqun yang terletak di Azerbaijan atau di Lubnan, tetapi beliau atau bapa beliau atau datuk beliau berpindah dan menetap di Damsyik.

Daripada gelaran al-Syafi’e pula dapat diketahui bahawa beliau bermazhab al-Syafi’i.

Tarikh Kelahiran

Tidak ada sebarang maklumat tentang tarikh kelahiran beliau.

Guru dan Murid

Tidak ada sebarang maklumat menyatakan tentang guru-guru dan murid-murid beliau

Hasil Karya

Selain Manzumah al-Baiquniyyah, al-Zirikli dalam al-A’lam menyatakan beliau mempunyai penulisan lain bertajuk Fath al-Qadir al-Mughith berkenaan hadis. Mungkin beliau terkeliru dengan kitab Fath al-Qadir al-Mughith karangan Syeikh Abdul Qadir bin Jalaluddin al-Mahalli yang merupakan syarah kepada Manzumah al-Baiquniyyah.

Kewafatan

Dikatakan beliau wafat pada tahun 1080 Hijrah bersamaan tahun 1669 Masihi. 

Pendapat lain mengatakan beliau hidup beberapa tahun sebelum tahun 1080 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun yang tidak dapat ditentukan secara tepat.

Semoga Allah merahmati beliau.

Syarah Manzumah al-Baiquniyyah

Berkat keikhlasan hati pengarang nazam ini, Allah telah mentakdirkan nazam ini mendapat tempat di hati para ulama untuk mensyarahkannya dan penuntut ilmu yang menghafal dan mempelajarinya. Para ulama dari pelbagai aliran dan zaman berlumba-lumba untuk mensyarahkan matan yang berkat ini.

Berikut adalah senarai kitab yang mensyarahkan nazam ini:

1 - Aham al-Masail al-Jaliyyah Fi Syarh al-Baiquniyyah karangan Abu Abdul Rahman al-Falazuni. Disebarkan di internet.

2 - Ahsan al-Hadith karangan Syeikh Abdul Rahman al-Mahlawi. Beliau meringkaskan Manzumah al-Baiquniyyah lalu mensyarahkannya.

3 - Al-‘Urjun Fi Syarh al-Baiqun karangan Siddiq Hasan Khan (m. 1307 H). Disebutkan oleh al-Mubarakfuri dalam mukadimah Tuhfah al-Ahwazi.

4 - Al-Amali al-Fajriyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Hamzah bin Fayi’ al-Fathi. Disebarkan di internet.

5 - Al-Amali al-Makkiyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah. Disalin daripada syarahan lisan yang disampaikan oleh Sulaiman bin Nasir al-Ulwan. Disebarkan di internet.

6 - Al-As’ilah al-Saniyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Ummu al-Laith. Disyarah dalam bentuk soal jawab. Disebarkan di internet.

7 - Al-Bahjah al-Wadhiyyah Syarh Matan al-Baiquniyyah karangan Mahmud Nasyabah (m. 1308 H). Diterbitkan pada tahun 1328 H.

9 - Al-Bakurah al-Janiyyah Min Qithaf Matan al-Baiquniyyah karangan Syeikh Muhammad Amin bin Abdullah al-Athyubi (m. 1441 H). Diterbitkan oleh Mathabi’ al-Safa di Mekah al-Mukarramah.

10 - Al-Basth al-Mustadir Fi Syarh al-Baiquniyyah karangan Abdul Karim al-Khudair. Diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Cetakan pertama ada tahun 2011.

11 - Al-Durar al-Bahiyyah Fi Syarah Manzumah al-Baiquniyyah karangan Badruddin al-Hasani (m. 1354 H). Diterbitkan oleh Dar al-Basha’ir, Kaherah pada tahun 2016.

12 - Al-Durar al-Naqiyyah Fi Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Turki bin Misfir bin Hadi al-‘Abdini. Disebarkan di internet.

13 - Al-Durr al-Jani Min Manzumah al-Baiquni karangan Abu ‘Adi Zakir Mahasini. Disebarkan di internet.

14 - Al-I’tiradh al-Fadhiyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Dhiya’ Muhammad Mahmud Jasim al-Mashhadani. Disebarkan di internet.

15 - Al-Jawahir Al-Sulaimaniyyah Syarh Al-Manzumah Al-Baiquniyyah karangan Abu al-Hasan Mustafa bin Isma’il al-Sulaimani al-Ma’rabi. Diterbitkan oleh Dar al-Kayan, Riyadh. Cetakan pertama pada tahun 2005.

16 - Al-Ghurar al-Bahiyyah Syarh al-Baiquniyyah karangan Muhammad bin Ahmad Amwah. Diterbitkan oleh Dar Abu Hanifah, Yaman pada tahun 2017. 

17 - Al-Kawakib al-Durriyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Sulaiman bin Khalid al-Harbi.

18 - Al-Kawakib al-Nuraniyyah ‘ala al-Baiquniyyah karangan Abdullah bin Ali bin Abdul Rahman al-Azbaki al-Misri al-Syafi’i (m. 1234 H).

19 - Al-Luma’ al-Bahiyyah Bi Syarh al-Baiquniyyah karangan Abu Muhammad al-Alfi. Disebarkan di internet.

20 - Al-Minan al-‘Aliyyah Fi Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Abu al-Hasan Ali bin Mukhtar al-Ramli. Disebarkan di internet.

21 - Al-Minhah al-Rabbaniyyah Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Muhammad bin Muhammad Siraj bin Muhammad Sa’id al-Jabarti al-Aani. Diterbitkan oleh Dar al-Masyari’, Beirut pada tahun 2014.

22 - Al-Nafahat al-Madaniyyah Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Hisyam al-Kamil. Diterbitkan oleh Dar al-Manar, Kaherah ada tahun 2015.

23 - Al-Nafhah al-Juniyyah 'ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Ya’qub bin Mathar bin Daghis al-Mursyidi al-‘Atibi. Diterbitkan oleh Dar al-Asbah pada tahun 2019.

24 - Al-Nafhah al-Zakiyyah Fi Syarh Manzumah al-Baiquniyyah karangan Muhammad bin Ahmad Amwah. Ditulis pada tahun 1424  H. Disebarkan di internet.

25 - Al-Nukhbah al-Nabhaniyyah Bi Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Muhammad bin Khalifah al-Nabhani al-Maliki (m. 1369 H). Diterbitkan oleh Mathba’ah al-Taqaddum al-‘Ilmiyyah, Mesir pada tahun 1345 M.

26 - Al-Qala’id al-Anbariyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Uthman bin al-Makki al-Tauzi al-Zabidi (meninggal selepas tahun 1330 Hijrah). Diterbitkan oleh Dar Ibn ‘Affan, Arab Saudi pada tahun 1997 dengan tahqiq Ali bin Hasan al-Halabi.

27 - Al-Qatharat al-Sakhiyyah Fi Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Abu al-Qasim al-Maqdisi. Disebarkan di internet.

28 - Al-Sahl al-Musahhal Fi Mustholah al-Hadith ‘ala al-Baiquniyyah karangan Syeikh Saifurrahman Ahmad. Diterbitkan oleh Dar al-Da’wah, India. Cetakan ketiga pada tahun 1980.

29 - Al-Samsuniyyah Fi Syarh al-Baiquniyyah karangan Abu ‘Abdillah Laith al-Hayali. Disebarkan di internet.

30 - Al-Syarah al-Muyassar Lil Manzumah al-Baiquniyyah. Disebarkan di intenet.

31 - Al-Ta’liqat al-Athariyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Syeikh Ali bin Hasan al-Halabi. Diterbitkan oleh Dar Ibnu al-Jauzi, Arab Saudi pada tahun 1428 H.

32 - Al-Ta’liqat al-Radhiyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Abdullah bin Abdul Rahim al-Bukhari. Diterbitkan oleh Dar al-Istiqamah, Mesir pada tahun 2008.

33 - Al-Ta’rifat al-Nadiyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Hamid Soleh al-Mirri. Disebarkan di intenet.

34 - Al-Ta'liq al-Mukhtasar 'ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Bundar bin Nafi' al-'Abdali. Disebarkan di internet.

35 - Al-Ta'liqat al-'Umriyyah 'Ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Umar Balkahalah. Diterbitkan oleh Dar Thalithalah, Algeria pada tahun 2012.

36 - Al-Taqalid al-Dasuqiyyah al-Bayumiyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah oleh Bayumi bin Farraj bin Mustafa al-Sayuthi al-Khalwati al-Jirjawi (m 1293 H). Dihimpunkan oleh murid beliau yang bernama Muhammad bin Muhammad bin Hamid al-Maraghi al-Jirjawi. Manuskrip kitab ini ada di Dar al-Kutub al-Misriyyah.

37 - Al-Taqrirat al-Saniyyah Fi Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Hasan bin Muhammad al-Masyath (m. 1399 H). Diterbitkan di Jeddah pada tahun 1392 H dan mempunyai beberapa cetakan yang lain.

38 - Al-Taudhihat al-Basithah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Sa’ad bin Umar bin Sa’id al-Futi al-Tijani. Diterbitkan oleh Dar al-Tijani al-Muhammadi, Tunisia ada tahun 1400 H setebal 50 halaman.

39 - Al-Thamarat al-Janiyyah Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Abdullah bin Abdul Rahman al-Jibrin. Diterbitkan oleh Dar al-Asimah, Riyadh pada tahun 1417 H.

40 - Al-Tuhfah al-Aiquniyyah Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Ahmad Walad al-Kuri al-Syanqithi. Disebarkan di internet.

41 - Al-Tuhfah al-Wafiyyah Bi Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Usamah Ibrahim Muhammad Muhammad. Diterbitkan oleh Maktabah al-Iman, Mesir pada tahun 2016.

42 - Al-Tuhfah al-Zainiyyah Fi Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Zain bin Ahmad bin Zain al-Sayyad al-Marshafi al-Azhari al-Syafi’i  (m. 1300 H).

43 - Al-Zahrah al-Samiyyah karangan Syeikh Khalid al-Jazmati (meninggal selepas tahun 1315 H).

44 - Athib al-Manh Fi Syarah Manzumah al-Baiquniyyah Fi al-Mustholah karangan Majdi ‘Arafat al-Misri. Cetakan kedua pada tahun 1426 H.

45 - Bulugh al-Umniyyah Fi Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Luqman al-Hakim al-Indonesi al-Azhari. Diterbitkan oleh Dar al-Basha’ir, Mesir pada tahun 2017.

46 - Fath al-Qadir al-Mughith Fi Syarh Manzumah al-Baiquni karangan Syeikh Abdul Qadir bin Jalaluddin al-Mahalli (hidup sekitar tahun 1065 Hijrah).

47 - Hashiyyah ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Mustafa bin Ali bin Muhammad bin Suwailim al-Baltani (hidup sekitar tahun 1249 Hijrah). Masih dalam bentuk manuskrip di Maktabah al-Makhtutat di Kuwait.

48 - Hawasy ‘ala al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Abdul Rahman bin Sulaiman al-Ahdal (m. 1250 H). Manuskripnya terdapat di Universiti Muhammad bin Sa’ud.

49 - Imta’ al-Asma’ Bi Syarh Ma Nazama al-Baiquni Min al-Anwa’ karangan Abu Abdillah Muhammad ‘Isa Haj. Ditulis pada tahun 1414 H.

50 - Kasyf al-Zunun wa al-Dur al-Masun Bi Syarh Matan al-Baiqun karangan Mustafa bin Mula Muhammad al-Kurdi.

51 - Lathaif Manh al-Mughith Fi Mutholah al-Baiquni Fi al-Hadith karangan Muhammad Uthman bin Muhammad al-Makki al-Mirghani (m. 1268 H).

52 - Maniyyah al-Ruh Syarh al-Baiquniyyah Li Ibn Futuh karangan Ali Muhammad Salman Muhaimid Aali Askar al-‘Abidi. Disebarkan di internet.

53 - Mukhtasar Syarh Manzumah al-Baiquniyyah karangan Muhammad Hasan Nuruddin Isma’il. Disebarkan di internet.

54 - Shaql al-Afham al-Jaliyyah Bi Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Mustafa bin Muhammad bin Salaman. Diterbitkan oleh Mathabi’ al-Hai’ah al-Misriyyah Lil Kitab, cetakan pertama pada tahun 1412.

55 - Sofwah al-Mulah Bi Syarh Manzumah al-Baiquni Fi Fann al-Mustholah karangan Muhammad bin Muhammad al-Budairi al-Dimyathi yang dikenali sebagai Ibnu al-Mayyit (m. 1149 H). Diterbitkan oleh Dar al-Nawadir pada tahun 2007.

56 - Syarah Abu al-Harith Muhammad bin Ibrahim al-Kharraj al-Salafi al-Jazairi. Disebarkan di internet.

57 - Syarah al-Baiquniyyah Fi Mustholah al-Hadith karangan Hasan bin Ghali al-Azhari al-Maliki al-Jadawi al-Misri (m. 1202 H).

58 - Syarah al-Baiquniyyah karangan Abdul Ghani bin Muhammad al-Burhani (m. 1151).

59 - Syarah al-Baiquniyyah karangan Syeikh Muhammad Ma’dan/Sa’dan bin al-Hajir, seorang faqih al-Syafi’i yang terkenal dengan nama Muhammad Jad al-Maula (m. 1228 H).

60 - Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah Fi Mustholah al-Hadith karangan Abdullah Sirajuddin (m. 1422 H). Selesai ditulis pada tahun 1372 H. Diterbitkan oleh Dar al-Falah setebal 218 halaman.

61 - Syarah al-Manzumah al-Baiquniyyah oleh Muhammad Soleh al-Uthaimin. Diterbitkan oleh Maktabah al-Rusyd, Riyadh pada tahun 1415 H setebal 88 halaman.

62 - Syarah Mahir Yasin al-Fahl. Dijadikan teks pengajian di sekolah-sekolah agama di Iraq semenjak tahun 19996.

63 - Syarah Manzumah al-Baiquniyyah oleh Ali Umar al-Zaila'i. Dihimpunkan oleh murid beliau bernama Abdul Rahman Thabit Muhammad 'Uthman. Disebarkan di internet.

64 - Syarah Abdullah al-Talidi. Masih dalam bentuk manuskrip. Disebutkan oleh Hussein al-Asybuki pada biodata Abdullah al-Talidi.

65 - Syarah Syeikh Ahmad al-Tirmanini

66 - Syarah Ali bin Muhammad bin Amir al-Nijari (m. 1351 H).

67 - Syarah Hasanain Muhammad Makhluf (m. 1410 H).

68 - Syarah Muhammad bin Abdul Baqi al-Zurqani (m. 1122 H). Athiyyah al-Ajhuri (m. 1190 H) menulis hashiyyah bagi syarah ini.

69 - Syarah Muhammad Zaitunah al-Tunisi (m. 1138 H).

70 - Syarah Soleh al-Asmari. Disebarkan di internet.

71 - Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah Fi Mustholah Ahl al-Hadith Wa al-Athar ‘ala Dhau’ Manahij al-Mutaqaddimin Wa Tahrirat al-Mutaakkirin karangan Sulthan bin Fahd bin Sulaiman al-Jurdan. Disebarkan di internet.

72 - Syarh Al-Manzumah Al-Baiquniyyah karangan Thariq 'Awadhallah. Diterbitkan oleh Dar al-Mughni pada tahun 2009.

73 - Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah karangan Yusuf bin Judah Yasin al-Dawudi. Diterbitkan oleh Dar al-Andalus Lil Thiba’ah pada tahun 2015.

74 - Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah oleh Abdul Aziz al-Tharifi. Disebarkan di internet.

75 - Talqih al-Fikar Bi Syarh Manzumah al-Athar karangan Ahmad bin Muhammad al-Husaini al-Hamawi al-Hanafi (m. 1098 H). Diterbitkan oleh Dar al-Minhaj, Jeddah pada tahun 2009 H.

76 - Tanwir al-Af’idah al-Zakiyyah karangan Ali bin Hasan al-Halabi. Syarahan beliau yang lebih besar berbanding al-Ta’liqat al-Athariyyah. Disebutkan pada mukadimah kitab al-Ta’liqat al-Athariyyah.

77 - Thiraz al-Baiquniyyah karangan Mahmud Ahmad Umar al-Nasywi al-Azhari. Beliau telah menambah 7 bait syair untuk melengkapkan Manzumah al-Baiquniyyah lalu mensyarahkannya secara ringkas. Diterbitkan oleh Dar Ibn ‘Affan pada tahun 1997 dengan tahqiq Ali bin Hasan al-Halabi.

78 - Tuhfah al-Ahbab Lil Mustarsyidin Min al-Thullab karangan Daud al-Tikriti (hidup sekitar tahun 1316 Hijrah). 

Baca juga:

Imam Abu Syuja’ - Pengarang Matan Abi Syuja’ atau al-Ghayah wa al-Taqrib

Tiada ulasan:

Catat Ulasan